Papillon (anjing)

baka anjing dari Belgium dan Perancis

Papillon,[a] juga spaniel kerdil benua atau spaniel mainan benua,[b] ialah satu baka anjing daripada jenis spaniel. Sebagai salah satu baka spaniel mainan tertua, ia menerbitkan namanya daripada penampilan bulu panjang berumbai mirip kupu-kupu pada telinga. Papillon dengan telinga labuh dipanggil phalène.

Papillon
Seekor papillon sabel dan putih
Nama lain
  • Phalène (jenis telinga labuh)
  • Spaniel kerdil benua
  • Spaniel mainan benua
Nama ringkas
  • Anjing kupu-kupu
  • Anjing tupai (kerana perawakan ekor)
Negara asalBelgium / Perancis
Trait
Berat Jantan 8–10 paun (3.6–4.5 kg)
Betina 7–9 paun (3.2–4.1 kg)
Tinggi Jantan 8–11 inci (20–28 cm)
Betina 8–11 inci (20–28 cm)
Bulu Lurus, panjang, halus, berlapis tunggal
Warna Putih dengan tompok-tompok dengan apa-apa warna kecuali hati
Jangka hayat 12–15 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Penampilan dan tingkah laku sunting

 
Seekor papillon yang duduk
 
Tangkapan dekat seekor papillon

Papillon ialah anjing sangat cerdas dan yakin diri yang sangat mudah mempelajari trik baharu. Anjing ini dapat bergaul dengan kanak-kanak dan orang asing, tetapi biasanya menyendiri di sekeliling orang baharu. Ia juga dapat disosialisasi untuk bergaul dengan baik dengan haiwan peliharaan lain, tetapi perlu ada perhatian dengan haiwan peliharaan kecoh atau kucing dengan cakar, kerana kecederaan mungkin berlaku. Jika tidak tersosialisasi dengan betul, papillon dapat menjadi kurang percaya dan mempamerkan kecenderungan agresif terhadap anjing dan orang lain. Papillon juga mungkin sangat suka bermain dan penyayang. Sebagai anjing peneman hebat yang terkenal secara meluas, ia mempunyai semangat dan tenaga untuk memadani keluarga aktif, tetapi juga dapat menjadi cukup tenang untuk gembira dengan tidur dalam pelukan pemilik yang sama-sama penyayang. Oleh sebab paras tenaga tingginya, ia menuntut rutin senaman tambahan, berbanding dengan baka pendamping purata. Papillon terkenal sebagai anjing pemerhati cemerlang, kerana ia memberikan amaran kepada pemiliknya tentang perubahan persekitaran. Ia mungkin dianggap banyak bercakap seperti kebanyakan anjing mainan lain. Ia mampu menahan haba, tetapi lebih sensitif terhadap suhu sejuk kerana lapis bulu tunggalnya dan tidak patut ditinggalkan di luar tanpa pengawasan dalam cuaca sejuk.

 
Seekor papillon yang lompat dalam pertunjukan anjing

Aspek paling ikonik bagi papillon ialah telinganya yang besar dan cukup berjumbai yang memberikan penampilan seperti sayap mirip kupu-kupu. Papillon berwarna-warni atau putih dengan tompok berwarna apa-apa. Anjing putih menyeluruh atau anjing tanpa putih disingkirkan daripada gelanggang pertunjukan pengakuran. Takik (kawasan putih yang memanjang ke bawah ke antara mata) dan jalur hidung lebih diutamakan berbanding dengan kepala berwarna padu, tetapi tidak wajib. Hidung, pinggir mata, dan bibir patut berwarna hitam. Tapak kaki berlainan dari segi warna antara hitam dengan merah jambu, bergantung pada pewarnaan anjing berkenaan.

Papillon dapat didaftarkan dengan American Kennel Club sebagai warna dan tanda berikut, dengan jenis untuk tujuan pertunjukan yang ditunjukkan dengan S untuk standard ("piawai") atau A untuk alternatif:[1]

Warna Warna Warna Tanda
  • S: Putih dan hitam
  • S: Putih dan lemon
  • S: Putih dan merah
  • S: Putih dan sabel
  • S: Triwarna hound
  • A: Hitam perang putih dan lemon
  • A: Hitam merah dan putih
  • A: Perang dan putih
  • A: Perang kekuning-kuningan dan putih
  • A: Merah
  • A: Merah putih dan sabel
  • A: Sabel
  • A: Putih
  • A: Putih dan hati
  • A: Putih dan perak
  • A: Tanda-tanda hitam
  • A: Topeng hitam
  • A: Tanda merah
  • A: Sabel
  • A: Tanda sawo matang

Piawaian baka American Kennel Club menunjukkan kecacatan pengakuran yang mungkin dikenakan penalti: kegagalan warna bukan putih untuk menutupi bahagian hadapan dan bahagian belakang kedua-dua telinga dan memanjang dari telinga ke atas kedua-dua mata. Yang tidak dikenakan penalti merupakan sambungan sedikit kolar putih ke pangkal telinga, atau beberapa helai bulu putih yang berselang-seli dalam warna itu – selagi "penampilan kupu-kupu tidak terkorban".[2]

 
Telinga besar mirip kupu-kupu dan muka bersimetri pada papillon memberi baka ini namanya.

Dua variasi telinga baka ini terlihat, iaitu telinga sepenuhnya tegak pada papillon dan telinga labuh mirip spaniel pada phalène. Phalène berkemungkinan merupakan imbauan kembali kepada leluhur spanielnya. American Kennel Club dan Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI) menganggap phalène dan papillon sebagai baka sama.[3]

Perangai sunting

Perangai papillon ialah perangai anjing gembira, ramah, dan suka mengembara. Ia pada umumnya tidak silu dan tidak agresif. Papillon dapat menjadi anjing keluarga cemerlang, tetapi patut diawasi di sekeliling kanak-kanak kecil, seperti mana-mana anjing, kerana kekurangan pemahaman anak kecil tentang tingkah laku anjing dan kemungkinan bahawa mereka bakal melakukan sesuatu untuk mengganggu anjing itu.[4] Dengan kecerdasan papillon, ia memerlukan pelatihan ketat dan rangsangan mental untuk mengelakkan isu tingkah laku yang timbul daripada kebosanan. Menurut Dr. Stanley Coren, pakar dalam kecerdasan haiwan, papillon merupakan antara sepuluh baka anjing terpintar yang menduduki tempat ke-8 daripada 138 baka yang diuji.

Kesihatan sunting

Papillon hanya mempunyai masalah kesihatan kecil, walaupun kehelan tempurung lutut, sawan, dan masalah gigi dapat menjadi isu.[5] Sebagai tambahan, ia dapat menjadi berisiko terhadap atrofi retina progresif, penyakit ceper intervertebra, dan alahan.[5][6]

Senaman sunting

Permainan menguruskan banyak keperluan senamannya; walau bagaimanapun, seperti semua baka, permainan tidak cukup untuk semua senaman. Sesi berjalan atau larian harian ialah cara terbaik untuk menyenamkan papillon. Ia juga menikmati permainan singkat baik di kawasan selamat terbuka tanpa cawak, seperti halaman besar berpagar. Papillon ialah baka anjing sangat aktif dan menikmati pekerjaan untuk dilakukan. Pembiak baka papillon mengesyorkan ketangkasan anjing, rally obedience, atau pelatihan kepatuhan untuk papillon kerana kecerdasan dan paras tenaganya.[7]

Jangka hayat sunting

Tinjauan Papillon Club of America tahun 2002 mendapati bahawa papillon milik anggota mereka hidup secara purata selama 11.45 tahun.[8] Walau bagaimanapun, dengan kemajuan moden dalam penjagaan dan pemakanan anjing, papillon kini diketahui biasanya mempunyai jangka hayat antara 14 dengan 16 tahun, dengan sesetengah anjing yang hidup sehingga 17 tahun.[5][9]

Sejarah sunting

 
Permaisuri Sophie Dorothea dari Prusia dengan seekor phalène pada tahun 1737
 
Seekor papillon dari tahun 1915

Sejarah papillon dijejak melalui karya seni. Spaniel mainan terawal yang menyerupai papillon ditemukan di Itali. Titian melukis anjing-anjing kecil ini dalam banyak lukisan terkenal mulai sekitar tahun 1500,[10] termasuk Venere di Urbino (1542). Seniman lain yang cukup terkenal yang menyertakannya dalam lukisan merupakan Watteau,[11] Gonzales Coques, Fragonard, Paolo Veronese,[10] dan Mignard.[10] Dalam sebuah lukisan sempena Largillierre dalam Koleksi Wallace di London, seekor papillon jelas ditunjukkan dalam potret keluarga Louis XIV. Papillon juga terdapat dalam lukisan keluarga diraja di serata Eropah dan lukisan keluarga kelas saudagar. Baka ini popular di England, di Perancis, dan di Belgium, yang dianggap sebagai negara asal oleh FCI.

"Spaniel Titian" dan yang digambarkan oleh seniman kemudian melalui Mignard dan yang sezaman mempunyai ciri telinga layu yang merupakan ciri phalène kini; penampilan bertelinga tegak tidak menjadi bergaya sehingga penghujung abad ke-19.[10] Spaniel Titian juga berwarna merah dan putih secara eksklusif,[10] berbeza dengan banyak pewarnaan beriktiraf bagi papillon kini.

Sejarah papillon dan perkaitan panjang dengan kerabat diraja telah membawa kepada banyak kisah tentang baka ini. Marie Antoinette dikatakan pernah berjalan ke arah gilotin sambil memegang anjing kecil baginda di bawah lengan,[11] mungkin kisah penuh keraguan. Walau bagaimanapun, menurut tradisi, anjing milik Marie Antoinette ialah spaniel kecil yang telah dibawa ke pekarangan istana Perancis dari Sepanyol di atas belakang keldai beban. Menurut cerita, anak anjing baginda diselamatkan dan dijaga di dalam sebuah bangunan di Paris yang masih dipanggil Rumah Papillon. Anjing milik Marie Antoinette itu dikatakan diturunkan daripada baka sangat tua bertelinga labuh yang dikenali sebagai spaniel kerdil/mainan benua yang muncul dalam fresko dan lukisan gereja seawal abad ke-13.

