Orang Belanda Hitam

Askar KNIL dari Afrika Barat

Orang Belanda Hitam (Tulisan Jawi: اورڠ بلندا هيتم; bahasa Belanda: Zwarte Hollanders; bahasa Jawa: Londo Ireng)[1] ialah rekrut Afrika Barat yang didatangkan dari Elmina (sekarang terletak di Ghana),[2] untuk berkhidmat dengan Tentera Diraja Hindia Timur Belanda (Koninklijk Nederlands Indisch Leger, KNIL) yang bertugas di Hindia Timur Belanda (sekarang Indonesia).

Lukisan Kees Pop daripada kontinjen tentera Hindia karya Isaac Israëls. Koleksi Rijksmuseum Amsterdam

Antara tahun 1831 hingga 1872, lebih daripada tiga ribu orang Afrika direkrut dari Gold Coast Belanda untuk berkhidmat sebagai askar kolonial di Hindia Timur Belanda. Perekrutan ini sebenarnya sebuah langkah darurat oleh sebab tentera Belanda kehilangan beribu orang tentera Eropah dan sebilangan tentera bumiputera yang lebih besar dalam Perang Jawa menentang Diponegoro. Belanda mengikut contoh kuasa-kuasa kolonial lain pada zaman itu seperti United Kingdom dan Perancis yang merekrut anggota dari Afrika untuk berkhidmat di tanah-tanah jajahan lain. Rasionalnya ialah anggota tentera asing tidak berkemungkinan bersimpati dengan penduduk asli dalam pergeseran mereka dengan kuasa penjajah. Dalam kes orang Afrika dan KNIL, hampir semua anggota direkrut daripada kalangan bekas hamba. Perekrutan berakhir pada tahun 1872 selepas Elmina bertukar tangan kepada United Kingdom berikutan Perjanjian Sumatera 1871.

Sebilangan orang Afrika pulang ke negara asal di Afrika Barat selepas tamat perkhidmatan, akan tetapi sebilangan besar juga menetap di Hindia Timur Belanda selepas berkahwin dengan wanita tempatan. Waris-waris mereka dianggap sebagai sebahagian masyarakat Indo-Eropah. Selepas Perang Dunia Kedua dan kemerdekaan Hindia Timur Belanda sebagai negara Indonesia, kebanyakan mereka berpindah ke Belanda.

Sejarah dan identiti sunting

Antara tahun 1831 hingga 1872 dianggarkan seramai 3,000 rekrut Afrika Barat,[3] yang sebahagiannya sukarela dan sebahagian lainnya kerahan, telah dibawa ke Jawa untuk berkhidmat dengan KNIL. Semasa Perang Jawa, Belanda telah kehilangan beribu-ribu anggota tentera Eropah[4] dan bilangan yang lebih besar lagi daripada tentera peribumi mereka. Kemerdekaan Belgium daripada Belanda pada tahun 1830 pula mengurangkan bilangan penduduk Belanda, jadi lebih sukar buat Belanda untuk menggantikan kerugian jiwa daripada sebelumnya. Sebaliknya, untuk memastikan kesetiaan tentera peribumi, mereka mahu bilangan askar peribumi dalam tentera terhad kepada kira-kira separuh daripada jumlah total kekuatan.[4] Mereka juga berharap tentera Afrika akan lebih tahan dengan iklim dan penyakit tropika di Hindia Timur Belanda berbanding dengan tentera Eropah.[4] Belanda mendapat inspirasi untuk merekrut tentera dari Afrika daripada rejimen-rejimen Hindia Barat British yang diwujudkan untuk mengawal pemberontakan hamba-hamba yang bekerja di Caribbean.[5] Pegawai-pegawai Belanda yang berada di Suriname dan Hindia Barat Belanda berkesempatan untuk menyaksikan tentera dari Hindia Barat British beraksi dan berpuas hati dengan kebolehan mereka. Penyelidik Belanda, Ineke van Kessel, menulis pihak Belanda juga terpengaruh dengan laporan positif Mejar Charles Hamilton Smith, seorang pegawai British tetapi dilahirkan di Antwerp sebagai Karel de Smet, yang juga kenalan peribadi kerabat diraja Belanda.[6] Justeru, pada tahun 1831 Gabenor J. Last di Elmina diarah untuk merekrut sebuah kompeni tentera seramai 150 orang Afrika untuk berkhidmat di Hindia Timur Belanda.

