Kepada ahli Wikipedia, saya ingin nasihatkan kepada sesiapa yang ingin menyumbang rencana agar memastikan sumbangan anda dalam keadaan lengkap dan bukannya sekadar rencana sependek beberapa patah perkataan yang hanya diklasifikasikan sebagai rencana tunas sahaja. Rencana sumbangan anda tidak semestinya perlu panjang berjela-jela seperti dalam Wikipedia Bahasa Inggeris, yang penting ia mesti padat dan lengkap.
Coretan Hezery99
Sunting
Sepanjang saya menyertai Wikipedia sejak 5 tahun lalu - bermula dengan Wikipedia Bahasa Inggeris dan disusuli dengan Wikipedia Bahasa Melayu - banyak perubahan yang telah berlaku dalam tempoh tersebut. Di Wikipedia Bahasa Melayu, saya berasa gembira melihatkan pertambahan rencana-rencana berkualiti selaras dengan tujuan Wikipedia itu sendiri untuk menjadi wadah ilmu untuk dikongsi sejagat tanpa mengira bahasa, kaum, agama ataupun warna kulit.
Walau bagaimanapun, saya kini menjadi kurang aktif di Wikipedia Bahasa Inggeris, tidak seperti dulu. Sebab pertama sudah tentulah kerana boleh dikatakan hampir kesemua rencana baru yang terlintas dalam kepala saya sudah pun ditulis sehinggakan saya tidak tahu apa lagi jenis rencana untuk ditulis. Sebab kedua - dan juga sebab paling utama - ialah kerana saya rasakan Wikipedia Bahasa Inggeris semakin kurang boleh diharap berikutan beberapa protokol yang saya rasakan semakin menyusahkan sehinggakan banyak rencana (terutamanya yang melibatkan watak anime, manga dan permainan video) dicantas secara besar-besaran.
Tahun 2011 buat Wikipedia Bahasa Melayu
Sunting
Tahun 2011 sememangnya tahun yang amat bermakna buat Wikipedia Bahasa Melayu, kerana kita ada dua perkara yang perlu diraikan - ulang tahun Wikipedia ke-10, serta kejayaan WBM melepasi angka 100,000 rencana. Namun, perjuangan kita di WBM masih jauh. Kandungan rencana Wikipedia BI kini lebih 20 kali ganda kandungan rencana kita. Kedudukan kita (setakat 21 Januari 2011) kini di tempat ke-35. Perjuangan kita di sini bukanlah untuk mengejar status sebagai Wikipedia paling banyak rencana, tetapi untuk menunaikan fardu kifayah kita bagi menyebarkan ilmu dalam bahasa yang kita fahami. Selagi WBM dikunjungi, kita semua berpeluang memiliki saham akhirat yang besar kerana berkongsi ilmu bermanfaat buat seluruh dunia, khususnya alam Melayu. Semuanya memerlukan komitmen setiap ahli WBM untuk sama-sama berganding bahu untuk menjayakannya.
Hidup Wikipedia Bahasa Melayu!