Perang Berke–Hulagu

(Dilencongkan dari Perang Berke-Hulagu)

Perang Berke–Hulagu merupakan konflik yang tercetus antara dua pemimpin Mongol iaitu Berke bagi pemimpin Angkatan Kencana dan Hulagu Khan iaitu pemimpin kerajaan Ilkhanat Mongol. Konflik ini tercetus di kawasan Pergunungan Caucasus. Pada masa yang sama, Perang Saudara Toluid juga tercetus dalam kerajaan Mongol yang membabitkan kerabat keturunan Tolui iaitu Kublai Khan dan Ariq Böke untuk merebut gelaran Khan Agung Mongol. Perang saudara yang banyak tercetus selepas kematian Mongke Khan menandakan perpecahan Empayar Mongol.

Perang Berke–Hulagu
Sebahagian daripada Perpecahan Empayar Mongol

Pertempuran Terek (1262). Hayton of Corycus, Fleur des histoires d'orient.
Tarikh1262[1]
Lokasi
Keputusan Perpecahan Empayar Mongol
Pihak yang terlibat
Ilkhanat Angkatan Kencana
Komandan dan pemimpin
Hulagu Khan
Abaqa Khan
Berke Khan
Nogai Khan
Nikudar Noyan

Peristiwa sunting

Hulagu Khan dan Berke berperang sesama mereka di sepanjang sempadan kerajaan Ilkhanat dan Angkatan Kencana iaitu di Pergunungan Caucasus dan Khorasan. Pada tahun 1262, Hulagu telah membuat keputusan untuk tidak pulang ke Mongolia bagi mengambil bahagian dalam pemilihan pemimpin Mongol baru setelah mendapat berita kematian Mongke Khan. Hal ini kerana laporan kekalahan tentera Mongol dalam Pertempuran Ain Jalut telah memaksanya untuk kembali ke Timur Tengah semula. Pada tahun yang sama, anak Hulagu iaitu Abaqa melakukan serangan ke atas wilayah Angkatan Kencana melalui laluan Asia Tengah tetapi beliau menerima kekalahan awal. Pasukan Angkatan Kencana melancarkan serangan balas tetapi mereka pula mengalami kekalahan secara muktamad dalam pertempuran di timur Laut Kaspia. Hulagu menggunakan laluan yang sama digunakan oleh Subutai iaitu laluan Derbend untuk memasuki wilayah Angkatan Kencana.

Pada awalnya, kempen Hulagu ini dilihat meyakinkan sehinggakan pasukan musuh terpaksa berundur ekoran menerima asakan yang hebat oleh mereka. Hulagu telah mengirimkan sebahagian pasukannya yang dipimpin oleh anaknya sendiri untuk mengejar musuh. Pasukan Hulagu tiba di sebuah kem yang telah kosong dan terbiar. Mereka membuat keputusan untuk berehat dan makan di kem tersebut. Namun, ia sebenarnya perangkap semata-mata. Pasukan Hulagu terkejut kerana tersempak dengan pasukan utama musuhnya secara tiba-tiba yang melancarkan serangan hendap dan mengejut. Setelah berlaku pertempuran sengit, pasukan Ilkhanat berundur ke Sungai Terek yang telah membeku. Namun, ais-ais yang terbentuk di sungai itu kemudiannya pecah kerana menerima bebanan besar oleh manusia dan kuda-kuda Ilkhanat yang sedang berundur. Ramai tentera Ilkhanat bersama tunggangan kuda mereka telah tenggelam di bawah rekahan ais tersebut. Hulagu akui terpaksa berundur dengan segera ke selatan dan Berke berjaya merebut kembali wilayahnya semula yang gugur ke tangan Hulagu.

Pada tahun 1265, Hulagu meninggal dunia diikuti Berke pada tahun 1266 sekali gus menamatkan permusuhan antara mereka berdua. Akan tetapi, Empayar Mongol mengalami perpecahan serta legasi Genghis Khan telah ditandakan dengan empat kerajaan berlainan iaitu kerajaan Ilkhanat, Angkatan Kencana, Kekhanan Chagatai dan Dinasti Yuan.

Catatan sunting

  1. ^ The Mongols Oleh David Morgan, m/s 144