Dalam Bahasa Melayu mereka dipanggil "Orang Belanda Hitam" kerana memakai nama panggilan Belanda (Johannes, Mozes dan lain-lain) dan juga kerana berasa lebih unggul terhadap anggota tentera peribumi yang berasal dari pulau Jawa dan Ambon.[7] Ini disebabkan kenyataan bahawa mereka diserap ke dalam tentera penjajah sebagai orang Eropah.[4][nota 1] Alasan untuk kenyataan ini mungkin untuk mengelakkan semua kaitan kepada asal-usul perhambaan mereka. Mereka direkrut terutamanya di bekas tanah jajahan Belanda di Pantai Guinea, iaitu di St. George d'Elmina (di Ghana pada masa ini) oleh seorang wakil daripada Tentera Diraja Hindia Timur Belanda, namun sebahagiannya lagi dibeli di pasar hamba di Kumasi.[4] Sebahagian kecil pula berasal dari tempat yang lebih jauh lagi, iaitu dari kawasan yang pada masa ini ialah Burkina Faso, Mali, Niger, Ivory Coast, dan Benin.[8][9] Setelah tanah jajahan ini dipindahkan kepada British pada 6 April 1872 berikutan Perjanjian Sumatera 1871, kawasan depoh ini ditutup dan keterlibatan warga Afrika Barat dalam tentera Hindia Timur Belanda dihentikan secara beransur-ansur.[4]

Perekrutan dan penyertaan dalam ekspedisi awal sunting

Perekrutan orang Afrika ke dalam tentera kolonial Belanda berlaku dalam tiga fasa: fasa permulaan (1831-1836), kemasukan yang ramai (1837-1841), dan perekrutan kecil-kecilan bermula lewat tahun 1850-an.

Latar belakang sunting

Pada waktu peralihan dari tahun 1806 hingga 1816 semasa Perang Napoleon, pihak British mengambil alih pentadbiran beberapa jajahan Hindia Timur Belanda termasuk Jawa buat sementara waktu sehingga penguasaan Belanda dapat dipulihkan. Pada tahun 1824, Perjanjian Inggeris–Belanda menyerahkan penguasaan Belanda di Melaka, Semenanjung Tanah Melayu, dan jajahan-jajahannya di India kepada Great Britain sebagai pertukaran untuk penempatan British di apa yang sekarang gugusan kepulauan Indonesia moden, seperti Bengkulu di Sumatera. Kesan penyempadanan antara jajahan Malaya British dan Hindia Timur Belanda kekal sehingga hari sebagai sempadan antara Malaysia dan Republik Indonesia. Ibu kota Hindia Timur Belanda pada masa itu, Batavia (Betawi) yang kini dikenali sebagai Jakarta, kekal sebagai ibu negara Indonesia.

Sepanjang sejarah Syarikat Hindia Timur Belanda (Belanda: Verenigde Oostindische Compagnie, atau VOC) dan Hindia Timur Belanda, penguasaan Belanda terhadap wilayah-wilayah di kepulauan Hindia Timur Belanda tidak seberapa besar. Belanda hanya dapat menguasai semua wilayah yang terkandung dalam sempadan Indonesia moden pada awal abad ke-20. Walaupun pulau Jawa dikuasai oleh Belanda selama hampir 350 tahun melalui VOC dan kerajaan Belanda, banyak lagi wilayah termasuk Aceh, Lombok, dan Borneo yang kekal merdeka pada abad ke-19.[10]

Seluruh gugusan pulau ini menghadapi peperangan dan gangguan ekoran usaha perluasan penguasaan Belanda. Usaha ini ditentang hebat oleh pelbagai kelompok peribumi Indonesia dan cukup untuk melemahkan penguasaan Belanda dan tenteranya.[11] Pada abad ke-17, VOC menggunakan senjata-senjata tercanggih dengan bantuan askar upahan daripada suku Bugis (dari Sulawesi) dan suku Ambon (dari Maluku) untuk meluaskan dan melindungi kepentingan perdagangannya di seluruh Nusantara. Antara pertempuran paling berpanjangan yang dialami termasuk Perang Padri di Sumatera (1821–38), Perang Jawa (1825–30) yang dilancarkan oleh Pangeran Diponegoro, dan Perang Aceh yang berterusan selama lebih 30 tahun.

Perekrutan tentera dari Afrika sunting

 
Rekrut KNIL dari Elmina

Pada tahun 1831, kerajaan Belanda membuat keputusan untuk merekrut tentera dari tanah jajahan Belanda di Afrika Barat, dan pada tahun 1836, sekumpulan 88 orang tentera Afrika tiba di Hindia Timur Belanda. Sementara itu, kerajaan Belanda memutuskan untuk menjalankan perekrutan besar-besaran dengan meminta bantuan sekutu lama mereka, Raja Ashanti.[12] Atas sebab itu, pada musim luruh tahun 1836, Mejar Jeneral J. Verveer diamanahkan dengan misi untuk memujuk Raja Ashanti.[13] Selepas beliau tiba di Elmina pada 1 November 1836, beliau meninggalkan tempat itu dengan rombongan kira-kira 900 orang (majoritinya kuli yang membawa barang-barang dan cenderamata) menuju ibu kota Empayar Ashanti, iaitu Kumasi. Selepas rundingan yang panjang, Verveer menandatangani perjanjian untuk perekrutan orang Afrika dengan Raja Kwaku Dua.[12] Sebuah depoh didirikan di Elmina untuk pengambilan rekrut yang diatur dan dikendalikan oleh J. Huydecoper, seorang pegawai kerajaan Belanda keturunan campuran Belanda-Afrika dari Elmina.[14] Kwaku Dua juga menghantar dua putera keluarga diraja, bernama Kwasi Boachi dan Kwame Poku, untuk pergi bersama-sama Verveer untuk mendapatkan pendidikan di Belanda. Penulis novel Arthur Japin menulis tentang mereka dalam karya romannya yang bertajuk De zwarte met het witte hart ("Si Hitam dengan hati yang putih") yang diterbitkan pada tahun 1997.[15]

Oleh sebab pada masa itu British telah memansuhkan perhambaan, perekrutan terpaksa dijalankan dengan berhati-hati. Raja Ashanti menyediakan hamba sahaya dan tawanan perang dari kawasan sekitar, yang kemudian menerima panjar untuk membeli kebebasan diri mereka sendiri dan secara rasmi keluar daripada perhambaan. Bagaimanapun, cengkeram ini mereka bayar balik daripada gaji mereka semasa berkhidmat sebagai tentera Belanda, yang mereka sertai secara nominalnya sebagai anggota sukarela.[4] Bantahan British pada tahun 1842 membawa kepada pemberhentian sementara perekrutan yang agak berjaya itu. Pada tahun 1855, perekrutan disambung semula kerana pengalaman yang positif dengan tentera Afrika di Hindia Timur Belanda, dan kali ini perekrutan dengan tegas bersifat sukarela. Sebahagiannya berjaya kerana sebab ini, tetapi tidak ramai yang tertarik. Hanya pada tahun 1860 barulah detasmen pertama berjaya dihantarkan ke Jawa, dan setelah itu terdapat beberapa ratus rekrut lagi yang menyusuli detasmen pertama. [4]

Ekspedisi ke Aceh sunting

Pada awal abad ke-19, pemerintahan Belanda terbatas pada pulau Jawa dan pesisir pantai selatan Sumatera, Maluku, dan pulau-pulau lain. Pemerintahan Belanda hanya menjadi mantap di kepulauan Hindia Timur Belanda menjelang tahun 1900, dan anggota tentera Afrika memainkan peranan dalam pengembangan pemerintahan ini. Kompeni-kompeni Afrika bertempur bersama-sama anggota tentera KNIL berbangsa Eropah dalam kempen-kempen Belanda di Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Bali, Timor, dan Aceh.[16]

 
Tentera peribumi dan tentera Afrika yang berkhidmat dalam KNIL. Anggota Afrika (kanan) memakai kasut, lambang status orang Eropah.

