Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau singkatannya PBS ialah satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum kebangsaan Malaysia. Pentaksiran ini merupakan sesuatu yang agak baharu dalam pendidikan di Malaysia, yang selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ia memainkan peranan penting bagi tujuan melahirkan murid-murid yang seimbang dalam pelbagai aspek.[1]

Pentaksiran adalah komponen penting dalam pendidikan kerana ia memberi maklumat mengenai perkembangan murid kepada guru, ibubapa dan murid itu sendiri. Hasil pentaksiran boleh membantu guru menilai kaedah pengajaran dan aktiviti yang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kementerian prihatin terhadap dakwaan bahawa sistem pendidikan Negara terlalu berpaksikan peperiksaan. Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.

PBS merupakan satu usaha untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi seperti tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.

PBS mula dilaksanakan di Sekolah Rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di peringkat Sekolah Menengah pada tahun 2012. Justeru pada tahun 2016 murid-murid sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambahbaik. Pada tahun 2014 pula PMR akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.

Komponen Pentaksiran sunting

 
Inilah gambar rajah ringkas mengenai struktur sistem PBS

Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua kategori ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.

Pentaksiran Sekolah sunting

Pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan.

  1. Pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran(P&P). Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja,pemerhatian,kuiz,senarai semak,laporan tugasan,tugasan rumahdan ujian.
  2. Pentaksiran sumatif dijalankan pada akhir setiap unit pembelajaran, penggal, bulan dan tahun.

PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning)dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning).

Pentaksiran Pusat sunting

Pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkoddi peringkat sekolaholeh guru berdasarkanperaturan pentaksiran, instrumen pentaksiran, tugasan, garis panduan, peraturan penskoran dan penggredan dikeluarkan oleh LP dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.Pelaporan dikeluarkan LP.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum sunting

Pentaksiran yang ditadbir, direkod dan dilaporkan di peringkat sekolaholeh guru berdasarkanpenyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktivitisukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum. Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan(SEGAK) dan Body Mass Index(BMI) dilaksanakan untuk menilai dan melaporkan aktiviti fizikal murid.

Pentaksiran Psikometrik sunting

Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate abilitydanacquired ability),kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.

Band, Penilaian Gred Baharu sunting

Dalam PBS pencapaian murid dilaporkan berdasarkan band dan bukan lagi sebagai skor mentah seperti 81% atau pun gred A,B,C,D. Di Band 1, murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi maklum balas terhadap perkara yang asas contohnya bagi Matematik murid di Band 1 mampu mengenal angka 1,2,3 ....

Di Band 2, murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari contohnya murid tahu dan faham nilai angka seperti 24 lebih banyak dari 10 dan 55 kg lebih berat daripada 48 kg.

Di Band 3, murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi. Bagi matematik Band 3 menunjukkan murid telah menguasai operasi mudah tambah, tolak, darab dan bahagi.

Murid yang telah mencapai Band 3 dianggap telah menguasai kemahiran asas dalam subjek tersebut.

Di Band 4, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, seperti tertib atau melaksanakan sesuatu mengikut prosedur dan secara sistematik seperti menyelesaikan operasi tolak dengan mendahulukan rumah ’sa’.

Di Band 5, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab pada situasi baru, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif. Bagi matematik murid yang mencapai Band 5 mampu menyelesaikan masalah seperti Berapa biji telurkah yang boleh dibeli oleh Ali dengan wang RM10.00 jika sebiji telur berharga 20 sen?

Dan akhir sekali, di Band 6, murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif, mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan menjadi contoh secara tekal. Di Band 6 murid boleh membuat keputusan dalam masalah seperti membuat pilihan di antara kemeja biru yang berharga RM30.00 tetapi diberi diskaun 50% dan baju tawaran terbaik (best buy) yang sama kualiti dengan harga RM20.00.

Band 3 boleh disamatarafkan dengan gred lulus. Justeru guru perlu merangka aktiviti pemulihan bagi membantu murid mencapai Band minima 3.

PBS memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid. PBS membantu guru dan murid mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan. Sehubungan dengan itu guru bolehlah menyesuaikan aktiviti pengayaan atau pemulihan mengikut keperluan murid.

Wajar diingat bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain. Sebaliknya kejayaan murid diukur bersandarkan Standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran. Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju. Sekiranya dilaksanakan dengan baik dan terancang PBS bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu.

Sejarah dan Perkembangan sunting

Penerimaan Sistem PBS sunting

Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kementerian mahu menyeragamkan pelaksanaan PBS menerusi lembaga peperiksaan yang akan menentukan bentuk soalan yang bakal disediakan guru untuk peperiksaan serta membolehkan sekolah membuat penilaian terhadap pencapaian pelajarnya.

