Mukhsin merupakan filem drama romantik Malaysia 2007 dan filem keempat dari pengarah Yasmin Ahmad terbitan Grand Brilliance tahun 2007. Semua filem sebelumnya adalah mengenai keluarga Orked, Pak Atan dan Mak Inom. Filem ini dilakonkan oleh Syafie Naswip sebagai Mukhsin, Sharifah Aryana, Sharifah Aleya, Sharifah Amani, Rozie Rashid, Ho Yuhang, Ng Choo Seong (pelakon watak Jason dalam Sepet) dan Noorkhiriah.

Mukhsin
PengarahYasmin Ahmad
Dihasilkan olehAhmad Puad Onah
DibintangiSyafie Naswip
Sharifah Aryana
Sharifah Aleya
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehPrimeworks Studios
Tarikh tayangan
8 Mac 2007 (Malaysia)
Masa tayangan
1 jam 40 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
Inggeris
Mandarin

Plot sunting

Orked bukan seperti budak perempuan lain, yang lebih suka bermain masak-masak dan kahwin-kahwin. Dia yang kasar kelakuannya, sukar diterima kanak-kanak lain di kampungnya. Malah, orang kampung memandang aneh keluarga ini seperti ketika Orked dan ibu, Mak Inom bermain hujan sementara ayah, Pak Atan melagukan keroncong.

Satu hari, Orked memerhati budak-budak lelaki bermain ‘hantu galah.’ Bila seorang pemainnya terseliuh kaki ada yang mencadangkan Orked menggantinya, tetapi seorang budak lelaki lagak ketua bukan saja enggan, malah membaling bola ke arahnya.

Orked diam, tidak mengelak biarpun bola yang dibaling keras terkena badannya. Sedang mereka mentertawakannya, dia membalas dengan membaling bola sama ke arah budak lelaki tadi yang terkena dahinya.

Dan, hidup Orked pun berubah.

Kehadiran Mukhsin, budak lelaki itu yang datang bercuti di kampungnya membibitkan persahabatan di antara mereka. Orked malah bergaya seperti Mukhsin - baju dan seluar lusuh, serta berkaki ayam, bermain dengan budak lelaki, memanjat pokok dan berbasikal.

Tapi, sebagai kanak-kanak yang meningkat remaja, Mukhsin mula menyimpan rasa terhadap Orked, menyebabkan ujud permasalahan antara mereka. Dan, bagaimana perasaan cinta mampu merosakkan sebuah persahabatan.

Filem Mukhsin berkisar tentang kasih sayang dan percintaan antara watak Orked, 10, dan Mukhsin, 12. Filem ini memaparkan tentang rasa cinta pertama yang timbul di hati mereka.

Bagaimanapun ketika itu masalah yang timbul ialah Orked masih terlalu mentah untuk bercinta, manakala Mukhsin pula sedang melalui zaman peralihan akil baligh.

Hingga hari terakhir Mukhsin meninggalkan kampung Orked, dia masih gagal meluahkan rasa cintanya.

Lalu Mukhsin pergi meninggalkan satu kenangan cinta indah buat Orked yang turut diminati seorang kanak-kanak Cina di sekolahnya.

Pelakon sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting