Parti Demokratik Bebas (Jerman)

Freie Demokratische Partei (FDP) atau Parti Demokratik Bebas ialah sebuah parti liberal di Jerman. Fahaman utama parti ini ialah menjunjung hak kebabasan individu di dalam sebuah negara yang ditadbir oleh satu kerajaan yang sekecil yang boleh dan sebesar yang diperlukan. (So viel Staat wie nötig, so wenig Staat wie möglich). FDP turut mempromosikan ekonomi pasaran yang disulami dengan ciri-ciri sistem kebajikan sosial yang telah lama bertapak di Jerman. Parti ini memiliki perwakilan ketiga terbesar di dalam Bundestag. Dasar luarnya menyokong integrasi Eropah dan persahabatan merentas Lautan Atlantik.

Logo 2013-2014

Parti ini pada amnya berbeza daripada dua parti terbesar di Jerman - SPD dan CDU - kerana mendukung dasar-dasar berorientasikan pasaran, lantas dilabel sebagai parti untuk orang-orang yang berpendapatan tinggi. Lawan-lawan parti ini sering menuduh parti ini menentang kepentingan-kepentingan rakyat miskin.

Parti ini kebanyakannya disertai oleh golongan Protestan dari kelas pertengahan dan kelas atasan yang menganggap diri meraka sebagai pewaris tradisi liberal Eropah serta berpemikiran bebas. Dari sudut institusi politik, parti ini secara relatif adalah agak lemah kerana hanya berjaya memungut undi di antara 5.8% dan 12.8% dalam pilihanraya-pilihanraya umum. Namun begitu, parti ini memegang kuasa pengimbang dalam sejarah kewujudan Republik Persekutuan Jerman. Mereka merupakan parti yang paling banyak menyertai kerajaan di Jerman, iaitu sebanyak 41 tahun.