Pengepungan Constantinople (717–718)

Pengepungan Constantinople
Sebahagian daripada Perang Arab–Byzantine
Geophysical map of the Marmara Sea and its shores, with main settlements of medieval times
Peta Constantinople dan kawasan sekitarnya ketika zaman Byzantine
Tarikh 15 Julai/Ogosa[›] 717 – 15 Ogos 718
Lokasi Thrace, Bithynia dan Laut Marmara
Hasil Kemenangan muktamad Byzantine
Pihak yang terlibat
Kerajaan Bani Umayyah Empayar Byzantine
Empayar Bulgaria
Komander
Maslamah bin Abdul Malik
Umar bin Hubairah
Sulayman ibn Mu'ad
Bakhtari ibn al-Hasan
Leo III
Tervel
Korban
Banyak menanggung kerugian Tidak diketahui

Pengepungan Constantinople Kedua oleh Arab pada tahun 717–718 merupakan serangan darat dan air oleh Kerajaan Bani Umayyah ke atas ibu kota Empayar Byzantine, Constantinople. Kempen ini menandakan kemuncak 20 tahun serangan dan penguasaan Arab di kawasan sempadan Byzantine. Kekuatan kerajaan Byzantine sedikit merosot apabila dilanda krisis dalaman yang berlarutan. Pada tahun 716, tentera Umayyah yang dipimpin oleh Maslamah bin Abdul Malik telah menceroboh Asia Kecil. Pada mulanya, mereka ingin memanfaatkan peluang di kala Byzantine dilanda perang saudara dan membuat rundingan dengan Leo III yang bangkit menentang Maharaja Theodosius III. Namun, Leo akhirnya memperdayakan pihak Umayyah dan berjaya merebut takhta untuk dirinya sendiri.

Latar belakangSunting

Berikutan kejayaan tentera Islam dalam Perang Yarmuk pada tahun 636, kerajaan Khulafa al-Rasyidin dengan pantasnya mengambil alih kawasan Syria. Baitulmaqdis telah ditawan setahun kemudian. Pada tahun 642, Mesir telah berada di bawah kekuasaan Islam. Semasa kempen penaklukan Afrika Utara, tentera Islam yang lain terus menentang Empayar Sasan Parsi dan kerajaan itu sepenuhnya ditundukkan pada tahun 650-an. Bahkan, kawasan Caucasus juga telah ditakluk oleh tentera Islam dalam tempoh ini. Perluasan kuasa tentera Islam telah mengubah sempadan ketenteraan antara kerajaan Islam dan Empayar Byzantine di kawasan timur Anatolia.

Serangan ke atas kawasan Anatolia merupakan satu masalah kepada tentera Islam kerana memerlukan garis bekalan lebih panjang. Maka, Khalifah Uthman bin Affan telah menubuhkan angkatan laut yang pertama di Syria dan Mesir untuk menjaga keselamatan sepanjang perairan pantai selatan. Pada tahun 654, kepulauan Rhodes dan Cyprus jatuh ke tangan tentera laut Islam. Pada tahun yang sama, gabenor Syria iaitu Muawiyah bin Abu Sufyan telah melancarkan pencerobohan ke Anatolia. Maharaja Byzantine iaitu Constans II tahu bahawa beliau perlu mengalahkan angkatan tentera laut Islam. Perincian seterusnya tidak diketahui tetapi pada tahun 654, tentera laut Byzantine tewas dalam pertempuran Masts di pantai Anatolia. Berita bahawa khalifah Uthman telah dibunuh sampai kepada Muawiyah pada tahun 656 dan beliau kembali ke Syria. Muawiyah adalah salah seorang yang terlibat dalam perang saudara dengan Khalifah Ali bin Abi Talib. Selepas Khalifah Ali dibunuh pada tahun 661, Muawiyah menjadi khalifah seterusnya dan menubuhkan dinasti Umayyah.

Khalifah Muawiyah bercita-cita ingin menguasai kota Constantinople. Tentera Laut Islam telah melancarkan serangan dari tiga arah. Tarsus, Smyrna dan Rhodes telah ditawan oleh tentera Islam. Tentera Islam telah menjadikan ia sebagai pangkalan untuk merencanakan serangan pada masa akan datang. Pada tahun 674, tentera Arab telah menguasai Cyzicus, yang hanya terletak 100 kilometer jauhnya dari Constantinople. Peristiwa yang berlaku antara tahun 674 dan 678 diselubungi misteri dengan beberapa sumber mendakwa bahawa Constantinople telah dikepung secara berterusan oleh tentera Islam. Sementara yang lain berpendapat ia hanyalah satu siri serbuan. Tambahan lagi, tentera Byzantin telah menggunakan senjata api Yunani buat kali pertama untuk memusnahkan armada Arab. Pada tahun 678, tentera Byzantine mendarat di Syria dan mencetuskan pemberontakan yang didalangi oleh masyarakat Kristian setempat. Hal ini telah memaksa khalifah untuk menandatangani perjanjian damai dan membayar jumlah simbolik bagi membaik pulih hubungan dengan Byzantine pada tahun 679.