Antara kontinjen bukan Eropah dalam Ekspedisi Aceh Kedua pada tahun 1873, terdapat dua kompeni yang dianggotai orang Afrika Barat, iaitu Haf Kanan (Belanda: Rechter Halve) ke-3 dan ke-4 daripada Batalion Infantri Kedua di bawah pimpinan Leftenan Kolonel K. van der Heijden. Dari segi kekuatan, bilangannya kecil sahaja, hanya kira-kira 230 orang daripada keseluruhan tenaga seramai 13,000 orang. Namun, anggota-anggota ini menyertai angkatan KNIL dengan reputasi yang sangat baik; tambah lagi, mereka tahan dengan keadaan tempatan. Mereka menerima gaji yang lebih tinggi daripada anggota peribumi dan berkongsi kandang kuda dengan tentera Eropah. Kedua-dua kompeni Afrika tersebut berkhidmat di bawah Mejar M.A.E. Phaff.[17]

Sementara itu, orang Aceh memulakan ekspedisi hukuman terhadap kampung-kampung yang telah bekerjasama dengan Belanda. Tentera Afrika dikerahkan untuk melindungi daerah-daerah Meuraksa dan Lampaseh di Aceh, dan pada 26 Julai 1874 juga Surian— ini membolehkan orang awam untuk bergerak melalui sungai Aceh dan melintas laluan dari pantai ke Kuta Raja dengan aman.[18] Sejak menakluk Surian pada 26 Julai 1874, orang Afrika juga bertugas mengeluarkan kad pelawat untuk sesiapa warga Aceh yang ingin berkunjung ke sana. Dalam kempen ini, seorang penembak Afrika, T. Tak, dianugerahi pingat Kesatria Kelas 4, Darjah Tentera Willem, Sarjan Afrika J. Noudjedij dan para soldadu Afrika J. Hat, W. Muil, dan W. Bamberg dianugerahi Pingat Gangsa Keberanian dan Kesetiaan, manakala W. Zwol dan T. Zaal menerima sebutan khas.[19] Bilangan mereka kini menurun daripada 230 kepada 116 orang oleh sebab pusing ganti dan kekurangan rekrut baru. Keadaan ini kekal sehinggalah kekuatan Kompeni Haf Kanan ke-3 dan ke-4 Batalion Infantri Kedua dipulihkan dengan tambahan orang-orang Eropah.

Pada 8 November 1875, Kolonel J.L.J.H. Pel kembali ke Aceh sebagai Mejar Jeneral dan Panglima Tertinggi. Pada 9 November, beliau mengambil alih kuasa daripada Kolonel Wiggers van Kerchem, yang meninggalkan Aceh pada 10 November.[20] Semasa Perang Aceh, di bawah pimpinan Mejar Jeneral Pel, bilangan anggota tentera Afrika telah mengurang kepada kira-kira 176 orang.[21] Dengan kebenaran pemerintahan Hindia, Pel membuat dua orang pegawai tentera British-India, iaitu Kapten A.P. Palmer dan Kapten W.S.A. Lockhart, sebagai pemerhati tentera bagi sebahagian operasi peperangan.[22] Palmer kemudian menulis dalam laporannya bahawa tentera Afrika setakat itu adalah yang terbaik dalam kalangan anggota tentera Tentera Hindia. Palmer tidak amat menghargai penembak-penembak Eropah dan Jawa yang kurang terlatih, tetapi mengambil maklum bahawa orang Aceh mempunyai penghormatan tinggi terhadap orang Afrika Barat. Untuk mengisi kompeni Afrika Barat, percubaan masih dilakukan dan cara-cara lain dicari untuk memenuhi kekurangan tentera Afrika tersebut, tetapi usaha itu runtuh kerana bantahan British yang merasakan usaha itu sebenarnya sebuah penyamaran yang mudah untuk satu tindakan perhambaan.

Rekod perkhidmatan sunting

Rekod perkhidmatan tentera Afrika yang direkrut untuk perkhidmatan di Hindia Timur Belanda bercampur-campur. Sepanjang perkhidmatan di Hindia Timur, mereka mendapat kedua-dua kepujian kerana ketaatan serta keberanian, dan juga kecaman kerana melawan perintah dan mendahagi. Malah dahagi yang dilakukan mereka membawa kepada pemikiran semula oleh para pemerintah tentera Belanda tentang kebijaksanaan perekrutan mereka dan akhirnya menjadi satu sebab utama perekrutan anggota Afrika dihentikan sementara oleh Belanda.[23]

