ALOR SETAR: Sebuah keluarga terkejut apabila seekor ular jenis belalai gajah sepanjang dua meter keluar dari lubang tandas di rumah mereka di Kampung Telaga Jambu, Pida 1, Megat Dewa, Kodiang, Jumaat lalu.

Kejadian itu kemudiannya dirakam oleh seorang ahli keluarga terbabit, Zulaikha Hannani Md Zuki, 19, yang memaparkan ular seberat kira-kira 20 kilogram (kg) keluar dari lubang tandas sebelum ia menjadi tular.

Video berdurasi 18 saat itu menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik abangnya, Mohd Zularif Md Zuki, 23, di laman Facebook (FB) sehingga turut dikongsi sebuah portal berita di luar negara, Daily Mail, semalam.

Zulaikha berkata, kejadian itu disedari mereka kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu, ketika abangnya masuk ke dalam tandas sebelum menyedari ada sesuatu dari lubang itu.

Katanya, apabila ular itu terus keluar dari lubang tandas, abangnya memintanya mengambil gambar namun kerana kualiti gambar tidak elok menyebabkan dia membuat keputusan untuk merakam video.

"Tak sangka dan terkejut apabila video ular yang keluar dari lubang tandas rumah kami menjadi tular sedangkan pada mulanya ia hanya untuk perkongsian ahli keluarga.

"Video itu pada mulanya hanya dikongsi di dalam group WhatsApp keluarga namun tidak sangka ia viral (tular) sehingga ke luar negara," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Ibunya, Che Putih Hassan, 49, berkata, ketika kejadian itu dia sedang menjaga cucunya sebelum terkejut apabila diberitahu anak mengenai ular itu dan terus bergegas ke tandas.

Che Putih berkata, suaminya, Md Zuki Yaakob, 56, dan anak menggunakan pencangkuk untuk menangkap ular itu dengan mengambil masa setengah jam sebelum memasukkannya ke dalam guni.

"Ular itu dipercayai datang dari sungai berhampiran rumah dan masuk ke dalam saluran paip tandas sebelum keluar melalui lubang itu.

"Peristiwa ular sawa masuk ke dalam rumah dua tahun lalu pun masih belum dapat dilupakan dan terbaru ular ini pula yang masuk ke dalam rumah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah, Muhammad Ali Che Aman, mengesahkan spesis ular terbabit ialah jenis ular belalai gajah atau snake elephant.

For more info, please refer to Berita Harian [1]