Pemberontakan An Lushan

Pemberontakan An Lushan merupakan pemberontakan yang berlaku di China ketika zaman Dinasti Tang. Pemberontakan ini tercetus pada 16 Disember 755 ketika jeneral An Lushan mengumumkan dirinya sebagai maharaja di Utara China dan mengasaskan Dinasti Yan. Pemberontakan ini berakhir pada 17 Februari 763 akibat kejatuhan Dinasti Yan. Peristiwa ini juga dikenali sebagai Pemberontakan An–Shi atau Kekacauan An–Shi (Cina ringkas: 安史之乱Cina tradisional: 安史之亂pinyin: Ān Shǐ zhī luàn). Hal ini kerana pemberontakan ini masih diteruskan selepas kematian An Lushan di bawah pimpinan anaknya, An Qingxu dan pengganti An Lushan, Shi Siming. Selain itu, nama lain bagi peristiwa ini ialah Pemberontakan Tianbao (天寶之乱).

Pemberontakan An Lushan

Peta menunjukkan kawasan-kawasan pemberontakan
Tarikh16 Disember 755 – 17 Februari 763
(7 tahun, 2 bulan dan 1 hari)
Lokasi
Keputusan

Kemenangan Tang

  • Kejatuhan Yan
  • Kemerosotan Dinasti Tang
Pihak yang terlibat
Dinasti Tang
Kerajaan Khan Uyghur
Disokong oleh:
Dinasti Yan
Komandan dan pemimpin
Tang Xuanzong
Tang Suzong
Tang Daizong
Feng Changqing
Gao Xianzhi
Geshu Han
Guo Ziyi
Li Guangbi
Zhang Xun
Li Siye (WIA)
Pugu Huai'en
Yu Chao'en
Yan Zhenqing
An Lushan
An Qingxu
Shi Siming
Shi Chaoyi
Zhang Xiaozhong Menyerah diri
Wang Wujun Menyerah diri
Xue Song Menyerah diri
Zhang Zhongzhi Menyerah diri
Li Huaixian Menyerah diri
Tian Chengsi Menyerah diri
Kekuatan
c. 600,000–700,000 saat kemuncak c. 200,000–300,000 saat kemuncak
Kerugian dan korban
Sangat tinggi

Latar belakang

sunting

Pada tahun 618, Li Yuan telah mengasaskan Dinasti Tang di China. Selama beberapa kurun, China mencapai zaman kegemilangannya dalam politik dan kebudayaan. Malah pada zaman ini, China dianggap sebagai kerajaan terkuat dan terkaya di dunia. Kerajaan Khan Turk Timur telah ditakluk oleh Tang pada tahun 630 diikuti dengan penaklukan ke atas Kerajaan Khan Turk Barat pada tahun 642. Melalui kejayaan ini, Kerajaan Tang berjaya menguasai Asia Tengah dan Laluan Sutera yang terdapat di Tarim Basin. Tang juga meluaskan pengaruhnya hingga ke Korea dan Vietnam sekali gus membuktikan kebangkitan dinasti baru China berbanding dinasti-dinasti terdahulu.

Semasa Maharaja Xuanzong menaiki takhta pada tahun 712, zaman kegemilangan Tang mencapai kemuncaknya. Zaman pemerintahannya menyaksikan kerja-kerja kreativiti dihasilkan dengan cemerlang. Namun ia semua berubah pada tahu 736 apabila Li Linfu dilantik menjadi ketua menteri. Pada masa itu, Maharaja Xuanzong telah dipengaruhi oleh hal-hal keagamaan serta gundiknya membuatkan beliau kurang berminat untuk memerintah. Pada tahun 742, Li Linfu melakukan beberapa siri pembersihan dengan membawa pihak 'duri dalam daging' kerajaan ke muka pengadilan.

Pada tahun 747, Li Linfu telah menjadi diktator secara de facto. Salah satu dasarnya ialah menggunakan jeneral tentera bukan berbangsa Cina sebagai gabenor ketenteraan. Dengan cara ini, beliau berharap tenteranya dapat menanam kepercayaan kepada pemimpin yang tiada hubung kait dengan politik. Beliau juga berharap ia dapat mengelakkan musuh politiknya daripada dapat merampas kuasa. Namun, perkara ini juga bermakna komander tentera tidak akan mencurahkan bakti kepada kerajaan pusat. Salah satu daripadanya ialah An Lushan, seorang jeneral yang berasal daripada keturunan Sogdia dan Göktürk. Sebagai seorang komander barisan hadapan tentera, beliau mempunyai 164 ribu ketumbukan tentera dan memiliki pejabatnya sendiri yang terletak berhampiran Beijing. An Lushan bertanggungjawab untuk mengawal suku nomad Khitan dan puak-puak nomad yang lain di kawasan Manchuria.

Maharaja Xuanzong dan Li Linfu telah menganugerahkan An Lushan dengan gelaran 'putera' dan diberikan kuasa untuk membuat wang logam. Sementara itu, gundik kepada Maharaja Tang telah mempengaruhi Maharaja Xuanzong untuk melantik kerabat keluarganya bagi mengambil alih jawatan yang penting dalam kerajaan. Pada lewat 740–an, salah satu kerabat keluarganya itu iaitu Yang Guozhong mula membuat pakatan dengan musuh politik Li Linfu untuk mencabar kedudukannya. Beliau juga telah melakukan komplot untuk menjatuhkan orang kepercayaan Li Linfu iaitu An Lushan. Situasi menjadi lebih parah apabila Li Linfu meninggal dunia pada tahun 752. Yang Guozhong mengambil alih Istana Kerajaan dan cuba untuk menyingkirkan An Lushan. An Lushan merasakan kedudukannya mula terancam dengan keadaan yang berubah-ubah di istana di Chang'an. Selain itu, beliau mungkin menanam keinginan untuk merampas kuasa daripada Dinasti Tang serta kegelisahan melandanya kerana beliau tidak dapat sokongan maharaja.

Pemberontakan

sunting

Berikutan situasi yang terus tegang antara An Lushan dan pesaingnya, beliau telah bergerak bersama 150,000 tenteranya dari Fanyang menuju ke ibu kota kerajaan timur Tang, Luoyang pada tahun 755. Pada titik ini, kebanyakan tentera atau askar yang berpengalaman berkawal di berbagai-bagai perbatasan kerajaan. Jadi pada awalnya, jumlah tentera kerajaan yang ada tidak cukup untuk mematahkan pemberontakan. Walaupun Maharaja cuba memanggil tenteranya dari Wilayah Barat tetapi ia tetap akan mengambil masa untuk mengumpulkan semua tentera. Pengunduran tentera Tang dari Wilayah Barat menandakan mereka akan kehilangan kawasan itu buat selama hampir satu alaf.

Salah satu jeneral Tang yang pulang dengan segera dari Tarim Basin, Feng Changqing menghimpunkan 60,000 tentera untuk berhadapan dengan An Lushan. Dalam satu siri pertempuran, tentera mereka dikalahkan oleh puak pemberontak yang berlaku di Luoyang. Komander Tang itu berundur bersama saki baki tenteranya melalui Tongguan. Seterusnya, Feng Changqing bergabung dengan jeneral Tang yang berpengalaman, Gao Xianzhi. Gao Xianzhi baru pulang dari Asia Tengah selepas pasukan pimpinannya tewas dalam Pertempuran Talas. Beberapa bulan kemudian, kota Luoyang jatuh ke tangan An Lushan. Beliau menguasai kota tersebut dan menghormati pembesar-pembesar Tang dengan martabat. Tindakannya itu membuatkan lebih ramai menyertai angkatan An Lushan.