 
Peta Asia Kecil dan Thrace pada awal abad ke-8

Sementara itu, peperangan berlaku di antara bangsa Bulgar dan Kazar di kawasan Caspia dan bangsa Bulgar terpaksa berpindah. Bangsa Bulgar yang dipimpin oleh Asparukh telah menetap di sekitar Sungai Danube antara tahun 674 dan 678. Setelah sempadan timur Byzantine telah selamat, Maharaja Constantine IV telah mewujudkan kekuatan tentera untuk berarak dan bertembung dengan ancaman baru oleh bangsa Bulgar ini. Puak Bulgar telah mengambil posisi di tempat yang bernama Ongal di Lembah Danube. Pertempuran akhirnya bermula. Selepas tiga hari bertempur, Maharaja Byzantine meninggalkan tentera kerana mungkin untuk menghadiri Persidangan Constantinople Ketiga. Apabila Asparukh melihat beberapa tentera musuh memutuskan untuk meninggalkan pertempuran itu, beliau mengambil peluang ini untuk menyerang tentera Byzantine yang ingin berundur. Tentera berkuda Bulgar menyerang mereka sepanjang laluan sehingga di Edersos, atau panggilan moden pada hari ini ialah Varna. Byzantine menanggung kerugian yang tinggi dan pada tahun berikutnya, mereka telah menandatangani perjanjian damai. Perjanjian tersebut telah menjamin sempadan Bulgaria. Malah, Maharaja Byzantine turut bersetuju untuk membayar ufti tahunan kepada puak nomad yang terus menetap di situ.

Maharaja Constantine telah digantikan oleh Justinian II pada tahun 685. Beliau sangat bercita-cita untuk menaikkan namanya. Pada tahun 687, beliau telah mengetuai satu kempen yang berjaya menentang puak Bulgar dan Slav. Selain itu, beliau telah menandantangani perjanjian baru dengan khalifah. Menurutnya, Armenia dan Cyprus kini diletakkan di bawah pemerintahan bersama. Walau bagaimanapun pada tahun 692, beliau telah menyerang umat Islam sebelum dikalahkan di Sebastopolis di Cilicia. Pada tahun 692, Maharaja Justinian telah digulingkan sekali gus menandakan permulaan tempoh yang dikenali sebagai Anarki Dua Puluh Tahun. Seramai enam raja telah memerintah ketika tempoh ini. Kerajaan Umayyah telah menggunakan masa ini untuk menguasai Afrika Utara dan Sepanyol. Seterusnya, orang-orang Arab telah mara ke Anatolia dan ternyata sekali bahawa Constantinople menjadi sasaran mereka yang berikutnya.

PersiapanSunting

 
Solidus emas Leo III

Pada tahun 716, Maharaja Theodosius III yang sedar bahawa bahaya yang bakal mendatang telah menandantangani satu pakatan dengan Khan Tervel dan mereka bersedia untuk mempertahankan kepentingannya. Maharaja telah menyediakan modal untuk menyimpan makanan di dalam kota sebagai bekalan menghadapi ancaman tentera Islam seterusnya.

Pada tahun 717, Maharaja Leo III telah melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan Theodosius. Tentera Islam cuba memanfaatkan peluang dengan berunding bersama Leo. Leo meyakinkan pihak Islam bahawa beliau akan menjadi sekutu tentera Islam sekiranya beliau berjaya menaiki takhta. Theodosius tidak sanggup untuk mencetuskan perang saudara lagi dan mengumumkan pengunduran dirinya daripada takhta kerajaan. Leo III menaiki takhta secara aman dan beliau segera mengingkari perjanjiannya dengan kerajaan Umayyah.

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik telah mengarahkan saudaranya, Maslamah bin Abdul Malik untuk memimpin 80,000 tentera bersama 800 kapal untuk menakluk Constantinople. Sementara itu, Leo II telah memulakan persiapannya. Utusan telah dihantar ke Bulgaria untuk meminta bantuan manakala pertahanan kota telah diperbaiki. Angkatan Islam telah menguasai Abydos pada Julai 717 sebelum mereka mara ke Hellespont.

 
Bahagian pemulihan tiga lapis Tembok Theodosian yang melindungi Constantinople dari arah darat.

Pada bulan Ogos 717, tentera Islam telah mendirikan dua dinding yang menghadap ke kota manakala satu dinding lagi didirikan bagi mempertahankan kem mereka dari arah barat. Constantinople telah dilindungi oleh tembok Theodosian yang dibina pada awal abad kelima yang setinggi 12 meter dan setebal 4 meter, di mana ia sama sekali tidak dapat ditandingi. Tembok laut pula dibina tidak lama kemudian, namun ia masih lemah. Tembok pertahanan kota telah dipertahankan oleh seramai 12,000 pasukan pengawal yang kuat. Bekalan makanan juga disimpan dalam skala kuantiti yang besar.

