Makcik PC adalah konsep teknologi komputer yang dihasilkan oleh MIMOS untuk merapatkan jurang digital di kalangan penduduk bandar dan luar bandar. Konsep ini mula diperkenalkan kepada umum dengan pelancaran Jen-II (Jendela Informasi Internet) - iaitu sebuah peralatan yang boleh mencapai Internet - pada bulan November 2007.

Jen-II yang dibangunkan di bawah platform Makcik PC

Bagi memenuhi objektifnya, Jen-II dilengkapi ikon yang mudah difahami seperti masjid, sampul surat dan troli pada skrin. Produk pertama Makcik PC dijangka dipasarkan secara komersial pada tahun 2009. MIMOS sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia tidak akan memasarkan produk ini secara langsung tetapi dilesenkan kepada syarikat tempatan lain. Oleh itu pengkomersialan produk daripada platform Makcik PC akan dilakukan oleh syarikat tempatan terpilih.

Asal sunting

Makcik PC adalah nama yang diberikan untuk satu platform yang antara lain fungsinya boleh mencapai Internet, mudah digunakan dan mampu dimiliki oleh masyarakat. Ilham mencipta platform yang diberi nama Makcik PC tercetus daripada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan sebuah komputer mampu milik dan mudah bagi segenap lapisan masyarakat. Prototaip Makcik PC yang diberi nama Jen-II atau Jendela Informasi Internet pertama kali dilancarkan semasa Pameran dan Persidangan Inovasi Kebangsaan (NICE) 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) oleh Perdana Menteri Malaysia pada 30 November 2007.

Platform sunting

Jen-II sunting

Jen-ii, satu produk yang lahir dari konsep Makcik PC, yang dipercayai diberi nama sempena nama isteri Perdana Menteri, Jeanne Abdullah. Dengan hanya 800 gram, Jen-II dilengkapi dengan teknologi seperti skrin sesentuh dan Protokol Internet versi 6. Jen-II disertakan kabel sambungan televisyen dan membolehkan penggunanya mencapai Internet dengan mudah. Harga jualan seunit dijangka berada antara RM537 hingga RM1,008 mengikut spesifikasi.[1]

Nama komputer tersebut melambangkan betapa mudahnya ia digunakan sehingga ia dapat digunakan walaupun oleh orang biasa dan para makcik. Ini adalah bagi menjadikan komputer sebagai barangan pengguna harian, yang tidak perlu takut bagi menggunakannnya. Sasaran komputer ini adalah para suri rumah, pelajar dan peniaga kecil.

iDOLA sunting

Pada 1 Ogos 2008, satu lagi produk yang dihasilkan melalui teknologi Makcik PC, ialah iDOLA. Pada mulanya, iDOLA bermaksud " Internet Device For Learning Application " kemudian ditukar maksud sempena nama Perdana Menteri terhebat Malaysia. iDOLA merupakan hasil usaha sama MIMOS bersama Intel, dan ia menggunakan chip Atom dari Intel yang dikhususkan untuk komputer mudah alih. Berbanding Jen-II yang lebih merupakan peralatan untuk mencapai Internet, iDOLA pula adalah komputer peribadi yang berkuasa penuh.

Seperti projek "satu laptop untuk setiap kanak-kanak" oleh pertubuhan bukan untung One Laptop Per Child (OLPC), iDOLA disasarkan kepada kanak-kanak dan sebagai alat dalam kelas. Bagi membolehkan impian ini tercapai, iDOLA dijangka berharga kurang dari RM1,000. Seperti Jen-II, iDOLA juga dilengkapi dengan skrin sesentuh, IPv6, teknologi wayarles dan penggunaan kuasa yang rendah.

Teknologi iDOLA sudah dilesenkan kepada pengeluar komputer tempatan iaitu FTEC.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting