Pasukan ialah sekumpulan orang yang dikaitkan dengan suatu matlamat yang sepunya. Ia biasanya amat sesuai untuk menjalankan tugas yang sangat rumit serta memiliki banyak subtugas yang saling bersandaran. Oleh yang demikian, pasukan biasanya terdiri daripada anggota-anggota yang memiliki kemahiran yang saling melengkapi dan yang dapat menjanakan strategi melalui usaha terselaras bagi membenarkan setiap ahli memaksimumkan kekuatan serta mengurangkan kelemahan masing-masing. Bagaimanapun, sekumpulan orang pada dirinya tidak semestinya merupakan sebuah pasukan. Pasukan biasanya menjalani suatu kitar hayat yang terdiri daripada peringkat-peringkat pembentukan, pemerahan otak, penormaan, pelaksanaan, dan pembubaran.

Semangat kepasukan.

Saiz, komposisi, dan pembentukan pasukan sunting

Saiz dan komposisi sesuatu pasukan akan mempengaruhi proses dan hakikat pasukan tersebut. Saiz (dan komposisi) pasukan yang optimum berbeza-beza, bersandarkan tugas yang dijalankan. Oleh itu, pasukan yang besar saiznya perlu dibahagikan menjadi subpasukan, mengikut keperluan. Tentang komposisinya, semua pasukan memiliki berbagai-bagai unsur kehomogenan dan keheterogenan; lebih homogen sesuatu kumpulan, lebih padu kumpulan itu. Sebaliknya, jika kumpulan itu lebih heterogen, maka perbezaan perspektifnya lebih besar dan potensi daya ciptanya lebih tinggi, tetapi potensi untuk mengalami konflik juga akan menjadi lebih besar. Pasukan biasanya menjalani suatu kitar hayat Pembentukan, pemerahan otak, penormaan, pelaksanaan, dan pembubaran.

Jenis pasukan sunting

Pasukan tak bersandar dan pasukan saling bersandar sunting

 
Skrum ragbi

Perbezaan yang nyata biasanya dibuat antara pasukan "tak bersandar" dengan pasukan "saling bersandar". Misalnya, pasukan ragbi jelas merupakan sebuah pasukan "saling bersandar" kerana:

  • tiada tugas yang bererti dapat dilakukan tanpa sebarang bantuan daripada anggota-anggota yang lain;
  • anggota pasukan biasa mengkhususkan tugas yang berbeza; dan
  • kejayaan setiap anggota sangat terikat kepada kejayaan seluruh pasukan. Tiada pemain ragbi yang pernah memenangi mana-mana permainan secara perseorangan, walau betapa baik bakatnya.

Sebaliknya, pasukan pemain tenis merupakan suatu contoh "pasukan tak bersandar" yang unggul:

  • pertandingan dimain dan dimenangi oleh individu atau pasangan;
  • setiap pemain umumnya melakukan perbuatan yang sama; dan
  • kemenangan dan kekalahan seseorang pemain tidak mempunyai kesan yang langsung kepada prestasi pemain yang lain.

Tiada pemain tenis yang pernah memangi pertandingan sendiri kerana anggota-anggota yang lain dalam pasukannya telah menang, sebagaimana dengan tiada jurujual yang pernah membuat jualan kerana rakan-rakan sekerjanya telah berbuat demikian.

Melatih sebuah pasukan "saling bersandar" seperti pasukan bola sepak memerlukan pendekatan yang berbeza daripada melatih sebuah pasukan "tak bersandar". Pasukan yang saling bersandar dimanfaatkan daripada bercampur gaul dan memupuk kepercayaan antara anggota-anggota pasukannya, selain daripada mengatasi cabaran-cabaran buatan bersama-bersama. Sebaliknya, pasukan tak bersandar biasanya memperlihatkan kegiatan-kegiatan itu sebagai tidak penting, malahan membazirkan masa. Mereka lebih dimanfaatkan oleh latihan berkait kerja yang lebih intelektual.

Pasukan kerja urus kendiri sunting

Biasanya, seorang pengurus akan bertindak sebagai ketua pasukan dan dipertanggungjawabkan untuk mentakrifkan matlamat, kaedah, dan kefungsian pasukan itu. Bagaimanapun, kesalingsandaran dan konflik antara bahagian-bahagian pertubuhan yang berbeza tidak semestinya dapat diatasi dengan cara yang terbaik melalui model kawalan yang berhierarki.