Ketaatan dan keberanian sunting

Belanda mencuba untuk memastikan ketaatan askar Afrika mereka dengan memberi orang Afrika layanan istimewa berbanding dengan anggota tentera KNIL peribumi. Anggota Afrika diberi status serta syarat-syarat perkhidmatan (gaji, kenaikan pangkat, makanan, pakaian, dan sebagainya) yang sama dengan anggota Eropah. Hasilnya, anggota tentera Afrika berasa bahawa kedudukan mereka terletak di atas anggota peribumi; malah mereka memandang rendah anggota peribumi. Perlu diperhatikan bahawa struktur tentera kolonial diatur mengikut strata yang berlandaskan etnik dan sosial status yang ketat. Di tingkat teratas ialah orang Eropah. Orang Ambon, yang beragama Kristian, terletak ditengah-tengah sementara anggota tentera peribumi lain, orang Jawa, Bugis dan sebagainya, yang beragama Islam, terletak di lapisan bawah. Walau apa pun, kedua-duanya akan menyanjung orang Eropah yang menjadi ketua tentera mereka. [nota 2]

Secara amnya Belanda berpuas hati dengan mutu tentera Afrika. Ineke van Kessel memetik laporan awal Belanda yang antara lain berkata, "...mereka ini orang jujur; tidak ada laporan kecurian dilaporkan. Mereka kuat, berbadan sasa, tidak mengenal penat dan telah menyesuaikan diri dengan iklim tropika. Semasa ekspedisi tentera, mereka mempamerkan keberanian, lebih daripada orang Eropah." [nota 3] Ramai anggota Afrika memenangi anugerah keberanian dan mendapat sanjungan orang Belanda terutamanya selepas ekspedisi menentang Aceh.

Dahagi sunting

Walaupun anggota Afrika menunjukkan keberanian, mereka juga melakukan beberapa siri dahagi di pulau Jawa dan Sumatera. Sebilangan besar, jika tidak semua, anggota tentera Afrika merupakan bekas hamba. Mereka terdiri daripada tawanan perang Ashanti ataupun negara-negara ufti Ashanti, atau hamba-hamba sahaya suku-suku lain. Mereka membeli kebebasan mereka dengan wang pendahuluan yang dibayar daripada gaji mereka sebagai askar KNIL, akan tetapi mereka menyertai KNIL dengan penuh kesedaran tentang peranan yang diberikan kepada mereka.[24]

Rekrut Afrika menyertai KNIL dengan janji bahawa mereka akan diberi layanan dan status yang sama dengan tentera Eropah. Secara amnya Belanda melunaskan janji mereka kepada tentera Afrika; orang Afrika pula menuntut agar janji itu dilaksanakan sepenuhnya. Dan mahupun tentera Afrika ini sebenarnya datang daripada latar belakang (kumpulan etnik, bahasa, budaya) yang amat berbeza, mereka bersatu hati menuntut hak-hak serta kesamaan dengan tentera Eropah yang telah dijanjikan mereka.

Antara tahun 1838 hingga 1841, berlaku beberapa peristiwa dahagi: pada bulan April 1840, anggota Afrika di Purworejo memberontak kerana gaji. Pemberontakan ini didahului dengan beberapa rungutan kerana janji tentang kesamaan dari segi pakaian, tempat tidur dan beberapa perkara lagi tidak ditepati. Pada bulan Jun 1841, beberapa orang tentera Afrika di kubu Van der Capellen di Sumatera enggan mengikut perintah disebabkan mereka dibayar gaji yang rendah daripada orang Eropah. Pertempuran berlaku dengan pasukan yang mengejar mereka dan berkesudahan dengan kehilangan nyawa dua orang Afrika.[23] Kejadian di Sumatera membuat kerajaan kolonial mengkaji semula perekrutan dan penyertaan anggota Afrika dalam KNIL.

