Melwood ialah pusat latihan untuk kelab bola sepak Liverpool F.C.. Melwood terletak di West Derby, Liverpool digunakan secara berasingan daripada Akademi Bola Sepak Liverpool, yang terletak di Kirkby. Melwood telah menjadi pusat latihan untuk pemain-pemain Liverpool sejak tahun 1950-an lagi.

Asal usul sunting

Tapak pusat latihan ini pada asalnya milik sebuah sekolah, St Francis Xavier. Kawasan tersebut digunakan sebagai padang permainan untuk sekolah tersebut. Dua orang pengajar di sekolah tersebut, Father Melling dan Father Woodlock menghabiskan masa setiap petang mengajar kanak-kanak tempatan cara bermain bola sepak. Sebagai mengenang jasa mereka, pihak berkuasa tempatan bersetuju menamakan kawasan tersebut sebagai Melwood, iaitu gabungan nama kedua orang pengajar berkenaan.

Keadaan Melwood begitu usang dalam tahun 1959, dan Bill shankly kemudiannya menukarkan Melwood menjadi satu pusat latihan yang moden yang serba lengkap. Shankly memperkenalkan permainan bola sepak 5 sebelah yang mencerminkan falsafah hantar dan gerak (“Pass And Move”) beliau di kalangan pemain-pemain Liverpool. Shankly mahukan permainan Liverpool mudah dan berkesan.

Pemain-pemain akan berkumpul di Anfield sebelum dibawa dengan bas ke Melwood untuk sesi-sesi latihan mereka. Selepas tamat latihan, mereka akan dibawa semula ke Anfield untuk mandi dan makan ringan. Dengan cara ini Shankly dapat memastikan pemain-pemainnya dapat memanaskan badan dengan cara betul dan dengan cara ini menghindarkan kecederaan. Hasilnya dalam musim 1965-66, Liverpool menjadi juara Liga dengan menggunakan hanya 14 orang pemain sahaja, dan daripada itu, 2 orang pemain hanya dapat bermain dalam beberapa permainan sahaja.

Kemudahan kini sunting

Pada bulan Januari 2001, Liverpool memulakan pembinaan Pavilion Millennium, satu kemudahan moden untuk pemain dan jurulatih. Kemudahan ini diilhamkan dan direka oleh pengurus Liverpool ketika itu, Gérard Houllier. Latihan bermula awal pagi dan pemain biasanya tiba sebelum jam 9.00 pagi. Sesi latihan disambung di sebelah petang.

Melwood dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh sebuah pasukan bola sepak yang terkemuka. Kemudahan yang disediakan adalah antara yang terbaik di kalangan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris.

  • Bilik Akhbar Dan Bilik Mesyuarat
    Bilik ini digunakan untuk membolehkan sidang akhbar diberikan oleh pengurus dan pemain Liverpool. Bilik ini juga digunakan oleh kakitangan dan pemain untuk mengadakan perbincangan dan mesyuarat untuk persediaan sebelum permainan.
  • Bilik persalinan
  • Kolam Rawatan
  • Bilik Rawatan
    Di sini juga terdapat sebuah mesin pengimbas untuk membolehkan doktor dan pakar fisiologi mengimbas kecederaan otot dan sendi pemain-pemain untuk membolehkan mereka mengambil keputusan mengenai tindakan rawatan lanjutan.
  • Padang Permainan Sinthetik
  • Padang-Padang Latihan
    Di sini terdapat beberapa padang yang digunakan untuk mengadakan latihan-latihan pemain. Padang-padang latihan ini boleh digunakan dalam pelbagai cuaca.
  • Gimnasium
    Setiap pemain diberikan kad kunci yang menyimpan maklumat peribadi mereka. Di dalam kad ini disimpankan rekod kecergasan pemain dan membolehkan pakar fisiologi meneliti sama ada pemain yang menjalani rawatan mengikuti latihan fisiologi seperti mana yang ditetapkan.
    Kemudahan bilik hipoksik juga disediakan untuk program rawatan pemain dan membolehkan proses pemulihan dipercepatkan berbanding dengan kaedah tradisional dengan cara menyimulasi latihan di tanah tinggi (training at altitude).
  • Kemudahan rekreasi
  • Restoran
  • Kawasan untuk pemain menandatangani autograf
  • Bilik jurulatih dan bilik perbincangan taktik

Alamat sunting

Alamat pusat latihan Liverpool FC di Melwood adalah:

Liverpool FC Training Ground,
Melwood Drive,
West Derby,
Liverpool L12 8SV

Pautan luar sunting