Perang Cimbri

(Dilencongkan dari Perang Cimbrian)

Perang Cimbri (113–101 SM) tercetus antara Republik Rom dan puak Jermanik yang terdiri daripada suku Cimbri, Teuton, Ambrones dan Tigurini. Puak ini telah berhijrah dari Semenanjung Jutland menuju ke wilayah Rom sebelum mereka bertembung dan berperang dengan Rom dan sekutunya. Perang Cimbri merupakan konflik pertama yang dapat mengancam Italia dan Rom dengan hebat setelah Perang Punic Kedua.

Perang Cimbri

Cadangan penghijrahan puak Cimbri dan Teuton.
Tarikh113–101 SM (12 tahun)
Lokasi
Tengah, barat dan selatan Eropah, Noricum dan Gaul
Keputusan Kemenangan Rom. Kedua-dua pihak menghadapi kerugian nyawa besar
Kemerosotan Republik Rom dengan perlahan-lahan
Pihak yang terlibat
Republik Rom
Celtiberia
Cimbri
Teuton
Ambrones
Tigurini
Komandan dan pemimpin
Gaius Marius
Quintus Lutatius Catulus
Quintus Servilius Caepio
Gnaeus Mallius Maximus
Gnaeus Papirius Carbo
Lucius Cassius Longinus 
Lucius Calpurnius Piso 
Marcus Junius Silanus
Boiorix  (Cimbri)
Lugius  (Cimbri)
Claodicus # (Cimbri)
Caesorix # (Cimbri)
Divico (Tigurini)
Teutobod # (Teuton)
Kerugian dan korban
Ramai. Lebih daripada 110,000 tentera Rom terkorban 340,000+ terbunuh[1]
150,000 diperhambakan (60,000 Cimbri dan 90,000 Teuton)[2]

Latar belakang sunting

Pada pertengahan abad ke-2 SM, Republik Rom telah menguasai kawasan Mediterranean sama ada secara langsung ataupun melalui sekutunya. Rom telah memenangi konflik peperangan menentang Seleucid, Makedon dan Yunani sekali gus membolehkan Rom dapat menawan seluruh kawasan Greece. Di bahagian barat pula, Rom telah mengalahkan sejumlah suku Gaul pada 120-an SM sebelum mereka mendirikan wilayah Gallia Narbonensis. Walau bagaimanapun, musuh baru Rom kini sedang berada dalam perjalanan.

Antara tahun 120-115 SM, Semenanjung Jutland menghadapi semacam malapetaka. Kawasan semenanjung itu sama ada telah dibanjiri atau dilanda cuaca sejuk yang ekstrem menjadikan ia tidak sesuai untuk didiami lagi. Walau apapun, suku proto-Jermanik yang menghuni kawasan moden Denmark yang dikenali sebagai Cimbri telah meninggalkan kawasan itu. Pada tahun 115 SM, mereka mula berhijrah ke selatan. Kelompok ini telah disertai oleh suku Teuton yang datang dari utara Jerman. Suku itu yang mempunyai jumlah kekuatan seramai 200,000 pahlawan telah berpindah ke tanah Republik Czech moden tetapi mereka telah ditewaskan oleh Boii sekali gus memaksa mereka untuk mengubah hala tuju.

Perang sunting

Kejayaan Cimbri sunting

Pada tahun 113 SM, Cimbri bersama Teuton menyeberangi Sungai Danube untuk memasuki Pannonia sebelum bergerak menuju ke Noricum. Kawasan itu telah dihuni oleh puak Celt, Taurisci yang tidak mampu bertahan daripada kemasukan penceroboh sebelum mereka bantuan daripada sekutunya, Rom. Pada masa itu, masyarakat Rom telah menunjukkan tanda-tanda awal pergolakan yang akan menamatkan republik ini pada kurun berikutnya. Hal ini demikian kerana kempen-kempen penaklukan Rom telah meletakkan golongan elit menjadi lebih kaya manakala orang miskin pula telah kehilangan tanah mereka. Mana-mana orang yang tidak memiliki tanah tidak dibenarkan sama sekali untuk menyertai legiun. Perkara ini telah menjejaskan pasukan tentera Rom dari segi kepimpinan, semangat dan bilangan tentera sekali gus menjadi tema utama bagi konflik ini.

