Pengepungan Szigetvár

Pengepungan Szigetvár atau Pertempuran Szigeth (sebutan: [ˈsiɡɛtvaːr] Hungary: Szigetvár ostroma, Croatia: Bitka kod Sigeta; Sigetska bitka, Turki: Zigetvar Kuşatması) merupakan pengepungan kubu Szigetvár di Hungary yang telah menyekat kemaraan Sultan Sulaiman al-Qanuni menuju ke Vienna pada tahun 1566.[14] Pertempuran ini tercetus antara pasukan bertahan iaitu Habsburg di bawah kepimpinan Nikola Šubić Zrinski (Hungary: Zrínyi Miklós) dan tentera penceroboh Uthmaniyah yang diketuai oleh Sultan Sulaiman.

Pengepungan Szigetvár
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyah–Habsburg dan Perang Uthmaniyah di Eropah

Nikola Šubić Zrinski melakukan serangan dari kubu Szigetvár (lukisan Johann Peter Krafft, 1825)
Tarikh6 Ogos 1566 – 8 September 1566
Lokasi46°03′02″N 17°47′50″E / 46.050663°N 17.797354°E / 46.050663; 17.797354Koordinat: 46°03′02″N 17°47′50″E / 46.050663°N 17.797354°E / 46.050663; 17.797354
Keputusan Kemenangan Pyrrhic Uthmaniyah[1][2][Note 1]
Perubahan
wilayah
Uthmaniyah menawan kubu Szigetvár dan ia diletakkan di bawah pemerintahan Eyalet Budin
Pihak yang terlibat

Empayar Habsburg

Empayar Uthmaniyah

Komandan dan pemimpin
Nikola Šubić Zrinski  Sulaiman al-Qanuni 
Sokollu Mehmed Pasha
Kekuatan

2,300[3]–3,000[4] orang Croatia dan Hungary[5][6]

  • 600 sempurna pada akhir pengepungan[7]

100,000[8][9][Note 2]

  • 80,000 Uthmaniyah
  • 12,000–15,000 Tatar
  • 7,000 Moldavia
  • 300 meriam[10]
Kerugian dan korban

Semua tentera terkorban;

  • Zrinski terkorban dalam pertempuran akhir.
  • Hampir kesemua tentera bertahan terbunuh. 2,300–3,000 terkorban dalam pergelutan.

Besar;

  • Sulaiman meninggal dalam khemahnya sebelum pertempuran akhir.
  • 20,000[11]–30,000[12][13] terkorban dan sesetengah akibat kecederaan parah dialami.

Pada Januari 1566, Sultan Sulaiman pergi berperang buat kali terakhir. Pengepungan Szigetvár berlangsung dari 5 Ogos hingga 8 September 1566 telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Uthmaniyah walaupun kedua-dua pihak menanggung kerugian nyawa yang besar. Kedua-dua pemimpin bagi pihak masing-masing turut terkorban. Zrinski terkorban semasa pergelutan akhir manakala Sulaiman mangkat di dalam khemahnya sebelum tenteranya meraih kemenangan. Lebih daripada 20,000 tentera Uthmaniyah terkorban semasa pertempuran dan hampir seluruh pasukan pimpinan Zrinski iaitu 2,300 tentera yang bertahan terbunuh manakala 600 orang terakhir terkorban pada hari terakhir. Walaupun pertempuran ini dimenangi oleh Uthmaniyah, ia telah menghalang kemaraan Uthmaniyah ke Vienna pada tahun itu. Vienna tidak diancam lagi sehingga Pertempuran Vienna berlaku pada tahun 1683.

Kepentingan pertempuran ini sangat besar sehinggakan seorang pendeta Perancis, Cardinal Richelieu dilaporkan pernah menerangkan bahawa "pertempuran ini telah menyelamatkan peradaban (Barat)".[15] Pertempuran ini masih terkenal di Croatia dan Hungary dan telah mempengaruhi karya epik Hungary, The Siege of Sziget dan opera Croatia, Nikola Šubić Zrinski.[16]

Latar belakang sunting

Pada tempoh 1550-an, John Sigismund Zápolya kekal memegang takhta Raja Hungary yang tidak megah. Namun, beliau kemudian hanya menjadi pemerintah Transylvania kerana tuannya, Sultan Sulaiman menumpukan perhatian ke timur Eropah dan Malta. Sejak kematian ibunya pada tahun 1559 sehingga pertempuran yang tercetus pada 1566, John memerintah kerajaannya dalam keadaan aman walaupun beliau terpaksa berdepan dengan beberapa siri pemberontakan yang dilancarkan oleh golongan bangsawan Hungary lama. Pada tahun 1561, Melchior Balassa yang kaya telah berpaling tadah kepada Maharaja Ferdinand sekali gus meletakkan wilayah-wilayah Hungary di luar Transylvania dan pashalik Uthmaniyah secara langsung di bawah pengaruhnya. Tanpa bantuan Uthmaniyah, usaha John untuk membawa Balassa pulang kepada pangkuannya membawa kepada konflik di Hadad pada tahun 1562. Masalah ketegangan etnik di Hungary juga telah menyaksikan pemberontakan yang berlarutan manakala penukaran agama John kepada Protestan telah menyebabkan perpecahan di dalam istana serta di Hungary sebagai sebuah kerajaan Katolik yang sejati.

Semasa negeri naungannya bergelut dengan krisis dalaman, Sultan Sulaiman yang telah berusia menghimpunkan tenteranya pada tahun 1566 dengan berhasrat untuk menyerang kubu Eger sekali lagi. Beliau berharap dapat menawan kubu itu sebelum terus mara ke Vienna. Namun, Sulaiman kini semakin lemah untuk memimpin tenteranya lalu tampuk kepimpinan tersebut diserahkan kepada Wazir Sokollu Mehmed Pasha. Sementara itu, tentera tempatan Balkan dipimpin oleh saudaranya yang juga seorang penguasa Bosnia, Mustafa. Kemaraan angkatan tentera yang besar ini agak perlahan selepas mereka bertolak dari Constantinople. Setelah bertolak pada 1 Mei, Sulaiman dan Sokollu Mehmed Pasha mengambil masa selama 49 hari untuk sampai ke Belgrade. Di sana, Sulaiman bertemu dengan John Zapolya dan beliau berjanji untuk memastikan seluruh wilayah Hungary dapat diperintah dan dinaungi oleh John. Pada masa ini, Mustafa telah menguasai dua buah kota iaitu Dvor na Uni dan Krupa apabila beliau berhadapan dengan sedikit penentangan daripada Habsburg.

Semasa Sultan Sulaiman dan wazirnya berarak menuju ke Eger, sekumpulan pasukan Habsburg yang kebanyakannya terdiri daripada etnik Croatia telah bertembung dan menyerang salah satu pasukan tentera Sulaiman di Siklós di selatan sekali gus menghalakan tentera Uthmaniyah itu keluar dari Greece. Tentera Hungary-Croatia telah dipimpin oleh Nikola Šubić Zrinski yang merupakan seorang jeneral terlibat dalam Pengepungan Vienna semasa beberapa dekad lampau. Setelah meraih kejayaan di Siklós, beliau telah membunuh komander Uthmaniyah, Sanjak-bey Mohammed. Hal ini telah menaikkan kemarahan sultan oleh kerana Mohammed merupakan antara komander kegemarannya. Kematian Mohamed ditambah lagi dengan ancaman Zrinski dari selatan Hungary menyebabkan tentera Uthmaniyah bertindak menyingkirkan Zrinski dari kubunya di Szigetvár yang terletak berhampiran Pécs.

Kubu Szigetvár tidak mendatangkan keuntungan besar. Oleh sebab ia pernah menggagalkan kemaraan Uthmaniyah dalam banyak peperangan sebelum ini, kubu ini mempunyai sedikit nilai strategik untuk kempen Sultan Sulaiman pada kali ini terutamanya semasa tentera Habsburg berkumpul di Vienna. Bahkan sebelum sultan tiba di Szigetvár, perubahan haluannya ke sana telah merugikan Uthmaniyah apabila beberapa buah kota di utara Hungary telah ditawan oleh Austria. Dengan memimpin tentera hampir seramai 100,000 orang berhadapan dengan 3,000 tentera di Szigetvár, Sulaiman mengharapkan ia merupakan satu pengepungan yang singkat. Mustafa berkhidmat sebagai jeneral dan utusan yang direkodkan positif baik dari pihak Uthmaniyah dan Habsburg. Sementara itu, seorang penguasa Szolnok yang bernama Şesuvar turut sama berarak dengan sultan dan beliau merupakan orang bukan pilihan sultan. Şesuvar dilihat sebagai seorang yang keji dalam kalangan masyarakat Hungary kerana memerintah dengan kejam manakala dari mata orang Austria pula sebagai seorang penjarah. Di samping itu, beliau juga seorang yang mementingkan diri sendiri serta tidak mempedulikan arahan dan persetujuan daripada sultan menurut tanggapan rakan elitnya dalam tentera Uthmaniyah. Walau apa jua sekalipun, beliau tetap dapat memimpin tenteranya yang mencurahkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepadanya dan ia bakal dibuktikan dalam pengepungan akan datang.

Pengepungan sunting

 
Kubu Szigetvár semasa berada dalam kepungan Uthmaniyah.

Sultan Sulaiman tiba di Szigetvár pada 5 Ogos 1566. Walaupun kubu tersebut dipertahankan oleh jumlah tentera yang sedikit, susunannya yang kompleks menjadikannya sukar untuk diserang. Kubu Szigetvár terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kota lama, kota baru dan benteng pertahanan. Setiap bahagian ini terpisah dalam pulau-pulau yang berasingan dan dihubungkan melalui laluan yang sempit. Sungai Almas yang berhampiran telah menghasilkan sebuah tasik buatan yang mengelilingi ketiga-tiga pulau tersebut. Semasa musim panas membahang melanda, tasik yang melindungi kubu-kubu itu telah menjadi cetek berbanding paras biasa. Namun, pasukan bertahan tidak menunjukkan sebarang isyarat kerisauan sebaliknya mereka telah menghiasi dinding benteng dengan kain berwarna merah yang terang seolah-olah mereka sedang menyambut perayaan.

Tembakan daripada sebuah meriam telah dilepaskan untuk menyambut tentera Uthmaniyah yang bertekad memulakan pengepungan dari kota baru pada 6 Ogos. Walaupun Uthmaniyah dibekalkan oleh bantuan meriam besar, serangan tersebut telah ditangkis oleh pasukan bertahan. Bahkan, pasukan Uthmaniyah menanggung kerugian nyawa yang tinggi biarpun pasukan musuh hanya menggunakan meriam yang jauh lebih sedikit. Pasukan bertahan juga melancarkan serangan balas yang berkesan untuk berdepan dengan serangan meriam Uthmaniyah. Akan tetapi, dengan berhadapan tentera Uthmaniyah yang sangat ramai, kejayaan ini ternyata berlaku dalam tempoh yang singkat. Di bawah kendalian Şesuvar Bey yang tangkas, tentera Uthmaniyah melancarkan serangan deras sehingga mereka berjaya menguasai bahagian kota baru pada 9 Ogos. Secara tidak langsung, pulau yang pertama telah jatuh ke tangan Uthmaniyah tetapi mereka mengalami kerugian besar. Serangan ini telah mengorbankan lebih 3,000 tentera Sulaiman berbanding dengan tentera Croatia dan Hungary pimpinan Nikola Šubić Zrinski yang hanya kehilangan 300 orang pejuang. Pasukan Zrinski seterusnya berundur ke kota lama.

Pulau kota lama lebih mencabar bagi pihak Uthmaniyah kerana dilengkapi dengan pertahanan yang kukuh selain tentera Uthmaniyah menghadapi kesukaran untuk menghampirinya. Mujurlah, Şesuvar lebih sabar dan mengarahkan serangan dijalankan secara konsisten. Setelah serangan berlangsung selama sepuluh hari, kota lama akhirnya kecundang kepada Uthmaniyah pada 19 Ogos. Kini, pulau yang menempatkan benteng pertahanan sahaja yang masih belum ditawan oleh Uthmaniyah. Dengan jumlah askar Zrinski yang semakin berkurang, Sultan Sulaiman yang tenat telah menawarkan penyerahan kalah bersyarat dengan harapan beliau tidak lagi kehilangan banyak masa. Seandainya Zrinski menyerahkan pulau tersebut, sultan akan menjadikan Zrinski sebagai pemimpin Croatia yang diletakkan di bawah naungan Uthmaniyah. Pada peringkat awal pengepungan berlangsung, Zrinski mengharapkan bantuan ketenteraan daripada Austria melalui Tentera Imperial di Vienna. Semasa tawaran sultan dibuat, pasukan bertahan nampaknya sedia maklum tiada bantuan dihulurkan kepada mereka. Walaupun kelihatan tiada harapan, Zrinski mengabaikan tawaran sultan dan tidak menunjukkan sebarang tindak balas lalu beliau akhirnya memilih untuk bertempur.

Sokollu Mehmed Pasha cuba untuk memintas Zrinski dan membunuh pasukan bertahan secara depan-depan. Surat-surat dalam bahasa Croatia dan Hungary telah dipanah ke dalam benteng pertahanan oleh pemanah Uthmaniyah. Dalam surat tersebut, tentera Uthmaniyah berjanji akan menjamin keselamatan tentera bertahan sekiranya mereka membenarkan kemaraan tentera Uthmaniyah ke dalam benteng. Usaha ini tidak membuahkan hasil. Tanpa pengetahuan sultan dan Mehmed Pasha, Zrinski telah bersumpah pada hari pertama pengepugan di hadapan tentera-tenteranya bahawa beliau akan mempertahankan kubu Szigetvár sehingga ke titisan darahnya yang terakhir. Beliau juga akan menghukum bunuh mana-mana tenteranya yang mengabaikan tugas dan berkomplot dengan Uthmaniyah. Sekiranya Uthmaniyah mahu Szigetvár, mereka perlu mengambilnya dengan cara kekerasan.

 
Kubu Szigetvár yang ada pada hari ini.

Dengan menggunakan kelebihan paras air yang cetek, tentera Uthmaniyah menggunakan serpihan-serpihan untuk membina laluan baru bagi menghalakan serangan lanjutan. Dengan itu, Şesuvar Bey melancarkan beberapa serangan bertali arus sambil dibantu oleh meriam berat yang melakukan ledakan ke arah sasaran. Serangan pertama dilakukan ke arah benteng telah gagal manakala serangan kedua pula telah dilancarkan pada 29 Ogos. Walaupun keyakinan Şesuvar menegaskan sultan bahawa hari yang bertuah ini akan mendatangkan kejayaan kepada mereka, tentera Uthmaniyah masih tidak dapat menembusi benteng. Selepas serangan Uthmaniyah gagal pada 1 September iaitu hampir tempoh sebulan pengepungan berlangsung, serangan yang tidak putus-putus ini akhirnya berakhir. Beberapa hari berikutnya, tentera Uthmaniyah mengekalkan kedudukan mereka di kota lama dan meninggalkan sedikit tentera seramai 600 orang untuk memastikan bilakah paluan gendang perang akan bergema.

Pada 5 September, perajurit Uthmaniyah telah menembak bahan peledak yang telah mereka tanam di tapak benteng pada dua minggu lalu. Letupan dahsyat telah memusnahkan bahagian penjuru benteng sekali gus mewujudkan satu jurang serta banyak bangunan di dalam benteng turut mengalami kebakaran. Zrinski tahu penghujungnya semakin hampir apabila serangan Uthmaniyah melalui jurang runtuhan benteng akan berlaku pada bila-bila masa dan mustahil bagi pasukannya yang tidak ramai untuk menangkisnya. Namun, tiada serangan dilancarkan musuh telah mengejutkan Zrinski pada 5 dan 6 September. Walaupun laluan masuk ke dalam benteng telah terbuka, tentera Uthmaniyah tetap kekal di posisinya. Bagi pegawai-pegawai Uthmaniyah, penangguhan serangan ini menimbulkan tanda tanya dan misteri. Hanya Sokollu Mehmed Pasha bersama pengikut rapatnya tahu jawapan sebenar di sebalik kelewatan serangan ini. Sultan Sulaiman telah mangkat pada usia 75 tahun di dalam khemahnya. Dengan berasa risau berita kemangkatan sultan akan menjejaskan moral pasukan, Mehmed merahsiakan berita tersebut selama 48 hari.

Semasa tentera Uthmaniyah diarahkan bersiap sedia untuk melakukan serangan akhir pada 7 September, Zrinski turut melakukan persiapan untuk menghadapi serangan mendadak musuh. Beliau tidak rela membiarkan pertempuran akhir ini menjadi ketentuan Uthmaniyah. Selepas menyampaikan kata-kata yang menaikkan semangat, Zrinski membuka pintu gerbang kubu dan sebuah mortar besar melakukan ledakan ke arah tentera Uthmaniyah yang berada di laluan masuk sebagai tanda serangan akhir mereka. Dengan kekacauan yang melanda tentera janissari, Zrinski memimpin saki baki tenteranya melakukan serangan terus terhadap musuh. Pasukan beliau telah menguasai laluan masuk sebelum ia diselubungi oleh tentera janissari yang berada di kota lama. Zrinski kemudian ditembak oleh dua butir peluru musuh dan terkorban sebaik serangan bermula tetapi tenteranya berjuang habis-habisan.

Selepas semua tentera bertahan terkorban, tentera Uthmaniyah berarak masuk ke dalam benteng pertahanan terakhir Szigetvár. Şesuvar Bey menuju ke mayat Zrinski dan memenggal kepalanya untuk dihantar kepada Sultan Selim. Tentera Uthmaniyah sudah tidak berhadapan dengan penentangan dari Zrinski lagi tetapi sejurus mereka melangkah masuk ke dalam benteng pertahanan, gudang yang menempatkan serbuk letupan telah meletup. Letupan tersebut telah mengorbankan seramai 3,000 orang setelah pengepungan itu sendiri menelan nyawa hampir 20,000 tentera.

Kesan sunting

 
Sebuah monumen didirikan sebagai tanda kenangan kepada Sultan Sulaiman dan Nikola Šubić Zrinski di Taman Persahabatan Hungary-Turki, Szigetvár.

Berikutan kejatuhan kubu Szigetvár, kemaraan tentera Uthmaniyah terhenti walaupun laluan ke Vienna terbuka. Musim sejuk menyusul dan angka korban mencecah puluhan ribu orang. Kemangkatan Sultan Sulaiman telah menggoncang dasar kerajaan Uthmaniyah. Szigetvár merupakan satu-satunya kejayaan besar Uthamiyah di dalam kempen yang diinginkan sultan untuk menyatukan Hungary di bawah pemerintahan Uthmaniyah. Apabila Sokollu Mehmed Pasha berkhidmat sebagai seorang diplomat, beliau telah berunding dengan Habsburg dalam Perjanjian Adrianople pada 17 Februari 1568. Maharaja Maximilian II membayar 30,000 ducat kepada Sultan Selim dan mengesahkan pemerintahan Uthmaniyah di Transylvania, Moldavia dan Wallachia.

Kepentingan pertempuran ini dari sudut budaya sangat besar jika dibandingkan dengan aspek politik atau ketenteraan. Organ dalaman Sultan Sulaiman telah ditanam di tempat beliau mangkat dan sebuah makam yang dihiasi bunga telah dibina di tapak tersebut. Bagi pihak Kristian, Szigetvár sinonim dengan perjuangan dan Cardinal Richelieu pernah mengisytiharkan ia sebagai "pertempuran yang menyelamatkan peradaban". Di negara Croatia dan Hungary, Zrinski menjadi wira negara dan pertempuran ini telah diabadikan di dalam puisi epik kedua-dua bahasa. Tiga kurun kemudian, kenangan Szigetvár telah digunakan oleh nasionalis Croatia sebagai simbol perjuangan menentang Empayar Austria-Hungary.

Nota sunting

  1. ^ Walaupun tentera Turki memenangi pertempuran ini, kesannya dapat dilihat sebagai satu "kejayaan Pyrrhic" kerana kerugian nyawa besar dan kemangkatan Sultan Sulaiman. Lebih-lebih lagi, pertempuran ini melengahkan kemaraan Uthmaniyah menuju ke Vienna pada tahun tersebut sekali gus merencatkan perluasan kuasa Uthmaniyah ke Eropah..
  2. ^ Tentera Uthmaniyah yang berjumlah 300,000 orang yang disebutkan oleh beberapa pencerita berkemungkinan terlalu tinggi. Terdapat beberapa kecenderungan yang dilakukan oleh sesetengah ahli sejarawan yang membesar-besarkan angka jumlah tentera untuk menyatakan keberanian luar biasa dimiliki oleh pasukan bertahan di Szigetvár. Namun pada 1 Mei 1566, Suleiman meninggalkan Istanbul dan memimpin antara tentera terbesar pernah diarahkan oleh beliau. Jumlah pasukannya dianggarkan menghampiri 100,000 orang berbanding 300,000.

Catatan sunting

  1. ^ Kohn (2006), p. 47.
  2. ^ Lázár and Tezla (1999), p. 70.
  3. ^ Timothy Hughes Rare & Early Newspapers, Item 548456. Retrieved 1 December 2009.
  4. ^ name="Lieber 345"
  5. ^ Wheatcroft (2009), pp. 59–60.
  6. ^ group="Note">Sebahagian besar pasukan bertahan ialah etnik Croatia yang jelas disebutkan dalam tulisan "Podsjedanje i osvojenje Sigeta" oleh Franjo (Ferenc) Črnko, bendahara kepada Zrinski dan salah satu askar yang terselamat daripada pertempuran. Kerja lain "Vazetje Sigeta grada" (1573) oleh Brne Karnarutić, "Szigeti veszedelem" (1647) oleh Nicholas VII Zrinski dan "Opsida Sigecka" (1647) oleh Peter Zrinski turut membuktikan orang Croatia merupakan golongan majoriti dalam kalangan pasukan yang bertahan.
  7. ^ Turnbull (2003), p. 57.
  8. ^ Shelton (1867), pp. 82–83.
  9. ^ Elliott (2000), p. 117.
  10. ^ "Nikola Subic Zrinski". Cite has empty unknown parameter: |1= (bantuan)
  11. ^ name="Lieber 345"
  12. ^ Tait (1853), p. 679.
  13. ^ name="Coppée 562-565"
  14. ^ Turnbull (2003), p. 56.
  15. ^ name="rarenewspapers"
  16. ^ Cornis-Pope and Neubauer (2004), pp. 518–522.

Pautan luar sunting