Owen Hargreaves

Footballer

Owen Lee Hargreaves (lahir 20 Januari 1981 di Calgary, Alberta, Kanada) merupakan seorang pemain bola sepak professional. Beliau sedang bermain untuk kelab Manchester United di dalam Liga Perdana Inggeris dan pada arena antarabangsa untuk England.

Owen Hargreaves
Maklumat peribadi
Nama penuh Owen Lee Hargreaves
Tarikh lahir (1981-01-20) 20 Januari 1981 (umur 43)
Tempat lahir Calgary, Alberta, Kanada
Ketinggian 1.80 m (5 ka 11 in)[1][2]
Posisi permainan Pemain tengah
Kerjaya remaja
1994–1997 Calgary Foothills
1997–1999 Bayern Munich
Kerjaya Senior*
Tahun Pasukan Kmcln (Gol)
1999–2001 Bayern Munich II 26 (6)
2000–2007 Bayern Munich 145 (5)
2007–2011 Manchester United 27 (2)
2011–2012 Manchester City 1 (0)
Jumlah 199 (13)
Pasukan kebangsaan
1998 Wales B19 3 (0)
2000–2001 England B21 3 (0)
2006 England B 1 (0)
2001–2008 England 42 (0)
* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik

Latar Belakang sunting

Owen Hargreaves dilahirkan di Calgary, Alberta, Kanada, dan merupakan anak bongsu kepada Margaret dan Colin Hargreaves, yang berhijrah ke Kanada dari United Kingdom pada awal tahun 1980-an. Ayah beliau pernah bermain dengan pasukan remaja Bolton Wanderers dan juga dalam pasukan Calgary Kickers dalam Liga Bola Sepak Kanada. Hargreaves mempunyai dua orang abang, iaitu Darren dan Neil. Darren pernah mewakili Kanada dalam pasukan remaja.

Karier sunting

FC Bayern Munich sunting

Hargreaves berhijrah ke Bayern Munich ketika berusia 16 tahun daripada Calgary Foothills pada 1 Julai 1997. Beliau bermain dengan pasukan Bawah 19 selama dua setengah tahun sebelum menghabiskan masa 6 bulan dengan pasukan amatur. Ketika bersama pasukan Bawah 19, mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Kejohanan Jerman pada 1998, namun tewas kepada Borrusia Dortmund dalam penentuan sepakan penalti.

Hargreaves bermain perlawanan Bundesliga pertamanya pada 12 Ogos 2000, menggantikan Carsten Jancker pada minit ke-83. Penampilan kesebelasan utama sulung beliau tiba ketika Bayern menentang SpVgg Unterhaching pada 16 September 2000. Musim tersebut merupakan musim yang cemerlang buat Bayern, yang memenangi kejuaraan Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah. Persembahan Hargreaves dalam separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid membuka mata umum setelah memperlihatkan kemampuannya menangani kelibat pemain seperti Roberto Carlos dan Luis Figo. Beliau merupakan salah seorang daripada dua pemain England yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab luar England, dengan seorang lagi ialah Steve McManaman yang memenanginya bersama Real Madrid.

Musim 2001-02 menyaksikan Hargreaves menempatkan dirinya sebagai pemain kesebelasan utama, membuat 46 penampilan keseluruhan. Bagaimanapun, Bayern gagal mengulangi kecemerlangan musim sebelumnya apabila sekadar menduduki tempat ketiga dalam Bundesliga, tersingkir daripada pemburuan piala domestik oleh Schalke 04 dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara pada suku akhir.

Musim 2002-03, Hargreaves membantu Bayern memenangi gelaran Bundesliga dan Piala DFB. Pada 26 Januari 2003, Hargreaves menjaringkan gol Bundesliga pertamanya menentang Borrusia Mochengladbach. Bagaimanapun, beliau tercedera tiga kali sepanjang musim itu.

Musim 2003-04 merupakan musim pertama Hargreaves tanpa sebarang trofi bersama Bayern. Namun musim seterusnya, 2004-05 beliau membantu Bayern memenangi Bundesliga dan Piala DFB.

Musim 2005-06, Bayern menjulang 2 gelaran domestik dan Hargreaves menjadi pemain pertama menjaringkan gol di gelanggang baru Bayern, Allianz Arena ketika menentang Borrusia Mochengladbach pada 5 Ogos 2005. Pada Oktober 2005, Hargreaves menandatangani kontrak baru dengan Bayern selama 4 tahun.