Pada tahun 756, An Lushan mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja bagi Dinasti Yan dan kota Luoyang dijadikan sebagai ibu kota. Apabila tentera pemberontak bersiap sedia untuk menuju ke Tongguan, An Lushan mengirimkan serangan lain ke arah barat daya dan timur daya China. Tentera pemberontak yang menuju ke arah barat daya akan menguasai kawasan strategik di Sungai Kuning. Sementara itu, tenteranya yang mara ke arah timur daya bertembung dengan keadaan yang lebih kritikal. Walaupun kota Luoyang telah dikuasai oleh tentera An Lushan, tetapi An Lushan tidak meletakkan garison sepanjang laluan kemaraannya ke arah selatan kerajaan Dinasti Tang. Perkara ini diambil peluang dengan segera oleh orang kuat Dinasti Tang untuk melancarkan penentangan sekali gus berjaya memotong rangkaian antara An Lushan dan kubunya di utara. Pada masa yang sama, ia juga berjaya melengahkan serangan An Lushan ke atas Tongguan. Pada musim panas 756, beliau berjaya merebut semula kawasan yang dikuasai oleh puak setia Dinasti Tang dan menumpukan semula perhatiannya ke arah kota Chang'an.

Pada masa yang sama, Maharaja Xuanzong telah melakukan keputusan yang akan mengundang malapetaka. Berikutan kegagalan meredakan pemberontakan, jeneral Feng Changqing dan Gao Xianzhi telah dihukum mati. Maharaja telah menggantikan mereka dengan orang bawahan yang dianggap layak. Beliau seterusnya mengarahkan komander barunya itu untuk menyerang tentera An Lushan dengan segera di Tongguan. Usaha ini akhirnya membawa kepada satu bencana apabila tentera ini terjerat ke dalam satu serangan hendap oleh musuh dan dihancurkan pada 9 Julai. Laluan An Lushan ke Chang'an dan Ibu Kota Empayar kini terbuka kerana tidak ada tentera lagi yang akan mempertahankannya. Beberapa orang yang selamat daripada pertempuran sengit telah memaklumkan kepada maharaja tentang perkara sebenar yang telah berlaku. Dengan reaksi yang cemas, Maharaja Xuanzong bersama pewarisnya, Suzong melarikan diri bersama segala kemegahan dari istana.

Dua minggu kemudian apabila rombongan diraja tiba di sebuah hentian, Maharaja Xuanzong telah mengenakan hukuman mati ke atas birokratnya yang banyak terdiri daripada tentera atas kejadian yang berlaku di Tongguan. Kemudian, Maharaja Xuanzong menuju ke selatan sebelum sampai di kota Chengdu manakala pewarisnya pula menuju ke utara dan tiba di kota Lingzhou pada musim luruh 756. Suzong telah dipujuk untuk menaiki takhta daripada bapanya yang masih hidup dan hidup dalam keadaan buangan. Bapanya iaitu Maharaja Xuanzong telah memperoleh gelaran 'Taishang Huang' yang bermaksud maharaja bersara. Zaman pemerintahan Maharaja Tang paling lama dan gemilang telah berlabuh di penghujungnya.

Sementara itu, tentera utama An Lushan telah tiba dan memasuki ibu kota kerajaan Tang, Chang'an dan dilaporkan proses pengurangan penduduk secara besar-besaran di dalam kota itu telah dijalankan. Hal ini berlaku sama ada beliau melakukan pembunuhan besar-besaran ke atas penduduk kota ataupun ramai penduduk telah berpindah dari kota akibat kekacauan. Kota yang makmur pada suatu masa dahulu ini telah menjadi musnah akibat pergolakan ini.

Serangan balas

sunting

Daripada kubu barunya yang terletak di utara, Suzong mula mengumpulkan angkatan tenteranya yang baru. Pada tahun 757, beliau memutuskan untuk memohon bantuan daripada Kerajaan Abbasiyyah dari sebelah barat dan Kerajaan Khan Uyghur dari utara. Mereka telah dijanjikan dengan hak istimewa sekiranya pemberontakan dapat ditamatkan.