Kajian Belanda pada masa itu merungkai beberapa sebab terjadinya dahagi dalam kalangan tentera Afrika. Penyebab-penyebab ini berhubung kait dengan struktur etnik KNIL, persepsi status serta janji 'kesamaan dengan orang Eropah' yang diberikan Belanda kepada anggota Afrika. Dari sudut pandangan pegawai tentera Eropah, orang Afrika tidak beza daripada orang Ambon ataupun anggota peribumi lain. Khususnya, mereka hairan mengapa tentera Afrika diberi layanan istimewa berbanding dengan anggota Ambon yang mereka anggap lebih boleh dipercayai dan seagama dengan mereka. Dari sudut pandangan orang Afrika pula, mereka berstatus 'Eropah' dan memandang rendah anggota peribumi, termasuk orang Ambon yang juga diberi layanan istimewa sebagai orang Kristian. Tentera Afrika menuntut kesamaan hak dengan orang Eropah secara mutlak. Mereka menganggap diri mereka 'Eropah' dan tidak membezakan orang Ambon daripada anggota peribumi lain, dan berasa tersinggung apabila, misalnya, mereka diberi pelapik tidur (sama dengan tentera Ambon) dan tidak tilam seperti orang Eropah. Malah kes pelapik tidur ini menjadi isu besar buat mereka, dan bersama-sama dengan apa yang dilihat sebagai kemungkiran janji lain, membawa kepada dahagi. Bagi anggota tentera peribumi lain pula, mereka hairan mengapa bekas hamba ini diberi status yang lebih tinggi daripada orang bebas seperti mereka.[25]

Masyarakat Indo-Afrika sunting

 
Koperal Belanda B. van Weenen (kiri) dan Koperal Afrika J. de Leeuw

Perekrutan orang Afrika berakhir pada tahun 1872 selepas Elmina diserahkan kepada Britain. Walau bagaimanapun ramai anggota tentera Afrika yang telah berkahwin dengan wanita peribumi memilih untuk tinggal di Hindia Timur selepas tempoh perkhidmatan mereka tamat.[26] [nota 4] Ini menjadikan Jawa tempat yang mempunyai masyarakat Indo-Afrika yang tetap utuh dan berkembang di kampung-kampung tertentu sehingga Perang Dunia Kedua. Majoriti masyarakat Indo-Afrika tinggal di Semarang, kemudian diikuti oleh bandar garison Purworejo di Jawa Tengah, di mana Raja Willem III telah memperuntukkan sebidang tanah bagi orang Afrika pada tahun 1859.[26] Purworejo bahkan masih mempunyai rekod pembaptisan keluarga Katolik Indo-Afrika tersebut.[27] Selain itu, keluarga Indo-Afrika juga tinggal di bandar-bandar garison lain seperti Batavia, Salatiga, Surabaya, dan Yogyakarta [26] Secara tradisinya ramai ahli lelaki masyarakat ini yang berkhidmat dalam Tentera Hindia, dan profesion tentera biasa diteruskan daripada bapa ke anak lelakinya. Ini menjelaskan kehadiran orang Afrika Barat yang berterusan dalam tentera Belanda di Aceh mahupun perekrutan berakhir pada tahun 1872.[9]

Perkhidmatan mereka juga direkodkan dalam senarai tertentu. Sebagai contoh, dalam rekod tahun 1896 dinyatakan dua kematian ini: Penembak Afrika W. Denk dengan nombor pendaftaran 35700 meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada 11 Ogos 1896 semasa lawatan ke Lepong dan Lohong, dan Sarjan Afrika J. Boon dengan nombor pendaftaran 18401 meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada 24 Ogos 1896 semasa lawatan di XXII Mukim.[28] Sebaliknya, ada juga direkodkan bahawa Pieter Hermans berjaya menjadi Leftenan Muda pada akhir tahun 1837, dua kali menerima sebutan khas, dan juga mendapat Pingat Gangsa Keberanian dan Kesetiaan.[29][nota 5]

Sebahagian kecil daripada tentera Afrika kembali ke Elmina selepas perkhidmatan mereka tamat, di mana mereka menetap di sebuah bukit di belakang kubu Saint George.[30] Bukit itu diberi nama Java Hill, dan ia merupakan tempat peringatan pengalaman mereka.[26] Dari Hindia Timur mereka membawa bahan-bahan batik, yang menjadi begitu popular di Ghana dan bahagian Afrika Barat lainnya, sehingga terbentuk pasaran untuk batik tiruan yang pada tahun 1876 mula dibekalkan oleh syarikat Belanda Vlisco.[31][32]