Ini bagi membolehkan hasil keputusan PBS digunakan oleh guru dan ibu bapa bagi mengetahui tahap pencapaian pelajar, sekali gus menolak andaian pemansuhan UPSR dan PMR akan menghapuskan sistem penilaian pelajar dan hanya dilakukan ketika mereka di tingkatan lima. Cadangan memansuh dua peperiksaan itu juga bukan perkara baru, sebaliknya telah dikaji kementerian sejak 2007 oleh pasukan yang meneliti isu sistem pendidikan negara ini yang lebih berorientasikan peperiksaan kerana wujud tiga peperiksaan awam, berbanding hanya satu peperiksaan di kebanyakan negara. PBS sudah diamalkan di banyak negara dan terbukti tidak menjejaskan pembelajaran, pengajaran guru dan pembelajaran murid.

Tan Sri Muhyiddin Yassin merasakan bahawa tidak perlu jawatankuasa khas yang dipilih untuk membincangkan isu pemansuhan UPSR dan PMR kerana ini tanggungjawab peringkat kementerian, dan bukan urusan Parlimen. Namun, dia sedia menerima pelbagai pandangan dan cadangan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju peperiksaan penting tetapi pemansuhan UPSR dan PMR dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurangkan beban tugas guru untuk mengendalikan peperiksaan. Selaini itu guru memberi banyak tumpuan untuk mencapai gred A cemerlang dan urusan sekolah juga banyak menjurus ke arah itu, menyebabkan tanggungan kerja bertambah yang turut membebankan pelajar.

"Disebabkan pencapaian diukur menerusi peperiksaan, ibu bapa yang prihatin terpaksa menghantar anak ke kelas tuisyen walaupun sekolah menyediakan sistem pembelajaran yang agak baik. Kesannya, kos untuk tuisyen berbilion ringgit setiap tahun dan memberi keuntungan kepada pihak tertentu," katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengurangan peperiksaan juga memberi peluang guru dan murid memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran insaniah, inovasi dan kreativiti.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian pada peringkat akhir kajian melaksanakan program permulaan sesi persekolahan formal daripada 6+ tahun kepada seawal 5+ tahun dalam usaha memastikan sistem pendidikan di negara ini seiring Plan Transformasi Negara (GTP) untuk mencapai modal insan bertaraf dunia.

Katanya, kajian terperinci mendapati 95 peratus kanak-kanak sudah menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira dan menulis) dan mempunyai kemahiran bersosial dengan rakan sebaya seawal umur lima tahun melalui pendidikan prasekolah.

"Kementerian juga mahu melahirkan modal insan berkemahiran dan kebolehpasaran bermula di peringkat persekolahan dengan merombak sistem pendidikan Teknik, Vokasional dan Kemahiran (pendidikan Voctech) supaya menjadi pendidikan arus perdana.

"Ini membabitkan penambahbaikan kurikulum pendidikan Voctech sedia ada melalui pengukuhan pendidikan daripada berasaskan pengetahuan kepada kemahiran supaya mencapai standard bagi memenuhi keperluan pekerjaan dan pasaran semasa,” katanya. [2]

Isu Pemansuhan UPSR dan PMR sunting

Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan itu kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah saja.

Jika terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem pendidikan dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah.

Beliau berkata, pada masa ini, sistem pendidikan yang terlalu cenderung dengan peperiksaan menyebabkan guru terlalu fokus untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan dan pelajar terlalu menumpukan usaha untuk cemerlang dalam peperiksaan awal saja.

Bagaimanapun Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan memansuhkan peperiksaan itu kerana perlu mengkaji implikasi lain selain mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk warga pendidik, pelajar dan masyarakat.

Katanya, kajian pihaknya juga mendapati ada negara lain yang tidak mempunyai banyak peperiksaan seperti di Malaysia, malah ada sesetengah negara yang hanya mempunyai satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah. Beliau berkata, pengurangan peperiksaan di peringkat sekolah itu membolehkan pelajar mempunyai banyak masa untuk menumpukan kepada mata pelajaran tertentu dan kegiatan sukan, sekali gus memberi kesan positif kepada keseluruhan cara pendidikan pelajaran.[3]

Rujukan sunting

  1. ^ "Transformasi Pentaksiran". Diambil 26 Oktober 2013.
  2. ^ Sariha Mohd Ali, Nazura Ngah dan S Anand Kumar "Pentaksiran Berasaskan Sekolah ganti UPSR, PMR"[pautan mati kekal] Berita Harian , 24 Jun 2010. Diambil 26 Oktober 2013
  3. ^ "Isu Pemansuhan UPSR Dan PMR" Diarkibkan 2016-03-04 di Wayback Machine Laman Web Penerangan 1 Klik . Diambil 26 Oktober 2013

Pautan luar sunting

  • Transformasi Pentaksiran
  • Sariha Mohd Ali, Nazura Ngah dan S Anand Kumar (2010). Berita Harian
  • Isu Pemansuhan UPSR Dan PMR"