Makmum

(Dilencongkan dari Masbuq)

Makmum atau ma'mum (tulisan Jawi/bahasa Arab: مأموم) ialah istilah atau perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada pengikut imam dalam solat berjemaah. Perkataan makmum itu berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud "orang yang lebih rendah kedudukannya" atau" orang yang mengikut ketua/imam".

PembahagianSunting

Makmum dalam solat berjemaah terbahagi kepada dua iaitu makmum masbuq dan makmum muwafiq.[1]

Makmum muwafiqSunting

Makmum muwafiq ialah makmum yang menyertai solat berjemaah bermula daripada awal iaitu dapat mengikut imam dan sempat menghabiskan bacaan surah al-Fatihah di dalam qiam imamnya. Makmum muwafiq yang tidak tertinggal dan tersilap mana-mana rakaatnya dan bersama-sama imam sehingga selesai solat berjemaah tersebut, baginya tidak perlu tambahan atau gantian rakaat.

Bacaan al-Fatihah makmum itu tidak diukur berdasarkan bacaan dirinya atau imam, namun berdasarkan kadar bacaan bagi kebanyakan orang ramai iaitu tidak terlalu cepat atau lambat.

Apabila makmum mendapati imam baru sahaja memulakan solat dengan bacaan surah selepas al-Fatihah, maka itu dinamakan makmum muwafik kerana ketika imam dalam keadaan berdiri, dia sempat menghabiskan bacaan al-Fatihahnya mengikut kadar bacaan orang ramai yang sederhana bacaannya.

Makmum masbuqSunting

Makmum masbuq pula merujuk kepada keadaan apabila seseorang makmum terlewat menyertai dalam solat berjemaah bersama imam, tetapi ketika qiam, dia tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah.

Seseorang makmum yang lewat berjemaah sedangkan imam sudah hampir selesai membaca surah selepas al-Fatihah dan makmum berkenaan tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, maka itu dinamakan makmum masbuq. Apabila seseorang makmum memasuki solat jemaah, lalu ia takbiratul-ihram dan mendapati imam sedang rukuk, maka perlu makmum mengikuti rukuk imam itu tanpa wajib menyelesaikan rukun fatihah.

Bagi kategori ini, sama ada dia sempat membaca sebahagian dari surah al-Fatihah atau tidak sempat membaca keseluruhannya, maka bacaan al-Fatihah itu ditanggung oleh imam.[2] Makmum berkenaan hendaklah kemudian rukuk bersama imam. Jika dia rukuk bersama imam pada kadar tamakninah di dalam rukuknya, maka dia dikira mendapat rakaat berkenaan, dan jika tidak, dia perlu menggantikannya sesuai dengan bilangan rakaat yang tertinggal selepas imam memberi salam.

Ketinggalan dan penyempurnaanSunting

Makmum adalah dimaafkan sekiranya ketinggalan di belakang imam sehingga tiga rukun yang panjang iaitu rukuk dan dua sujud manakala iktidal serta duduk di antara dua sujud dikira rukuk pendek. Contohnya, ketika makmum sedang menghabiskan bacaan al-Fatihah pada rakaat pertama, imam melakukan rukuk, iktidal, sujud pertama, duduk di antara dua sujud dan sujud kedua. Sebelum imam berdiri untuk rakaat kedua, lalu makmum rukuk, maka dia dikira mendapat rakaat berkenaan.

Bagi makmum yang syak sama ada sudah membaca Fatihah atau belum, lalu imam rukuk, maka makmum itu mesti menghabiskan bacaan al-Fatihahnya dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun yang panjang.

Sabda Rasulullah saw: "Apabila seseorang di antara kamu datang (untuk) solat sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakaat. Barangsiapa yang mendapati rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu rakaat."
- (H.R. Abu Daud).

Setiap makmum yang ketinggalan rakaat di belakang imam haruslah menggantikannya sebaik selepas imam selesai memberi salam. Orang yang mendapatkan rukuk bersama imam dianggap telah mendapatkan satu rakaat berjemaah, biarpun tanpa sempat menyempurnakan rukun fatihahnya.

Sekiranya makmum sempat mengikuti rukuk imam dengan sempurna (sekadar dapat menyentuh lutut) sebelum imam bangun untuk iktidal, dikira makmum sudah mendapat rakaat. Jika makmum tidak sempat menyempurnakan rukuk, atau makmum memasuki solat semasa imam sujud atau duduk tahiyyat dan sebagainya, maka tidaklah dikira ia mendapat rakaat itu.

Apabila makmum hanya sempat masbuq di tahiyyat akhir, tidaklah ia perlu membaca doa dalam tahiyyat akhir kerana doa tahiyyat itu disunatkan hanya untuk orang yang bertasyahhud akhir. Makmum yang masbuq itu juga diperbolehkan duduk iftirasy seperti di dalam rakaat kedua.

Jika makmum sedang takbir lalu imam memberi salam, makmum ditegah duduk kerana duduk itu mengikut imam. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya maka batallah sembahyang itu.

Bagi kes solat Subuh, makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya di rakaat keduanya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang tadi.

Dalam solat Jumaat pula, sekiranya makmum sempat mendapat rakaat kedua dengan ia sempat rukuk bersama imam, maka dikira ia mendapat solat Jumaat itu, dan makmum itu hanya perlu menyelesaikan jumlah dua rakaat sahaja. Tetapi, sekiranya makmum tidak sempat rukuk dalam rakaat terakhir solat Jumaat, maka ia dikira solat Zohor dan perlulah menyempurnakan jumlah empat rakaat.

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

  1. ^ "Fahami makmum muafik, masbuk". Harian Metro. 15 Mei 2019. Dicapai pada 18 Mac 2020 – melalui hmetro.com.my.
  2. ^ MOHD SUKI, USTAZ MUSTAFAR (5 Julai 2019). "Makmum wajib baca al-Fatihah ketika solat jemaah". Sinar Harian. Dicapai pada 18 Mac 2020.