Nisan kerek

Manisan dari Kelantan
(Dilencongkan dari Nisan (makanan))

Nisan kerek (Kelantan-Pattani: Nise kerek/นิแสแกเร็ก, Terengganu: Nisang Kerek) merujuk kepada manisan yang dihasilkan dari mayang pokok Kelapa.[1]. Kerek merujuk kepada gelung mengkuang yang menjadi pemegang manisan tersebut. Ia digunakan bagi menghasilkan pelbagai kuih, juga cokelat. Cokelat yang dihasilkan dari nisan dikenali sebagai cokelat nisan.

Nisan yang dibungkus dijual secara berkerat. Satu keratan dipanggil satu kerek

Di Terengganu, perusahaan membuat manisan ini banyak terdapat di kampung Batangan[2] dan Kampung Jenang[3] yang terletak di dalam daerah Marang. Kebanyakan proses membuatnya adalah masih bersifat tradisional dan diusahakan secara berkeluarga. Beberapa perusahaan manisan di kampung ini mendapat sokongan daripada Yayasan Pembangunan Ushawan Terengganu yang banyak membantu mereka yang berminat didalam Industri Kecil dan Sederhana. Setiap keluarga biasanya mempunyai seorang penyadat atau mereka yang arif dalam soal memanjat pokok kelapa untuk menarah mayang dan mengumpulkan rembesan mayang yang boleh digunakan bagi menghasilkan air tuak, atau dimasak sehingga menjadi pekat untuk penghasilan nisan. Ia kemudian akan dituang kedalam gelung bulat yang dikenali sebagai keret dan dibiarkan menjadi keras. Nisan ini kemudian akan dibungkus untuk dijual.

Penghasilan sunting

Proses membuat manisan ini sememangnya memakan masa dan perlukan kesabaran. Kebiasaannya terdapat dua jenis manisan di hasilkan iaitu manisan gula dan manisan asli. Manisan gula mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi dan manakala manisan asli mempunyai kandungan air tuak sehingga 90 peratus dan 10 peratus campuran gula. Air tuak yang siap di masak akan di tuang terus kedalam bekas yang di perbuat daripada mengkuang dari spesis jakas. Sementara menunggu air tuak masak sepenuhnya, kaum wanita akan membuat acuan manisan ini sebagai persediaan awal untuk menghasilkan manisan.

Manisan akan dibiarkan sejuk dan mengeras sebelum di simpan dan di jual kepada peniaga-peniaga ataupun penduduk kampung. Jika anda berkunjung ke Pasar Payang pasti anda akan temui manisan ini banyak dijual di sekitar aras bawah. Permintaan manisan akan meningkat ketika musim bulan puasa kerana ianya banyak digunapakai dalam menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional seperti lompat tikam, ondeh-ondeh dan sebagainya.

Terdapat juga manisan yang dihasilkan dengan cara yang sama tetapi menggunakan pokok kabung. Ini dikenali sebagai gula kabung, atau gula Melaka.

Galeri contoh sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Manisan Terengganu". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-05-02. Dicapai pada 2018-05-02.
  2. ^ Sedia 6,000 nisan kerek sehari
  3. ^ Cara lama dimensi baru