Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang

makam di Kota Tinggi, Johor, Malaysia

Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang terletak di Kampung Makam ialah tempat yang paling terkenal di Kota Tinggi, Johor, Malaysia. Makam tersebut banyak menyimpan sejarah Kesultanan Johor dan lain-lain kisah dalam sejarah Melayu masa kini.

Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang

Latar belakang sunting

Sultan Mahmud Shah II keturunan sultan Melaka ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama. Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut "Marhum Padang Saujana". Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat pada usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan disebut sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi".

Kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang sunting

Mengikut hikayat Tuhfat al-Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana negeri Bentan (dikenali Bintan pada hari ini), iaitu Megat Seri Rama, berperang melawan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.

Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama yang hamil, Dang Anum bertemu dengan penghulu kebun Sultan yang sedang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada Sultan. Dang Anum meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya memotong seulas lalu diberikan kepada Dang Anum. Ketika Sultan Mahmud Shah hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka itu telah diusik orang. Baginda amat murka kerana dihidangkan dengan sisa orang dan memerintahkan Dang Anum ditangkap dan dibelah perutnya.

Beberapa hari kemudian, Laksamana pulang ke Kota Tinggi dengan kejayaan bagi angkatan tentera Johor. Selepas baginda menganugerahi Laksamana Megat, Tun Aman memberitahunya bahawa isterinya telah mati. Laksamana dengan marah dan kecewa, bersumpah untuk menuntut bela terhadap baginda.

Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud Shah bersama pembesar berangkat ke masjid untuk sembahyang, ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Semasa azan pertama, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana menghalang laluan baginda. Laksamana berkata "Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!" dan menikam baginda. Sultan tidak berputus asa lalu menyentap keris di pinggangnya lalu melontarkannya di kaki laksamana. Sultan bertitah "Tujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi." Tidak lama kemudian, baginda mangkat dan Megat pula mati secara tiba-tiba bermuntahkan darah.

Tempat menarik sunting

  • Makam Sultan Mahmud
  • Makam Kucing Bertanduk
  • Masjid Sultanah Rogaiyah
  • Tapak pembunuhan berlaku
  • Jeti Sungai Johor

Lihat juga sunting