Sultanah Johor - Sultanah Marcella Mendl

Marcella Mendl atau lebih dikenali sebagai Lady Marcella merupakan isteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar, Sultan Johor Moden ke-2.

Kehidupan AwalSunting

Marcella dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya di Austria pada 7 November 1915. Beliau merupakan anak perempuan kepada Edgar Mendl dari Romania yang merupakan saudara kepada Sir Charles Ferdinand Mendl, seorang pegawai kedutaan British di Paris, Perancis. Ibunya pula merupakan seorang wanita yang berasal dari Hungary. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 5 tahun dan beliau diletakkan di bawah penjagaan ibunya. Seorang perempuan yang masih muda dan sangat cantik, beliau bersekolah di Sekolah Fete "Schwarzwald" di ibu negara Austria.

Zaman RemajaSunting

Pada usia 20 tahun, beliau bertemu dengan Arthur Drach, seorang ahli perniagaan Yugoslavia yang terkaya pada ketika itu dan juga mewarisi kekayaan yang dianggarkan bernilai 200 juta dolar daripada ayahnya. Mereka berdua banyak mengembara bersama-sama, namun perasaan antara mereka berdua hilang secara beransuran dan akhirnya membawa kepada perpecahan.

Pada tahun 1938, tentera Nazi Jerman telah menyerang Austria. Marcella yang berusia 23 tahun pada ketika itu terpaksa meninggalkan negara beliau bersama-sama dengan sepupu ibunya, Siegfried Wilezek, seorang peniaga seni ke New York, Amerika Syarikat. Setelah tiba di sana, beliau menjalani kursus dalam kerja kesetiausahaan di pejabat Siegfried. Keadaan sesak di Amerika Syarikat telah menyebabkan beliau membuat keputusan untuk berpindah ke London pada tahun 1939.

Perkahwinan kepada SultanSunting

Pada 28 Oktober 1940, Marcella bertemu dengan Sultan Johor, Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur buat kali pertama di hadapan sebuah hotel di London. Pada ketika itu, beliau berusia 25 tahun dan Sultan Sir Ibrahim berusia 67 tahun. Sultan Sir Ibrahim juga merupakan cinta pandang pertama beliau. Pada keesokan harinya, beliau memperkenalkan Sultan Sir Ibrahim kepada ibunya setelah mereka berdua keluar dari sebuah kedai kopi. Beberapa minggu selepas pertemuan ini, teman wanita kepada Sultan Sir Ibrahim yang juga merupakan seorang penari terkenal, Lydia Hill telah terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Nazi Jerman di Canterbury. Dan pada bulan Mac 1938, Sultan Sir Ibrahim telah menceraikan isterinya, Helen Bartholomew Wilson dengan talak tiga.

Pada 6 November 1940, Marcella telah berkahwin dengan Sultan Sir Ibrahim. Majlis perkahwinan mereka telah diadakan di Caxton Hall, London sekitar jam 11 pagi. Pada masa yang sama juga, beliau memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Fawzia binti Abdullah. Antara orang yang menghadiri majlis perkahwinan tersebut termasuklah ibu beliau dan Kapten Abdullah. Selepas perkahwinan tersebut, beliau lebih dikenali sebagai Lady Marcella Ibrahim dan media menggambarkan beliau sebagai Kecantikan Wanita Romania.

Pada 18 September 1950, beliau telah melahirkan seorang puteri yang diberi nama Tunku Miriam, satu-satunya anak beliau hasil perkongsian hidup bersama Sultan Sir Ibrahim. Pada 17 September 1955, suami beliau telah membelanjakan kira-kira 1 juta dolar bagi mengadakan Sambutan Jubli Intan di Johor Bahru, Johor sempena ulang tahun ke-60 pemerintahannya sebagai Sultan Johor dan ulang tahun keputeraannya yang ke-82. Dalam sambutan itu, beliau telah dimahkotakan secara rasmi sebagai Sultanah Johor.

KematianSunting

Sultan Sir Ibrahim dan Marcella mula menetap di Grosvenor House, London pada tahun 1957. Pada 8 Mei 1959, Sultan Sir Ibrahim telah mangkat dan jenazahnya telah dibawa pulang ke Johor Bahru untuk upacara pengebumiannya. Upacara tersebut telah dihadiri oleh beliau dan puterinya, Tunku Miriam yang berusia 9 tahun. Selepas kemangkatan suami beliau, beliau telah menerima wang pencen daripada kerajaan Johor sebanyak seribu dolar dan akan dihentikan pemberiannya jikalau beliau berkahwin semula.

Pada 1 Jun 1983, beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Grosvenor House, London akibat daripada penyakit beliau yang tidak dapat diubati. Beliau dikebumikan di Makam Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Johor. Makam tersebut dinamakan bersempena dengan nama ayah kepada Sultan Sir Ibrahim iaitu Sultan Sir Abu Bakar, Sultan Johor Moden pertama.

Lihat jugaSunting

RujukanSunting