Pendidikan di Perancis


Pendidikan di Perancis diselia oleh Kementerian Pendidikan Nasional, Belia dan Sukan (Perancis: Ministère de l'Éducation nationale, de la Jeunesse et des Sports)[1]. Ianya dipecahkan kepada tiga peringkat peringkat pendidikan iaitu pendidikan rendah (enseignement primaire), pendidikan menengah (enseignement secondaire) dan pendidikan tinggi (enseignement supérieur). Kebanyakkan kanak-kanak memulakan persekolahan di Perancis bermula 2 tahun, di mana mereka memasuki peringkat pendidikan prasekolah. Bermula umur 6 tahun, kanak-kanak di Perancis memulakan peringkat pendidikan rendah dan seterusnya ke peringkat menengah dan pendidikan tinggi.

Pendidikan di Perancis
Kementerian Pendidikan Nasional
MenteriPap Ndiaye
Perincian umum
Bahasa utamaBahasa Perancis
Jenis seliaanBerpusat
Kadar celik huruf (2003)
Jumlah991
Lelaki99
Wanita99
Kemasukan pelajar
Jumlah15.0 juta2
Pendidikan rendah7 juta
Pendidikan menengah6 juta
Pasca-menengah2.3 juta3
Peratusan tamat pengajian
Pendidikan menengah79.7%
Pasca-menengah27%
1 Setakat tahun 2020, kadar celik huruf tidak lagi dibanci oleh INSEE.
2 Termasuk pendidikan persendirian.
3 Termasuk universiti, CPGE dan sekolah

Di peringkat pendidikan tinggi di Perancis pula, peringkat ijazah berikut diiktiraf oleh Bologna Process (pengiktirafan di peringkat EU); Licence dan Licence Professionnelle (ijazah sarjana muda), Master (ijazah sarjana) dan Doctorat (Kedoktoran).

Pada tahun 2018, Program Penilaian Pelajar Antarabangsa yang diselaraskan oleh OECD meletakkan kemahiran dan pengetahuan am remaja Perancis berumur 15 tahun dalam kedudukan ke-26 dunia untuk carta kemahiran celik huruf, matematik dan sains, di bawah purata OECD iaitu 493[2]. Purata prestasi remaja 15 tahun Perancis menurut skala OECD dalam sains dan matematik didapati menurun, dengan trend menaik ditunjukkan bagi remaja yang berkemahiran rendah dalam celik huruf, matematik dan sains[3].

Di peringkat menengah, Perancis menduduki tangga ke-23 dalam penilaian matematik dan sains yang dijalankan oleh Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada tahun 1995[4]. Pada tahun 2019, Perancis menduduki tangga ke-21 dalam penilaian Sains oleh TIMSS[5].


Sejarah sunting

Napoleon merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menubuhkan sistem pendidikan menengah dan universiti di Perancis. Era pemodenan pendidikan Perancis bermula pada akhir abad ke-19. Pada tahun 1841, Jules Ferry, Menteri Perundangan Awam pada ketika itu diberi kredit atas usaha beliau menubuhkan sekolah moden (l'école républicaine) dan mewajibkan kemasukan semua kanak-kanak berumur antara enam hingga 12 tahun, lelaki dan perempuan[6]. Beliau juga memperuntukkan pendidikan percuma untuk semua dan berbentuk sekular (laïque)[6]. Dengan peruntukan undang-undang seperti French Lubbers, Undang-undang Jules Ferry, dan beberapa akta yang lain membolehkan sebahagian besar dasar yang dibuat menerusi Undang-undang Falloux 1850–1851 dimansuhkan, di mana undang-undang ini memberi kelebihan kepada sekolah-sekolah agama[7].

Kurikulum pendidikan Perancis sebahagian besarnya memberi fokus kepada hasil karya penulisan orang Perancis yang berketurunan Eropah. Bagi Jules Ferry dan lain-lain, kesusasteraan merupakan identiti yang sudah sebati dengan orang-orang Perancis itu sendiri. Kepelbagaian etnik dan tradisi tidak mempengaruhi matlamat utama membentuk kebudayaan sama rata di kalangan murid-murid[8].

Selain kesusasteraan, pendidikan sejarah juga dilihat sebagai elemen kritikal dalam membentuk identiti Perancis di kalangan orang muda dan penyatupaduan warga imigran yang berhijrah ke Perancis. Pandangan yang dilontarkan oleh Jules Ferry ini sentiasa memberi pengaruh kepada sistem pendidikan Perancis sehingga hari ini. Terdapat laporan menteri yang mengesahkan bahawa undang-undang sekolah dalam mempromosikan kebudayaan sama rata ini menjadi lebih kritikal dengan peningkatan kepelbagaian murid-murid. Menurut menteri, pendidikan sejarah di Perancis berkemungkinan mampu mengintegrasikan kanak-kanak berlatar belakangkan Itali, Poland, Afrika dan Portugal selepas satu abad[9].


