Mangga

buah
(Dilencongkan daripada Mempelam)

Mangga (Jawi: مڠݢ), pauh (Jawi: ڤاءوه‎) atau mempelam (Jawi: ممڤلم‎) merupakan buah dihasilkan pokok-pokok tropika dalam genus Mangifera famili Anacardiaceae. Tiada orang yang tahu dengan tepat tentang tempat asalnya, tetapi kebanyakan kajian setuju bahawa pokok ini berasal dari benua Asia Selatan dan Asia Tenggara, termasuk India timur laut, Myanmar, dan Bangladesh, selepas rekod-rekod fosil yang wujud sejak 25 hingga 30 juta tahun dahulu telah ditemui di sana. Pokok yang menghasilkan buah ini berbatang tegak dengan bunganya malai, buahnya yang bulat panjang pendek dan pelbagai warna isi buah dan rasa dihidangkan sama ada terus dimakan atau diterapkan dalam masakan sebagai rojak, manisan, selai dan sebagainya.[1] Hari Mangga Nasional jatuh pada 22 Julai. Ia disambut pada hari yang sama setiap tahun dan merupakan hari penggemar mangga meraikan kesukaan mereka terhadap buah serba guna ini. Terdapat dua kultivar keturunan mangga yang terhasil, satu dari India dan satu lagi dari Filipina dan Asia Tenggara:[2][3]

  • Pokok-pokok keturunan India tidak tahan kelembapan, dan mempunyai tumbuhan baru berwarna merah terang yang tidak dapat menahan kulapuk. Pokok-pokok ini menghasilkan buah monoembrio berwarna kemerah-merahan yang mempunyai bentuk biasa.
  • Pokok-pokok keturunan Asia Tenggara dapat menahan kelembapan yang berterlaluan, dan mempunyai tumbuhan baru berwarna hijau pucat atau merah yang dapat menahan kulapak. Buah poliembrionya berwarna hijau pucat dan mempunyai bentuk ginjal panjang.[4]
Sebiji buah mangga
Pokok buah mangga yang berbunga.
Bunga buah mangga.

Rujukan kepada buah mangga sebagai "makanan dewa-dewi" boleh didapati dalam kitab-kitab Veda Hindu.

Peristilahan

sunting

"Mangga", "pauh" dan "mempelam" pada asasnya merujuk kepada spesies dan genus sejenis buah ini yang sama, Mangiferus indica,[5] dari banyak akar:[6]

  • pauh merupakan perkataan asli Melayu untuk buah ini turunan akar *pahuq,
  • mempelam menyerap dari Tamil: மாம்பழம், rumi: mampaḻam gabungan மாம் mam "pauh" dan பழம் paḻam "buah"
  • mangga menyerap dari bahasa sama iaitu மாங்காய் māṅkāy khusus bermaksud "pauh muda/belum masak"[7] melalui bahasa Portugis.

Kedua-dua perkataan pauh dan mempelam wujud dalam bahasa Melayu Klasik sementara mangga diamati hanya wujud pada abad ke-17 atau 18.[6]

Ciri fizikal

sunting

Pokok Buah Mangga adalah pokok besar yang mencapai 35-40 meter (115-131 kaki) tingginya, dengan jejari silasinya sebanyak 10 meter (33 kaki). Ciri-ciri fizikalnya adalah seperti berikut:

  • Daun: Malar hijau, berselang-seli, dan mempunyai bentuk mudah, dengan panjangnya sebanyak 15-35 sentimeter dan lebarnya 6-16 sentimeter. Ketika muda, warnanya jambu merah-jingga, tetapi berubah dengan cepatnya menjadi merah tua berkilat, dan kemudiannya hijau tua ketika matang.
  • Bunga: Berbentuk bulir hujung, dengan panjangnya sebanyak 1-040 sentimeter. Saiz setiap bunga kecil sahaja dan berwarna putih, dengan lima kelopak sehingga 5-10 milimeter panjangnya. Bau bunga ini sedikit harum seakan-akan bau bunga lili. Selepas kelopak bunga luruh, buahnya memakan masa 3-6 bulan untuk masak.
  • Buah: Merupakan pepauh. Apabila masak, buah ini terjuntai-juntai dari dahan dengan tangkai yang panjang. Saiznya berbeza-beza antara 10-25 sentimeter panjangnya, dan 7-12 sentimeter diameternya. Beratnya sehingga 2.5 kilogram. Warna buah yang masak berbeza-beza antara warna kuning, jingga, atau merah pada sebelah yang menghadapi matahari, dan warna kuning pada sebelah yang teduh. Warna hijau biasanya menunjukkan bahawa buah itu masih belum masak, tetapi ini bergantung kepada kultivarnya. Apabila masak, buah ini memberi bau macam damar yang sedikit wangi.
  • Biji: Satu biji tunggal yang leper, dan berbentuk empat segi panjang, dengan saiz 4-7 sentimeter panjang, 3-4 sentimeter lebar, dan 1 sentimeter tebal. Bergantung kepada kultivarnya, biji ini berserabut atau licin pada permukaannya. Tebal kulit biji sebanyak 1-2 milimeter dan di bawah kulit ini, terdapat satu lapisan nipis bak kertas yang melitupi biji tersebut.