Selepas kemerdekaan Indonesia, sebahagian besar waris tentera Afrika berpindah ke Belanda. Sebilangan masyarakat ini masih berhubung dan melakukan pertemuan di Belanda, melalui Indo-Afrika Kontakt Foundation (Yayasan Perhubungan Indo-Afrika).[8] Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kumpulan ini semakin berada dalam tumpuan utama. Pameran Zwart in dienst van Oranje (Si Hitam dalam perkhidmatan Oren) dibuka pada 12 Mei 2005 di Tropenmuseum, Amsterdam.[33] Pada bulan Julai tahun yang sama, karya penulisan Ineke van Kessel bertajuk Zwarte Hollanders: Afrikaanse soldaten in Nederlands-Indië (Belanda Hitam: Tentera Afrika di Hindia Timur Belanda) terbit,[19] diikuti dengan Zwarte huid, Oranje hart. Afrikaanse KNIL-nazaten in de diaspora (Kulit Hitam, Hati Oren: KNIL Keturunan Afrika dalam Diaspora) pada tahun 2010 karya Griselda Molemans dan jurugambar Armando Ello.[34]

Jan Kooi, Belanda Hitam yang paling terkenal sunting

 
Lukisan Jan Kooi, dilukis pada tahun 1882 di Harderwijk oleh Johan Coenraad Leich (Koleksi Bronbeek)

Jan Kooi ialah seorang koperal Afrika yang mencapai kemasyhuran di Belanda untuk aksi-aksi beraninya yang mengagumkan dalam Perang Aceh, iaitu perang yang paling lama, paling berdarah, dan paling tidak muktamad dalam sejarah kolonial Belanda. Kooi dilahirkan di St. George d'Elmina, di Pantai Barat Afrika.[3] Nama aslinya kemungkinan besar dianggap "tak terkata"; sehinggakan beliau serta ramai anggota tentera Afrika Barat lainnya diberi nama-nama panggilan Belanda.

Jan Kooi ialah seorang askar yang berani.[3] Pada 31 Januari 1878, beliau menyelamatkan nyawa Kapten Bloom dengan membunuh dua orang pejuang Aceh, sedangkan dirinya sendiri menderita daripada luka akibat serangan musuh.[35] Beliau juga berjaya merebut sepuluh laras meriam musuh. Tidak lama selepas itu, pada 25 Julai 1878, beliau kembali menyelamatkan nyawa Leftenan van Bijlevelt dengan membunuh seorang pejuang Aceh yang bersenjatakan kelewang dan tombak pada masa kritikal. Untuk jasanya itu, beliau mendapat anugerah 100 guilder Belanda. Selain itu, diketahui pula bahawa pada 26 April 1879, Kooi dan dua tentera Afrika lainnya (Bilk dan Jaap) berjaya menangkis serangan terhadap sebuah konvoi.[36] Atas Dekri Kerajaan Nombor 29 bertarikh 2 Mac 1878, Kooi dianugerahi pingat Kesatria Kelas 4, Darjah Tentera Willem, iaitu untuk "Atjeh 1877". Beliau merupakan askar Afrika Barat pertama yang berjaya mendapatkan kepujian tertinggi dalam ketenteraan Belanda itu.[37] Lebih lanjut lagi dalam kerjayanya, Kooi juga mendapatkan sebutan khas, Pingat Kraton, serta Salib Ekspedisi Militer.[2]

Selepas perkhidmatannya, Kooi kembali ke kampung halamannya di St. George d'Elmina, yang kini telah diserahkan kepada British, melalui Depoh Limbungan Kolonial di Harderwijk, Belanda. Semasa singgah di Harderwijk, dua potretnya telah dilukis: potret rasmi oleh J.C. Leich, dan potret impresionistik oleh Isaac Israels.[2][19] Ketika itu, Kooi berusia 33 tahun.[37] Menurut satu rencana dalam mingguan Overveluwsche Weekblad, Kooi mampu bercakap dalam bahasa Belanda dengan sempurna, dan beliau sering berucap tentang kerinduannya terhadap tanah airnya.[36] Potret minyak Jan Kooi, yang dibuat pada bulan Februari tahun 1883 oleh J.C. Leich disimpan di Muzium Bronbeek, bekas istana Diraja di Arnhem, Belanda.[37]

