Nobat
Nobat (Jawi: نوبة atau نوبت) adalah barisan alat muzik yang digunakan untuk menyambut raja dan sultan kerajaan-kerajaan Melayu serata Asia Tenggara diterapkan dalam pelbagai jenis adat istiadat termasuk pertabalan, sambutan ketibaan orang ternama serta majlis-majlis perkahwinan, kelahiran dan kematian dalam kerabat diraja. Seni yang dibawa dalam pemainan lagu-lagu beralat ini merupakan kesinambungan daripada budaya muzik Islam yang ada di seberapa rantau dunia lain termasuk kerajaan-kerajaan Umaiyah, Andalusia dan Mughal.[1]
Nobat dipercayai melambangkan kedaulatan seseorang sultan seterusnya meninggikan kedudukan sultan dalam masyarakat Melayu[1] tidak sahaja dari cara alat-alat ini dimainkan mendatangkan rasa gerun rakyat - semakin gah muzik nobat dimainkan, semakin besarlah daulat sultan - malah bagaimana alat-alat tersebut dikendali dan dijaga.[2]
Sejarah
suntingPeristilahan
sunting"Nobat" berkait dengan perkataan Arab: نَوْبَة nawbah[1] terbitan kata kerja نَابَ nāba bermaksud "gilir"[3][4] merujuk kepada "giliran" para pemain muzik mempersembahkan lagu mereka.[4] Ada juga yang mengusulkan perkataan "nobat" meminjam dari kata Parsi: نه no "sembilan" yakni merujuk kepada sembilan alat yang dikira utama dalam barisan nobat.
Pewujudan dan penyebaran
suntingKesultanan Kedah merupakan kerajaan Melayu pertama memiliki barisan nobat sendiri sepertimana yang dicatatkan dalam Sulalatus Salatin; pertemuan Sultan kerajaan tersebut dengan Sultan Mahmud Shah yang memerintah Kesultanan Melaka sekitar 1435 Masihi memperkenalkan alatan nobat di sana.[5] Apabila seorang putera Sultan Mahmud iaitu Muzaffar Shah diundang menjadi sultan kerajaan Perak yang baharu, baginda turut dikurniakan nobatnya sendiri yang menabalkan baginda semasa diangkat.[5]
Kesultanan Riau-Lingga pernah mempunyai alatan nobat mengikut cara Kedah dan Perak terdiri dari sepasang gendang kayu berbeza corak, sebatang serunai kayu dan sebatang nafiri perak; gendang-gendang tersebut digantikan dengan tiga buah gendang perak bersepuh emas ditukang dari Jawa dan dihadiahkan Gubernur Hindia Timur Belanda kepada Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah di Batavia (kini Jakarta) pada tahun 1885.[6] Gendang-gendang kayu lama baginda ditinggalkan di Pulau Penyengat sambil alatan lain dibawa bersama baginda ketika baginda dibuang negeri ke Singapura tahun 1912. Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu yang merupakan cucunda seorang puteri Lingga meminjam alat-alat nobat dari Sultan Abdul Rahman beberapa kali tahun 1912, tiga gendang perak akhirnya diserahkan milik kepada Sultan Zainal Abidin sementara nafiri dan serunai perak baharu ditukangkan, penyerahan ini dirasmikan tahun 1918.[6]
Selain daripada Kesultanan Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu, Negara Brunei Darussalam juga mempunyai peralatan nobat tersendiri. Di dalam Salasilah Raja-Raja Brunei, Sultan-Sultan Brunei telah mewarisi Naubat Diraja Brunei dari negeri "Johor Kamal-ul-Maqam" dan negeri Minangkabau. Terdapat perselisihan mengenai negeri Johor yang disebutkan itu, kerana Kesultanan Johor Lama hanya diasaskan pada tahun 1528. Mengikut pendapat sejarawan Brunei, Allahyarham Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, negeri Johor Kamal-ul-Maqam itu sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Singapura Tua, manakala Cesar Adib Majul, sejarawan Filipina mengemukakan pendapat bahawa Sultan Brunei yang pertama, iaitu Sultan Muhammad Shah (Awang Alak Betatar) telah sebenarnya berkahwin dengan puteri dari Kesultanan Melaka, dan mewarisi peralatan kebesaran diraja, termasuk nobat dari Sultan-Sultan Melaka.
Peralatan
suntingBarisan alat nobat berbeza dari kerajaan ke kerajaan menerus ke zaman moden dari negeri ke negeri dalam negara moden. Kerajaan Pattani yang wujud dari zaman abad ke-15 hingga abad ke-19 diceritakan dalam Hikayat Patani mempunyai sebanyak 33 jenis alat nobat atau ragam digunakan dalam adat-istiadat kerajaan tersebut.[7] Tetapi secara umumnya, kelengkapan asas nobat dapat diperhatikan semuanya menurut kelaziman nobat dimainkan pada zaman Kesultanan Melaka terdiri dari tiga jenis alat asas: gendang, nafiri dan serunai.
Gendang
suntingGendang yang ada dalam barisan nobat terbahagi kepada beberapa jenis:
- gendang nengkara (Perak dan Selangor) / nakara (Brunei) / negara (Terengganu) / nahara (Kedah), gendang bermuka satu.
- gendang ibu (Kedah dan Terengganu) / gendang nyenyalu (Perak dan Selangor), gendang bermuka dua, bersaiz besar.
- gendang anak (Kedah dan Terengganu) / gendang peningkah (Perak dan Selangor), gendang bermuka dua, bersaiz kecil.
- gendang labik (Brunei)
Kedudukan gendang negara adalah yang tertinggi berbanding alat nobat lain kerana dipercayai ada kesaktian yang tinggi dek dihuni jin-jin yang dikatakan mampu memberi kuasa dan daulat kepada sultan.[2] Misalnya, gendang negara bagi Nobat Diraja Brunei bernama Nakara akan diusung oleh Ketua Jurulaki (Ketua Nobat Diraja Brunei) di atas kepalanya.[8] Nakara ini juga akan diletakkan di atas kaban (peti) Mahkota Diraja Brunei jika tidak digunakan.
Nobat Riau-Lingga mempunyai dua buah gendang penganak dan dua buah gendang panjang.[9]:5
Nobat Indragiri mempunyai sepasang gendang dua muka diperbuat dari "kayu pulut" dan kulit rusa diregangkan pada rangka rotan, setiap muka gendang dimainkan seorang penghulu gendang yang memalu gendang secara duduk sila memainkan irama penengkah sambil gendang anak dimainkan beriringan sebagai irama penyelalu.[9]:8-9 Terdapat suatu juga suku yang wujud bertumpu di kawasan hutan Riau mengamalkan adat nenek moyang serta taat setia kepada kerabat diraja Indragiri iaitu suku Mamak di mana mereka mempunyai "gendang nobat" sendiri iaitu ketabung (atau ketebung) yang digunakan untuk tujuan penyembuhan, gedombah yang lagi rendah serta gendang yang terbawah untuk tujuan pekerjaan seharian.[9]:8
Alat tiup
suntingAlat-alat tiup utama terdiri dari serunai dan nafiri. Serunai akan memainkan irama sesebuah lagu itu, manakala Nafiri berperanan memainkan irama yang panjang berterusan sebagai asas lagu istiadat yang dimainkan secara beriring oleh alat-alat gendang dan gong lain. Nafiri adalah sebahagian daripada kesemua negeri-negeri yang mempunyai peralatan nobat, kecuali Negara Brunei Darussalam.
Perkusi
suntingNobat Terengganu mempunyai sepasang alat kecil berupa simbal iaitu kopak-kopak, manakala Nobat Kedah menggunakan gong.[6]
Cara mengikut negeri
suntingBrunei
suntingSila lihat: Naubat Diraja Brunei
Malaysia
suntingNobat Diraja di Istana Negara Malaysia memainkan tiga lagu utama semasa Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong:[10]
- Raja Berangkat semasa kedua-dua Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairung Seri, dan ketika baginda berdua berangkat keluar dari Balairung Seri.
- Menjunjung Duli semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairung Seri,
- Raja Bertabal selepas Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mengangkat Sumpah Diraja.
Lagu-lagu Nobat Diraja Kedah
suntingNobat Diraja Kedah mempunyai 19 buah lagu kesemuanya - 7 daripadanya dikategorikan sebagai "Lagu Istiadat", dan selebihnya iaitu "Lagu Ragam". "Lagu Istiadat" merupakan lagu-lagu yang hanya boleh dimainkan pada waktu atau istiadat tertentu sahaja, manakala "Lagu Ragam" boleh dipalu pada bila-bila masa Nobat itu diperlukan, seperti Istiadat Bersiram atau Istiadat Berendoi. Notasi muzik bagi lagu-lagu Nobat Diraja Kedah dipanggil "dai" - yang ditulis dengan huruf Jawi.
