Pengundi hantu
Pengundi hantu adalah istilah politik kepada pengundi yang datang untuk membuang undi di tempat mengundi dengan menggunakan Kad Pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam daftar pemilih SPR. Penipuan dan penyamaran seperti ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
- Pengundi itu berumur lebih daripada 120 tahun (lihat contoh kanan).
- Pengundi beralamatkan rumah yang mengandungi lebih daripada 20 orang.
- Pengundi itu tiada kaitan dengan pemilik alamat berdaftar pengundi berkenaan.
- Pengundi yang sama didaftarkan lebih daripada sekali. Ini sering berlaku di kalangan pengundi tentera yang merupakan pengundi pos dan juga pengundi biasa. Dalam konteks ini, mereka didaftarkan dengan nombor tentera untuk undian pos manakala nombor kad pengenalan Malaysia untuk undian biasa.
Pihak SPR pula menjelaskan bahawa mereka hanya boleh mengeluarkan nama seseorang pengundi jika disertakan bukti (surat mati), dan tidak boleh menerima maklumat lisan. Oleh itu nama mereka yang meninggal dunia akan kekal dalam senarai sehingga dilaporkan oleh waris beserta surat mati atau dokumen rasmi yang lain. Oleh itu usia lebih 120 tahun bukanlah bukti pengundi hantu.[1]SPR juga memerlukan kuasa untuk mengadakan daftar pemilih baru dari semasa ke semasa dan kuasa bagi melupuskan senarai lama (termasuk mereka yang telah meninggal dunia). Sehubungan itu, pihak SRR meminta waris yang mengetahui saudara mara sudah meninggal dunia, mengemukakan salinan sijil kematian atau permit mengebumikan individu terbabit supaya SPR dapat membuat semakan. [2]
Selain itu, terdapat segelintir pemilih berdaftar yang telah berpindah dan tidak lagi bermastautin di kawasan di mana mereka telah mendaftar sebagai pemilih. Pemilih-pemilih berdaftar ini hanya pulang ke kawasan berkenaan dalam tempoh empat atau lima tahun, dan masih dianggap pengundi yang sah. Contohnya, rakyat Kelantan yang bekerja di Kuala Lumpur tidak dianggap pengundi hantu sekiranya kembali mengundi di Kelantan.
Selain itu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut mengulas mengenai pengundi beralamatkan rumah yang mengandungi lebih daripada 20 orang mungkin merupakan pengundi bekas setinggan yang telah berpindah ke beberapa PPR sekitar Lembah Pantai dan masih belum menukar alamat dan sebagainya. Ini berikutan kegagalan Nurul Izzah untuk mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi bagi membatalkan lebih 4,000 nama pengundi meragukan di Parlimen itu. Menurut Datuk Raja Nong Chik lagi, kesemua mereka merupakan golongan berpendapatan rendah yang telah berpindah dari setinggan Bukit Putra Indah ke PPR Kerinci dan Pantai Ria. [3]
Menurut undang-undang Malaysia, seseorang pengundi hantu, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000. [4]