Mohamed Noah Omar
Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Mohamed Noah bin Omar, atau Noah Beirut (13 Ogos 1897[1] – 6 September 1991) merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang pertama (1 September 1959 – 29 Februari 1964) dan Yang di-Pertua Dewan Negara yang ketiga (24 Februari 1969 – 28 Julai 1970). Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Parlimentari Komanwel. Selepas bersara, beliau menjadi Pengarah Genting Highlands Sdn Bhd, sebuah pusat perjudian di Gunung Ulu Kali.[2]
Mohamed Noah Omar | |
---|---|
Dalam jawatan 24 Februari 1969 – 28 Julai 1970 | |
Didahului oleh | Syed Sheh Hassan Barakbah |
Digantikan oleh | Abdul Hamid Khan Sakhawat Ali Khan |
Ahli Parlimen Malaysia bagi Johor Bahru Timur, Johor | |
Dalam jawatan 11 September 1959 – 1 March 1964 | |
Didahului oleh | Konstituensi Baharu |
Digantikan oleh | Fatimah Abdul Majid |
Dalam jawatan 1 September 1959 – 29 Februari 1964 | |
Didahului oleh | Jawatan Baharu |
Digantikan oleh | Syed Esa Alwee |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Mohamed Noah bin Orang Kaya Omar 13 Ogos 1897 Bandar Maharani Muar, Johor, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Empayar British |
Mati | 6 September 1991 Kuala Lumpur, Malaysia | (umur 94)
Tempat semadi | Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur |
Parti politik | UMNO |
Pasangan | Puan Sri Maimun Abdul Manaf (k. 1921; m. 1968) Puan Sri Siti Aminah Kusuma (1916–17 Julai 2014) (k. 1980) |
Pertalian | Tan Sri Anwar Abdul Malik (sepupu) Dato' Hussein Mohd Taib (besan) Dato' Onn Jaafar (besan) Tun Abdul Razak (menantu) Dato' Sri Najib Razak (cucu) Tan Sri Nazir Razak (cucu) Dato' Seri Hishammuddin Hussein (cucu) Dato' Mohd Nizar Najib (cicit) Datuk Onn Hafiz Ghazi (cicit) |
Anak | Datin Fakhriah Toh Puan Suhailah Tun Rahah Abu Rais |
Pekerjaan | Bekas Ahli Parlimen |
Beliau menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1959 bagi kawasan Johor Bahru Timur, negeri Johor (1958-1964). Ketika itu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka 31 Ogos 1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat , bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu Sabah dan Sarawak belum menyertai / membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah dari 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi dan pembangkang menang 30 kerusi.
Keluarga
suntingMengikut salasilah, beliau berasal daripada sebuah keluarga yang sejak turun-temurun bergelar "Orang Kaya" yang menjaga dan mentadbir daerah Padang, Muar.
Bapanya, Orang Kaya Omar dan datuknya Orang Kaya Junid merupakan "Orang Kaya" yang terbilang dan berpengaruh pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim (1862-1895). Gelaran "Orang Kaya" dikurniakan kepada seseorang rakyat untuk menjadi wakil Sultan menjaga keamanan dan mentadbir daerahnya.
Datuk beliau, Orang Kaya Junid, berasaI daripada zuriat seorang kerabat Raja Chempa Bugis yang berkerajaan di daerah Bukit Makmur (Bukit Mor), Muar, Johor.
Beliau berkahwin dengan Puan Sri Maimun binti Haji Abdul Manaf (anak Kadi Daerah Muar) pada April 1921. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan dengan 4 orang anak, 3 orang perempuan dan 1 orang lelaki. Anak-anak mereka bernama Suhailah Mohamed Noah, Rahah Mohamed Noah, Datin Fakhriah dan Abu Rais (gelaran Atan). Tun Rahah Mohamed Noah adalah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein (1971-1976). Manakala Datin Fakhriah Mohamed Noah pula adalah isteri kepada Dato' Abdullah Ahmad, bekas Yang di-Pertua, Majlis Bandaran Johor Bahru.
