Mazhab Quanzhen (Cina tradisional: 全真教; Cina Ringkas: 全真教; pinyin: quán zhēn jiào) ialah sebuah taifah Taoisme yang ditubuhkan oleh Wang Chongyang, seorang pendeta Taoisme, pada sekitar 1170 semasa pemerintahan Dinasti Jin (1115-1234) oleh orang Jurchen di China.

Aksara Cina Tao atau Dao ("Laluan").

Sewaktu orang Mongol menakluki China Utara (Dinasti Song) pada tahun 1254, pengikut-pengikut Quanzhen merupakan kumpulan yang paling berusaha untuk memeliharakan ketenteraman, dan oleh itu, dapat menyelamatkan banyak orang, khususnya mereka daripada keturunan Cina Han. Cabang Taoisme ini sering disebut dalam novel-novel Jinyong yang popular.

Prinsip asas sunting

Makna Quanzhen boleh diterjemahkan secara harfiah sebagai "Semua yang Benar" dan oleh sebab itu, mazhab ini sering dipanggil "Agama Semua Yang Benar" atau "Laluan Kesempurnaan dan Kebenaran." Dalam beberapa teks, mazhab itu dirujuk sebagai "Laluan Yang Benar-benar Sempurna."

Dengan asas Taoisme yang kukuh, Mazhab Quanzhen mengkhususkan bidang "alkimia di dalam badan" manusia yang juga digelarkan sebagai Qigong. Qi merujuk kepada tenaga yang menghidupkan badan, manakala gong membawa maksud "kerja" atau "teknik". Qigong, sebagai cabang seni silat, menumpukan kepada perkara dalaman berbanding luar. Oleh itu, Quanzhen lebih merupakan pemupukan dalaman seseorang yang selaras dengan wu wei, atau Seni Wu Wei, satu aspek kepercayaan Tao yang utama. Pada dasarnya, wu wei bermaksud "tindakan tanpa bertindak."

Sebagaimana dengan kebanyakan pengikut-pengikut Taoisme, pendeta-pendeta Quanzhen lebih mengutamakan kelanjutan usia melalui alkimia dan herba, bersama-sama dengan aspek-aspek kearifan Tao, Lima Unsur, dan imbangan Yin-Yang.

Sejarah sunting

Menurut legenda tradisional, Wang Chongyang (dilahirkan Wang Zhongfu) bertemu dengan dua dewa Taoisme pada musim panas 1159. Kedua-dua dewa itu, Zhongli Quan dan Lu Dongbin, mengajarnya Taoisme dan melatihnya dalam upacara amal rahsia. Pada tahun berikutnya, iaitu 1160, Wang bertemu sekali lagi dengan salah satu daripada dewa itu. Dalam pertemuan kedua ini, beliau diberikan satu set karya yang terdiri daripada lima arahan bertulis. Disebabkan penerimaan karya itu, Wang memutuskan untuk hidup bersendirian selama tiga tahun di dalam sebuah kubur yang beliau telah membinakan untuk dirinya di Gunung Zhongnan.

Selepas tujuh tahun hidup di Gunung (tiga tahun di dalam kubur, dan lagi empat tahun di sebuah pondok yang beliau kemudiannya menggelarkan "Pondok yang Benar-benar Sempurna"), Wang bertemu dengan Tang Chudauan dan Qiu Chuji, salah dua daripada tujuh orang yang kemudian menjadi pengikutnya. Pada tahun 1167, Wang membuat perjalanan ke Wilayah Shandong dan menjumpai Yu Mak dan isterinya, Sun Bu'er, yang merupakan lagi dua daripada tujuh pengikutnya. Ketujuh-tujuh pengikut Quanzhen kemudian dikenali sebagai "Tujuh Mahaguru Quanzhen".

Selepas kematian Wang, pengikut-pengikutnya meneruskan khutbah ajaran Quanzhen. Ma Yu mewarisi Wang sebagai ketua Taifah Quanzhen, manakala Sun Bu'er menubuhkan Taifah Kesucian dan Kesentosaan, salah satu cabang Quanzhen yang terutama. Qiu Chuji merupakan lagi satu pengikut Wang yang terkemuka dan yang mengasaskan Biara Awan Putih yang terkenal di Beijing. Disebabkan persahabatan Qiu yang rapat dengan Genghis Khan, beliau ditugaskan untuk bertanggungjawab kepada semua agama di China. Oleh itu, Mazhab Quanzhen Taoisme terus berkembang selepas kematian Wang sehingga hari ini.

Budaya popular sunting

Menurut karya Jinyong, khususnya Legenda Wira-wira Kondor dan Kepulangan Wira-wira Kondor, Quanzhen merupakan sebuah sekolah seni silat yang diasaskan oleh Wang Chongyang selepas ditewaskan oleh Lin Chaoying dalam suatu pertarungan berpedang.

Bagaimana mazhab ini diasaskan sunting

Wang, sebagaimana yang digambarkan oleh Jinyong, adalah seorang setia negarawan Dinasti Song, China, yang membantu penduduk-penduduk untuk menentang serangan Jurchen. Wang gagal dalam percubaan itu, dan oleh itu, berundur ke Gunung Zhongnan untuk bertakafur di sebuah makam kuno.

Kemudian, Lin Chaoying, seorang pesaing wanita dalam seni silat, mencabar Wang untuk satu pertaruhan berpedang. Lin mengatakan bahawa jikalau Wang kalah, beliau harus menyerahkan makamnya kepada Lin, ataupun menjadi pendeta Taoisme atau pendeta Buddhisme sebagai ganti. Lin menang dalam pertaruhan itu, dan oleh itu, Wang memilih menjadi pendeta Taoisme dan membina sebuat pondok dekat makam itu. Makam itu kemudian menjadi "Istana Keramat Chongyang".

Sokongan orang ramai sunting

Selain daripada cerita tentang bagaimana Wang mengasaskan Taliah Quanzhen, Jinyong tidak membuat penyimpangan yang besar daripada legenda tradisi atau fakta yang sebenarnya. Sebagaimana dengan Mazhab Quanzhen yang benar, Quanzhen dalam karya-karya Jinyong mengutamakan kajian Taoisme berbanding seni silat. Dalam tempoh beberapa dekad, Quanzhen mencapai sokongan yang kuat, bukan sahaja dalam dunia seni silat (Jiang Hu), tetapi juga daripada kalangan orang ramai. Pengikut-pengikut Wang Chongyang, (digelarkan "Tujuh Orang Tua-Tua", diperdewakan, dan merupakan sekutu akrab untuk Cina Han sewaktu pendudukan wilayah-wilayah utara oleh Jurchen dan kemudiannya, oleh orang Mongolia.