Lagu | Waktu dimainkan | Nota tambahan |
---|---|---|
Perang | Lagu ini dimainkan semasa istiadat-istiadat penting, seperti: pemasyhuran, pertabalan, kemangkatan dan pemakaman. Selain dari itu, ia juga dipalu antaranya ketika Raja berangkat ke luar negeri, ataupun untuk menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan, menyambut kedatangan pembesar-pembesar dari luar negara, dan untuk mengumumkan tarikh Hari Raya. | Dikenali dengan nama Raja Bertabal untuk Istiadat Pertabalan.
Juga dikenali dengan nama Raja Beradu untuk Istiadat Pemakaman[12]. |
Belayar | Pada zaman dahulu, apabila raja hendak turun belayar, maka lagu ini akan dipalu oleh pemain Nobat. Memandangkan zaman sudah berubah, dan perjalanan dilakukan di atas darat, fungsi lagu ini diubah agar ia dimainkan apabila Sultan dan Sultanah berangkat masuk atau keluar dari Balai Penghadapan semasa istiadat rasmi.
Semasa Istiadat Pemakaman, jenazah yang mangkat itu akan diusung keluar dari Balai Penghadapan diiringi dengan paluan lagu ini. |
Juga masyhur dengan nama Raja Berangkat. |
Palu | Sebelum masuknya waktu Sembahyang Fardhu Maghrib dan Sembahyang Fardhu Isha, pemain Nobat akan memainkan lagu ini di Balai Nobat. | Jika Nobat Diraja Kedah digunakan untuk Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, lagu ini akan dikenali sebagai Menjunjung Duli. |
Tempoyak | Lagu ini hanya dipalu pada hari Jumaat sahaja, iaitu setiap satu jam selepas waktu Sembahyang Fardhu Subuh sehinggalah jam 12 tengah hari, untuk mengingatkan rakyat dan penduduk tentang kewajipan menunaikan Sembahyang Fardhu Juma'at. | Tidak lagi dimainkan pada zaman sekarang. |
Raja Burung | Lagu ini dikatakan sebagai "raja" di antara semua lagu Nobat Diraja Kedah. Ia termasuk dalam 9 buah lagu yang akan dimainkan pada hari ketiga selepas Hari Raya Aidil'adha, sebagai persembahan tahunan kepada Sultan di istana. | |
Berlimau | Lagu ini dipalu semasa Istiadat Berlimau sempena Istiadat Perkahwinan Diraja. | |
Mambang Berkayuh | Lagu ini akan dimainkan apabila Raja turun berkayuh di sungai pada zaman dahulu. | |
Lumat | Kesemuanya adalah "Lagu Ragam." | Masih dimainkan pada zaman sekarang. |
Gendang Anak | ||
Sadaruna | Tidak lagi dimainkan pada zaman sekarang. | |
Sepindin | ||
Seratan | ||
Arak-Arak | ||
Bayat | ||
Bayok | ||
Dewa Raja (Hayat) | ||
Malawala | ||
Mambang Cina |
Waktu-waktu Nobat Diraja Kedah dipalu
suntingMenurut tradisi, Nobat Diraja Kedah juga akan dipalu pada waktu-waktu berikut:
- 2 kali sebelum masuknya waktu Sembahyang Fardhu Subuh.
- 1 kali sebelum masuknya waktu Sembahyang Fardhu Maghrib.
- 1 kali sebelum masuknya waktu Sembahyang Fardhu Isha'.
- Pada hari ke-3 selepas Hari Raya Aidil'adha di istana. Para pemain akan mempersembahkan 9 buah lagu, namun pada masa kini, hanya 5 buah lagu sahaja diperdengarkan.
- Semasa Istiadat Perkahwinan Diraja.
- Semasa peristiwa gerhana matahari atau gerhana bulan (tidak lagi dilakukan)
Pantang-larang Nobat Diraja Kedah
sunting- Peralatan tidak boleh disentuh oleh orang luar.
- Kedudukan peralatan nobat tidak boleh diubah sesuka hati.
- Jawatan pemain hanya boleh diperturunkan kepada waris lelaki sahaja.
