Masjid Negara ialah masjid utama di Malaysia, terletak di Kuala Lumpur. Masjid ini dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965. Masjid ini merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan merupakan simbol bagi Malaysia yang baru dibentuk ketika itu. Masjid ini juga boleh menampung seramai 15,000 orang jemaah.

Masjid Negara Malaysia
را‎مسجد نݢا
Info asas
LokasiKuala Lumpur, Malaysia
Koordinat geografi3°8′31″N 101°41′30″E / 3.14194°N 101.69167°E / 3.14194; 101.69167Koordinat: 3°8′31″N 101°41′30″E / 3.14194°N 101.69167°E / 3.14194; 101.69167
AgamaSunnah Waljamaah
Laman webwww.masjidnegara.gov.my
Penerangan seni bina
ArkitekHoward Ashley, Ikmal Hisham Albakri dan Dato Baharuddin Abu Kassim
Disiapkan pada1965
Spesifikasi
Kapasiti15,000
Tinggi menara masjid73 m (240 ka)

Lokasi sunting

Masjid Negara terletak di kawasan strategik Pusat Bandaraya Kuala Lumpur bersebelahan Stesen Keretapi Malaysia, Bangunan Daya Bumi, Pos Besar Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Taman Burung Kuala Lumpur dan berdekatan Taman Tasik Perdana. Kawasan Masjid Negara seluas 13 ekar dan bangunan utamanya memenuhi lebih kurang 3 ekar. Seluruh kawasan masjid di kelilingi sebahagiannya oleh tembok konkrit dan sebahagiannya lagi oleh pagar berhias. Semuanya terdapat tujuh buah pintu masuk. Kemudahan untuk pelancong bukan islam juga disediakan seperti tandas awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang terletak berdekatan pintu masuk khusus pelancong luar dan dalam negara.

Sebelum terbinanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Negara merupakan salah sebuah masjid yang paling moden di Asia Tenggara. Ia terletak di kawasan seluas 13 ekar, bertentangan pula dengan Perhentian Keretapi Kuala Lumpur.

Seni bina sunting

Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh pasukan 3 orang arkitek dari Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan - arkitek Hisham Albakri, Howard Ashley (dari United Kingdom) and Dato Baharuddin Kassim. Mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkannya. Sebelum memulakan kerja merekabentuk Masjid Negara ini, arkitek utamanya, Baharuddin Abu Kassim mengkaji masjid-masjid di India, Pakistan, Iran, Turki, Arab Saudi, Republik Arab Bersatu dan Sepanyol.

Sekali pandang, menaranya berukuran 73 meter (245 kaki) tinggi kelihatan seperti sebuah roket. Bentuknya seperti sekaki payung yang kuncup manakala bumbung konkritnya berbentuk bintang 18 bucu kelihatan seperti sekaki payung yang kembang. Bentuk menara dan bumbung beropol yang ada pada Masjid Negara melambangkan kesetiaan. Konsep ini dipadankan kepada rupa payung Diraja. Menara ini berbentuk gambar payung yang terkuncup manakala bumbungnya berupa seperti sebuah payung yang terbuka.

Bentuk berlipat atap konkrit utama merupakan penyelesaian kreatif bagi mencapai ruang yang besar bagi dewan sembahyang. Bangunan berharga RM10 juta ini meliputi kawasan seluas lima ekar. Ia mengandungi sebuah dewan sembahyang seluas 22,500 kaki persegi, dewan persidangan, permakaman, perpustakaan, pejabat, halaman, menara, bilik diraja dan sebuah bilik imam. Permakaman untuk tujuh pahlawan negara terletak di bahagian barat. Turut disediakan ialah bilik radio dan televisyen berhawa dingin yang terletak di galeri dewan sembahyang.

Rekabentuknya selaras dengan rekabentuk bangunan zaman moden tetapi senibina Abbasiyah/Turki Usmaniah masih dikekalkan. Rupa bentuk masjid ini terhasil dari campuran corak keislaman dan moden serta bersulamkan senibina tempatan.

Bentuk ukiran jerjak besi yang mengelilingi bangunan ini dan dom-dom kecil yang berada di sebelah atas beranda adalah berasaskan rekabentuk Sarasin, tetapi ia disesuaikan dengan rekaan moden.

Menara sunting

Di tengah-tengah kolam di Masjid Negara ini berdiri tegak sebuah menara masjid. Ia digunakan untuk mengumandang azan setiap kali waktu sembahyang. Menara ini berketinggian 235 kaki daripada lantai ke hujung lambang bulan bintang.

Dalam bangunan menara ini disediakan sebuah lif untuk naik ke pentas menara. Pentas ini tingginya 140 kaki daripada tanah. Ada juga sebuah anak tangga berpilin disediakan di sebelah lif itu. Dua dinding menara yang saling bersetentangan masing-masing bertampal dengan papak batu kapur dan terazzo serta dua dinding yang masing-masing bersetentangan itu lagi berhias dengan kekisi terazzo.

