Program Latihan Khidmat Negara

(Dilencongkan dari PLKN)

Program Latihan Khidmat Negara (Jawi: ڤروݢرم لاتيهن خدمت نݢارا) atau PLKN ialah sebuah kursus latihan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan persekutuan Malaysia. Ia mula digagaskan pada 2002 dengan pembentukan Jabatan Latihan Khidmat Negara, dan memulakan program pada 2004. Pelaksanaannya pernah ditangguhkan pada 2015[1], dan diperkenalkan semula pada 2016, dengan anggaran pelaksanaan penuh pada 2019.

Jabatan Latihan Khidmat Negara
Intisari agensi
Dibentuk30 Oktober 2002; 21 tahun yang lalu (2002-10-30)
Dibubarkan13 Ogos 2018; 5 tahun yang lalu (2018-08-13)
JenisJabatan kerajaan
Bidang kuasa
Kerajaan Malaysia
Ibu pejabatBangunan Zetro, 2-5, Jalan 9/27c, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur.
Agensi induk
Kementerian Pertahanan Malaysia
Laman sesawang
web.archive.org/web/20180403011439/http://www.khidmatnegara.gov.my/

Walau bagaimanapun, program ini telah dimansuhkan pada 2018 apabila kerajaan persekutuan diambil alih oleh Pakatan Harapan.

Latar belakang sunting

Sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah dibentuk dalam Mesyuarat Kabinet pada 30 Oktober 2002 untuk mengkaji keperluan pelaksanaan Kerahan Tenaga ini. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan dan dianggotai oleh 7 Menteri, seorang Penasihat Perdana Menteri yang bertaraf Menteri dan 5 Timbalan Menteri.

Di dalam mesyuarat pertama pada 12 November 2002, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah menerima pengunaan istilah Khidmat Negara bagi menggantikan istilah Kerahan Tenaga. Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara (JKMKN) telah menubuhkan 4 buah Jawatankuasa Kecil iaitu Jawatankuasa Kecil Kewangan, Jawatankuasa Kurikulum, Jawatankuasa Undang-Undang dan Jawatankuasa Logistik bagi membantu jawatankuasa ini menyediakan perancangan dan menyelaraskan keperluan pelaksanaan Program Khidmat Negara.

Kabinet pada 28 Mei 2003 telah meluluskan cadangan pelaksanaan Program Khidmat Negara dan Akta Latihan Khidmat Negara 2003. Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Latihan Khidmat Negara pada 25 Jun 2003 manakala Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang ini pada 7 Julai 2003.

Objektif sunting

Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut:

  1. Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
  2. Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
  3. Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
  4. Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
  5. Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.

Pelaksanaan sunting

Dalam melaksanakan Program Khidmat Negara ini, beberapa aspek penting telah diambil kira iaitu seperti:

  1. Jangka masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan berasrama.
  2. Pelaksanaan telah dimulakan pada tahun 2004.
  3. Kemudahan infrastruktur latihan dan kemudahan-kemudahan asrama seperti yang terdapat di kem-kem PLKN seluruh negara.
  4. Implikasi kewangan.
  5. Menghadkan kesan ke atas sistem pembelajaran yang sedang berjalan.
  6. Guna tenaga dari segi kepakaran dan pengalaman.

Modul Latihan sunting

Pelatih PLKN akan menjalani latihan modul-modul yang ditetapkan oleh JLKN iaitu seperti

