Dalam bidang gemologi, merlip, binar, kekatoyanan, atau kesan mata kucing, ialah sejenis kesan pantulan optik yang dapat dilihat dalam beberapa jenis batu permata. Merlip ialah pinjaman "merlip" daripada loghat Perlis[1], "binar" ialah perkataan arkaik yang bermaksud 'bersinar-sinar'[2], manakala kekatoyanan pula daripada Inggeris, "chatoyancy", yang dipinjam daripada Perancis "œil de chat", bermaksud 'mata kucing'. Merlip terjadi akibat struktur serabut dalam permata, seperti dalam baiduri sepah, atau akibat rongga serabut dalam batu, seperti dalam krisoberil.[3][4] Pemendakan yang menyebabkan merlip dalam batu krisoberil ialah mineral rutil, yang wujud akibat titanium dioksida. Mendakan rutil tersusun secara lurus dan menghasilkan kesan mata kucing. Ia difikirkan bahawa kekisi rutil sepadan dengan hanya satu pertiga daripada paksi hablur ortorombus dalam krisoberil tersebut, menghasilkan jajaran yang sehala.

Baiduri sepah
Baiduri sepah
Kaboson kuarza kuning memperlihatkan kesan mata kucing.

Kesan ini boleh disamakan dengan gelendong sutera: Jejalur berkilau mengikut arah serabut. Untuk batu permata menghasilkan kesan ini ia kenalah dipotong secara en cabochon (bulat dengan bawah yang leper dan tidak bersegi), dan serabut pula selari dengan tapak permata. Permata yang terbaik menghasilkan kilauan yang tepat dan lurus apabila permata bergerak. Permata merlip yang tidak setinggi mutunya akan mempunyai kilauan berbeza seperti dalam beberapa jenis baiduri sepah. Permata yang bersegi tidak menyerlahkan merlip dengan elok.

Antara permata-permata yang mempunyai kesan ini ialah kuarza, krisoberil, beril (contoh terbaik: akuamarin), caroit, turmalin, labradorit, selenit, feldspar, apatit, baiduri bulan, thomsonit dan scapolit. Kabel optik kaca juga boleh perlihatkan merlip jika dipotong betul-betul, dan telah menjadi bahan perhiasan yang popular dengan pelbagai warna.[perlu rujukan]

Dalam pertukangan kayu sunting

Merlip juga hadir dalam kayu – terutama sekali kayu keras, tambahan pula di mana tekanan yang terhasil pada pokok yang sedang membesar menyebabkan beberapa bahagian kayu menjadi lebih mampat, atau di mana tekanan menghasilkan pepusar atau bintik mata pipit pada barik kayu. Rupa ‘corak’ ini yang memberi rupa seakan-akan tiga dimensi ini, digemari dan disayangi petukang kayu dan juga pembeli, dan digunakan dalam perabot, alat muzik, dan barangan perhiasan.

Kayu dibasahi dengan air dan merlip akan kekal sehinggalah kayu itu kering. Sesetangah kemasan membuatkan ira kayu itu serlah. Kemasan minyak, epoksi, dan syelek dapat tampilkan merlip dengan elok. Apabila indeks refraktif kemasan hampir sama dengan kayu tersebut, cahaya terselerak selapis di atas permukaan kayu, menghasilkan rupa yang seakan-akan mempunyai lapisan lut sinar dan tiga dimensi.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Kamus Dewan Edisi Keempat, "merlip". (Dicapai 11 April 2019).
  2. ^ Kamus Dewan Edisi Keempat. "binar". (Dicapai 11 April 2019).
  3. ^ Mukherjee, Swapna (2011). Applied mineralogy : applications in industry and environment. Dordrecht: Springer. ISBN 9400711611.
  4. ^ Hancock, Paul L.; Skinner, Brian J., penyunting (2006). "gemstones". The Oxford companion to the earth (ed. 1st). Oxford: Oxford Univ. Press. ISBN 9780198540397.
Rujukan am
  • Webster, R., Jobbins, E. A. (Ed.). (1998). Gemmologist's compendium. St Edmundsbury Press Ltd, Bury St Edwards.
  • Mitchell, T. et al. Proceedings of the Electron Microscopy Society of America (EMSA), 1982.