Idea utama pasukan kerja urus kendiri adalah bahawa ketuanya tidak beroperasi dengan autoriti kedudukan. Dalam peranan pengurusan tradisional, pengurusnya bertanggungjawab untuk memberikan bimbingan, berkomunikasi, membangunkan rancangan, memberikan arahan, serta mengenakan tindakan disiplin dan memberikan ganjaran kepada pekerjanya, selain daripada membuat keputusan kerana kedudukannya. Bagaimanapun, dalam model pasukan kerja urus kendiri, pengurusnya menugaskan tanggungjawab dan kuasa yang tertentu kepada pasukan dengan harapan bahawa ketua pasukannya akan membuat keputusan yang lebih baik daripada mana-mana individu. Namun pengurus dan ketua pasukan tidak membuat sebarang keputusan sendiri dalam bidang tanggungjawab yang ditugaskan. Keputusannya biasa dibuat melalui sepersetujuan dalam pasukan kerja urus kendiri yang berjaya, melalui pengundian dalam pasukan yang sangat besar atau formal, dan melalui penggertakan dan pembulian dalam pasukan yang tidak berjaya. Pasukan pada keseluruhannya akan bertanggungjawab kepada hakikat keputusan dan tindakannya.

Pasukan kerja urus kendiri wujud dalam banyak organisasi untuk mengurus projek yang rumit yang merangkumi penyelidikan, perekaan bentuk, pembaikan proses, serta juga penyelesaian isu sistemik, khususnya projek bersilang bahagian yang membabitkan pekerja-pekerja yang sama peringkat kekananan mereka. Sedangkan gaya kepimpinan dalaman dalam sebuah pasukan kerja urus kendiri adalah berbeza daripada kepimpinan tradisional dan bertujuan untuk meneutralkan isu yang sering dikaitkan dengan model kepimpinan tradisional, sebuah pasukan kerja urus kendiri masih memerlukan sokongan daripada pengurusan atasan untuk dilaksanakan dengan baik.

Pasukan kerja urus kendiri boleh bersifat saling bersandar atau tidak bersandar. Sudah tentu, menggelar sebuah kumpulan orang sebagai pasukan kerja urus kendiri tidak akan menyebabkannya menjadi sebuah pasukan atau menjadi urus kendiri.

Apabila sebuah pasukan kerja urus kendiri berkembang dengan berjaya, lebih banyak tanggungjawab dapat ditugaskan, dan anggota-anggotanya boleh berharap pada satu sama lain dengan cara yang penuh bermakna.[1]

Pasukan projek sunting

"Pasukan projek" ialah pasukan yang ditubuhkan hanya untuk tempoh dan tujuan yang tertentu. Para pengurus biasanya menggelar sekumpulan pekerja sebagai "pasukan", berdasarkan peranan yang sepunya. Anggota-anggota pasukan itu mungkin tergolong dalam kumpulan-kumpulan yang berbeza tetapi ditugasi dengan aktiviti-aktiviti untuk projek yang sama. Oleh itu, kumpulan itu dapat dilihat oleh orang luar sebagai sebuah unit yang tunggal. Membentuk sebuah pasukan dengan cara itu dikatakan dapat memudahkan penciptaan, penjejakan dan penugasan sekumpulan orang, bersandarkan projek yang perlu dijalankan. Penggunaan label "pasukan" dalam kes ini seringnya tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan adakah pekerja-pekerja yang berkenaan itu bekerja sebagai sebuah pasukan.

Pasukan sukan sunting

Pasukan sukan ialah sekumpulan orang yang bermain sukan bersama-sama. Anggota-anggotanya termasuk semua pemain (termasuk mereka yang menunggu giliran masing-masing untuk bermain) dan anggota bantuan seperti pengurus pasukan.

Pasukan maya sunting

Perkembangan dalam teknologi komunikasi telah melihatkan kemunculan pasukan maya. Pasukan maya ialah sekumpulan orang yang bekerja secara saling bersandar dan mengongsi tujuan merentasi ruang, masa, dan sempadan organisasi dengan menggunakan teknologi untuk berkomunikasi dan bekerjasama. Anggotanya terangkum mereka daripada budaya-budaya yang berbeza di seluruh negara atau seluruh dunia dan jarang bersemuka.[2] Banyak pasukan maya adalah pasukan bersilang fungsian yang menekankan penyelesaian masalah pelanggan atau yang menjanakan proses kerja yang baru. Jabatan Buruh Amerika Syarikat melaporkan bahawa pada 2001, 19 juta orang bekerja di rumah melalui talian atau dari lokasi yang berlainan dan menjelang akhir 2002, melebihi 100 juta orang di seluruh dunia dijangka akan bekerja di luar pejabat tradisional (Pearlson & Sounders, 2001).

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Leader Values: Requirements of a Self-Managed Team Leader". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-12-06. Dicapai pada 2008-10-31.
  2. ^ Kimble et al (2000): Effective Virtual Teams through Communities of Practice (Department of Management Science Research Paper Series, 00/9), University of Strathclyde, Strathclyde, UK, 2000.

Pautan luar sunting