Muhammad Uthman El-Muhammady

Datuk Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady (Jawi: محمد عثمان المحمدي;‭ 9 Februari 1943 – 25 Mac 2013) merupakan seorang tokoh agamawan Malaysia dan juga seorang penulis akademik. Beliau dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H pada 10 Februari 2005.[1] Beliau merupakan antara ulama terkenal tanah air yang mempertahankan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah yang bertunjangkan kepada akidah manhaj Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.[2] Beliau pernah menulis lebih 200 bahan ilmiah termasuk buku, artikel dan terjemahan, di mana kebanyakannya menyentuh aspek akhlak, ilmu tasawuf dan peradaban Islam. Antara tulisan-tulisan beliau termasuklah lebih 50 bahan tulisan berbahasa Inggeris.[2]


Muhammad 'Uthman El-Muhammady
Kelahiran(1943-02-09)9 Februari 1943
Meninggal dunia25 Mac 2013(2013-03-25) (umur 70)
Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC), Kuala Lumpur, Malaysia
Sebab kematianSakit jantung
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor, Malaysia
WarganegaraMalaysia
PangkatEl-Muhammady
PasanganMariam Hussain
Anak-anak12 orang termasuk Dr. Ahmad El-Muhammady

Kehidupan peribadi sunting

Beliau dilahirkan pada 9 Februari 1943 di Kampong Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum memasuki Special Malay Class (Kelas Melayu Khas) pada tahun 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star Kedah.[3]

Pada tahun 1963, beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya, Kuala Lumpur[2] dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969.[4] Beliau juga pernah ditawarkan melanjutkan pengajian di Universiti Harvard, namun menolaknya dan menyambung pengajian di universiti tempatan.[2]

Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam Universiti Malaya hingga ke tahun 1973, apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas.

Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.[4]

Beliau berkahwin dengan Mariam Hussain, dan mendapat 11 orang cahaya mata, tujuh daripadanya ialah perempuan manakala empat ialah lelaki.[5]

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC), Kuala Lumpur pada 25 Mac 2013, akibat sakit jantung.[6][7]

Kerjaya sunting

Beliau banyak membuat kajian di dalam bidang ilmu-ilmu Islam dan falsafah Barat yang merupakan antara minatnya. Selain daripada itu, beliau turut menulis tentang pemikiran semasa serta pandangan Islam tentangnya, dan juga tentang akidah Ahli Sunnah Waljamaah, faham ilmunya serta pandangan hidupnya.

Beliau banyak menunjukkan minat untuk mengetengahkan Nusantara sebagai rantau Ahli Sunnah Waljamaah yang menurutnya perlu dipertahankan demi menjaga kebenaran akidah dan demi mengawal sifat homogennya untuk keselamatan dan pembinaan ummat.

Pada tahun 60-an, Ustaz 'Uthman telah memimpin majalah "al-Nur", sebuah terbitan Pertubuhan al-Rahmaniah dan menulis makalah-makalah di dalamnya. Beliau menjadi Presiden pertubuhan tersebut hingga ke tahun 1968. Beliau banyak menulis serta membentang kertas-kertas kerja dalam seminar-seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa tentang Islam dari segi akidah, kerohanian, akhlak, budaya dan falsafah.

Beliau juga telah menterjemah buku-buku dari bahasa Arab dan Inggeris selain daripada tulisan-tulisan asli. Ustaz 'Uthman dilantik sebagai Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (Distinguished Fellow of IKIM), Kuala Lumpur, sejak tahun 1995 sehingga beliau meninggal.[3] Beliau juga menjadi ahli dewan redaksi majalah “Pengasuh” keluaran Majlis Agama Islam Kelantan. Beliau juga menjadi salah seorang ahli jamaah Pemegang Amanah Yayasan Karyawan Kuala Lumpur.[5] Beliau pernah dilantik sebagai Pakar Perunding Agama bagi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

Beliau banyak menumpukan masanya di dalam masyarakat setempat dengan melaksanakan pengajian kitab di masjid-masjid sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan selain dari menunaikan jemputan ceramah di merata tempat.

Kematian sunting

Pada 25 Mac 2013, Ustaz 'Uthman yang telah menghidap sakit jantung selama setahun telah kembali ke rahmatullah pada kira-kira jam 7:30 malam. Menurut anak lelakinya, Dr. Ahmad El-Muhammady, beliau tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit, namun hanya kelihatan letih pada siang hari itu. Beliau sedang membaca buku sebelum mengadu kepada isterinya, Mariam Hussain, bahawa beliau letih dan ingin tidur, sebelum isterinya menyedari bahawa beliau telah meninggal dunia dalam tidur.

Jenazah Allahyarham diurus dan disembahyang di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada pagi 26 Mac berikutnya, sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UIA selepas solat fardhu Zohor.[5]

Karya sunting

Di antara penulisannya yang telah dihasilkan beliau ialah:

  • “Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud”-terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (5 jilid).
  • “Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud”, terbitan Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.
  • “Peradaban dalam Islam” terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, edisi 1976 dan beberapa cetak-ulang.
  • “Memahami Islam" terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977.
  • “Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi” terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987.
  • “Islam dan Kebudayaan” risalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan kepada wacana tentang kebudayaan yang disampaikan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting