Penolakan ialah suatu operasi aritmetik yang mewakili operasi mengeluarkan sebilangan objek daripada sekumpulan objek. Penolakan diwakili dengan tanda tolak, -. Sebagai contoh, dalam gambar bersebelahan, terdapat 5 - 2 buah epal, yang bermaksud 5 buah epal dengan 2 buah yang diambil membawa kepada sejumlah 3 epal. Oleh itu, perbezaan 5 dan 2 ialah 3; iaitu 5 - 2 = 3. Walaupun penolakan secara umumnya berkait dengan nombor semula jadi dalam aritmetik, penolakan juga dapat mewakili penghilangan atau penurunan kuantiti fizikal serta abstrak dengan berbagai jenis objek termasuk nombor negatif, pecahan, nombor tak nisbah, vektor, perpuluhan, fungsi dan matriks.[1][2]

"5 − 2 = 3" ("lima tolak dua sama dengan tiga")

Penolakan mengikut beberapa corak penting. Penolakan bersifat antikomutatif yang bermaksud bahawa mengubah susunan nombor akan mengubah hasil tolak. Penolakan juga bersifat tidak bersekutu yang bermaksud bahawa apabila seseorang melakukan penolakan dengan lebih dua nombor, urutan penolakan dilakukan adalah penting. Oleh kerana 0 adalah identiti penambahan, penolakan dengan 0 tidak mengubah hasil tolak. Penolakan juga mematuhi peraturan yang dapat diramalkan berdasarkan operasi berkaitan seperti penambahan dan pendaraban. Semua peraturan ini dapat dibuktikan, bermula dengan pengurangan nombor bulat dan diitlakkan sehingga nombor nyata dan seterusnya. Operasi binari umum yang mengikuti corak ini dikaji dalam algebra abstrak.

Rujukan sunting

  1. ^ "Comprehensive List of Algebra Symbols". Math Vault (dalam bahasa Inggeris). 2020-03-25. Dicapai pada 2020-08-26.
  2. ^ Weisstein, Eric W. "Subtraction". mathworld.wolfram.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2020-08-26.

Pautan luar sunting

  •   Media berkenaan Penolakan di Wikimedia Commons