Puncak-puncak menara masjid dikemaskan dengan mozek kaca putih. Gerabak lif disediakan dalam menara. Gerabak lif ada tingkap kaca untuk membolehkan penumpang dalam lif itu melihat bandar Kuala Lumpur. Menara itu diterangi oleh lampu berjalur, menjadikannya kelihatan menarik sekali pada waktu malam.

Terdapat tiga buah pintu besar dan sebuah pintu khas bagi kegunaan diraja. Di tingkat bawah ruang depan terdapat beberapa buah bilik untuk berwuduk, bilik mandi, tempat menyimpan kasut dan bilik berehat bagi mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur. Sebelum sampai ke dewan sembahyang di tingkat pertama terdapat sebuah halaman besar. Di bahagian tengah halaman ini terdapat 48 kaki payung konkrit manakala di rusuknya pula terdapat kolam-kolam beserta beberapa buah pancuran bagi menyejukkan keadaan sekeliling.

Dewan sembahyang itu bertembok konkrit tetulang dan dilekapkan dengan batu marmar Itali. Terdapat sembilan buah pintu lorot aluminium di sepanjang tiga bahagian tembok berkenaan. Beberapa potong ayat al-Quran ditulis melintangi tembok di atas pintu bahagian dalam dewan sembahyang itu. Tulisan berukuran dua kaki tinggi diadun dengan mozek keemasan dan kebiruan yang berkilat. Bumbungnya yang beropol itu menyinarkan cahaya merah mawar, disulami pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri. Bumbung konkritnya berbentuk payung kembang dan dihiasi dengan mozek kaca dan emas putih.

Bumbung yang berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 buah batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki. Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir dengan ayat al-Quran – seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul,Turki. Dahulu bentuk mihrabnya berbentuk bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat-ayat al-Quran dalam seni khat Morocco. Muka tembok yang mengelilingi mihrab ini diubah suai mengikut seni bina Morocco. Mimbar, tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar yang berbentuk seperti beranda ini dibina daripada kayu.

Menganjung dari keempat-empat bahagian tembok itu pula terletak sebuah galeri untuk kaum wanita dan para pelawat yang ingin melihat bahagian dalam dewan sembahyang tersebut. Bahagian dalam galeri itu dihiasi oleh kekisi yang awan laratnya jelas menunjukkan kebudayaan Islam dan menyerupai pula awan larat yang terdapat di Masjid Taj Mahal dan Patehphur Sikri di India. Bahagian luarnya diturap dengan kekisi terrazzo. Kesembilan-sembilan buah pintu dan kekisi galeri membawa cahaya matahari ke dalam dewan sembahyang itu di samping lampu-lampu berhias, lampu-lampu tersembunyi di roset aluminium di bumbung serta 16 buah tepak lampu (chandelier) kurniaan raja-raja, gabenor-gabenor dan bekas Gabenor Singapura.

Dewan sembahyang itu dapat memuatkan 3,000 jemaah dan berupaya menampung 5,000 orang lagi di beranda yang terdapat di ketiga-tiga rusuk bahagian dewan itu. Beranda itu terlindung dari luar oleh tirai kekisi dari aluminium dengan terawangnya berawan larat Islam asli. Lantainya dibina daripada kepingan terrazo manakala bumbungnya pula dibina daripada konkrit serta mempunyai beberapa kubah kubah kecil yang dibina daripada mozek biru. Di sebelah barat komplek itu terdapat dewan persidangan. Perkara yang menarik ialah bumbung konkritnya yang berombak-ombak. Dewan ini bertiraikan kekisi terrazo di luarnya. Dewan yang berhawa dingin ini dapat memuatkan 500 orang wakil persidangan keagamaan. Di sini juga terdapat sebuah perpustakaan.

Hasrat untuk membina masjid ini timbul sebulan sebelum hari kemerdekaan. Sebuah majlis yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Kerja Persekutuan memutuskan untuk mendirikan sebuah masjid sebagai tanda penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, terhadap jasa-jasanya kepada rakyat. Selepas mencapai kemerdekaan, Majlis Raja-Raja memperkenankan projek tersebut. Bagaimanapun, Tunku tidak mahu masjid dinamakan sempena namanya, tetapi sebaliknya mencadangkan ia dinamakan “Masjid Negara”.

Pada tahun 1987 Masjid Negara diubahsuai dengan menyeluruh, dan atap yang dahulunya kusam kini bergemerlapan dengan jubin hijau dan biru. Hari ini Masjid Negara berdiri megah dan bergaya dikaki langit Kuala Lumpur. Laluan bawah tanah menyambungkan National Mosque dengan Stesyen Kerata Api, sepanjang Jalan Sultan Hishamuddin. Berhampiran dengan masjid terdapat Makam Pahlawan, tempat pengkebumian beberapa ahli politik Malaysia. Makam Pahlawan turut memiliki struktur atap konkrit bintang bucu 7.

Senarai Imam Besar Masjid Negara sunting

Senarai Imam Besar Masjid Negara[1]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting

Koordinat: 3°8′31″N 101°41′30″E / 3.14194°N 101.69167°E / 3.14194; 101.69167{{#coordinates:}}: tidak boleh ada lebih daripada satu teg utama sehalaman