Papillon masih dirujuk secara rasmi sebagai épagneul nain continental (ENC, "spaniel kerdil benua") di negara tidak berbahasa Inggeris.[7] Nama squirrel spaniel ("spaniel tupai") juga telah digunakan, yang kemungkinan besar merujuk piawaian lebih awal yang menyatakan set ekor yang diperihalkan sebagai ekor "melingkar ke atas belakang seperti ekor tupai". Salah satu versi sejarah bagi kedua-dua keragaman rupa bentuk telinga pada ENC ("papillon" untuk menandakan telinga tegak dan "phalène" untuk menandakan telinga labuh) ialah bahawa menuju penghujung abad ke-19, penggemar baka membiakbakakan versi spaniel yang telinganya berdiri. Anjing ini dikatakan bergelar papillon berdasarkan telinga tegak yang sangat besar yang menyerupai sayap kupu-kupu. Keragaman bertelinga labuh bagi baka ini dipanggil phalène (yang bermaksud "rama-rama"). Kedua-dua jenis masih dibiakbakakan kini dan muncul dalam perinduk sama. Keragaman papillon adalah lebih umum, walaupun baru-baru ini, phalène telah mengalami kebangkitan semula dari segi kepopularan.

Papillon pertama kali diiktiraf oleh AKC pada tahun 1935[12] dengan pembentukan Papillon Club of America.[7] Menjelang penamat peperangan, kelab itu tidak lagi berfungsi, tetapi diaktifkan semula pada tahun 1948, dengan acara khas pascaperang pertama yang diadakan pada September 1954. Pada tahun 1999, Ch. Loteki Supernatural Being (nama panggilan "Kirby") yang dimiliki dan dikendalikan oleh John Oulton dari Norwalk, Connecticut, menjadi papillon pertama yang memenangi "Best in Show" berprestij dalam pertunjukan anjing tahunan Westminster Kennel Club.[7][13] Kirby juga memenangi kejayaan antarabangsa untuk baka ini dengan mengambil alih Pertunjukan Anjing Sedunia di Helsinki, Finland dan Royal Invitational di Kanada pada tahun 1998.[7] Papillon juga menikmati kejayaan kini di bidang kompetitif di luar pengakuran, termasuk kepatuhan dan ketangkasan.[7]

Pada tahun 2019, Planet Waves Forever Young Daydream Believers (nama panggilan "Dylan") menjadi papillon pertama yang memenangi Best in Show dalam Crufts.[14][15]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: ڤاڤييون, Sebutan bahasa Melayu: [papi(j)ɔn]; Perancis: papillon, lit.'[bertelinga] kupu-kupu'
  2. ^ Jawi: سڤانيئل کرديل بنوا, سڤانيئل ماءينن بنوا; Perancis: épagneul nain continental; bahasa Inggeris: continental toy spaniel

Rujukan sunting

  1. ^ "AKC Papillon Colors & Markings" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Ogos 2014. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  2. ^ AKC Papillon Breed Standard (Inggeris)
  3. ^ Fédération Cynologique Internationale Group 9 Companion and Toy Dogs, Section 9 Continental Toy Spaniel (Inggeris) Diarkibkan 14 Mac 2008 di Wayback Machine
  4. ^ Bove, Lori (16 November 2009). "The AKC Papillon Standard" (dalam bahasa Inggeris). Papillon Club of America. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  5. ^ a b c Zech, Elaine S. (2009). "Health Concerns of the Papillon" (dalam bahasa Inggeris). Papillon Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Jun 2012. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  6. ^ Coile, Caroline (2005). Encyclopedia of dog breeds second edition (dalam bahasa Inggeris). Barron's Educational Series. m/s. 352. ISBN 978-0764157004.
  7. ^ a b c d e f "Papillon FAQ" (Inggeris). Papillon Club of America. Dikemaskinikan pada 19 Ogos 2000. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  8. ^ "SUMMARY OF FINDINGS 2002" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 20 November 2011.
  9. ^ "The Papillon: A Small Dog with a Big Personality" (dalam bahasa Inggeris). 18 Mei 2023.
  10. ^ a b c d e "Brief History of the Papillon" (Inggeris). Papillon Club of America. Dicapai pada 6 Februari 2024. Diarkibkan 6 Julai 2008 di Wayback Machine
  11. ^ a b "Papillon Dog Breed Information" (Inggeris). Anderson, David. Local Puppy Breeders. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  12. ^ "Papillon History" (Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  13. ^ "Best in Show Winners". (Inggeris) Diarkibkan 25 Disember 2007 di Wayback Machine The Westminster Kennel Club. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  14. ^ "Crufts 2019: Dylan the papillon crowned best in show". BBC News (dalam bahasa Inggeris). 10 Mac 2019. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  15. ^ "Crufts 2019 Results" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 6 Februari 2024.

Pautan luar sunting