Nota sunting

  1. ^ Kesamaan status dan syarat perkhidmatan dengan orang Eropah memang dijanji dan dilaksanakan Belanda, akan tetapi janji kesamaan ini juga menjadi pendorong kepada beberapa siri pemberontakan oleh tentera Afrika. Satu contoh ialah dahagi berpunca daripada pertukaran tilam kepada tikar. Tentera Afrika berasa mereka tidak diberi kesamaan dengan tentera Eropah yang masih menggunakan tilam sebagai pengalas tempat tidur.
  2. ^ Belanda, seperti kuasa-kuasa kolonial lain, sengaja membuat stratifikasi ini agar orang Afrika berasa asing daripada orang peribumi dan tidak akan bersimpati dengan mereka sekiranya orang peribumi menentang orang Eropah.
  3. ^ Asal, "they were honest men; no traces of thievery had been reported. They were mostly strong, muscled, indefatigable and very adapted to the tropical climate. During military expeditions they demonstrated bravery and fearlessness, even more so than the Europeans."
  4. ^ Mengikut Ineke van Kessel, sama seperti anggota tentera KNIL yang lain, tentera Afrika menjalinkan hubungan dengan wanita tempatan. Waris-waris mereka bertutur dalam bahasa Belanda, menganut agama Kristian dan mendapat pendidikan di sekolah-sekolah Belanda. Lama-kelamaan mereka menjadi sebahagian masyarakat Indo-Eropah.
  5. ^ Hermans merupakan orang yang terawal sampai di Hindia Timur, pada tahun 1832. Beliau maju dalam kerjayanya dan dinaikkan pangkat sarjan dua tahun kemudian. Gajinya sama dengan sarjan Eropah, tetapi beliau menerima setengah gaji leftenan Eropah—sama dengan leftenan Ambon—apabila dinaikkan pangkat. Hermans tidak puas hati dan membuat aduan berkali-kali tentang hal ini. Pihak atasannya tidak berganjak dan akhirnya beliau diberhentikan daripada perkhidmatan ekoran sikapnya yang tidak henti-henti menuntut hak kesamaan.

Nota kaki sunting

  1. ^ Blakely 2001, m/s. 244.
  2. ^ a b c Bekers, Helff & Meroll 2009.
  3. ^ a b c Bekers, Helff & Meroll 2009, m/s. 41.
  4. ^ a b c d e f g h Abbink & Abbink 2012, m/s. 67-77.
  5. ^ Kessel 2009, m/s. 61.
  6. ^ Kessel 2009, m/s. 62.
  7. ^ van Kessel 2002, m/s. 147.
  8. ^ a b "Stichting Indo Afrikaan Kontakt". http://www.iakfoundation.nl/. Dicapai pada 16 October 2014. External link in |website= (bantuan)
  9. ^ a b Sunjayadi 2012.
  10. ^ Witton 2003, m/s. 23-25.
  11. ^ Schwarz 1994, m/s. 3-4.
  12. ^ a b van Kessel & Japin 2005, m/s. 75, 81, 170.
  13. ^ van Kessel & Japin 2005, m/s. 69, 121.
  14. ^ van Kessel & Japin 2005, m/s. 80, 83, 88.
  15. ^ van Kessel & Japin 2005, m/s. 7.
  16. ^ van Kessel 2009, m/s. 61.
  17. ^ Kepper 1874, m/s. 122.
  18. ^ van Kessel & Japin 2005, m/s. 151.
  19. ^ a b c van Kessel & Japin 2005.
  20. ^ de Bruyne 1899, m/s. 68-72.
  21. ^ de Bruyne 1899, m/s. 30.
  22. ^ van Kessel & Japin 2005, m/s. 152.
  23. ^ a b van Kessel 2003, m/s. 152.
  24. ^ van Kessel 2003, m/s. 142.
  25. ^ van Kessel, m/s. 161–163.
  26. ^ a b c d Boyce 2008, m/s. 721.
  27. ^ van kessel 2002, m/s. 147.
  28. ^ van Kessel & Japin 2005, m/s. 153.
  29. ^ van Kessel & Japin 2005, m/s. 96.
  30. ^ Abbink & Abbink 2012, m/s. 73.
  31. ^ van Kessel & Japin 2005, m/s. 194.
  32. ^ Madison & Hansen 2013, m/s. 32-33.
  33. ^ "Zwart in dienst van Oranje". http://collectie.tropenmuseum.nl/. Tropenmuseum. 12 May 2005. Dicapai pada 16 Oktober 2014. External link in |website= (bantuan)
  34. ^ Molemans & Ello 2010.
  35. ^ Blakely 2001, m/s. 248.
  36. ^ a b Sarr 2006, m/s. 138.
  37. ^ a b c Blakely 2001.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting