Munir Mega
Abdul Munir bin Samsudin atau dikenali sebagai Munir Mega (lahir 20 April 1970) merupakan pemain dram kumpulan rock terkenal Malaysia iaitu Mega. Berketurunan Melayu Kerinchi, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mula bersekolah di Bandaraya Melaka untuk memulakan kariernya mengasaskan sebuah kumpulan yang dinamakan Putra pada tahun 1987. Kemudian Munir meninggalkan Putra dan akhirnya tamat zaman persekolahan dan kembali ke Kuala Lumpur untuk menganggotai kumpulan FRU (Five Rockers Union), sebuah kumpulan rock yang diterajui oleh penyanyi Dato' Hattan (bekas pemain gitar irama kumpulan Backyard). Bersama FRU, Munir bersama rakan-rakannya melahirkan satu album sahaja iaitu Kelahiran pada tahun 1988 sebelum berpecah lalu Munir meneruskan kegiatannya sebagai pemuzik bebas dan pernah bersama kumpulan pemuzik Ella & The Lips pada satu ketika.
Munir Mega | |
---|---|
Latar belakang | |
Nama lahir | Abdul Munir bin Samsudin |
Juga dikenali sebagai | Munir, Munir Mega, Munir FRU |
Kelahiran | Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, Malaysia | 20 April 1970
Genre | Rock, Balada |
Pekerjaan | Pemuzik |
Instrumen | Dram |
Tahun aktif | 1987–kini |
Syarikat rakaman | Jojo's Production BMG Music |
Pengkarya berkait | Kumpulan Mega Kumpulan FRU Kumpulan Putra Rahmad Mega Mat Mega Ziana Zain Melati Shukor Ujang Exists |
Kemudian pada tahun 1991, Munir telah diajak oleh sahabat lamanya, Mat Mega yang juga bekas pemain bass FRU untuk menyertai kumpulan Mega bagi menggantikan pemain dram asal mereka, Joey yang menarik diri sejurus selepas pertandingan akhir Juara Lagu '90 melabuhkan tirainya. Album kedua Mega berjudul Ilustrasi merupakan kemunculan pertama Munir sebagai pemain dram tetap Mega.
Munir bersama anggota Mega yang lain kemudiannya mengasah bakat sebuah kumpulan rock baharu di bawah naungan Jojo's Production iaitu Exists yang turut melahirkan seorang lagi pemain dram tersohor Malaysia pada masa kini iaitu Ujang.