Penaklukan Umayyad ke atas Hispania

Penaklukan Hispania oleh Kekhalifahan Umayyah ialah penaklukan negeri Kerajaan Visigoth Hispania oleh Kekhalifahan Umayyah. Ia berlaku di antara tahun 711 sehingga 718 M dan melibatkan tanah Semenanjung Iberia yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai Al-Andalus.

Al-Andalus di bawah pemerintahan Umayyah

Penaklukan Iberia bermula dengan serangan oleh angkatan yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Berber yang diketuai Tariq ibn Ziyad. Mereka mendarat dalam awal tahun 711 di Gibraltar dan memulakan peperangan ke arah utara. Kemenangan muktamad Tariq ke atas perampas takhta Visigoth, Roderic, dalam Pertempuran Guadalete serta pembelotan para waris sah takhta kerajaan Visigoth kepada pihak Islam (Saracen), menyebabkan kerajaan Visigoth berpecah menjadi negara pelanggan Kekhalifahan Umayyah. Dalam dekad yang menyusul, sebahagian besar Semenanjung Iberia ditakluk dan diletakkan di bawah kedaulatan negara Islam. Wilayah yang terlepas daripada pemerintahan Islam adalah kawasan-kawasan tanah tinggi ke arah barat laut (Galicia, Asturias) dan kawasan pergunungan ke arah utara yang dapat dipertahankan orang Basque dengan bantuan orang Frank. Wilayah yang ditawan menjadi Kekhalifahan Cordoba, sebahagian daripada empayar Umayyah yang sedang mengembang.

Pada mulanya angkatan Tariq bergerak ke arah timur laut merentasi banjaran Pyrenees kerana mahu menakluk Septimania, yang pada ketika itu di bawah pemerintahan klien-raja Ardo. Mereka dihalang buat sementara waktu oleh orang Aquitaine di bawah pimpinan Duke Odo Agung dalam Pertempuran Toulouse pada tahun 721. Walau bagaimanapun, selepas mengumpul bala tentera yang lebih besar, mereka menyambung kemaraan ke arah barat laut dan mengalahkan raja Odo dalam Pertempuran Bordeaux. Odo memerlukan bantuan menentang kemaraan tentera Islam dan tidak memiliki pilihan melainkan untuk memohon bantuan daripada [bekas] musuhnya, Charles Martel yang pada masa itu menyandang pangkat tinggi sebagai datuk bandar di Francia. Odo memberikan sumpah setia kepada Martel dan bergabung dengan tentera Frank, yang selepas berjalan secara paksaan, mengalahkan pasukan tentera Islam dalam Pertempuran Poitiers pada tahun 732. Penguasaan Islam ke atas wilayah yang sekarang menjadi negeri Perancis berjeda dan tamat dalam tahun 759.

Kendatipun tentera-tentera Islam menguasai Semenanjung Iberia selama berkurun-kurun selepasnya, kemenangan Pelayo dari Asturias dalam Pertempuran Covadonga dalam tahun 722 mengekalkan sekurang-kurangnya satu negeri kerajaan Kristian di utara. Pertempuran ini kemudiannya menjadi lambang penting di kalangan para Kristian Iberia sebagai titik permulaan Reconquista (maksud harfiah, "Penaklukan kembali")

Kemungkinan oleh sebab orang Islam memandang orang Kristian dan Yahudi sebagai Ahli Kitab, banyak masyarakat ataupun komuniti Kristian dan Yahudi kekal sepanjang berkurun-kurun samasa pemerintahan orang Islam di Al-Andalus.[1]

Dirham Al-Andalus keluaran Khilafah Cordoba, 807 M

Latar belakang sunting

Lihat juga: Protofeudalisme

 
Gambaran Tarik ibn Ziyad

Apa yang sebenarnya berlaku di Iberia pada awal abad ke-8 masih samar. Terdapat satu sumber Kristian sezaman, Babad tahun 754 (Chronicles of 754) (yang tamat pada tarikh itu) yang dianggap boleh dipercayai mahupun kabur dan tidak tepat. Tiada terdapat sumber Islam sezaman — maklumat daripada sumber Islam datang daripada susunan kisah terkemudian yang dipengaruhi anggapan tentang apa yang betul oleh penulis. Kekurangan sumber yang boleh dipercayai ini bermakna dakwaan yang terperici atau khusus perlu diterima dengan sikap berhati-hati.

Apa yang terdapat adalah beberapa kisah yang lebih sesuai dianggap legenda. Cara Raja Roderic menaiki takhta tidak jelas; ada disebut pertelengkahannya dengan anak lelaki penyandang terdahulu, Wittiza, dan dilaporkan keluarga Wittiza lari ke Tangiers dan meminta pertolongan di sana. Bukti numismatik menunjukkan percanggahan dalam pembahagian kuasa raja, dengan tempaan beberapa jenis duit syiling [yang hanya boleh ditempa oleh raja]. Juga terdapat cerita tentang Roderic merogol isteri atau anak perempuan seorang bernama Count Julian dari Ceuta; Count ini juga dikatakan telah meminta pertolongan daripada Tangiers. Namun, cerita-cerita ini kesemuanya legenda dan tidak didapati di dalam kisah-kisah terawal berkenaan penaklukan Hispania.[2]

Para ahli sejarah mengutarakan empat pendapat tentang sebab-musabab awal ekspidisi dijalankan oleh pihak orang Islam: (1) yang satu angkatan dihantar bagi membantu satu pihak dalam peperangan saudara dengan harapan mewujudkan perikatan ketenteraan di masa mendatang dan melakukan jarah; (2) yang angkatan yang dihantar merupakan pasukan peninjau bagi mendapat kepastian tentang kekuatan ketenteraan kerajaan Visigoth; (3) yang ianya merupakan gelombang pertama serangan besar-besaran; dan (4) yang ianya merupakan angkatan serbuan yang besar tanpa ada tujuan strategi secara langsung.

Serangan sunting

 
Zaman Khalifah
  Zaman Nabi Muhammad (saw),
622–632 M
  Zaman Kekhalifahan patriakal,
(Khulafa al-Rasyidin) 632–661 M
  Zaman Khilafah Umayyah,
661–750 M
 
Khilafah Cordoba c. 1000 M pada puncak Al-Mansur.

Menurut kisah daripada sumber Islam, pada awal abad ke-8, satu angkatan yang dianggarkan seramai lebih kurang 10,000–15,000 ahli tempur[3] yang diketuai Tariq ibn Ziyad menyeberang dari Utara Afrika. Ibn Abdul Hakim melaporkan, satu setengah abad kemudian, bahawa "orang Andalus tidak memantau mereka, kerana beranggapan bahawa kapal-kapal yang berulang-alik menyeberang seakan kapal pedagang yang berulang-alik bagi manfaat mereka." Angkatan Tariq menewaskan tentera Visigoth yang diketuai Roderic dalam pertempuran muktamad yang dikenali sebagai Pertempuran Guadalete dalam tahun 712. Angkatan Tariq kemudiannya diperteguh dengan tentera ketuanya, Amir Musa ibn Nusair, dan seterusnya mara untuk menakluk sebahagian besar Iberia.

Dalam zaman gabenor Arab kedua (atau pertama, bergantung kepada sumber) Abd al-Aziz ibn Musa (714-716 M), pusat-pusat bandar utama Catalonia menyerah kalah dan tentera Islam sampai di Pamplona. Berikutan rundingan yang menghasilkan persetujuan panglima-panglima Berber-Arab agar menghormati bandar itu serta penduduknya, Pamplona juga menyerah kalah. (Amalan berkompromi lazim dilakukan dengan banyak bandar di semenanjung Iberia).[4] Para tentera Islam tidak mengalami banyak tentangan, dan dengan mengambil kira keadaan perhubungan pada zaman itu, tiga tahun merupakan masa yang munasabah &emdash; selepas memastikan keselamatan dan pentadbiran bandar-bandar yang ditawan &emdash; untuk merentasi kawasan sehingga ke Pyrenees.[5]

