Misteri Dilaila
Misteri Dilaila ialah sebuah filem seram ngeri psikologi Malaysia 2019 arahan Syafiq Yusof.[1] Ia mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri dan Dilaila yang bercuti di Bukit Fraser, Pahang, tetapi percutian itu bertukar menjadi satu misteri apabila Dilaila hilang dan Jefri menghubungi polis untuk mengesan isterinya.[2] Filem ini dibintangi oleh Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Rosyam Nor, Namron dan Sasqia Dahuri.[3]
Misteri Dilaila | |
---|---|
Pengarah | Syafiq Yusof |
Penulis | Syafiq Yusof |
Lakon layar | Syafiq Yusof |
Dihasilkan oleh | Yusof Haslam Khairul Anuar Salleh (Penerbit Eksekutif) |
Dibintangi | |
Sinematografi | Indra Che Muda |
Disunting oleh | Syafiq Yusof |
Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Astro Shaw |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan |
|
Negara | Malaysia |
Bahasa | |
Bajet | RM 2.2 juta |
Pecah panggung | RM 9.4 juta |
Filem ini ialah terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw sejak Abang Long Fadil 2 (2017). Penggambaran dijalankan pada Mac 2018 di Bukit Fraser, Pahang dan berakhir pada Mei 2018, filem ini ditayangkan pada 21 Februari 2019.[4] Filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM9.4 juta.[5][6] Misteri Dilaila mencipta sejarah dalam industri filem negara dengan menjadi filem Malaysia pertama dengan dua versi penamat berbeza.[7][8]
Sinopsis
suntingMengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan) bercuti di sebuah banglo mewah milik keluarga Dilaila di Bukit Fraser, Pahang. Pada malam pertama di sana, Jefri diganggu satu kejadian aneh. Keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya hilang. Jefri mendapatkan khidmat Inspektor Azman (Rosyam Nor) untuk mencari isterinya yang hilang. Imam Aziz (Namron), seorang imam di Masjid Bukit Fraser muncul dengan berita gembira memaklumkan Dilaila sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz itu bukan isterinya. Wanita itu mengakui dirinya Dilaila (Sasqia Dahuri). Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi ini?
Pelakon
sunting- Zul Ariffin sebagai Jefri
- Elizabeth Tan sebagai Dilaila (muncul dalam beberapa babak sahaja) kerana wataknya menghilang.
- Sasqia Dahuri sebagai Dilaila II / Farah
- Namron sebagai Imam Aziz
- Rosyam Nor sebagai Inspektor Azman (antagonis utama) (versi kedua)
- Mas Khan sebagai Farid
- Iz Sulaini sebagai Jurugambar
- Kenji Sawahi sebagai Pegawai bank / Detektif Wong
- Nafiez Zaidi sebagai Koperal Kamal
Penerbitan
suntingPembangunan
suntingMisteri Dilaila ialah filem kelapan arahan Syafiq Yusof dan filem ke-41 terbitan Skop Productions. Filem ini juga ialah filem kedua terbitan bersama oleh Skop dan Astro Shaw selepas Abang Long Fadil 2 (2017). Menurut Syafiq, skrip filem ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan, dan beliau banyak mengkaji filem seram dari Eropah dan Korea untuk mendapat idea mengarahkan filem ini.[4][1]
Beliau percaya bahawa tiada filem Malaysia menghasilkan putar belit plot sebegini.[1] Kos pembikinan filem ini menelan belanja sebanyak RM2.2 juta dengan penggambaran dijalankan selama 36 hari, bermula 26 Mac 2018 sehingga 1 Mei 2018 di Bukit Fraser, Pahang dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong. Cabaran yang dihadapi oleh Syafiq dan tenaga kerja Misteri Dilaila ialah cuaca dingin dan kerap hujan, beliau berkata: "Inilah kali pertama saya menjalani penggambaran di kawasan berhawa dingin dan kerap hujan. Mujurlah banyak babak pada waktu malam melibatkan penggambaran dalam banglo.[4]
Skop Productions membelanjakan wang sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai sebuah hospital lama zaman penjajahan untuk dijadikan sebagai banglo. Beliau menggunakan khidmat pereka dalaman untuk melakukan pengubahsuaian. Konsep gaya Inggeris dipilih bagi menambahkan suasana filem seram.[4][9]
Pemilihan pelakon
suntingPemilihan pelakon dibuat oleh Syafiq hasil perbincangan antara Skop Productions dan Astro Shaw.[10] Zul Ariffin dan Elizabeth Tan dipilih menjayakan watak utama dalam filem ini. Menurut Syafiq, watak utama dalam filem ini dicipta khas untuk Zul, "Watak utama itu sangat sesuai dilakonkan Zul dan bukan pelakon lain. Sebelum ini, Zul banyak beraksi dalam cerita cinta dan aksi, kali ini dia cuba genre lain pula,”.[11] Misteri Dilaila ialah filem kedua Zul bersama Skop Productions selepas Evolusi KL Drift 2 (2010). Filem ini juga ialah filem sulung lakonan bekas finalis One in a Million musim kedua, Iz Sulaini.[12] Pelakon lain yang terlibat termasuk Namron, Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Mas Khan, Kenji Sawahi dan Nafiez Zaidi.