Pendidikan rendah sunting

 
Murid-murid sekolah rendah di Perancis.

Kebanyakkan ibubapa mula menghantar anak mereka ke prasekolah (l’école maternelle) apabila umur mereka mencecah tiga tahun[10]. Ada juga di kalangan mereka yang bermula seawal dua tahun ke program yang dikenali sebagai toute petite section ("TPS")[11]. Pengisian program prasekolah pada dua tahun pertama (TPS dan petite section "PS") adalah lebih kepada pengenalan kepada kehidupan berkomuniti; kanak-kanak sebagai murid mempelajari nombor asas, pengenalan kepada huruf, pengembangan bahasa lisan dan lain-lain[12]. Program prasekolah pada dua tahun terakhir, moyenne section dan grande section, lebih kepada mirip pembelajaran di sekolah di mana murid-murid akan diperkenalkan kepada kemahiran pembacaan, penulisan dan pengiraan.

Prasekolah di Perancis ditubuhkan sama ada secara bersendirian (kebanyakkannya ditubuhkan di kawasan bandar) atau bergabung dengan sekolah rendah (kebanyakkannya di kawasan luar bandar)[12]. Seperti program pendidikan di negara lain, di Perancis biasanya seorang (atau dua) guru memiliki kepakaran mengajar beberapa subjek berlainan untuk murid-murid di pendidikan rendah[13].

Selepas kindergarten, kanak-kanak akan memasuki program école élémentaire (sekolah rendah)[10]. Pada masa tiga tahun pertama di sekolah rendah, mereka mempelajari kemahiran menulis dan membaca[14]. Selain itu, murid-murid juga mempelajari asas dalam subjek seperti bahasa Perancis, matematik, sains, pendidikan seni dan lain-lain. Ambil perhatian juga terma Perancis yang digunakan untuk guru-guru yang mengajar di peringkat sekolah rendah dikenali sebagai professeur atau professeure des écoles (sebelum ini mereka digelar sebagai instituteur untuk guru lelaki atau institutrice untuk guru perempuan[14]).

Kanak-kanak di Perancis meneruskan pendidikan rendah mereka sehingga mereka berumur 10-11 tahun. Secara keseluruhan, murid-murid dalam pendidikan rendah dipecahkan kepada lima tahun (atau gred); Cours préparatoire ou CP (Tahun 1), Cours élémentaire 1re année ou CE1 (Tahun 2), Cours élémentaire 2e année ou CE2 (Tahun 3), Cours moyen 1re année ou CM1 (Tahun 4) dan Cours moyen 2e année ou CM2 (Tahun 5)[11].


Pendidikan menengah sunting

 
Sekolah tinggi Lycée Rodin di Paris.

Selepas murid-murid menamatkan pendidikan rendah (l’école primaire), mereka akan meneruskan program pendidikan ke peringkat pendidikan menengah (l’enseignement secondaire)[15]. Pendidikan menengah di Perancis dipecahkan kepada dua tahap; menengah rendah (enseignement secondaire du premier cycle) dan menengah atas (enseignement secondaire du deuxième cycle). Dua jenis pendidikan menengah ini dijalankan di institusi yang berbeza[16].

Bagi peringkat menengah rendah, ianya diajar di sekolah menengah (collèges) dan terbuka kepada pelajar yang melengkapkan pendidikan rendah mereka. Manakala, peringkat menengah atas pula diajar di sekolah tinggi (lycées) dan terdapat tiga program khusus yang ditawarkan[17] kepada pelajar berdasarkan kepada laporan yang disediakan oleh pihak sekolah ketika di peringkat menengah rendah.

Menengah rendah sunting

Pendidikan menengah rendah di Perancis (ISCED 2) adalah wajib kepada semua pelajar dianggarkan berusia sekitar 11 hingga 15 tahun)[11]. Program ini dijalankan selama empat tahun dan terdapat peperiksaan awam yang dipanggil Diplôme national du brevet (DNB) yang perlu diambil di akhir peringkat menengah rendah[18]. Walau bagaimanapun, keputusan peperiksaan DNB ini tidak selalunya digunakan sebagai kelayakan ke peringkat menengah atas, sebaliknya pelajar memilih program khusus di peringkat menengah atas berdasarkan kepada cadangan dari pihak sekolah atau pilihan keluarga pelajar itu sendiri[19].

Pelajar akan memulakan peringkat menengah rendah mereka bermula Gred Keenam (Sixième), umur dianggarkan dalam lingkungan 11 hingga 12 tahun. Selepas itu, mereka akan ke Gred Ketujuh (Cinquième), dalam lingkungan 12 hingga 13 tahun. Kemudian, Gred Kelapan (Quatrième) dan diakhiri dengan Gred Kesembilan (Troisième) apabila pelajar berusia dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun[17].

Menengah atas sunting

Pendidikan menengah atas di Perancis (ISCED 3) adalah lebih kepada pemilihan aliran yang khusus bagi melengkapkan pelajar ke pendidikan tinggi atau memulakan kerjaya. Program ini dijalankan selama tiga tahun bermula Tahun 10 (seconde), Tahun 11 (première) dan Tahun 12 (terminale)[17]. Pada tahun pertama, pelajar akan diajar mengenai kesemua subjek secara umum[20]. Ianya bagi mengembangkan lagi pengetahuan pelajar mengenai kemahiran akademik dan pendidikan dan memastikan peralihan yang sempurna apabila pelajar melangkah masuk ke tahun berikutnya[21].

Bermula tahun kedua (première), pelajar ditawarkan kepada tiga aliran pendidikan; pendidikan umum, aliran teknologi dan aliran vokasional[15]. Pendidikan umum merupakan aliran yang tidak menawarkan elemen spesifik, sebaliknya pelajar akan mempelajari subjek-subjek seperti bahasa Perancis, pendidikan falsafah, sejarah-geografi, bahasa moden pilihan A dan B, sains, pendidikan sivik dan moral, dan pendidikan jasmani[20]. Di akhir program ini, pelajar akan ditauliahkan dengan sijil diplôme du baccalauréat général.

Aliran teknologi ditawarkan kepada pelajar bagi mempersiapkan mereka dengan kemahiran sains dan teknologi yang diperlukan apabila mereka menyambung ke program pendidikan tinggi dalam bidang berkaitan[19] atau memulakan kerjaya profesional dalam bidang yang berkaitan[21]. Di bawah aliran teknologi juga terdapat beberapa siri (atau pakej) subjek yang mereka boleh pilih. Di akhir program ini, pelajar akan ditauliahkan dengan sijil diplôme du baccalauréat technologique[16].

Aliran vokasional menawarkan kemahiran vokasional kepada pelajar, di mana mereka akan didedahkan dengan aktiviti praktikal dan amali yang telah ditentukan berdasarkan kepada kerangka program bagi tiap-tiap bidang[21]. Di akhir program ini, pelajar akan ditauliahkan dengan sijil baccalauréat professionnel[16].


Rujukan sunting

  1. ^ "France". Encyclopaedia Britannica. Dicapai pada 2 November 2019.
  2. ^ PISA 2018 results, Perancis: OECD, dicapai pada 25 Januari 2023
  3. ^ "Compare your country - PISA 2018".
  4. ^ "TIMSS 1995 Highlights of Results for the Middle School Years". timss.bc.edu. Dicapai pada 21 August 2017.
  5. ^ "TIMSS 2019 International Reports – TIMSS & PIRLS International Study Center at Boston College".
  6. ^ a b "Hollande faces first controversy over tribute to 'racist' Jules Ferry". RFI. 15 Mei 2012. Dicapai pada 30 Januari 2023.
  7. ^ Albert Léon Guérard , French civilization in the nineteenth century(1914) online pp 222-55.
  8. ^ Keaton, Danielle (2006). Muslim Girls and the Other France: Race, Identity Politics & Social Exclusion. Bloomington, Indiana: Indiana University Press. m/s. 112.
  9. ^ Keaton, Danielle (2006). Muslim Girls and the Other France: Race, Identity Politics & Social Exclusion. Bloomington, Indiana: Indiana University Press. m/s. 116.
  10. ^ a b Moving to France: Where will your kids go to school?, Amerika Syarikat: Worldwide Mover, 10 Mei 2022, dicapai pada 30 Januari 2023
  11. ^ a b c Chevalier-Karfis, Camille (19 Disember 2022), The French School System Explained, Perancis: french today, dicapai pada 30 Januari 2023
  12. ^ a b Lundberg, Claire (3 Februari 2014), The Autonomous 3-Year-Old, Amerika Syarikat: Slate, dicapai pada 30 Januari 2023
  13. ^ The French system: in all its gloire, England: The Good Schools Guide, dicapai pada 30 Januari 2023
  14. ^ a b How the French school system works, Perancis: HSBC, dicapai pada 30 Januari 2023
  15. ^ a b Primary and secondary education in France - statistics & facts, Hamburg: Statista, dicapai pada 31 Januari 2023
  16. ^ a b c Magaziner, Jessica (18 September 2015), Education in France, Amerika Utara: World Education Services, dicapai pada 31 Januari 2023
  17. ^ a b c An overview of education in France, London: World Remit, dicapai pada 31 Januari 2023
  18. ^ Diplôme national du brevet, Perancis: Kementerian Pendidikan Nasional, Belia dan Sukan Perancis, dicapai pada 31 Januari 2023
  19. ^ a b Educational Policies: France (2014), Eropah: The Social PoLicy Archive for SHARE (SPLASH), dicapai pada 31 Januari 2023
  20. ^ a b Everything You Need to Know About The French Curriculum, Kuala Lumpur: Education Destination Asia, dicapai pada 31 Januari 2023
  21. ^ a b c Upper Secondary School: le Lycée, Perancis: Kementerian Pendidikan Nasional, Belia dan Sukan Perancis, dicapai pada 31 Januari 2023