Melayu Cape

Kumpulan etnik di Afrika Selatan

Masyarakat Melayu Cape ialah sebuah kumpulan etnik atau masyarakat di Afrika Selatan. Ia mengambil namanya dari Cape Barat (Tanjung Barat) di Afrika Selatan dan orangnya berasal dari Nusantara; kebanyakannya orang Melayu dari Melaka dan orang Bugis dan Makassar dari Gowa sejak zaman penjajah Belanda. Ahli-ahli masyarakat ialah pejuang yang ditawan atau hamba kepulauan Nusantara yang dihantar ke Afrika oleh Syarikat Hindia Timur Belanda.[1] Mereka disusuli penentang politik dan pemimpin keagamaan Islam yang membantah kehadiran Belanda di pelbagai kepulauan Indonesia dan dibuang negeri. Bermula pada tahun 1654, penentang-penentang ini dipenjara atau dibuang negara ke Afrika Selatan oleh Syarikat Hindia Timur Belanda, yang menemu dan menggunakan apa yang kini menjadi Cape Town sebagai stesen bekalan semula bagi kapal-kapal yang mengembara di antara Eropah dan Asia. Ahli mayarakat Melayu Cape adalah kumpulan pertama yang memperkenalkan dan mendakwahkan syiar agama Islam di Afrika Selatan.

Melayu Cape
Kaapse Maleiers
Cape Malays
Cape Muslims
Jumlah penduduk
1 Juta-2 Juta
Kawasan ramai penduduk
 Afrika Selatan
Cape Barat, Johannesburg, Gauteng
Bahasa
Kini: Bahasa Afrikaans, Inggeris Afrika Selatan, Bahasa Melayu
Terdahulunya: Melayu, Belanda, Bugis, Makassar dan lain-lain.
Agama
Majoriti: Islam
Kumpulan etnik berkaitan
Makassar, Melayu, India, Afrika, Malagasi, Belanda Cape, Belanda, Cape Coloureds, Bugis

Istilah sunting

Identiti Melayu Cape dapat dianggap produk suatu set sejarah dan masyarakat selain suatu takrifan sebagai sebuah kumpulan etnik. Oleh sebab ramai orang Melayu Cape lebih menekankan keislaman mereka daripada asal-usul "Melayu" mereka, dalam satu keadaan mereka diperikan sebagai "Melayu Cape", dan dalam keadaan lain mereka dikenali sebagai orang "Muslim Cape" oleh orang di dalam dan di luar masyarakat tersebut.

Semenjak tahun 1970-an sehingga ke hari ini, sesetengah ahli masyarakat ini – khususnya mereka yang mempunyai perhubungan dan kesetiaan pada gerakan pembebasan lebih luas di Afrika Selatan – telah ditakrif sebagai "hitam" dari segi Gerakan Kesedaran Orang Hitam. Pengenalan "Melayu Cape" telah juga menjadi suatu subkategori daripada kategori Coloured (orang kulit berwarna, berbanding kulit putih), dalam istilah klasifikasi kerajaan zaman aparteid perkauman. Seperti ramai penduduk Afrika Selatan, orang yang digelar dalam sesetengah keadaan sebagai "Melayu Cape" sering berketurunan daripada orang yang datang dari banyak benua dan agama.

Budaya sunting

 
Koir Melayu di District Six (Daerah/Kampung Enam)
 
Pertandingan Koir Melayu

Pengasas masyarakat inilah yang mula-mula membawa Islam ke Afrika Selatan. Budaya dan tradisi masyarakat ini juga meninggalkan kesan yang dapat dirasai hingga ke hari ini. Penyesuaian makanan tradisional seperti bredie, bobotie, sosatie dan koeksister sering dijumpai di dalam banyak rumah kediaman Afrika Selatan. Masyarakat Muslim di Cape Town besar dan bertenaga, dan sudah berkembang lebih daripada para orang buangan yang membina masjid-masjid pertama di Afrika Selatan.

Ahli masyarakat Melayu Cape lazimnya bertutur dalam bahasa Afrikaans dan juga bahas Inggeris, ataupun dialek kedua-dua bahasa tersebut. Hanya sedikit yang masih mampu bertutur dalam bahasa nenek moyang mereka, iakni bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Bugis, akan tetapi beberapa perkataan dan frasa bahasa Melayu masih kekal dalam bahasa harian.

Kumpulan budaya ini telah menimbulkan muzik baharu, "Melayu Cape" yang mempunyai ciri tersendiri. Satu jenis lagu rakyat sekular, yang berasal-usul Belanda, disebut nederlandslied. Bahasa dan gaya muzik genre ini mencerminkan sejarah keabdian di Afrika Selatan; ia sering diperi dan dirasa sebagai "sedih" dan penuh "emosi" dalam kandungan dan konteksnya. Persembahan-persembahan nederlandslied menunjukkan pengaruh gaya nyanyian Arabesque(kearaban). Gaya ini unik pada Afrika Selatan dan mungkin di dunia.[perlu rujukan]

Muzik Melayu Cape menarik minat para ahli akademik, sejarawan, ahli muzikologi, penulis, malah ahli politik juga. Pesta tahunan Cape Town Minstrel atau pesta jalanan Karnival ialah sebuah acara budaya yang berakar umbi budaya Melayu Cape. Ia memuatkan lagu jenaka atau moppie (sering kali dipanggil lagu-lagu ghoema) Melayu Cape. Gendang berbentuk tahang ataupun tong yang dipanggil "ghoema" berkait rapat dengan muzik Melayu Cape.

Penduduk dan Kedudukan sunting

Dianggarkan terdapat 166,000 orang di Cape Town yang bangga dengan identiti mereka sebagai Melayu Cape, dan lebih kurang 10,000 orang di Johannesburg. Daerah Melayu yang menawan hati di bandar Cape Town terletak di Signal Hill (Bukit Semboyan), dan digelar Bo-Kaap. Diperkirakan seramai 1-2 juta ras kulit berwarna di Afrika Selatan yang mempunyai darah melayu.

Ramai orang Melayu Cape Many juga tinggal di District Six (Daerah Enam) sebelum kampung itu diruntuhkan; selepas kemusnahannya mereka berpindah ke apa yang digelar bandar-bandar Berwarna di kawasan Cape Flats. Masjid Claremont Road, yang sering dikunjungi orang Muslim Cape, merupakan sebuah pusat penting pergerakan anti-aparteid. Sarjana Islam. Farid Esack datang dari masyarakat ini.

Perhubungan antarabangsa sunting

Perhubungan antara orang Malaysia dan Afrika Selatan pulih apabila Afrika Selatan menyertai masyarakat antarabangsa semula selepas penghapusan sistem aparteid. Kemasukan semula Afrika Selatan dialu-alukan oleh kerajaan Malaysia dan juga beberapa kerajaan Asia Tenggara lain. Pertubuhan bukan kerajaan, seperti Gapena juga menjalinkan perhubungan dengan masyarakat diaspora Melayu Cape. Beberapa derma juga turut membuka pelajaran mengenai bahasa Melayu bagi memartabatkan semula budaya yang telah pudar.[2]

Rujukan sunting

  1. ^ Theal, George McCall (1894). South Africa (dalam bahasa Sout). New York: G.P. Putman's Sons. m/s. 35. Dicapai pada 12 Disember 2009.CS1 maint: unrecognized language (link)
  2. ^ "Gapena and the Cape Malays: Initiating Connections, Constructing Images Penerbit UKM" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 29 November 2016. Dicapai pada 28 Januari 2013.

Pautan luar sunting