- Seorang pemain itu tidak boleh mengajar semua lagu yang dia tahu kepada penggantinya.
- Apabila membawa peralatan nobat turun dari Balai Nobat, ia hendaklah dilakukan dengan mengikut susunan tertentu, dengan didahului oleh Mahaguru (rotan Semambu).
- Tidak ada sesiapapun yang dibenarkan untuk melihat apa yang ada di bawah permukaan gendang Nahara.
- Nobat tidak boleh dipalu kecuali semasa istiadat-istiadat yang melibatkan Sultan Kedah.
- Peralatan nobat tidak boleh dipersendakan (bercakap sembarangan atau tidak menentu mengenainya).
Nobat Diraja Perak Daru'l Ridzuan dan Selangor Daru'l Ehsan
suntingDalam jadual di bawah ini, 8 buah lagu yang disenaraikan, iaitu Gendang Berangkat sehingga Aleh-Aleh Pendek merupakan lagu asli yang telah "keluar dari laut", manakala selebihnya telah ditambah mengikut peredaran zaman[15].
Lagu | Nota Tambahan |
---|---|
Gendang Berangkat | Dikenali dengan nama "Iskandar" di negeri Selangor. Dimainkan semasa Sultan dan Permaisuri baginda berangkat masuk atau keluar dari Balai Penghadapan semasa istiadat rasmi. |
Puteri Mandi Mayang | Antara waktu lagu ini dimainkan adalah ketika Istiadat Bersiram, dan pada petang 27, 28 dan 29 Syaaban sempena bulan Ramadhan. Di negeri Selangor, lagu ini dikenali dengan nama "Puteri Lenggang Mayang". |
Rama-Rama Terbang Tinggi | - |
Kumbang Si Kumali (Kumbang Kembali) | |
Dang Gendang | |
Arak-Arak Antelas | |
Aleh-Aleh Panjang | |
Aleh-Aleh Pendek | |
Gendang Perang | |
Jong Beraleh | |
Lenggang Che Kobat | Dikenali dengan nama: "Ibrahim Khalilullah" di negeri Selangor. |
Anak Raja Basuh Kaki | - |
Nobat Tabal | Dimainkan semasa Istiadat Pertabalan. |
Nobat Subuh | Dimainkan pada sebelah pagi dan petang sahaja. |
Nobat Khamis | |
Nobat Raja |
Nobat Diraja Terengganu Daru'l Iman
suntingLagu-lagu Nobat Diraja Terengganu
suntingLagu | Nota tambahan |
---|---|
Iskandar Shah | Dimainkan apabila Sultan dan Sultanah berangkat masuk ke Balairong Seri, begitu juga halnya jika Nobat Diraja Terengganu digunakan untuk Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, dan dikenali dengan nama "Raja Berangkat". |
Ibrahim Khalil | Dikenali dengan nama "Raja Bertabal" untuk Istiadat Pertabalan. |
Palu-Palu Melayu | Jika Nobat Diraja Terengganu digunakan semasa Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, lagu ini dikenali sebagai "Menjunjung Duli". |
Palu-Palu Nyiri | - |
Arak-Arak | |
Anak Kuda Ragam (Raja Beradu) | |
Seri Istana | Dimainkan apabila Sultan dan Sultanah berangkat keluar dari Balairong Seri, begitu juga halnya jika Nobat Diraja Terengganu digunakan untuk Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, dan juga dikenali dengan nama "Raja Berangkat". |
Seri Istana (Semang) | - |
Lapan | |
Perang | |
Petang Khamis | |
Petang Khamis Perak | |
Petang Juma'at |
Waktu-waktu Nobat Diraja Terengganu dipalu
suntingPada zaman dahulu, nobat akan dipalu setiap hari termasuk waktu-waktu berikut:
- Istiadat Perkahwinan Diraja - setiap pagi dan petang.
- Istiadat Menjunjung Duli
- Istiadat Pertabalan
- Istiadat Bersiram
- Setiap petang Khamis di Istana Persemayaman.
- Setiap petang semasa bulan Ramadhan.
Adat-tradisi Nobat Diraja Terengganu pada zaman dahulu
sunting- Nobat hanya boleh dimainkan untuk Sultan, Yang Di-Pertuan Muda, Bendahara dan Temenggong.
