Mesingan Lewis adalah sejenis senjata automatik kegunaan skuad tentera infantri yang digunakan semasa Perang Dunia I dan Perang Dunia II. Senjata ini digunakan secara meluas oleh Tentera British dan pasukan-pasukan Tentera Empayar British. Mesingan Lewis pertama kali digunakan oleh Tentera Belgium semasa Perang Dunia I. Senjata ini mudah dikenali kerana mempunyai kelopak peluru di atas senjata.

Mesingan Lewis Digunakan Untuk Menembak Kapal Terbang Semasa Perang Dunia I


Latar Belakang sunting

Mesingan Lewis, ataupun nama rasminya Lewis Automatic Machine Rifle dihasilkan oleh Kolonel Isaac Newton Lewis dari Tentera Darat Amerika Syarikat dalam tahun 1911. Lewis menghasilkan senjata ini berdasarkan kepada kerja-kerja awalan oleh Samuel McClean. Mesingan Lewis tidak terus diterima masuk ke dalam perkhidmatan tentera Amerika Syarikat disebabkan oleh perselisihan faham di kalangan pegawai-pegawai pemilihan tentera.

Senjata ini boleh menembak 550 butir peluru .303 inci (7.52mm) setiap minit, tetapi hanya mempunyai berat 12.7 kg ataupun 28lb. ini adalah separuh daripada berat senjata-senjata lain yang serupa dengannya (seperti mesingan Vickers). Mesingan Lewis juga mempunyai kelebihan kerana boleh dibawa dan digunakan oleh seorang askar sahaja, menjadikannya lebih mudah diangkut berbanding dengan mesingan jenis berat, dan menjadikannya amat sesuai untuk kegunaan dalam skuad tentera.

Mesingan ini juga lebih murah untuk dikeluarkan, dan berharga 1/6 daripada harga sepucuk mesingan Vickers. Mesingan ini hanya mempunyai 62 bahagian kesemuanya, dan 6 pucuk mesingan Lewis boleh dikeluarkan dalam masa yang diperlukan untuk menghasilkan satu pucuk mesingan Vickers. Kelebihan ini menjadikan mesingan Lewis dikeluarkan dengan banyak untuk kegunaan secara meluas di Eropah semasa Perang Dunia I.

Mesingan Lewis ini juga ringan, menjadikannya sesuai untuk kegunaan di dalam kapal terbang. Dalam kegunaan ini, alat penyejuk laras senapang ditanggalkan dan pergerakan kapal terbang melalui angin digunakan untuk menyejukkan laras senapang mesingan ini.

Reka Bentuk sunting

Mesingan Lewis menggunakan operasi gas untuk menggerakkan piston. Sebahagian daripada gas yang terhasil semasa ledakan bahan peletup digunakan untuk menggerakkan mekanisme untuk membuang katrij peluru yang sudah digunakan dan memasukkan katrij baru ke dalam ruang ledakan.

Mesingan Lewis direka menggunakan laras yang dibuat menggunakan salutan aluminium untuk membolehkan udara ditarik masuk ke dalam laras senapang dan menyejukkan mekanisme dalaman, tetapi keberkesanan proses penyejukan ini menjadi bahan perbahasan. Semasa Perang Dunia II, banyak mesingan Lewis yang tidak mempunyai laras salutan aluminium ini digunakan oleh unit-unit anti kapal terbang dalam Pasukan Pengawal Kawasan British (British Home Guard) dan unit-unit pertahanan lapangan terbang didapati dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengalami masalah kehangatan laras senapang. Mesingan Lewis tanpa salutan aluminium ini juga digunakan dengan penuh berkesan atas kenderaan di Gurun Barat Sahara (Western Desert) khususnya oleh pasukan SAS. Hanya pasukan Tentera Laut Diraja sahaja yang menekankan penggunaan tiub salutan aluminium ini untuk kegunaannya, walaupun dalam pemasangan dalam kebekuan di kawasan Artik.