  • Modul Fizikal
  • Modul Kenegaraan
  • Modul Pembinaan Karakter
  • Modul Khidmat Komuniti
  1. Modul Fizikal adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan. Di samping itu, peserta akan dilatih oleh para jurulatih untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti kawad, kraf hutan, pertolongan cemas, membaca peta, kompas, latihan pandu arah, menyeberangi sungai, merempuh halangan, aktiviti menggunakan tali (litar tali tinggi dan rendah), merentas desa, seni mempertahankan diri, aktiviti air, kembara hutan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan selama empat minggu di dalam dan di persekitaran tapak perkhemahan.
  1. Modul Kenegaraan adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan para peserta program kepada negara. Melalui latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpin kumpulan untuk mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara. Melalui elemen Tanah Air, peserta akan dibantu membina serta memupuk rasa sayang kepada tanah air dan sanggup mempertahankannya. Peserta membincangkan tentang negara dari segi aspek geografi, keindahan bumi ini, hasilnya, sempadan dan lain-lain. Peserta dapat mengetahui asal-usul pelbagai ras, etnik, membina rasa sayang sesama etnik dan antara etnik, memahami kepentingan bersatu-padu melalui aktiviti seperti menganalisis fakta tentang etnik, mengharmonikan perbezaan, memahami persamaan dan sebagainya melalui elemen Rakyat. Elemen Kerajaan pula membantu peserta memahami bagaimana negara (tanah air, rakyat, kedaulatan) ini ditadbir dan diurus, melalui sistem pentadbiran, undang-undang, perlembagaan dan lain-lain. Peserta memahami kepentingan dan cara untuk mempertahankan kebebasan negara melalui elemen Kedaulatan. Cabaran dari dalam dan luar negara juga diperbincangkan supaya peserta menyedari peluang dan ancaman yang datang secara berterusan. Modul ini dilaksanakan selama tiga minggu dan pelbagai kaedah digunakan seperti lawatan, simulasi, lakonan, dinamik kumpulan, menonton gambar, melukis, berdebat, mentafsir peristiwa dan lain-lain.
  1. Modul Pembinaan Karakter adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara. Terdapat dua komponen yang akan dilalui peserta di mana yang pertama berfokus kepada pembinaan diri dan kedua adalah tentang diri dengan orang lain. Di dalam komponen pertama, peserta melalui proses penerokaan diri sendiri, menyedari dan mengenal pasti ciri-ciri diri (seperti aspek kepimpinan), memperkayakan kekuatan dan memulihkan kelemahan diri. Peserta menyedari tentang penglibatan orang lain dalam kehidupan mereka, mengetahui kemahiran untuk bekerja sebagai ahli satu pasukan, cara bertindak sebagai pemimpin dalam kumpulan, dan mengatasi masalah di dalam kumpulan semasa melalui komponen kedua modul ini. Melalui aktiviti-aktiviti ceramah, permainan, latihan dan lain-lain, pelatih belajar tentang kejujuran, membuat pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan membina keyakinan diri. Modul ini dilaksanakan selama dua minggu dan peserta dipimpin oleh jurulatih.
  1. Kehidupan ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan untuk mencuba sesuatu.” Kesukarelaan dan jatidiri yang kukuh dan padu perlu dijanakan dalam diri setiap individu untuk menyuburkan kekuatan serta keyakinan diri. Dengan itu, sebagai langkah merealisasikan aspirasi tersebut, Program Latihan Khidmat Negara telah dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa modul tertentu kepada para pelatih yang berumur 18 tahun. Salah satu modul yang terdapat dalam pelaksanaan Program latihan Khidmat Negara ialah Modul Khidmat Komuniti . Modul khidmat komuniti mempunyai lima komponen utama iaitu kemudahan awam, kejiranan, khidmat sosial, alam sekitar dan penempatan di Jabatan. Ini bermakna, sepanjang program berjalan, para pelatih akan melalui kelima-lima komponen tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan. Aktiviti bagi melaksanakan aktiviti secara kolektif dan menyeluruh, aktiviti sepanjang siri dibahagikan kepada 5 pecahan komponen supaya wira dan wirawati mampu memahami aspirasi khidmat komuniti di antaranya ialah:
  • Kejiranan – Antara projek utama yang dijalankan ialah mengecat dewan orang ramai, pembahagi jalan, menceriakan taman, lawatan ke rumah-rumah jiran di kawasan kampong, melakukan program anak angkat dan pelbagai lagi.
  • Kemudahan awam – para pelatih turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti di lokasi-lokasi terpilih. Antaranya ialah pembaikpulihan perhentian bas, pembaikpulihan dewan masyarakat, memberi kesedaran kepada para pelatih dan masyarakat tempatan mengenai kepentingan kemudahan awam melalui ceramah ringkas, gotong-royong di rumah-rumah ibadat seperti masjid, kawasan kubur dan sebagainya.
  • Antara aktiviti yang dijalankan dalam komponen ini adalah mendengar taklimat daripada institusi-institusi yang dilawat seperti Bengkel Orang Kurang Upaya, PENGASIH, hospital, klinik-klinik desa dan pelbagai lagi.
  • Aktiviti yang paling banyak dilakukan ialah gotong-royong seperti membersihkan, mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitar.

