Pengepungan Buda (1541)

Pengepungan Buda (4 Mei hingga 21 Ogos 1541) berakhir dengan penawanan kota Buda di Hungary oleh Empayar Uthmaniyyah sekali gus memulakan penguasaan Uthmaniyah ke atas Hungary selama 150 tahun. Pengepungan ini sebahagian daripada Perang Kecil Hungary merupakan salah satu kemenangan Uthmaniyah terbesar ke atas Empayar Habsburg semasa Perang Uthmaniyyah-Habsburg di Hungary dan Balkan.

Pengepungan Buda (1541)
Sebahagian daripada Perang Kecil Hungary

Pengepungan Buda (1541) oleh Erhard Schön
Tarikh4 Mei hingga 21 Ogos 1541
Lokasi
Keputusan

Kemenangan muktamad Uthmaniyyah

Pihak yang terlibat

Empayar Suci Rom Empayar Habsburg

Empayar Uthmaniyyah

Komandan dan pemimpin
Empayar Suci Rom Wilhelm von RoggendorfTemplat:DOW
Empayar Suci Rom Niklas von Salm
Jeromos Záray 
Sulaiman al-Qanuni
Şehzade Mehmed
Şehzade Selim
Şehzade Bayezid
Hadım Suleiman Pasha
Damat Rüstem Pasha
Semendireli Mehmed-beg
Bishop George Martinuzzi
Bálint Török
Kekuatan
31,000 6,632 janissari
Yang lain tidak diketahui
Kerugian dan korban
~ 16,000 Tidak diketahui

Latar belakang sunting

Pada dekad 1530-an, Hungary telah dilanda peperangan apabila rajanya, John I Zápolya yang disokong oleh Sultan Uthmaniyyah, Sulaiman al-Qanuni berperang dengan abang Maharaja Charles V iaitu Ferdinand. Walaupun dengan bantuan ketenteraan Sultan Sulaiman telah membolehkan John I untuk menguasai sebahagian besar Hungary, namun akhirnya mereka telah menerima tekanan oleh kerajaan-kerajaan jiran yang berpihak kepada Ferdinand. Raja Poland iaitu Sigismund I sangat bersungguh-sungguh untuk memastikan keselamatan sempadannya terjamin menentang ancaman Uthmaniyah dengan cara menjadi sekutu kuat kepada Hungary. Sementara itu, isterinya yang merupakan puteri kepada Duke Milan iaitu Bona Sforza secara adatnya menentang pemerintahan Habsburg. Beliau ingin mengahwinkan anaknya, Isabella dengan John I untuk membina pakatan Poland-Hungary. Kedua-dua pihak ini bersama dengan utusan dari Empayar Rom Suci dan golongan paderi tempatan memaksa John I untuk menandatangani Perjanjian Nagyvárad secara rahsia daripada pengetahuan Uthmaniyah pada Februari 1538. Berdasarkan perjanjian itu, Ferdinand mengiktiraf John I sebagai Raja Hungary selain John I menyerahkan kawasan barat Hungary kepada Ferdinand. Di samping itu, John I juga berjanji akan menjadikan Ferdinand sebagai pewaris takhtanya.

John yang telah berusia 50-an dijangka tidak akan berkahwin dan tidak mempunyai anak tetapi beliau telah berkahwin dengan Isabella Jagiellon pada Februari 1539. Perkahwinan mereka telah mengejutkan pihak Habsburg dan ia telah memaksa Ferdinand untuk memberitahu kepada Sultan Sulaiman mengenai perjanjian rahsia itu dengan harapan sultan Uthmaniyah itu akan melepaskan kepercayaannya terhadap John I. Tindakan Sultan Sulaiman tidak begitu jelas tetapi dilihat beliau memutuskan untuk menunggu dan melihat sendiri situasi baru yang bakal menyusul. Pada masa yang sama, penyokong Ferdinand iaitu Stephen Majláth mencetuskan pemberontakan di Transylvania pada musim bunga 1540. John mara menentang pemberontakan dan berjaya meraih kemenangan mudah. Pada bulan Julai tahun yang sama, isterinya telah melahirkan anak yang diberi nama John Sigismund. Keputeraan anaknya telah mengubah pandangan John I terhadap perjanjian rahsia sebelum ini dan anaknya itu telah didikte oleh uskup George Martinuzzi yang menandakan John Sigismund akan diumumkan sebagai pewaris takhta Hungary. John I kemudiannya meninggal dunia dua minggu kemudian.