Babad Tahun 754 (The Chronicle of 754) menyatakan "seluruh tentera Goth, yang mengikutinya [Roderic] dengan niat mahu menipu dan dengan sikap mahu bersaing untuk menjadi raja, lari". Ini merupakan kisah sezaman tunggal berkenaan pertempuran dan kekurangan perincian mendorong para sarjana sejarah terkemudian mencipta kisah mereka sendiri. Tempat pertempuran tidak berapa jelas tetapi berkemungkinan besar ianya di Sungai Guadalete.

Roderic dipercayai terbunuh, dan kekalahan teruk sudah tentu menjadikan Visigoth kehilangan pemimpin dan berada dalam keadaan kucar-kacir. Dalam persoalan ini, dianggarkan penduduk Visigoth yang memerintah hanya seramai 1 atau 2% jumlah tuntas penduduk,[6] sesuatu yang memudahkan kejatuhan kerajaan Visigoth yang berlaku hampir serta-merta. Lompang kuasa yang timbul akibat kejatuhan kerajaan Visigoth ini, yang mungkin memeranjatkan Tariq sendiri, sudah tentu juga banyak membantu penaklukan Hispania oleh orang Islam.

Sebahagian besar pasukan tentera Islam dianggotai orang Berber yang sendiri baharu memeluk Islam. Memandangkan bahawa berkemungkinan besar ketumbukan tentera ini merupakan keselanjaran pola sejarah serbuan besar-besaran terhadap Iberia dari zaman sebelum Islam lagi, dicadangkan bahawa penaklukan sebenar Iberia pada mulanya tidak dirancang. Kedua-dua Babad dan sumber-sumber Islam menceritakan tentang pencerobohan dalam tahun-tahun sebelumnya, dan tentera Tariq mungkin telah berada di Iberia buat masa yang agak lama sebelum pertempuran muktamad di Guadalete. Para ahli sejarah menyarankan kemungkinan ini didokong oleh fakta bahawa tentera yang dipimpin seorang Berber dan Musa, gabenor Afrika Utara Umayyah, hanya sampai di Iberia dalam tahun berikutan pertempuran Guadalete — gabenor tidak mahu terlibat dalam sebuah serbuan dan hanya menyusul selepas kemenangan menjadi jelas. Babad Tahun 754 menyatakan bahawa ramai daripada penduduk bandar tidak mempertahankan bandar mereka; sebaliknya mereka lari ke kawasan bukit, dan kisah ini mungkin dapat menyokong pendapat bahawa ini bukanlah pertukaran pemerintahan yang kekal tetapi hanya satu serbuan yang sementara.

Kesan sunting

Penaklukan Semenanjung Iberia oleh orang Islam membawa kepada tempoh hampir 700 tahun di mana wilayah tersebut dikenali sebagai wilayah Al-Andalus. Wilayah itu didominasi oleh pemerintah-pemerintah Islam dengan hanya beberapa negeri Kristian kecil yang kekal di kawasan pergunungan tandus di utara semenanjung Iberia. Dalam tahun 756 Abd Al-Rahman I, seorang pemandiri (survivor) dinasti Umayyah yang baru digulingkan, (oleh dinasti Abbasiyyah), telah merampas kuasa di Al-Andalus. Khalifah Abd Al-Rahman mempelopori pemerintahan bebas di Al-Andalus yang kekal sehingga abad ke-11. Dinasti-dinasti Al-Murabitun (1002 M) dan Al-Muwahhidun (1138 M) menuyusul sehingga tahun 1269 M yang menyaksikan kemunculan dinasti Marinid sebagai dinasti yang memerintah. Negara Islam Al-Andalus kemudiannya berpecah menjadi amiriah-amiriah kecil (Taifa) yang berperang sesama sendiri dan juga bersama pihak Kristian yang menjalankan Reconquista sehinggalah tahun 1492 apabila negara Islam terakhir, Kekhalifahan Granada, jatuh ke tangan Kristian.

Di bawah pemerintahan Islam, Hispania, wilayah yang suatu ketika menjadi kebanggaan Kerajaan Rom dan yang selama 200 tahun telah mengalami kemunduran ekonomi dan budaya di bawah pentadbiran Visigoth, kembali mencapai kegemelingan.

Cordoba, ibu negeri Amir ataupun pemerintah, dengan jumlah penduduk seramai 100,000 orang, lebih besar daripada mana-mana bandar di Eropah. Perpustakaan Amir diisi 400,000 naskhah buku, yang berkemungkinan lebih daripada kumpulan buku yang terdapat di seluruh Eropah pada masa itu. Sementara para penyalin manuskrip Eropah terpaksa menyalin dan ulang-salin teks-teks klasik yang amat sedikit jumlahnya, para sarjana Islam memperkenalkan angka Arab-Hindu, matematik tinggi dan teknik-teknik baharu perubatan kepada orang Eropah. Banyak teknik-teknik kejuruteraan diperkenalkan kepada Sepanyol dalam zaman Al-Andalus sehingga wilayah ini menarik perhatian orang-orang Eropah dengan kecanggihan kehidupan penduduknya. Penduduk Al-Andalus bermandi dengan air panas di rumah-rumah mandi awam sementara orang Eropah "tidak membersihkan diri dan hanya mandi sekala-sekali dengan air sejuk".[7] Kehidupan orang Sepanyol diubah dengan pengenalan tumbuhan-tumbuhan baharu seperti kapas, buah tin, bayam dan tembikai, yang tanaman kesemuanya berkembang dengan penggunaan teknik-teknik saliran baharu.[8]

Lihat juga sunting

Nota sunting

  1. ^ Fletcher, Richard (2006). Moorish Spain. Los Angeles: University of California Press. m/s. 35. ISBN 0-520-24840-6.
  2. ^ Rucquoi menyatakan bahawa cerita tentang isteri atatu anak perempuan Count Julian tidak terkandung di dalam Chronicle of 754 dan berpendapat ianya "berkemungkinan besar satu legenda", tetapi berasa mungkin ada kebenaran dalam cerita-cerita tentang keluarga Wittiza.Rucquoi, Adèle (1993), Histoire médiéval de la Péninsule ibérique, Éditions du Seuil, m/s. 71, ISBN 2-02-012935-3
  3. ^ "El País". 2008-12-05.
  4. ^ Collins, Roger (1990). The Basques. Basil Blackwell. m/s. 116. ISBN 0-631-17565-2. Text "city: Cambridge, Ma" ignored (bantuan)
  5. ^ Collins, Roger (1990). m/s. 116. Missing or empty |title= (bantuan)
  6. ^ Ripoll López, Gisela (1989). "Características generales del poblamiento y la arqueología funeraria visigoda de Hispania". Espacio, Tiempo y Forma, S. I, Prehist. y Arqueol., t. 2. m/s. 389–418. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2010-08-12. Dicapai pada 2012-07-14. En resumen se puede considerar que el pueblo visigodo —sin diferenciar la población civil de la militar— representó de un uno a un dos por ciento sobre la totalidad de la población de Hispania.
  7. ^ al-Bakri, di dalam Charles Melville dan Ahmad Ubaydli, Christians and Moors in Spain (Warminster, UK:Aris and Philips, 1988), vol 3, p 55.
  8. ^ Chris Lowney, A Vanished World, Medieval Spain's Golden Age of Enlightenment, (New York, :Free Press, 2005) p 5.

Sumber sunting

  • Kennedy. Muslim Spain and Portugal.
  • Collins, R. The Arab Conquest of Spain.
  • AD Taha. The Muslim conquest and settlement of North Africa and Spain.

Pautan luar sunting