Buku The Three Swans ada menceritakan perjalanan hidup keluarga ini. Buku ini diterbitkan oleh MPH Group (M) Sdn. Bhd. (MPH) setebal 320 muka surat, ditulis oleh anak kedua Fakhriah, Datuk Dr. Fawzia Dato' Abdullah.[3]
Cucunya, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6. Seorang lagi cucunya ialah Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan Menteri Kabinet kanan yang berkhidmat dalam pelbagai jawatan.
Pendidikan
suntingBeliau mendapat pendidikan Melayu kemudiannya pendidikan Arab di Al-Madarasah Al-Arabiah Al-Khairiah, Johor dan kemudian menyambung belajar bersama dengan tujuh lagi rakannya, di Kuliah Al-Othmaniah Al-Islamiah, Beirut dan kemudian di Syrian Protestant College (sekarang American University of Beirut), Lebanon pada 11 Mei 1914.
Kerjaya
suntingSelepas pulang ke tanahair, beliau telah ditawarkan pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat perniagaan milik seorang warga Denmark yang berniaga membeli susu getah di Jalan Bakri, Bandar Maharani, Muar.
Kemudian, pada bulan Julai 1920, beliau telah berkhidmat dengan Kerajaan Johor sebagai kerani di Mahkamah Tinggi Muar.
Beliau meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang selepas itu dan telah dilantik sebagai pegawai kerajaan Johor pada 15 Julai 1928 Majistret kelas II di Mahkamah Muar.
Pada bulan Januari 1934, beliau telah ditukarkan ke Mersing sebagai Majistret dan sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah.
Beliau sekali lagi telah ditukarkan ke Muar pada 4 Januari 1936 sebagai Penolong Kanan Pemungut Hasil Tanah.
Beliau sekali lagi telah berpindah ke Mersing. Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Daerah Mersing pada 1 Julai 1939 sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada 8 Disember 1942.
Kemudian, menjadi Majistret di Batu Pahat pada 1959. Seterusnya beliau menjadi pengutip cukai di Jabatan Tanah Johor, Pegawai Daerah dan jawatan terakhir beliau dalam perkhidmatan awam adalah sebagai Yang di-Pertua Jabatan Hal Ehwal Agama Johor. [4] Beliau bekerja dengan Jabatan Perkhidmatan Awam selama 30 tahun, iaitu sejak 1920.
Politik
suntingKetika menjadi Majistret di Batu Pahat pada 1959, beliau telah bersama-sama dengan Dato' Onn Jaafar bermesyuarat untuk menubuhkan UMNO pada awal November 1945.
Beliau bersama Dato' Onn Jaafar - Pegawai Daerah Batu Pahat, Tan Sri Anwar Abdul Malek, Syed Alwi al-Hadi dan Syed Abdul Rahman Abu Bakar membentangkan kertas putih - mencadangkan penubuhan UMNO. Anwar Malek adalah Setiausaha Sulit Onn Jaafar yang juga sepupu kepada Mohamed Noah. Perbincangan telah diadakan di rumah Noah di Jalan Sultanah, Batu Pahat.[5] Zainah Anwar dari Sisters in Islam telah menulis hal ini dalam bukunya bertajuk Legacy of Honour.
Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Tetap UMNO pada 1951-1959 dan kemudian meletakkan jawatan kerana menjadi calon Pilihan raya umum Malaysia 1959.