Namun pada musim 2006-07, patah kaki yang dialami Hargreaves menyebabkan beliau terlepas kebanyakan perlawanan liga musim itu. Namun, beliau sempat pulih untuk membantu Bayern menyingkirkan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara setelah terikat dengan agregat 4-4, namun Bayern mara menerusi peraturan gol tempat lawan setelah mereka tewas 3-2 di Santiago Bernabeu.

Manchester United sunting

Pada 31 Mei 2007, Manchester United mengumumkan bahawa Owen Hargreaves akan menyertai kelab itu pada 1 Julai 2007, selepas perbincangan hampir setahun di antara Bayern Munich dan United dengan bayaran perpindahan dianggarkan bernilai £17 million. Menandatangani kontrak selama 4 tahun, beliau diberikan jersi nombor 4 di United yang sebelumnya digunakan oleh Gabriel Heinze.

Beliau membuat kemunculan pertama dalam perlawanan persahabatan menentang Peterborough United pada 4 Ogos, sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam perlawanan yang dimenangi United 3-1. Penampilan pertama liga beliau adalah pada perlawanan ketiga liga, pertembungan setempat di antara United dan Manchester City di mana United tewas 0-1. Gol pertamanya buat United hadir pada 1 Mac ketika menentang Fulham menerusi sepakan percuma. Beliau mengulangi sentuhannya ketika menjaringkan gol kemenangan menentang Arsenal pada 13 April. Musim pertamanya di United berakhir dengan gemilang apabila membantu United memenangi dua kejuaraan, Liga Perdana dan Liga Juara-Juara Eropah.

Musim kedua Hargreaves di United diganggu oleh kecederaan berpanjangan Hargreaves, yang memaksanya memerlukan rawatan pakar. Setelah menjalani pembedahan di Amerika Syarikat pada November 2008, diikuti pada Januari 2009, Hargreaves disahkan tidak akan beraksi buat United pada baki saingan musim tersebut.

Karier Antarabangsa sunting

Hargreaves membuat kemunculan penuh antarabangsa pertamanya pada 15 Ogos 2001 menentang Belanda di White Hart Lane, sekaligus menjadi pemain England pertama membuat kemunculan bersama pasukan kebangsaan sekalipun tidak pernah menetap di negara itu.

Walaupun bukan pilihan utama dalam kesebelasan utama England, beliau disenaraikan dalam pasukan England dalam Euro 2004 dan seterusnya pada Piala Dunia 2006, keputusan yang menimbulkan kritikan daripada media dan orang ramai. Penampilan sulung beliau dalam perlawanan pertama England di Piala Dunia 2006 diiringi dengan kata-kata ejekan daripada peminat. Bagaimanapun, dalam kejohanan tersebut yang mana England dilabelkan sebagai pasukan yang gagal, Hargreaves menjadi pemain yang menampilkan persembahan terbaik dalam pasukan. Malah beliau juga dianugerahkan Pemain Terbaik Perlawanan ketika penyingkiran England di tangan Portugal di pusingan suku akhir, yang mana dalam penentuan sepakan penalti, hanya beliau yang menyempurnakan sepakan penalti setelah kegagalan Frank Lampard, Steven Gerrard dan Jamie Carragher. Pada tahun 2006, beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik England dan Pemain Terbaik England dalam Piala Dunia dalam undian yang dilakukan oleh FA.

Beliau terus menarik perhatian penonton setelah menjadi Pemain Terbaik Perlawanan dalam kemenangan 4-0 England ke atas Greece pada 18 Ogos 2006, yang mana beliau memakai jersi nombor 7 yang sebelumnya dipakai oleh bekas kapten, David Beckham. Pada 30 Januari 2007, beliau diundi sebagai Pemain Terbaik England 2006 oleh pengguna laman web rasmi FA.

Anugerah sunting

FC Bayern Munich sunting

Antarabangsa sunting

Catatan sunting

  1. ^ "Owen Hargreaves". Manchester United. Dicapai pada 16 June 2011.
  2. ^ "Player Profile: Owen Hargreaves". Premier League. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-08-30. Dicapai pada 16 June 2011.

Pautan luar sunting