Elizabeth yang memegang watak sebagai Dilaila pertama, mengakui bekerja dengan Syafiq, sedikit sebanyak meyakinkan beliau untuk melakukannya.[13][14] Sasqia, yang terkenal dengan peranan lakonan di televisyen, memegang watak sebagai Dilaila kedua, Misteri Dilaila ialah filem ketiga lakonan beliau dan filem sulung lakonannya sebagai pelakon utama.[15] Sasqia berkata mengenai wataknya: "Saya sangat suka dengan peluang ini sebab sudah lama nak buat aksi. Bagi saya, ia sangat menarik dan penuh misteri. Menariknya, saya boleh bermain dengan karakter Dilaila kerana sebelum ini penonton hanya nampak saya berlakon jahat saja. Dalam karakter ini, saya boleh bermain dengan perwatakan psiko, hipokrit dan berpura-pura, semuanya dalam satu,".[13][16]
Keluaran
suntingMisteri Dilaila ditayangkan pada 21 Februari 2019 di 131 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Treler rasmi filem ini telah dilancarkan di saluran YouTube rasmi Astro Shaw dan Syafiq Yusof pada 16 Januari 2019.[17] Filem ini ditayangkan di Indonesia pada 15 Mac 2019, sebulan selepas tayangan perdana rasmi di Malaysia.[18][19] Syafiq tidak meletakkan sasaran kutipan filem arahannya, sebaliknya mahu melihat maklum balas dari penonton di pawagam[20] dan dapat membawa pulangan lumayan buat tenaga kerja.[21]
Sambutan
suntingKutipan
suntingDalam tempoh lima hari selepas tayangan perdana rasmi, Misteri Dilaila berjaya meraih kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM4 juta.[6][22] Sehingga 6 Mac 2019, filem ini mengumpul kutipan pecah panggung sebanyak RM8.8 juta selepas 11 hari tayangan.[23][24]
Ulasan kritis
suntingMisteri Dilaila mendapat ulasan positif dari pengkritik filem. Yuzir Harafi dari Astro Awani memuji skrip dan lakonan filem ini dan berkata: "Secara keseluruhannya, filem ini boleh dimasukkan ke dalam carta ‘Filem Tempatan Wajib Tonton 2019’ kerana nilai dan kualiti filem ini adalah lain daripada yang lain.".[25] Jessica Chua dari Rojak Daily pula berkata: "Secara keseluruhan, saya cadangkan untuk tidak melihat Misteri Dilaila terlalu serius. Jika anda berbuat demikian, anda mungkin tidak menikmati apa yang filem itu cuba menawarkan, yang merupakan hiburan tulen."[26] Shazryn Mohd Faizal dari mStar Online melihat filem ini sebagai eksperimentasi Syafiq yang mempunyai terdapat kelemahan, beliau berkata dalam ulasannya: "pastinya Misteri Dilaila menjadi sebutan ramai kerana pembaharuan yang ditampilkan dalam sinema tempatan dengan memperkenalkan dua versi pengakhiran ceritanya".[27]
Menulis untuk The Sun Daily, Bissme S. berkata: "Diinspirasikan bukan satu jenayah tetapi menafikan di mana anda mendapat inspirasi anda. Ia meninggalkan rasa pahit di mulut penonton apabila tiada kredit diberikan di mana ia perlu."[28] Suka Filem pula menyifatkan versi kedua Misteri Dilaila "mempunyai penamat yang agak abstrak. Penonton perlu perah otak sedikit untuk mencantumkan beberapa misteri di akhir filem ini. Tidak seperti versi pertama, versi kedua ini lebih kepada penamat yang memerlukan diskusi lanjut di kedai kopi selepas penontonan. Apapun, versi ini memang ada kekurangan, namun masih berjaya ditampung".[29]
Dua penamat berbeza
suntingBuat pertama kali dalam sejarah filem Malaysia, ia telah dilaporkan bahawa Misteri Dilaila memiliki dua penamat cerita yang berbeza.[30] Menurut Syafiq, beliau sengaja menghasilkan dua pengakhiran berbeza kerana konsep ini belum pernah dibuat dalam mana-mana filem Malaysia. Beliau dipetik sebagai berkata: "Secara rasminya saya umumkan kepada semua bahawa sememangnya filem ini dibuat khas dengan dua pengakhiran berbeza. Konsep sebegini belum pernah lagi ditampilkan di dalam industri filem Malaysia. Di samping itu, genre misteri thriller menjadi pilihan utama saya untuk muncul dengan konsep ini kerana ia memberi peluang untuk saya mengembangkan jalan cerita dan karakter dengan lebih dramatik dan kreatif."[31] Syafiq menjelaskan bahawa sebab beliau menghasilkan dua penamat ialah "bukan untuk membuat keuntungan" namun bagi menghiburkan penonton.[32][33]
