Masjid Kampung Batu Masjid

Masjid Kampung Batu Masjid merupakan sebuah masjid yang terletak dalam daerah Temoh, Perak.


KAMPONG BATU MASJID, Temoh, Perak dibuka pada 1895 oleh Lebai Tenggam serta beberapa orang pengikutnya. Hutan belantara yang diteroka kira-kira 112 tahun yang silam itu, lama kelamaan telah melebar dan membentuk beberapa penempatan kecil orang-orang Melayu seperti Kg. Tanah Seribu, Kg. Terendam, Kg. Padang, Kg. Jawa, Kg. Baru, Kg. Pasir dan Kg. Hj. Tahir tetapi istimewanya, masih terus ditadbirkan oleh seorang ketua kampung. Batu Masjid mendapat nama daripada sebuah bukit batu yang terletak di hujung Kg tanah Seribu yang bersempadan dengan Keramat tin. Bukit batu itu mempunyai sebuah gua gelap yang menyeramkan. Namun demikian sewaktu dijumpai oleh Lebai Tenggam dan pengikutnya, gua itu mempamerkan keanehannya yang tersendiri kerana acapkali mengeluarkan suara muazin mengalunkan azan setiap kali masuk solat fardu. Menurut cerita lisan, gua itu merupakan tempat tinggal orang bunian. Sebab itulah Pawang Ana; salah seorang pengikut Lebai Tenggam menamakan kawasan tersebut sebagai Kampong Batu Masjid, kekal sehingga sekarang walaupun beberapa penempatan baru muncul tetapi namanya masih berkekalan meskipun kawasan asalnya sudah lama tidak digunakan sebagai perkampungan sebaliknya bertuka menjadi belantara semula. Setelah seratus tahun berlalu, buku ini cuba membongkar sejarah silamnya yang terpendam sekian lama untuk tatapan generasi Lebai Tenggam yang kian “hilang” susur-galur keturunan mereka.

Rujukan : Zabidin Hj Ismail, 2007. Batu Masjid Permata Kami Setelah Seratus Tahun Berlalu.Ipoh: Persatuan Karyawan Perak