Ramai bangsawan Hungary yang dipimpin oleh Martinuzzi tidak mempunyai keinginan untuk bernaung di bawah pemerintahan Habsburg. Pada bulan Ogos, mereka telah menolak pelawaan Ferdinand untuk menawarkan takhta kepada Martinuzzi. Kurang daripada sebulan kemudian, mereka mengisytiharkan John Sigismund sebagai raja dan Ratu Isabella sebagai pemangku raja. Surat-surat telah dihantar ke Krakow dan Constantinople untuk memperoleh sokongan daripada Poland dan Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, sokongan bagi pihak ratu tidak terlalu kukuh apabila ramai bangsawan Hungary mula berpaling tadah kepada Habsburg. Hal ini membolehkan Ferdinand memulakan kempennya untuk merebut takhta Hungary pada awal bulan Oktober. Beliau berjaya menguasai Visegrád, Pécs, Székesfehérvár dan kota-kota lain dengan mudah. Pada 21 Oktober 1540, jeneral Ferdinand iaitu Leonhard von Fels mengepung ibu kota Hungary, Buda. Perincian peristiwa tersebut tidak berapa jelas tetapi sumber-sumber mendakwa wabak telah melanda kem tentera yang mengepung kota itu sambil pemimpin-pemimpin Habsburg dan Hungary sedang bertengkar. Pada masa yang sama, Martinuzzi berjaya menyebarkan khabar angin bahawa tentera Uthmaniyah akan sampai dekat Buda tidak lama lagi. Perkara ini membuatkan Habsburg mengundurkan tentera-tenteranya dari Buda.

Walau bagaimanapun, putera Habsburg itu tidak berputus asa dengan begitu saja. Antara bulan Februari dan Mac 1541, tentera Habsburg di Hungary telah ditambah sehingga mencecah hampir 40,000 tentera dan perintah telah diberikan kepada veteran Pengepungan Vienna, Wilhelm von Roggendorf. Sebagai tindak balas, Sultan Sulaiman lekas menghimpunkan tentera-tenteranya yang berjumlah dari 20,000 hingga 50,000 tentera yang mula berarak dari Edirne.

Pengepungan sunting

Wilhelm von Roggendorf tiba di Buda yang dipertahankan oleh lebih kurang 3,000 orang Hungary dan Serbia pada 3 Mei 1541. Ratu Isabella bersama pengikutnya telah dikerah mempertahankan benteng dan membina kubu pertahanan beberapa bulan sebelum ketibaan tentera Habsburg. Komander Habsburg itu tidak berminat sama ada untuk mengepung mahupun menyerbu kubu baru ini. Beliau juga cuba berunding dengan Isabella dengan memberikan jaminan keselamatan kepadanya dan anaknya yang masih lagi bayi dihantar pulang ke Poland sekiranya tuntutan Ferdinand ke atas takhta Hungary telah dipersetujui. Walaupun ratu itu bersedia untuk menerima rundingan tersebut, bangsawan Hungary telah menentang tindakan beliau sekeras-kerasnya lalu memenjarakannya. Tentera Habsburg memutuskan untuk menggunakan artileri bagi membedil pertahanan kota. Antara 4 hingga 6 Mei, meriam mereka berjaya merosakkan bahagian benteng namun pasukan pertahanan dapat membaiki semula bahagian kerosakan pada benteng tersebut pada setiap malam.

