Pemacu kilat USB ialah peranti storan ingatan kilat yang disepadukan dengan antaramuka USB. Pemacu kilat USB lazimnya bersaiz kecil, ringan, boleh ditulis semula dan boleh dibawa ke mana sahaja. Kapasiti simpanan biasanya dalam lingkungan 64 MB sehingga 128 GB[1] dengan penambahbaikan yang berterusan dalam nisbah saiz dan harga bagi setiap gigabait. Sesetengah pemacu kilat membenarkan kitar tulis-padam sehingga lebih sejuta kali[2][3] serta mempunyai jaminan pengekalan data selama 10 tahun,[4] disambung menggunakan penyambung USB 1.1 atau USB 2.0.

Pemacu kilat USB

Pemacu kilat USB menawarkan banyak kelebihan berbanding peranti storan mudah alih lain, terutamanya cakera liut. Ia lebih kecil, lebih pantas, boleh menyimpan lebih banyak data serta lebih boleh diharap (kerana tiada bahagian bergerak serta reka bentuk yang lebih tahan lama) daripada cakera liut. Pemacu kilat USB menggunakan piawaian alat storan massa USB yang disokong oleh sistem pengendalian moden seperti Windows, Mac OS X dan Linux.

Sebuah pemacu kilat terdiri daripada papan litar bercetak kecil di dalam bekas plastik, menjadikannya kecil dan mudah disimpan di dalam poket. Penyambung USB pula ditutup dengan penutup plastik yang boleh ditanggalkan untuk melindunginya daripada kemungkinan kerosakan akibat elektrik statik. Hampir kesemua pemacu kilat menggunakan penyambung piawai USB jenis A agar pemacu-pemacu ini boleh disambung terus ke komputer. Pemacu kilat USB memperoleh bekalan kuasanya melalui port USB sendiri.

Istilah pemacu digunakan kerana komputer membaca dan menulis data pada pemacu kilat dengan menggunakan perintah sistem yang sama seperti cakera keras mekanikal biasa, dengan peranti storan dipaparkan pada sistem pengendalian dan antaramuka grafik pengguna komputer sekadar seperti pemacu keras yang lain.[3]

Sejarah sunting

Penciptaannya sunting

Pemacu kilat USB dipercayai mula dicipta sekitar tahun 1998 hingga tahun 2000. Ramai berpendapat idea pemacu kilat itu sendiri dilihamkan oleh Pua Khein-Seng, seorang warga Malaysia yang memiliki sebuah syarikat elektronik di Taiwan yang bernama Phison Electronics.[5] Banyak syarikat yang mendakwa sebagai pencipta pemacu kilat USB, dan isu ini sering menjadi pertikaian sehingga ada kalanya membawa kepada kes mahkamah kerana masing-masing mendakwa memiliki sijil paten bagi peranti ciptaan mereka. Misalnya, Trek Technologies yang berpangkalan di Singapura mendakwa sebagai pencipta asal ThumbDrive yang mula dipasarkan pada tahun 2000. Syarikat-syarikat lain seperti M-Systems dari Israel [6] dan Lexar dari Amerika Syarikat turut mendakwa menjadi pencipta pemacu kilat USB, maka Trek membawa kes tersebut ke mahkamah di Singapura. Hasilnya, Mahkamah Rayuan Singapura mengesahkan kesahihan sijil paten ThumbDrive oleh Trek Technologies dan memerintahkan syarikat-syarikat lain untuk menghentikan penjualan produk mereka. Walau bagaimanapun, semakin banyak syarikat yang mula mengeluarkan pemacu kilat USB.USB asalnya dari malaysia

Penghasilan produk komersil yang pertama sunting

Trek Technologies bersama syarikat komputer Amerika IBM memulakan penjualan pemacu kilat secara komersil pada tahun 2000; Trek menjual produk mereka di bawah nama "ThumbDrive" manakala IBM memasarkan produk mereka di bawah nama "DiskOnKey". Pemacu kilat pertama keluaran IBM mempunyai kapasiti ingatan sebanyak 8MB, lebih lima kali daripada kebolehan memori cakera liut yang wujud pada ketika itu.[7]

Produk keluaran generasi kedua sunting

Mulai tahun 2003, pemacu kilat terkini menggunakan sambungan USB 2.0 yang lebih pantas tetapi kadar pemindahan data maksimum hanyalah sekitar julat 10 sehingga 25 Mbps, berbeza dengan keupayaan maksimum sambungan USB 2.0 yang membolehkan pemindahan data sehingga 480 Mbps. Hal ini terjadi kerana kekangan pada cip memori kilat.

Pemacu kilat turut menjadi "ikon fesyen" apabila terdapat syarikat yang mengeluarkan pemacu kilat dalam pelbagai bentuk yang menarik, malah ada pengeluar yang turut menawarkan aksesori bagi pemacu kilat keluaran mereka untuk tujuan berfesyen.

Komponen pemacu kilat USB sunting

 
Bahagian dalaman lazim pemacu kilat
(Gambar model jenama Seitec USB1.1)

1 Penyambung USB
2 Alat pengawal storan massa USB
3 Titik ujian
4 Cip ingatan kilat
5 Pengayun kristal pemasa kuartza 12 MHz
6 LED
7 Suis lindung tulis
8 Ruang cip ingatan kilat kedua

Komponen wajib sunting

  • Penyambung USB - menyediakan antaramuka bagi pemacu ke komputer.
  • Pengawal storan massa USB - Menterjemahkan arahan komputer kepada arahan berorientasikan blok bagi ingatan kilat dan sebaliknya. Pengawal ini juga turut dilengkapi sebuah pemproses mikro, RAM dan ROM di dalam cip yang sama.
  • Cip ingatan kilat - menyimpan data.
  • Pembuai hablur - menghasilkan isyarat jam utama 12 MHz dan mengawal keluaran data melalui litar fasa tertutup.

Komponen tambahan sunting

  • Pelompat dan pin ujian - bagi tujuan menguji cip semasa pengeluaran atau memuatkan kod aturcara kepada pemproses.
  • LED - menandakan operasi baca / tulis atau pemindahan data.
  • Ruang cip ingatan tambahan - menyediakan ruang kosong bagi memuatkan cip ingatan kilat kedua. Ruang kosong ini disediakan supaya pengeluar hanya perlu menghasilkan satu sahaja papan litar bagi model pemacu kilat dengan pelbagai saiz ingatan bagi memenuhi permintaan pasaran.
  • Penutup penyambung USB - melindungi penyambung USB daripada kemungkinan kerosakan akibat elektrik statik serta menyempurnakan rupa bentuk pemacu. Sesetengah model tidak ada penutup tetapi menggunakan pelbagai mekanisme bagi melindungi penyambung USB.
  • Lubang rantai kunci - membolehkan pemacu disambung ke rantai kunci ataupun tali lanyard bagi membolehkannya dibawa ke mana sahaja.
  • Suis lindung tulis - digunakan untuk menghalang hos daripada menulis pemacu. Suis ini berguna untuk memulihkan komputer yang diserang virus komputer kerana mampu menghalang virus menjangkiti pemacu.

Kegunaan sunting

  • Menyimpan dan mengangkut data - kegunaan paling utama.
  • Kerja membaiki komputer - pemacu kilat USB boleh digunakan sebagai peranti sandaran (backup) bagi pengangkutan pemulihan ataupun boleh mengangkut sesetengah antivirus bagi memulihkan PC yang dijangkiti virus.
  • Pentadbiran sistem - pemacu kilat USB boleh menyimpan konfigurasi sistem serta perisian utiliti bagi tujuan penyelenggaran sistem komputer.
  • Pembawa aplikasi - pemacu kilat USB boleh membawa perisian aplikasi yang tidak memerlukan pemasangan agar dapat digunakan pada mana-mana komputer tanpa pemasangan.
  • Pemain audio - banyak syarikat yang mengeluarkan pemain audio digital peribadi dalam bentuk pemacu kilat USB, misalnya Creative Labs MuVo dan beberapa model Walkman oleh Sony.
  • Memulakan sistem pengoperasian - pemacu kilat juga boleh digunakan bagi tujuan memulakan sistem pengoperasian, jika BIOS pada sesetengah papan induk membenarkan pemacu kilat digunakan sebagai peranti pemula sistem pengoperasian.
  • Dalam permainan komputer - sesetengah permainan membolehkan pemain menyimpan markah, imej skrin dan sebagainya di dalam pemacu kilat.
  • Windows Vista ReadyBoost - teknologi ReadyBoost pada Windows Vista membolehkan pengguna menggunakan pemacu kilat bagi menambah baik prestasi ingatan komputer.
  • Media rakaman muzik - kini terdapat set hi-fi rumah serta set audio kereta yang turut menyertakan port USB, membolehkan lagu-lagu daripada pemacu kilat USB dimainkan secara terus. Selain itu, terdapat juga artis seperti Kanye West[8] , Nine Inch Nails dan Ayumi Hamasaki [9] yang turut menjual album mereka dalam bentuk pemacu kilat USB.

Kelebihan dan kekurangannya sunting

 
Salah satu perisian kata laluan keselamatan untuk melindungi pemacu kilat USB

Kelebihan sunting

  1. Pemacu kilat USB tidak terjejas oleh kesan calar, hakisan ataupun habuk yang sering menjadi masalah pada storan magnetik dan optikal serta tahan lasak. Sebuah rancangan TV di Britain pernah menguji daya tahan lasak struktur pemacu ini dengan membakarnya, membekunya dengan ais kering, merendamnya dalam larutan asid yang kuat serta melanggarnya tersebut dengan jip; namun data yang terkandung di dalam pemacu tersebut masih dapat diperolehi semula oleh pakar-pakar.[10]
  2. Bersaiz kecil dan mudah dibawa ke mana-mana.
  3. Sesetengah model pemacu kilat adalah serbaguna dan boleh juga digunakan sebagai pemain audio.
  4. Boleh digunakan pada mana-mana komputer yang dilengkapi port USB. Kebanyakan komputer pada masa sekarang mempunyai sekurang-kurangnya 2 port hub USB, manakala tidak semua komputer mempunyai perakam CD/DVD±RW.
  5. Ketumpatan storan data yang tinggi. Sesetengah model pemacu kilat boleh menyimpan lebih banyak data daripada sekeping DVD (4.7 GB).
  6. Disokong oleh semua sistem pengoperasian terkini.
  7. Kitar tulis-padam yang lebih tinggi. Sekeping CD-RW dan DVD±RW mempunyai kitar tulis-padam sehingga 1,000 kali manakala DVD-RAM pula mempunyai kitar baca-padam sebanyak 100,000 kali. Sebuah pemacu kilat USB lazimnya mempunyai kitar tulis-padam sehingga melebihi setengah juta kali sebelum gagal.