PengepunganSunting

Oleh kerana kota Constantinople dilengkapi dengan pertahanan yang kukuh, harapan terbaik tentera Islam untuk menawan kota itu ialah dari arah laut. Armada Arab cuba melewati Bosphorus untuk mengelilingi kota. Kapal perang Arab berada di hadapan diikuti kapal bekalan dan kapal yang mengangkut tentera berada di posisi belakang sekali. Kapal yang berat telah ditinggalkan oleh saki baki kapal yang lain sekali gus menghasilkan jurang. Sebaik sahaja jurang telah terbentuk, Leo mengerahkan kapal-kapal bersama senjata api Yunani mereka untuk memusnahkan kapal pengangkutan Arab. Kira-kira 20 biji kapal telah tenggelam dan terbakar. Kejayaan Byzantine ini telah melemahkan semangat tentera Arab. Tentera Umayyah telah berjaya mengelilingi kota tetapi mereka tidak melancarkan serangan kerana mereka sukar untuk mempercayai setelah apa yang baru saja mereka lihat.

Namun begitu, rangkaian antara kota Constantinople dan Laut Hitam terganggu kerana tentera Arab telah mengepung Galata. Sementara itu, satu rantai yang memotong laluan air telah dipasang untuk menghalang tentera Islam dari menuju ke Tanduk Emas. Tentera Bulgar yang terdiri daripada kekuatan 15,000 orang tiba di sekitar kota pada musim luruh 717. Dikatakan bahawa kira-kira 4,000 pemburu Arab yang kuat telah diserang dan dibinasakan oleh tentera Bulgar.

Tentera Islam lebih ramai berbanding askar pelindung di dalam kota tetapi kini, sebahagian besar daripada tentera Islam berada di antara dua pasukan musuh. Setibanya musim sejuk, orang Arab menghadapi kesukaran untuk membiasakan diri dengan iklim yang berbeza ini. Malah, mereka mula kelaparan dan mati. Wabak penyakit telah melanda kem mereka, namun pengepungan masih diteruskan. Keadaan pasukan Maslamah seolah-olah bertambah baik ketika musim bunga apabila khalifah telah menghantar 20,000 tentera dan beratus-ratus kapal yang membawa bekalan untuk meneruskan pengepungan.

 
Gambaran tentang penggunaan api Yunani, hasil dari Madrid Skylitzes

Walau bagaimanapun, kapal-kapal bantuan ini telah diawasi oleh pedagang Kristian kerana semua pelayar Islam berada di armada yang mula-mula sampai. Kapal-kapal ini bersama krew kemudiannya menyertai pasukan pelindung kota Constantinople. Malah, mereka juga membawa laporan penting mengenai sekatan jalan laut oleh armada Arab. Leo menggunakan maklumat ini untuk memusnahkan armada Arab dengan menggunakan api Yunani di bahagian utara selat Bosphorus. Sementara itu, tentera bantuan Islam telah diserang oleh Byzantine di Anatolia. Angkatan laut Byzantine yang telah menguasai selat berjaya mendaratkan sebahagian kecil tentera dari arah belakang tentera bantuan Islam. Sejumlah 20,000 tentera bantuan Islam telah terkorban. Berita itu telah melemahkan lagi semangat perjuangan tentera Islam. 15,000 tentera Arab cuba menyeberangi Hellespont untuk kembali ke Asia tetapi ditahan oleh tentera Tervel dan mereka dibunuh.

Pada bulan Ogos 718, Maslamah menerima surat dari khalifah yang memerintahkannya untuk meninggalkan medan pengepungan kota Constantinople. Selepas 13 bulan Constantinople dikepung secara berlarutan, orang Arab mula berundur. Tentera Bulgar menggunakan maklumat bahawa tidak ada orang yang mengawal dinding pertahanan kem Arab dari arah barat sekali gus mereka menyerang orang Arab dari belakang yang mengakibatkan jumlah tentera Islam terkorban mencecah 20 hingga 30 ribu. Selebihnya, sekitar 30 ribu berjaya kembali ke Tarsus. Sedangkan majoriti tentera laut telah ditenggelamkan oleh ribut dan bertembung dengan tentera laut Byzantine ketika berlayar pulang.

ImpakSunting

Kesan sejarah pengepungan kota Constantinople tidak dapat dilupakan. Orang Arab telah menanggung kekalahan besar buat kali pertama dalam peperangan menentang Byzantine. Laluan mereka ke Eropah Timur dan Eropah Tengah telah tertutup dan mereka tidak lagi cuba untuk menawan kota Constantinople. Kerajaan Umayyah telah kehilangan pejuang terbaik mereka sekali gus memberikan laluan kepada Abbasiyyah untuk menggulingkan pemerintahan Umayyah tiga dekad kemudian.

Bacaan tambahanSunting

  • Radic, Radivoj (18 August 2008). "Two Arabian sieges of Constantinople (674-678; 717/718)". Encyclopedia of the Hellenic World, Constantinople. Athens, Greece: Foundation of the Hellenic World. Dicapai pada 14 July 2012.

Koordinat: 41°00′44″N 28°58′34″E / 41.0122°N 28.9760°E / 41.0122; 28.9760