Von Roggendorf telah mengarahkan tentera-tenteranya untuk menggali parit bagi membolehkan artileri dapat dibawa hampir menuju ke benteng kota. Pada 1 Jun, parit kini telah digali dan meriam yang telah dibawa hampir berjaya meledakkan kubu kota yang telah menghasilkan dua penembusan. Pada keesokan harinya, unit Habsburg telah melancarkan serangan melalui benteng yang telah ditembusi oleh bedilan meriam Habsburg. Namun, pasukan pertahanan Hungary telah menangkis serangan tersebut dengan berkesan di kawasan tersebut. Pasukan Hungary bukan sahaja dapat menangkis serangan itu bahkan mereka merencanakan serangan balas dengan berjaya mengorbankan ramai tentera musuh sebelum mereka berundur ke dalam kota. Malangnya bagi pihak pasukan pertahanan, mereka telah kehilangan korban separuh daripada jumlah bilangan keseluruhan di samping bekalan-bekalan semakin berkurangan pada akhir bulan Jun. Kemudian, sampai satu kiriman oleh Sultan Sulaiman yang menyatakan tenteranya akan tiba di Buda dengan segera. Beberapa hari kemudian, seorang bangsawan Hungary yang bernama Bálint Török berjaya menyelinap masuk ke dalam kota sambil membawa bekalan-bekalan dan sedikit bala ketenteraan. Von Roggendorf merumuskan bahawa beliau perlu memastikan kota ini akan dilanda kebuluran.

Pada awal bulan Julai, sekumpulan penyokong ratu cuba membuka pintu gerbang kota untuk memberikan laluan masuk kepada tentera Habsburg tetapi pasukan pertahanan berjaya menghalang percubaan ini. Pada 10 Julai, kavalri Uthmaniyah mula mengganggu tentera Habsburg dari arah selatan. Peluang von Roggendorf untuk memecahkan kumpulan kavalri Uthmaniyah telah gagal apabila komander Uthmaniyah iaitu Hosrov Pasha memimpin pasukan kavalrinya yang pantas untuk menarik dan memusnahkan unit kecil musuh. Sepanjang bulan Julai, semakin bertambah jumlah tentera Uthmaniyah yang tiba di kawasan itu. Hal ini telah memaksa von Roggendorf untuk melemahkan bulatan pengepungan di sekeliling kota dan menempatkan ramai tentera di bahagian sayap di kawasan selatan sebagai titik penting yang diberi perhatian olehnya. Tindakan ini telah terbukti satu kesilapan apabila Sultan Sulaiman tiba pada 20 Ogos. Ekoran itu, tentera Habsburg ternyata terkejut semasa diserang oleh tentera Uthmaniyah dari arah timur. Serangan ini telah memusnahkan pasukan Habsburg di timur.

Pasukan sultan yang kini bergabung dengan pasukan pertahanan Buda mara ke selatan dan mereka telah menggunakan pasukan barisan hadapan untuk membuka jalan memecahkan pasukan masing-masing menentang musuh. Perincian seterusnya yang berlaku tidak jelas tetapi kavalri Uthmaniyah terus mengejar tentera Habsburg. Secara keseluruhannya, 20,000 tentera Habsburg telah terkorban bersama dengan komandernya sendiri yang terkorban akibat kecederaan parah dialaminya.

Kesan sunting

Buat selama beberapa hari, Sultan Sulaiman meraikan kejayaan ini bersama dengan sekutu Hungary. Walau bagaimanapun, sambutan kejayaan ini ternyata merupakan satu helah. Golongan bangsawan Hungary bersama ratu menghabiskan beberapa hari di kem-kem Uthmaniyah yang turut disertai oleh pasukan pertahanan kota. Sementara itu, tentera Uthmaniyah memasuki kota Buda dan membiarkan penduduknya meraikan sama kegembiraan. Perkara ini merupakan satu muslihat untuk menguasai kota Buda secara aman dan ia telah berhasil seperti yang diinginkan oleh sultan.

Pada 29 Ogos, sultan mengisytiharkan bahawa beliau mengiktiraf anak Ratu Isabella iaitu John II sebagai Raja Hungary tetapi wilayah yang berada di bawah kekuasaan John II dihadkan ke Transylvania dan kawasan di timur Sungai Tisza. Buda dan semua wilayah di timur Hungary dan selatan Transylvania akan dipindahkan ke dalam pashalik Uthmaniyah yang ditadbir oleh Beylerbeyli Rumelia. Dengan itu, Sultan Sulaiman berangkat pulang ke ibu kotanya.

Bibliografi sunting