Kekurangan sunting

  1. Mudah hilang kerana rekabentuk yang kecil.
  2. Walaupun harga pemacu kilat semakin murah, kos spesifik penyimpanan data di dalam pemacu kilat masih lebih tinggi daripada DVD±RW.
  3. Kebanyakan model pemacu kilat tidak dilengkapi ciri keselamatan seperti suis lindung-tulis ataupun perisian kata laluan, maka lebih mudah berdepan risiko dijangkiti virus.
  4. Boleh dirosakkan akibat pendawaian port USB yang tidak betul pada komputer.
  5. Plag USB boleh patah jika pemacu dihempap. Ini kerana titik pateri plag USB adalah titik paling lemah dan mudah patah serta rekabentuknya yang tersembul keluar.

Perbandingan dengan peranti storan mudahalih lain sunting

  • Cakera liut - Cakera liut atau disket adalah antara bahantara storan mudah alih terawal yang popular, tetapi kini kurang digemari kerana kapasiti yang rendah, perlahan, mudah berkulat dan tidak tahan lama. Kebanyakan model komputer terkini tidak lagi dilengkapi pemacu disket, di mana model pertama yang tidak dilengkapi pemacu disket ialah Apple iMac.
  • Imation SuperDisk dan Iomega Zip - Imation SuperDisk tidak mendapat sambutan kerana tidak diterima sebagai piawaian baru cakera liut serta dibayangi reputasi buruk cakera liut. Iomega Zip pernah popular seketika, tetapi kini tidak lagi popular kerana harga disketnya yang mahal serta masalah kesesuaian dengan produk lama.
  • Pemacu cakera keras luaran - Walaupun secara lazimnya cakera keras moden mempunyai saiz storan yang jauh lebih besar daripada pemacu kilat USB, namun cakera keras terdedah kepada risiko kerosakan akibat hentakan mekanikal, kesan habuk atau calar, serta apabila terdedah dengan peralatan bermagnet.
  • Cakera optik - Secara lazimnya, kebanyakan cakera optik boleh tulis (kecuali DVD-RAM yang lebih mahal) berharga lebih rendah daripada pemacu kilat, tetapi pemacu kilat mempunyai kitar tulis-padam yang jauh lebih tinggi daripada cakera optik. Tambahan pula, satu fail imej perlu dibentuk oleh perisian utiliti penulis cakera optik sebelum cakera optik ditulis, tidak seperti pemacu kilat yang boleh ditulis atau dipadam secara terus tanpa perlu dibina fail imej.

Penamaan sunting

Pemacu kilat USB mempunyai banyak nama panggilan di mana majoritinya ialah jenama pemacu kilat yang banyak terdapat di pasaran, seperti PenDrive, ThumbDrive dan sebagainya. Namun begitu, nama rasmi yang diterima pakai oleh keseluruhan industri teknologi maklumat ialah Pemacu Kilat USB.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-03. Dicapai pada 2009-04-10.
  2. ^ "Imation Swivel Pro Flash Drive", About.com, 2008, webpage: AboutCom-Swivel-Pro-Flash.
  3. ^ a b Pemacu kilat USB membenarkan operasi tulis, baca dan memadam data, dengan sesetengah daripadanya membenarkan sehingga sejuta kali kitar tulis/padam pada setiap sel ingatan: jika digunakan 100 kali sehari, sejuta kitaran tersebut menyamai penggunaan selama 10,000 hari ataupun lebih 27 tahun. Sesetengah peranti menyekatakan penggunaan melalui aktiviti pemindahan automatik ke bahagian ingatan yang kurang digunakan.
  4. ^ "USB flash drive weighs 32 g", Trade Media Ltd, June 2006, webpage: GSources-flash-6102.
  5. ^ "Up close & personal with Pua Khein-Seng". TheStar. September 5, 2009. Dicapai pada 2011-08-05.
  6. ^ (Paten U. S. 6,148,354 Architecture for a universal serial bus-based PC flash disk pada 5 April 1999 )
  7. ^ "8MB USB Memory Key – Overview". Ibm.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-09-21. Dicapai pada 2017-06-07.
  8. ^ CHR – Available for Airplay. FMQB. Dicapai pada 23 September 2007.
  9. ^ "PART ONE/// WITH HEARTS AS ONE USB Wristband". Hillsong.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-03-31. Dicapai pada 2008-04-12.
  10. ^ testing removable media di YouTube on the Gadget Show.