Mohamed Nazri Abdul Rahim

Datuk Seri Haji Mohamed Nazri Bin Haji Abdul Rahim (19 Januari 1942 - 18 Februari 2015) adalah bekas ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan N42 Sungai Manik, Perak. Mohamed Nazri yang juga anggota Exco kerajaan negeri (1986-1995) dilantik Speaker DUN Perak dari 1999 hingga 2003 dan Anggota DUN Sungai Manik dari 1986 hingga 2003. Menteri Besar Perak ketika itu ialah Tan Sri Ramli Ngah Talib. Beliau dilahirkan di Kampung Kepala Pulau, Pasir Salak.

Dalam Pilihan raya 1999, beliau bertanding di Sungai Manik . Seramai 14606 (68.7%) keluar mengundi.Undi rosak 491 .Jumlah besar pengundi ialah 21264. Mohamed Nazri Hj A Rahim (BN - UMNO) mendapat 8211 undi dengan majoriti 2307 undi. Saingan beliau Muhaimin Sulam (BA - PAS) mendapat 5904 undi.

Selepas beliau , DUN Sungai Manik disandang oleh Ibrahim Katob dan terkini Datuk Zainol Fadzi Paharudin. DUN Sungai Manik dan DUN Kampung Gajah terletak dalam parlimen Pasir Salak.

Pendidikan sunting

Beliau mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Inggeris Muar pada tahun 1949 hingga 1953 dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Clifford , Kuala Kangsar dari tahun 1954 hingga 1960 sehingga lulus peperiksaan Senior Cambridge / FMC pada tahun 1960.

Kerjaya dan Politik sunting

Kerjaya beliau bermula di Jabatan Pengaliran dan Saliran pada tahun 1961 dan berakhir pada jabatan yang sama pada tahun 1983. Beliau memasuki UMNO pada tahun 1970 dan pada tahun yang sama telah dipilih sebagai ahli jawatankuasa pergerakan pemuda UMNO Hilir Perak. Jawatan penting yang lain di dalam parti yang pernah disandang ialah Naib Ketua UMNO bahagian daripada tahun 1979 dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak daripada tahun 1980 hingga 1982. Jawatan terakhir ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.

Pada tahun 1983, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Perak iaitu Tan Sri Ramli Bin Ngah Talib. Beliau memegang jawatan ini daripada tahun 1983 hingga 1986. Beliau kemudiannya telah bertanding di dalam Pilihanraya Umum tahun 1986 di kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Sg Manik. Beliau menggantikan Tuan Haji Yusuf Maidin yang menjadi wakil rakyat selama 3 penggal.

Meninggal dunia sunting

Pada 18 Februari 2015, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Rahim meninggal dunia akibat komplikasi hati di kediamannya di Persiaran Wira Jaya Barat 60, Rapat Setia Baru, di Ipoh, Perak pada usia 73 tahun.Beliau menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi KPJ Ipoh sejak 2 Februari 2015 .Beliau menghidap penyakit Hepatitis B sejak tahun 1999.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gua Kek Lok Tong, Rapat Setia, di Ipoh selepas solat Asar.

Keluarga sunting

Allahyarham Mohamed Nazri meninggalkan isteri, Datin Seri Puteri Nor Hasiah Binti Megat Hussain, 66 dan tiga anak (Ahmad Rashidi, Mazura Laili dan Shuhaila) serta empat orang cucu (Nadia, Adam, Arash dan Nazry Ashman).