Kontroversi
suntingMisteri Dilaila menjadi subjek kecaman umum apabila filem ini dikaitkan dengan isu penciplakan, tidak lama selepas tayangan perdana rasminya. Hampir 80 peratus jalan cerita dalam filem ini dikatakan memiliki persamaan dengan filem 1986, Vanishing Act arahan David Green lakonan Mike Farrel dan Margot Kidder. Selain itu, satu-satunya perbezaan ialah menggantikan anjing dengan kucing, peminat menyatakan kekecewaan kerana tertipu oleh alur cerita yang sama sekali tidak jelas.[34][35] Menurut Syafiq dalam satu temubual, beliau mendapat inspirasi untuk Misteri Dilaila daripada dua filem Korea Selatan, "Dua filem Korea Selatan ialah inspirasi bagi Misteri Dilaila, mereka adalah The Forgotten dan Challenging. Saya suka menonton filem Korea, terutamanya yang bergenre seram,".[36][37]
Muzik
suntingLagu tema filem ini, "Hidup Semula" dinyanyikan oleh Elizabeth Tan, dicipta oleh Audi Mok dengan lirik ditulis oleh Shazee Ishak dan dikeluarkan pada 21 Februari 2019, serentak dengan tayangan perdana filem ini.[38] Selain itu, lagu Melayu klasik "Rasa Sayang" dinyanyikan oleh Allahyarhamah Seniwati Siput Sarawak juga digunakan sebagai muzik latar.
Tayangan media
suntingMisteri Dilaila dipertontonkan di televisyen buat pertama kalinya di Astro First bermula 25 April 2019. Ia juga ditayangkan di Astro Citra pada 4 Jun 2020.
Rujukan
sunting- ^ a b c Kenneth Chaw (20 Februari 2019). "Director Syafiq Yusof pulls no punches in horror thriller Misteri Dilaila". Star2 (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-02-21. Dicapai pada 21 Februari 2019.
- ^ Bissme S. "Playing mind games". The Sun (Malaysia) (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 14 February 2019.
- ^ Amirul Haswendy Ashari (25 Februari 2019). "Syafiq dah jangka penonton bincang Misteri Dilaila". Harian Metro. Dicapai pada 26 Februari 2019.
- ^ a b c d Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (12 Januari 2019). "Mainan minda Misteri Dilaila". Halaman 10-11. Berita Harian. Dicapai pada 20 Januari 2019 — melalui B*Pop.
- ^ Misteri Dilaila dapat sambutan baik. Astro Awani. 26 Februari 2019. Dicapai pada 27 Februari 2019.
- ^ a b "5 Hari tayangan, Misteri Dilaila kutip RM4 Juta". Sinar Harian. 26 Februari 2019. Dicapai pada 27 Februari 2019.
- ^ Amirul Haswendy Ashari (26 Februari 2019). "Satu filem, dua penamat". Harian Metro. Dicapai pada 27 Februari 2019 – melalui Pressreader.
- ^ Haryani Ismail (6 Mac 2019). "'Misteri Dilaila': 1 filem, 2 versi dapat sambutan". Berita MediaCorp. Dicapai pada 19 Mac 2019.
- ^ Tahir Alhamzah (22 Februari 2019). "#Showbiz: A mystery with shocking twist". New Straits Times. Dicapai pada 23 Januari 2019.
- ^ Budiey (20 Februari 2019). "Malam Gala Misteri Dilaila, penuh misteri dan plot twist". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 21 Januari 2019.
- ^ Ramlah Zainal (20 Januari 2019). "Karya khas buat Zul". Harian Metro. Dicapai pada 20 Januari 2019.
- ^ Aref Omar (7 Disember 2018). "Onstage passion". New Straits Times. Dicapai pada 20 Januari 2019.
- ^ a b Amirul Haswendy Ashari (19 Februari 2019). "Sama-sama teruja". Harian Metro. Dicapai pada 19 Februari 2019.
- ^ Tan Mei Zi (20 Februari 2019). "Elizabeth Tan talks about eerie disturbances on set of new horror film". The Malay Mail. Dicapai pada 21 Februari 2019.
