Mukim Ulu Kinta terdiri daripada 4 kawasan iaitu Kawasan Bandar Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjung Rambutan. ([Sempadan terperinci boleh merujuk peta ini) Mukim Ulu Kinta terletak di bawah pentadbiran penuh Pejabat Daerah Dan Tanah Kinta, Batu Gajah dan pentadbiran kecil Pejabat Daerah Dan Tanah Ipoh. Seluruh Mukim Ulu Kinta terletak di bawah tadbiran Dewan Bandaraya Ipoh. Mukim Ulu Kinta (Tanjung Rambutan) terdiri daripada 10 buah kampung yang ditadbir oleh JKKK. Di utaranya adalah bersempadan dengan Kawasan Chemor (RPT/Kampung Baru Tanah Hitam), bermula dari Changkat Kinding iaitu Kampung Tanjung Rambutan dan di sebelah timur adalah Kampung Kepayang Fair Park, Kampung Tasek, RPT Tasek, melalui Jalan Bercham (Kampung Tersusun Batu 8/Bandar Baru Putera/MDP Villa), Kampung Melayu Batu 8, Kampung Batu 5 & 6, Kampung Tambun dan paling ke selatan adalah Kampung Seri Ampang dan Desa Perwira yang mana bersempadan dengan Mukim Sungai Raya.[1]

Kira-kira 85% kawasan Tanjung Rambutan terdiri dari kawasan perumahan (Penempatan), 12% kawasan hutan/pertanian (Tanah Kerajaan) dan 3% perindustrian. Keluasan kawasan ini pula ialah lebih kurang 15km2. Jarak perjalanan daripada Pejabat Penghulu Tanjung Rambutan ke Pejabat Daerah Dan Tanah Ipoh ialah 20km sementara ke Pejabat Daerah Dan Tanah Batu Gajah pula ialah 40km.

Penubuhan Majlis Mukim Ulu Kinta sunting

Majlis Mukim Ulu Kinta merupakan Majlis Mukim yang pertama telah ditubuhkan di Ulu Kinta, Perak. Kenyataan ini telah dibuat dalam satu mesyuarat peringkat Pejabat Daerah di Ipoh oleh Encik J.S.H. Cunyngham-Brown. Beliau juga merupakan seorang Pegawai Daerah di Kinta dan telah mempengerusikan mesyuarat tersebut. Setelah mesyuarat berakhir, seramai 18 orang Pemimpin dan Ketua Kampung masyarakat tempatan yang terdiri daripada 8 orang Melayu, 8 orang Cina dan 2 orang India telah berkumpul untuk diberi taklimat dan penerangan mengenai penubuhan Majlis Mukim tersebut. Encik Cunyngham-Brown menerangkan matlamat utama penubuhan tersebut dilakukan ialah untuk mewujudkan kerjasama demi kepentingan masyarakat tempatan dan mengambil alih tugas-tugas Penolong Pegawai Daerah secara berperingkat-peringkat. Beliau juga memberitahu kawasan Ipoh dan Menglembu tidak dijadikan Majlis Mukim kerana ia akan diberikan taraf Perbandaran. Jawatankuasa Kecil juga akan dibentuk meliputi bandar-bandar lain dalam daerah berkenaan dan tertakluk di bawah pentadbiran atau bidang kuasa Majlis tersebut. Sesungguhnya dengan penubuhan Majlis Mukim yang pertama di Ulu Kinta pada hari ini dalam tahun 1952, merupakan satu era baru kepada mukim tersebut dan dapat memberi galakan kepada masyarakat tempatan dalam melaksanakan aktiviti harian mereka.[2]

Rujukan sunting

  1. ^ PENGENALAN PEJABAT PENGHULU TANJUNG RAMBUTAN MUKIM ULU KINTA
  2. ^ "Penubuhan Majlis Mukim Ulu Kinta". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-12-01. Dicapai pada 2017-11-28.

Pautan luar sunting