Mesingan Lewis menggunakan dua jenis kelopak peluru – satu jenis kelopak mengandungi 47 butir peluru dan satu jenis lagi boleh mengisi 97 butir peluru – jenis ini direka untuk kegunaan dalam kapal terbang. Kelopak besar ini memerlukan penjagaan yang rumit dan sering menyebabkan senjata terhenti akibat kotoran debu, pasir dan sebagainya. Untuk kegunaan pasukan darat, kelopak mengandungi 48 butir peluru digunakan secara meluas. Meskipun mempunyai beberapa kelemahan reka bentuk, mesingan Lewis ini dianggap boleh digantung harap (reliable) jika dibandingkan dengan beberapa jenis mesingan ringan yang lain.

Penggunaan sunting

Kolonel Lewis merasa hampa cuba memujuk Tentera Amerika Syarikat untuk menggunakan mesingan ringan ciptaannya. Didorong perasaan hampanya, Lewis berhijrah ke Belgium. Tentera Belgium menerima pakai mesingan ciptaan Lewis dalam tahun 1913, tetapi dengan menggunakan peluru .303 British. Tidak lama kemudian, syarikat Birmingham Small Arms Company (BSA) membeli hak pengeluaran mesingan Lewis ini untuk Tentera British.

Perang Dunia I sunting

Pihak British menggunakan senjata ini secara meluas dalam Perang Dunia I mulai tahun 1915. Setiap senjata memerlukan dua orang anggota untuk mengendalikannya – seorang penembak dan seorang pembantu untuk membawa peluru dan mengisi semula kelopak peluru semasa digunakan. Semua anggota di dalam skuad tempur dilatih untuk menggunakan senjata ini untuk membolehkan senjata ini digunakan sekiranya anggota pengendalinya terkorban atau tercedera.

Mesingan Lewis ini juga dipasang pada kereta kebal British Mark IV. Ia juga digunakan untuk melengkapkan kapal terbang Tentera British sebagai senjata pertahanan bagi pemerhati ataupun senjata untuk guner ataupun sebagai senjata sekunder kepada mesingan Vickers.

Dalam tahun 1917, mesingan Lewis ini mula digunakan oleh Tentera Amerika Syarikat secara meluas menggunakan peluru jenis .30-06 tetapi digantikan mulai September 1918 oleh senjata Browning Automatic Rifle

Perang Dunia II sunting

 
Mesingan Lewis Digunakan Oleh pasukan LRDG

Semasa Perang Dunia II, mesingan Lewis banyak digantikan oleh senjata Bren untuk kegunaan infantri, tetapi mesingan Lewis masih digunakan untuk pemasangan di atas kenderaan dan sebagai senjata pertahanan dalam kapal terbang. Walaupun sudah usang, pihak Tentera British menggunakan senjata ini sebagai senjata sokongan dan diedarkan secara meluas kepada Pasukan Pertahanan Kawasan (Home Guard) British .

Senjata ini juga digunakan oleh Leftenan Adnan bin Saidi semasa Pertempuran Bukit Candu untuk menahan kemaraan askar-askar Jepun.

Selepas Perang Dunia II, mesingan ini dikeluarkan daripada perkhidmatan Tentera British dan digantikan sepenuhnya dalam perkhidmatan Tentera British oleh senjata Bren dan kemudiannya oleh LMG.

Filem sunting

Fail:Stormtrooper lewisgun.jpg
Dalam filem Star Wars Storm trooper ini menggunakan senjata T-21

Di dalam filem The Professionals (1966), Lee Marvin dilihat menggunakan mesingan Lewis semasa membuat serangan ke atas kereta api.

Dalam filem High Road to China, mesingan Lewis dilihat digunakan di atas kapal terbang yang diterbangkan oleh O'Malley (lakonan Tom Selleck). Kemudian, apabila salah sebuah daripada kapal terbang tersebut terhempas, dia dilihat mengalihkan mesingan Lewis daripada kapal terbang untuk digunakan menghalang kemaraan pasukan infantri.

Di dalam filem The Sand Pebbles, kapal San Pablo dilengkapkan dengan dua laras mesingan Lewis.

Dalam filem Star Wars, salah seorang Storm trooper yang dihantar ke permukaan planet Tatooine menggunakan mesingan Lewis (dipanggil sebagai senjata T-21). Kelopak peluru di atas senjata tersebut telah dibuang sementara permukaan senjata tersebut diubahkan.

Pengguna sunting

Pautan Luar sunting

Rujukan sunting