sunting

 
Logo PLKN
  • Konsep logo yang cuba ditonjolkan ialah api yang sedang membara melambangkan semangat patriotisme.
  • Bentuk api dihasilkan dengan jalur merah melambangkan 3 suku kaum utama di Malaysia bersatu padu mempertahankan negara.
  • Bentuk bulat berwarna biru menandakan perpaduan yang erat antara yang terjalin antara kaum.
  • Bentuk bulan dan bintang pula melambangkan kedaulatan negara yang harus dipertahankan oleh semua pihak.
  • Perkataan KHIDMAT NEGARA dibentuk mencakupi bentuk api tadi bagi melambangkan misi dan visi yang akan dilaksanakan.

Isu dan tengkarah sunting

Pemilihan rawak sunting

Peserta kursus ini dipilih secara rawak tanpa perbincangan dengan pihak sekolah atau pihak berkuasa tempatan (penghulu). Perkara ini menimbulkan kritikan kerana timbulnya beberapa kes di mana mereka yang tidak upaya turut dipanggil bagi melapor diri bagi kursus Program Latihan Khidmat Negara. Terdapat juga beberapa kes di mana peserta program dipilih dari kalangan ibu muda serta remaja miskin yang terpaksa bekerja untuk menyara hidup, sebagaimana nasib yang ditimpa oleh seorang remaja miskin, Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi dari Perlis. Tindakan kerajaan memilih bakal pelatih tanpa mengetahui latar belakang mereka disifatkan sesetengah pihak sebagai tidak berperikemanusiaan. Selain itu beberapa pihak telah menimbulkan isu kemungkinannya berlaku masalah keselamatan seperti kemungkinan berlakunya kes rogol[2],[3], buli, atau salah laku seksual[4] pada anak mereka.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan bahawa semua perkara tersebut telah diambil kira dan menjamin tidak akan berlaku. Selain itu, mereka yang tidak dapat hadir diminta menulis surat bagi mendapatkan penangguhan atau pengecualian daripada menghadiri Program Latihan Khidmat Negara.

Rentetan pengingkaran hadir ke PLKN, pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas bagi mempenjarakan mereka yang tidak hadir. Tindakan itu menerima kritikan hebat oleh beberapa pihak yang melihat hukuman yang dikenakan tidak berpadanan dengan kesalahan.

Ini kerana mereka yang dihukum penjara pastinya ditempatkan kedalam penjara bersama-sama penjenayah berat lain. Selain itu masa depan mereka juga akan hancur akibat rekod penjara mereka, dan mereka yang kurang mampu berkemungkinannya akan menerima hukuman berat akibat tidak mempunyai wang bagi mendapatkan peguam bagi membela diri. Ini adalah nasib yang di tempoh oleh Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, peserta PLKN yang pertama dipenjarakan akibat kesalahan tidak hadir bagi Program Latihan Khidmat Negara.

Kematian sunting

Sejak PLKN diadakan pada tahun 2004 sehingga 2007, daripada 14 kematian pelatih yang dilaporkan, tujuh meninggal dunia kerana penyakit yang mereka hidapi termasuk sakit jantung, asma dan jangkitan kuman dan denggi.[5]

Senarai pusat latihan sunting

Berikut adalah senarai kem latihan mengikut negeri dan daerah berserta status semasa