Sebagai peguam / majistret dan berjuang menentang Malayan Union, beliau diberi kepercayaan bertanding di Johor Bahru Timur, Johor mewakili Parti Perikatan / UMNO dalam Pilihan raya umum Malaysia 1959.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
suntingBeliau pernah menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat mulai 1 September 1959 hingga 29 Februari 1964.Selepas itu beliau diganti oleh Dato' Syed Esa Alwee Al-Syahab. Sidang Parlimen pertama di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur (kini MATIC) pada pagi Jumaat. Pada hari pertama persidangan, Yang di-Pertuan Agong dimasyhurkan dan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga dibuat.[6]
Yang di-Pertua Dewan Negara
suntingMohamed Noah juga menjadi Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-3 selepas Tuan Syed Sheh bin Syed Hassan Barakhah. Noah menyandang jawatan itu dari 24 Februari 1969 - 28 Julai 1970. Selepas itu beliau diganti oleh Tan Sri Haji Abdul Hamid Khan Sakhawat Ali Khan.
Anugerah dan Kenangan
suntingYayasan Mohammad Noah ditubuhkan bagi mengenang jasa beliau. Antara yang memainkan peranan ialah Ahmad Johari Tun Abdul Razak, cucu beliau dan Tun Hajah Rahah Mohamed Noah.[7]
Sebuah masjid di pusat percutian perjudian Genting Highland telah dinamakan sebagai Masjid Yayasan Mohamed Noah. Tan Sri Mohamed Noah merupakan pengasas Genting Highland bersama Tan Sri Lim Goh Tong pada 1965. Projek itu untuk membina hotel dan resort di kawasan pergunungan, Gunung Ulu Kali di sempadan Selangor-Pahang (Genting Sempah), yang kemudiannya kini dikenali sebagai Genting Highlands. Buku Lim Goh Tong, 'My Dream' menceritakan detik-detik awal pembinaan Genting Highlands.[8] Noah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah sementara Lim Goh Tong sebagai Pengarah Urusan. Kerajaan Pahang telah meluluskan 12,000 ekar untuk resort itu.[9] Pusat judi kasino ini adalah satu-satunya di Malaysia.[10]
Kehormatan Malaysia
sunting- Malaysia :
- Panglima Mangku Negara (PMN) – Tan Sri (1963)[11]
- Johor :
- Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) (1947)[12]
- Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) – Dato' (1960)[13]
- Dato' Sri Setia Sultan Ismail Johor (SSIJ) – Dato' (1977)
Meninggal dunia
suntingBeliau telah meninggal dunia pada 6 September 1991 dan telah dimakamkan di Makam Pahlawan. Antara tokoh lain yang disemadikan di sini ialah Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tan Sri Syed Jaafar Albar, Tun Syed Nasir Syed Ismail, Tun Sardon Jubir, Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Tun (Dr) Fatimah Hashim.
Rujukan
sunting- ^ Fawzia Abdullah (2010). The three swans : Fakhriah, Suhailah, Rahah. Petaling Jaya, Selangor: MPH Publishing. m/s. 26. ISBN 978-967-5222-79-5. OCLC 643766906.
- ^ The Straits Times, 29 Januari 1977, Mukasurat 36 ; Looking Back 5 Year [pautan mati kekal]
- ^ Perdana Menteri lancar buku The Three Swans
- ^ The Who's who in Malaysia oleh John Victor Morais
- ^ Mengenang legasi tiga tokoh
- ^ Meningkatkan Parlimen berkelas dunia
- ^ The Malayan law journal, Volume 47, Part 1
- ^ Perginya seorang taikun
- ^ Chinese business in Malaysia: accumulation, ascendance, accommodation oleh Edmund Terence Gomez , hlm 50
- ^ Asian Godfathers: Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia oleh Joe Studwell, hlm 66
- ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 1963" (PDF).
- ^ John Victor Morais, Without Fear Or Favour: A Biography of Tan Sri Mohd. Noah, Utusan Printcorp, Kuala Lumpur, 1976, p. 136.
- ^ "90 RECEIVE SULTAN'S C-DAY AWARDS". The Straits Times. 12 February 1960. m/s. 2.
Penyandang Terdahulu | Yang di-Pertua Dewan Negara 24 Februari 1969 – 28 Julai 1970 |
Penyandang Kemudian |
Syed Sheh Hassan Barakbah | Abdul Hamid Khan Sakhawat Ali Khan |