- Tempoh paluan nobat itu adalah berdasarkan tiupan nafiri: untuk Sultan dan Yang Di-Pertuan Muda, tidah lebih dari 11 kali tiupan, untuk Bendahara, tidak lebih 9 kali tiupan dan untuk Temenggong, tidak boleh melebihi 7 kali tiupan nafiri.
- Ketua nobat diberi gelaran "Laila Perkasa", dan akan meniup nafiri. Ketua pemain gendang diberi gelaran "Laila Sangguna".
- Sesiapa yang mendengar bunyi nafiri hendaklah memberhentikan apa jua pekerjaan yang dilakukannya, sehinggalah nafiri itu ditiup tiga kali.
- Sesiapa yang melintas di hadapan peralatan nafiri apabila nobat bermain di luar istana, dia akan dihukum / didenda.
- Jikalau nobat bermain di dalam istana, dan ada yang mendengar bunyi nafiri, dia hendaklah berhenti, duduk dan menyembah dengan serta-merta sebagai tanda hormat. Dia boleh menyambung pekerjaannya selepas mendengar bunyi "guruh" dari gendang Negara sebanyak 3 kali. Apabila peraturan ini dilanggar, denda sebanyak enam suku akan dikenakan.
Rujukan
sunting- ^ a b c Raja Iskandar Bin Raja Halid (Julai 2017). "Nobat dan Etnifikasi: Pertembungan Budaya dan Pengadaptasiannya dalam Pembentukan Identiti Melayu". MELAYU: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 10 (2): 214–229.
- ^ a b Raja Iskandar Bin Raja Halid (Jun 2010). "The Royal Nobat of Perak - Between Daulat and Music". Jurnal ASWARA. Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan Malaysia. 5 (1/2010): 38–48. ISSN 1985-2606.
- ^ Salmoné, Habib Anthony (1889). "نوب". An Advanced Learner's Arabic-English Dictionary. m/s. 9023.
- ^ a b al Faruqi, Lois Ibsen. "The Suite in Islamic History and Culture". The World of Music. VWB - Verlag für Wissenschaft und Bildung. 27 (1985): 46-66.
- ^ a b Raja Badri Shah Tunku Nong Jiwa; Sheppard, Mubin (1962). "The Kedah and Perak Nobat". Malaya in History (Malaysia in History). Persatuan Sejarah Malaysia: 7–11.
- ^ a b c Tengku Muda Muhammad (Oktober 1968). "The Silver Nobat of Trengganu" (PDF). Malaysia in History. Persatuan Sejarah Malaysia. 12 (1): 30–32.
- ^ Raja Iskandar Bin Raja Halid (2018). "The nobat in early Malay literature: A look into the Hikayat Patani". Indonesia and the Malay World. 46 (135): 168–197.
- ^ "Alat-Alat Kebesaran Diraja". Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam. 2015. Dicapai pada 28 Jun 2021.
- ^ a b c Kartomi, M. J. (Mac 1997). "The Royal Nobat Ensemble of Indragiri in Riau, Sumatra, in Colonial and Post-Colonial Times". The Galpin Society Journal. 50: 3–15. doi:10.2307/842560 – melalui JSTOR.
- ^ "Nobat Diraja". Istana Negara Kuala Lumpur. 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-09. Dicapai pada 1 Julai 2021.
- ^ https://www.google.co.nz/books/edition/Intisari_kebudayaan_Melayu_Kedah/HnY7AAAAMAAJ?hl=en&gbpv=0
- ^ https://www.proquest.com/newspapers/sultanah-bahiyah-laid-rest/docview/271702142/se-2
- ^ https://www.google.co.nz/books/edition/The_Malay_Nobat/3Ah0EAAAQBAJ?hl=en&gbpv=0
- ^ https://www.google.co.nz/books/edition/Pertabalan_DYMM_Paduka_Seri_Sultan_Perak/i1RMDwAAQBAJ?hl=en&gbpv=0
- ^ https://core.ac.uk/download/pdf/11492299.pdf
Pautan luar
sunting- Rakaman audio "Lagu Berlayar" Nobat Kedah dirakam 22 Ogos 1958 oleh Radio Malaya dalam Arkib Negara Singapura.
- Sebahagian temubual bersama ketua Nobat Diraja Kedah dirakam 4 Jun 1958 dalam simpanan Arkib Negara Singapura (versi penuh perlu diminta izin Arkib).