Negeri Lokasi Kem
Johor Mersing Pusat Bina Semangat YPJ
Mersing Kem Rekreasi Pertanian Teluk Sari
Pagoh Kem Nasuha
Desaru Kem Desaru Gerak Khas
Batu Pahat Kem Sembrong
Kluang Kem PTH Padang Hijau
Tangkak Kem Sri Ledang
Kedah Langkawi Kem Beringin Beach Resort
Sik Kem Rimba Taqwa
Kuala Nerang Kem Dusun Resort
Kulim Kem Bukit Besar
Merbok Kem Damai Park Resort
Sintok Kem Sintok Universiti Utara Malaysia
Baling Kem Rekreasi Belia
Langkawi Kem Lagenda Seri Negeri
Kubang Pasu Kem Sri Kandi
Kubang Pasu Kem Gardenia
Kubang Pasu Kem D' Jelapang
Kelantan Pasir Puteh Kem Kisana Beach Resort
Gua Musang Kem Latihan Etnobotani
Pasir Mas Kem Cancun Park
Kuala Krai Kem Latihan Batu Jong
Melaka Masjid Tanah Kem Warisan
Ayer Keroh Kem Taman Rekreasi Ayer Keroh
Pekan Asahan, Jasin Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan
Alor Gajah Kem Putra-Putri
Negeri Sembilan Jempol Kem De Bana
Rembau Kem Ulu Pari
Port Dickson Kem PDS Resort
Kuala Pilah Kem Karisma
Mantin Kem Seri Perkasa
Rembau Kem Titian Bintagor
Tanjung Tuan Kem Rachado Bay
Pahang Raub Kem Benum Hill Resort
Bandar Muadzam Shah Kem Pinggiran Pelangi
Kuala Rompin Kem Summerset Resort
Lake Chini Kem Lake Chini Resort
Gambang Kem Gambang (Resort Agro Sungai Semuji)
Cherating Kem Cahaya Gemilang
Pekan Kem Semarak
Bentong Kem Chamang
Maran Kem Indera Pahlawan
Pulau Pinang Sungai Bakap Kem Sri Impian
Balik Pulau Kem White Resort
Balik Pulau Kem Sri Mutiara
Bukit Mertajam Kem Syruz
Perak Manjung Kem Akademi Kepimpinan Segari
Ayer Tawar Kem Kg Baharu (De Air' Resort)
Sungai Siput Kem Terkok
Lumut Kem Teluk Rubiah
Gopeng Kem Taman Kepimpinan Gemilang
Sungkai Kem Sinaran Suria
Selama Kem Tegas Mesra
Chenderiang Kem Sentosa
Gunung Semanggol Kem Jiwa Murni
Perlis Wang Kelian Kem Tasik Meranti
Beseri Kem Tasoh
Padang Besar Kem Guar Chenderai
Sabah Sandakan Kem Bagai Budi Resort
Tuaran Kem KK Dibawah Bayu
Sipitang Kem Kubena
Papar Kem Ovai Wawasan
Tawau Kem San Shui
Kota Belud Kem Sinar Jaya
Tambunan Kem Tanaki
Sarawak Betong Kem Bukit Saban Resort
Miri Kem Miri, Batang Rait
Sibu Kem Junaco Park
Bintulu Kem Similajau
Serian Kem Juara
Sematan Kem Putra Sentosa
Sibu Kem Bumimas
Bau Kem Puncak Permai
Selangor Kuala Langat Kem Paya Indah
Kuala Kubu Bharu Kem Bina Semangat, Kem Pelangi Hill Resort
Rawang Kem Temasya Rimba Templer, Taman Templer
Sepang Kem Princess Haliza
Beranang Kem Millennium
Banting Kem Jugra Banting
Behrang Kem Geo Cosmo
Semenyih Kem Setia Ikhlas
Terengganu Setiu Kem Merang Suria Holiday
Setiu Kem Peladang Setiu Agro Resort
Kemaman Kem Latihan Cheneh Cemerlang Training
Kerteh Kem Bakau Resort

Nota sunting

  1. ^ Hassan, Khai (2015-01-19). "PLKN Sesi 2015 Ditangguhkan Untuk Jimat RM400 Juta | Oh! Media" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-08-07.
  2. ^ Bekas pelatih PLKN kena rogol saman jurulatih.[pautan mati kekal]
  3. ^ Pelatih pernah lapor dirogol ke pihak atasan.[pautan mati kekal]
  4. ^ Jurulatih disoalsiasat berhubung kes cabul pelatih lelaki PLKN.
  5. ^ Peserta PLKN perlu isytihar tahap kesihatan Utusan Malaysia

Pautan luar sunting