Mustapha Kamal Abu Bakar

Tan Sri Datuk Dr. Haji Mustapha Kamal Abu Bakar (18 Mac 1949 – 25 Julai 2022) merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan hartanah Malaysia.[2] Beliau diberi jolokan "Raja Perumahan Mampu Milik" kerana bertanggungjawab membangunkan lebih 12,000 rumah kos rendah di Selangor dan Perak. Beliau ialah pengasas Kumpulan EMKAY, syarikat hartanah yang ditubuhkan pada 1983.[3][4]


Mustapha Kamal Abu Bakar
Kelahiran(1949-03-18)18 Mac 1949
Kampung Changkat, Pusing, Perak, Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia)
Meninggal dunia25 Julai 2022(2022-07-25) (umur 73)
Kuala Lumpur, Malaysia
Sebab kematianSakit tua
Nama lainMK[1]
PendidikanIjazah Jurusan Sejarah
Pusat pendidikanUniversiti Malaya (UM)
PekerjaanAhli perniagaan, usahawan hartanah
Tahun aktif1970–2022
PasanganPuan Sri Wan Nong Wan Ibrahim
Anak-anak4

Kehidupan awal sunting

Mustapha Kamal dilahirkan pada 18 Mac 1949 di Kampung Changkat, Pusing, Perak.[5][6] Beliau merupakan siswazah Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Sejarah.[3][7]

Kerjaya sunting

Di awal kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Petaling antara 1971 hingga 1976.[3][7][2]

Mustapha juga pernah memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Tanah dan Galian, Selangor pada 1978 sebelum menyertai sektor swasta dalam bidang hartanah yang mana beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd.[3][7][2]

Pada peringkat kerjayanya, beliau mula memperkukuhkan pelbagai kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kecekapan yang diperlukan dalam pembangunan hartanah sehingga beliau mempunyai keyakinan sepenuhnya untuk memulakan usaha perniagaan sendiri. Ini telah mendorong beliau menubuhkan Kumpulan EMKAY pada tahun 1983, yang menawarkan rumah mampu milik.[2] MK Land Holdings Berhad yang diasaskan bersamanya pada 1978, dahulu dikenali sebagai Perfect Food Industries Sdn. Bhd. yang menjalankan perniagaan makanan. Syarikat hartanah miliknya itu ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) pada Ogos 1999.[3][7]

Mustapha Kamal juga sinonim dengan kejayaan Cyberjaya yang dibangunkan menjadi sebuah bandar pintar apabila pelbagai syarikat multinasional terkemuka dunia beroperasi di sana. Beliau merupakan antara individu yang merintis pembangunan Cyberjaya yang sebelum ini ialah sebuah perkampungan dikenali sebagai Kampung Air Terentang, sebelum berubah sepenuhnya sehingga diberi jolokan 'Lembah Silikon Malaysia'.[3][2]

Antara jawatan lain yang pernah disandangnya ialah Pengarah South-South Corporation Berhad (MASSCORP) ahli jawatankuasa Eksekutif Persatuan Selatan-Selatan Malaysia (MASSA) dan Penyelaras Negara bagi Afrika.[3]

Kehidupan peribadi sunting

Mustapha Kamal berkahwin dengan Wan Nong Wan Ibrahim dan dikurniakan 4 anak – Felina, Fazwirrna, Farah Mahami dan Ahmad Khalif. Salah seorang anaknya, Felina merupakan Pengarah Eksekutif di MK Land Holdings Berhad.[7]

Kematian sunting

Beliau meninggal dunia pada Isnin, 25 Julai 2022 jam 7:45 pagi akibat sakit tua di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 73 tahun.[8][9][10][11] Jenazah beliau dimandi dan dikafankan di kediamannya pada jam 2 petang sejurus selepas solat Zuhur di Jalan Petaling Jaya Utama, Damansara Perdana dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 3 petang hari yang sama.[2][12][13]

Legasi sunting

Kisah kejayaan Mustapha Kamal diabadikan di Galeri EMKAY yang dibuka pada 2013 dan terletak di Menara Mustapha Kamal di PJ Trade Centre, Damansara Perdana. Galeri yang berkeluasan 284.6 meter persegi ini tampil dengan seni reka sofistikated yang menyingkap sejarah di sebalik kisah hidup beliau yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.[2]

Anugerah sunting

Mustapha Kamal telah menerima pelbagai anugerah sebagai penghargaan terhadap sumbangannya sepanjang kerjayanya. Antaranya ialah Anugerah Usahawan Cemerlang Selangor pada tahun 1995 oleh Dewan Perniagaan Melayu Selangor; FIABCI Property Man of The Year Award 1997 serta Anugerah Personaliti Cemerlang Industri Pembangunan 2001 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.[3]

Beliau juga telah menerima Anugerah Felo DPMMKL 2002 daripada D.Y.M.M. Yang Di-Pertuan Agong dan Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah 2003 daripada Raja Muda Perak. Beliau juga telah dicalonkan untuk menerima Ernst & Young Entrepreneur Award 2002 dalam Kategori 'Master Enterpreneur'.[3]

Beliau ialah penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).[2]

Rujukan sunting

  1. ^ Faizatul Farhana Farush Khan (18 Mac 2014). "'Pak Cik' Mustapha: Rajin kunci kejayaan". Berita Harian. Dicapai pada 15 Oktober 2019.
  2. ^ a b c d e f g h Mohd Zaky Zainuddin (25 Julai 2022). "Negara kehilangan tokoh hartanah Melayu". Berita Harian. Dicapai pada 15 Oktober 2022.
  3. ^ a b c d e f g h i "KISAH JUTAWAN HARTANAH MK LAND". PUBI Perak. 24 Disember 2019. Dicapai pada 14 Oktober 2020.
  4. ^ "An icon of affordable housing" (dalam bahasa Inggeris). EdgeProp. 23 November 2018. Dicapai pada 15 Oktober 2018.
  5. ^ Mona Ahmad (8 Januari 2014). "Tak lokek kongsi kekayaan". Berita Harian. Dicapai pada 15 Oktober 2019.
  6. ^ Mehmed Aezhad (12 Mac 2021). "Kenali Tan Sri Mustapha Kamal – Jutawan Hartanah Melayu". Majalah Labur. Dicapai pada 15 Oktober 2021.
  7. ^ a b c d e Au Foong Yee (3 Ogos 2022). "A gentle and caring giant" (dalam bahasa Inggeris). EdgeProp. Dicapai pada 15 Oktober 2022.
  8. ^ Mohd Iskandar Ibrahim (25 Julai 2022). "Pengasas EMKAY meninggal dunia". Berita Harian. Dicapai pada 15 Oktober 2022.
  9. ^ "Tokoh korporat Tan Sri Mustapha Kamal meninggal dunia". Sinar Harian. 25 Julai 2022. Dicapai pada 15 Oktober 2022.
  10. ^ "Property tycoon Mustapha Kamal dies aged 73" (dalam bahasa Inggeris). Malaysiakini. 25 Julai 2022. Dicapai pada 15 Oktober 2022.
  11. ^ "'Raja Rumah Mampu Milik' Tan Sri Mustapha Kamal Meninggal Dunia". Samudera. 25 Julai 2022. Dicapai pada 15 Oktober 2022.
  12. ^ "Jenazah Tan Sri Mustapha Kamal selamat dikebumi". Berita Harian. 25 Julai 2022. Dicapai pada 15 Oktober 2022.
  13. ^ Keertan Ayamany (25 Julai 2022). "Emkay Group founder Mustapha Kamal dies, to be buried today" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 15 Oktober 2022.

Pautan luar sunting