Pada masa yang sama, keadaan yang mengecewakan menimpa pihak An Lushan apabila beliau gagal untuk mara sama ada ke barat bagi menguasai Tarim Basin atau menuju ke Yangtze di selatan. Hal ini demikian kerana beliau menghadapi tentangan daripada puak setia Dinasti Tang yang tidak berganjak. Perkara ini telah mencetuskan pembunuhan An Lushan oleh pengikut terdekatnya yang tidak berpuas hati. An Qingxu telah menggantikan tempat ayahnya apabila ditentukan oleh bekas pengikut An Lushan. Walau bagaimanapun, kekacauan ini telah melemahkan pentadbiran Dinasti Yan sekali gus membolehkan Tang untuk merencanakan serangan balas. Dengan pengukuhan angkatan tentera Tang, Maharaja Suzong yang baru menaiki takhta telah mara ke selatan sekali lagi dan menguasai kota Chang'an dan Luoyang daripada pemberontak. Ancaman ke atas Dinasti Tang telah berjaya dihapuskan dan kemenangan ini menandakan kesan yang besar kepada kerajaan Tang.

Kesan pemberontakan ke atas Dinasti Tang ini mencatatkan kesan yang amat dahsyat. Umumnya, tidak diketahui jumlah angka yang terkorban daripada pemberontakan ini tetapi ia dianggarkan seramai 15 juta sehingga 40 juta orang tertewas. Oleh kerana tentera Tang terpaksa pergi meninggalkan kawasan sempadan untuk menentang puak pemberontak, kawasan sempadan Tang telah menjadi lemah akibat tiada pengawalan dan pemerhatian. Akibatnya, tentera dari Vietnam dan kawasan sekitar telah melakukan serangan ke atas kawasan Canton yang tidak dijaga oleh tentera Tang.

Pada tahun 763, pesaing kepada Dinasti Tang iaitu Tibet telah mengambil peluang atas kelemahan Tang dengan menguasai kota Chang'an sebelum mereka dipaksa untuk berundur. Malah, Tang juga tidak dapat memiliki kawasan Tarim Basin dan kawasan berhampiran yang kaya dengan pembelaan kuda dan kota oasis yang makmur buat selama-lamanya.

Semasa pemberontakan berlaku, An Lushan telah merampas Terusan Besar China, menyekat pengaliran gandum, pakaian dan mata wang ke Chang'an. Lebih-lebih lagi, selepas beliau menguasai ibu kota Tang, kerajaan Tang menanggung kerugian dengan menghadapi kekurangan bekalan makanan dan harta kekayaan. Dinasti Tang yang mengukir kejayaan sebelum ini telah ditimpa masalah dana. Bahkan, birokrat kerajaan telah memperdagangkan anugerah dan jawatan masing-masing. Keadaan yang berlaku ini telah membuktikan sistem cukai dan tanah telah terjejas berikutan pemberontakan ini.

Nyalaan api ancaman Yan tidak lagi dipadamkan sehingga ke dekad seterusnya. Kesan pemberontakan ini sama sekali menjejaskan Dinasti Tang untuk tempoh yang seterusnya. 150 tahun selepas pemberontakan ini berakhir, dinasti Cina telah berpecah–belah dan mereka tidak lagi mencapai kegemilangan seperti apa yang disaksikan sebelum peristiwa pemberontakan An Lushan.

Pautan luar

sunting
  • Tang (618–907), Chinese Graphic Arts Net
  • Chinese History – Tang dynasty 唐 (618–907), Chinaknowledge.org
  • "Empress of the dynasty". Daming Palace. Episod 3 (dalam bahasa English). China Central Television. CCTV-9 Documentary. Cite has empty unknown parameter: |serieslink= (bantuan)CS1 maint: unrecognized language (link)
  • The An Lushan rebellion by In Our Time (BBC Radio 4)