- ^ Zulqarnain Abu Hassan (16 Februari 2019). "Suami tak halang Sasqia". Sinar Harian. Dicapai pada 19 Februari 2019.
- ^ Nurfarhana Mohamed (21 Februari 2019). "Kekal ada itu lebih utama - Sasqia Dahuri". Utusan Malaysia. Dicapai pada 23 Februari 2019.
- ^ Azwa Rahman (18 Januari 2019). "Daripada King Of Plot Twist, Syafiq Yusof - Saksikan Trailer Rasmi Filem 'Misteri Dilaila'". Rojak Daily. Dicapai pada 20 Januari 2019.
- ^ Asyraf Roslan (5 Februari 2019). "Misteri Dilaila ditayangkan di Indonesia". Astro Awani. Dicapai pada 19 Februari 2019.
- ^ Amri Hassan (19 Februari 2019). "Misteri Dilaila bakal masuk pawagam Indonesia, tapi selepas - Yusof Haslam". Gempak. Dicapai pada 21 Februari 2019.
- ^ "Tengok dulu kutipan filem ini nanti: Syafiq Yusof". Sinar Harian. 19 Februari 2019. Dicapai pada 27 Februari 2019.
- ^ Nadia Azam (17 Februari 2019). "Syafiq harap Misteri Dilaila dapat bawa bonus untuk kru". Malaysiakini. Dicapai pada 27 Februari 2019.
- ^ Asyraf Roslan (26 Februari 2019). "Misteri Dilaila pungut RM4 juta selepas lima hari tayangan". Astro Awani. Dicapai pada 6 Mac 2019.
- ^ "Misteri Dilaila kaut RM8.8 juta selepas 11 hari tayangan". Astro Awani. 6 Mac 2019. Dicapai pada 6 Mac 2019.
- ^ "Misteri Dilaila Kaut RM8.8 Juta Selepas 11 Hari Tayangan". Astro Gempak. 6 Mac 2019. Dicapai pada 6 Mac 2019.
- ^ Yuzir Harafi (22 Februari 2019). "Misteri Dilaila: Filem yang sarat dengan 'plot twist'". Astro Awani. Astro Awani Network Sdn. Bhd. Dicapai pada 23 Februari 2019.
- ^ Jessica Chua (21 Februari 2019). "A Non-Horror Fan's Guide To Watching 'Misteri Dilaila'". Rojak Daily. Dicapai pada 23 Februari 2019.
- ^ Shazryn Mohd Faizal (28 Februari 2019). "'Misteri Dilaila' eksperimentasi Syafiq Yusof ada jua kelemahan". mStar Online. Dicapai pada 2 Mac 2019.
- ^ Bissme S. (7 Mac 2019). "Movie review: Misteri Dilaila". The Sun Daily. Dicapai pada 9 Mac 2019.
- ^ Huraian Babak Kemuncak Filem 'Misteri Dilaila' SukaFilem (23 Februari 2019). Dicapai pada 23 Februari 2019.
- ^ "Rupa-rupanya Misteri Dilaila ada dua kesudahan". Astro Awani. 25 Februari 2019. Dicapai pada 26 Februari 2019.
- ^ Syahirah Mokhtazar (25 Februari 2019). "#Showbiz: For the first time, Malaysia boasts a film with two endings". New Straits Times. Dicapai pada 26 Februari 2019.
- ^ "This Is What Makes 'Misteri Dilaila' Different From Other Local Movies". Rojak Daily. 25 Februari 2019. Dicapai pada 26 Februari 2019.
- ^ Samantha Khor (27 Februari 2019). Malaysians Are Mind Blown After Finding Out That There Are 2 Endings For 'Misteri Dilaila' SAYS. Dicapai pada 18 Julai 2019.
- ^ Melanie Chalil (5 Mac 2019). "Horror fans slam 'Misteri Dilaila' for ripping off Hollywood film 'Vanishing Act'". The Malay Mail. Dicapai pada 6 Mac 2019.
- ^ "Netizen hampa Misteri Dilaila dikaitkan isu ciplak". Malaysiakini. 5 Mac 2019. Dicapai pada 6 Mac 2019.
- ^ Dennis Chua (5 Mac 2019). "#Showbiz: Two Korean films inspired 'Misteri Dilaila', says Syafiq". New Straits Times. Dicapai pada 6 Mac 2019.
- ^ Amirul Haswendy Ashari (4 Mac 2019). "Misteri Dilaila Inspirasi dua filem korea". Harian Metro. Dicapai pada 9 Mac 2019.
- ^ "Selepas Semua Sudah, Elizabeth Tan Kini 'Hidup Semula'". XTRA. 22 Februari 2019. Dicapai pada 24 Februari 2019.