Penanaman

sunting

Mangga kini ditanam dengan meluas sebagai pokok buah di kawasan-kawasan tropika dan subtropika yang bebas daripada fros, yaitu di seluruh benua India, [[Amerika , Tengah serta Selatan, Caribbean, Afrika tengah serta selatan, Australia, dan Asia Tenggara. Pokok ini mudah ditanam, dan kini terdapat melebihi 1,000 kultivar yang berbeza-beza dari buah mangga turpentin (namanya berasal daripada rasa turpentinnya dan menurut Buku Panduan Makanan Oxford, sebilangan jenis benar-benar mengandungi bahan kimia ini) hingga ke huevos de toro testikel buah pelir]] kerbau"; namanya mendasarkan bentuk dan saiznya).

Buah mangga dikatakan merupakan buah segar yang paling banyak dimakan di seluruh dunia. Walaupun demikian, petani-petani buah mangga hanya menerima harga yang rendah untuk hasil mereka. Disebabkan ini, buah mangga telah menjadi satu barang 'perdagangan saksama' di sebilangan negara.

Mangga juga menyesuaikan diri dengan mudah dalam iklim-iklim tropika. Sesetengah hutan tanah pamah di Kepulauan Hawaii didominasi oleh pokok-pokok buah mangga yang dibawa masuk, dan pokok ini merupakan pokok buah yang biasa ditanam di kawasan belakang rumah di Florida Selatan (pokok ini tidak ditanam secara besar-besaran di Florida).

Khasiat

sunting

Isi buah mangga yang masak mengandungi lebih kurang 15% gula, sehingga 1% protein, dan agak banyak vitamin A, B dan C. Rasa buah ini amat manis, dengan sesetengah kultivar mempunyai rasa yang sedikit masam. Tekstur isi buah mangga amat berbeza-beza antara kultivar-kultivar yang berlainan; sesetengah buah mempunyai tekstur yang lembut dan benyek seolah-olah buah plum yang terlalu masak, sedangkan yang lain mempunyai isi yang lebih pejal serupa dengan tembikai wangi atau avokado. Isi buah sebilangan kultivar juga boleh mengandungi serabut. Buah mangga mengandungi banyak jus, dan rasa manis serta kandungan air yang tinggi menyebabkan buah ini amat menyegarkan ketika dimakan, walaupun agak leceh dan kotor.

Mangga tergolong dalam famili yang sama dengan pokok ivy beracun dan mengandungi urusyiol, walaupun tidak serupa banyak dengan ivy beracun. Sesetengah orang menghidap penyakit dermatitis ketika menyentuh sap atau kulit buah yang dikupas. Orang-orang yang mengalami tindak balas alergi selepas menyentuh buah mangga biasanya dapat menikmati buah ini jika orang lain mengupas kulit buah ini lebih dahulu. Daun-daun Buah Mangga adalah toksik terhadap lembu.

Buah mangga telah dikatakan melegakan usus-usus dan oleh itu, menyebabkan buah ini mudah dicernakan. Buah ini merupakan buah kebangsaan India dan Pakistan, dan dipercayai dapat membantu menghentikan perdarahan, mengukuhkan jantung, dan memanfaatkan otak. Buah mangga juga merupakan motif yang biasa dalam tekstil-tekstil India, dan dikenali sebagai corak Paisley.

 
Sepohon pokok mangga berbunga mekar di Kerala, India

Galeri

sunting

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ "mangga". Kamus Besar Bahasa Indonesia (ed. 3rd). Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia. 2016.CS1 maint: date and year (link)
  2. ^ Kuhn, David N.; Bally, Ian S. E.; Dillon, Natalie L.; Innes, David; Groh, Amy M.; Rahaman, Jordon; Ophir, Ron; Cohen, Yuval; Sherman, Amir (20 April 2017). "Genetic Map of Mango: A Tool for Mango Breeding". Frontiers in Plant Science. 8: 577. doi:10.3389/fpls.2017.00577. PMC 5397511. PMID 28473837.
  3. ^ Warschefsky, Emily J.; Wettberg, Eric J. B. (Jun 2019). "Population genomic analysis of mango (Mangifera indica) suggests a complex history of domestication". New Phytologist. 222 (4): 2023–2037. doi:10.1111/nph.15731. PMID 30730057.
  4. ^ [1]
  5. ^ Berdasarkan perbandingan di Kamus Dewan edisi ke-4 keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia:
  6. ^ a b Waruno Mahdi (2007). Malay Words and Malay Things: Lexical Souvenirs from an Exotic Archipelago in German Publications Before 1700. Otto Harrassowitz Verlag. m/s. 46–47. ISBN 978-3-447-05492-8.
  7. ^ "மாங்காய்". University of Madras Tamil Lexicon. University of Madras. 2020.

Pautan luar

sunting