Konsul Rom, Gnaeus Papirius Carbo menerima permohonan bantuan oleh suku Taurisci dan beliau telah menggerakkan pasukan legiunnya untuk menyekat laluan timur laut Alps menuju ke Itali. Penceroboh Cimbri kemudiannya mengirimkan utusan dengan berjanji bahawa mereka tidak akan menyerang Taurisci lagi. Carbo dilihat bersetuju dengan rundingan itu dan beliau menghalakan puak itu untuk keluar daripada wilayah Rom. Namun pada masa yang sama, beliau menjalankan serangan hendap terhadap mereka. Suku Cimbri mendapat tahu akan hal ini lantas mereka menyerang tentera legiun Rom berhampiran Noreia. Seramai 20,000 tentera Rom telah terkorban dalam pertempuran itu. Dengan alasan yang tidak dapat diketahui, Cimbri bersama puak-puak yang lain tidak menyerang Itali secara langsung sebaliknya mereka telah menuju ke barat melalui Noricum untuk pergi ke Raetia. Puak Celt yang dikenali sebagai Tigurini dan Tougeni menyertai suku Cimbri di situ dan mereka semua menuju ke Gallia. Perincian mengenai tahun di mana puak-puak itu berada di kawasan moden Perancis tidak jelas tetapi difahamkan mereka telah melakukan serbuan dan perompakan di Gallia sehinggakan puak Gaul tidak dapat menghalang penceroboh itu. Rom pula berpuas hati apabila mereka tidak lagi berurusan dengan penceroboh itu lagi oleh kerana Rom sedang terbabit dalam Perang Jugurtha di Numidia. Perang ini telah menimbulkan masalah kepada masyarakat Rom. Pemimpin tentera dan masyarakat Rom telah disuap oleh pemimpin Numidia, Jugurtha bergalak kali menjadikan struktur organisasi tentera Rom lemah dan gagal untuk mengalahkan lawan yang jauh lebih lemah.

Pada tahun 109 SM, Cimbri bersama sekutunya mengambil keputusan untuk memasuki wilayah Rom, Gallia Narbonensis. Konsul Rom pada masa itu iaitu Marcus Junius Silanus cuba untuk melakukan rundingan dengan mereka. Puak-puak itu menginginkan tanah yang terletak di Lembah Rhone dan mereka berjanji untuk mempertahankan sempadan wilayah Rom tetapi Silanus menolak permintaan tersebut. Dalam pertempuran berikutnya, tentera Rom sekali lagi telah dikalahkan. Kebanyakan daripada puak ini telah kembali ke Gallia Transalpina manakala puak Tigurini terus tinggal di situ kerana mereka ingin menjelajah ke Narbonensis. Pada tahun 107 SM, mereka telah menyerang tentera Rom yang baru dibentuk berhampiran Burdigala yang kini dikenali sebagai Bordeaux. Pemimpin tentera Rom telah terkorban dan hampir seramai 10,000 tentera Rom telah terbunuh.

Pihak Rom kini mengerti bahawa ancaman daripada puak Jermanik itu bukannya satu mainan. Tentera Rom berjumlah 80,000 tentera telah dibentuk dan dihantar ke Gallia Narbonensis. Oleh kerana jeneral Gaius Marius sibuk bertempur di Afrika pada masa itu, orang biasa yang bernama Gnaeus Mallius Maximus telah memimpin angkatan ini manakala Quintus Servilius Caepio merupakan pemimpin tentera yang kedua. Caepio merupakan seorang patrician yang berasal daripada salah satu keluarga tertua di Rom tidak menunjukkan keserasian dengan Maximus. Hal ini demikian kerana Maximus hanya merupakan novus homo yang merujuk kepada orang yang tidak mempunyai keturunan aritokrat dan memimpin tentera Rom bagi menghadapi pertempuran ini. Tentera Rom akhirnya kalah dalam pertempuran ini sekali gus menandakan ia sebagai kekalahan terbesar Rom semenjak mereka ditumpaskan oleh Hannibal di Cannae. Namun, gabungan antara puak ini tidak menyerang kota Rom selepas pertempuran itu.

Titik pusingan sunting

Kebanyakan daripada puak ini telah bergerak menuju ke utara Hispania sebelum menjarahnya. Jadi, pihak Rom mempunyai satu peluang lagi untuk mendapatkan sentuhannya dan melakukan persiapan bagi menghadapi peperangan yang tidak dapat dielakkan lagi. Pada tahun 106 SM, Marius akhirnya menamatkan kempen Perang Jugurtha. Beliau kemudiannya dilantik menjadi konsul buat kali kedua pada tahun 104 SM walaupun undang-undang telah melarangnya. Marius telah mengenal pasti masalah yang terdapat dalam tentera Rom. Beliau melakukan pembaharuan yang menjadi titik penting kepada sejarah politik dan ketenteraan Rom. Golongan yang tidak mempunyai sebarang tanah telah dibenarkan untuk menyertai legiun. Pasukan tentera ini diubah menjadi profesional manakala latihan ketenteraan dan peralatan peperangan telah diselaraskan. Tentera-tentera yang berkhidmat telah dijanjikan akan mendapatkan tanah. Pasukan legion itu mula membawa bekalan, senjata dan catuan sendiri sekali gus menambahkan mobiliti pasukan dan stamina tentera. Struktur organisasi tentera Rom yang lama telah dihapuskan dan formasi yang baru dan lebih tangkas dibentuk berdasarkan cohort yang terdiri daripada 400 tentera Rom. Semua ini telah membolehkan penstrukturan tentera Rom yang terhebat dalam sejarah dan melahirkan legiun-legiun terbaik yang terlatih.

 
Pertempuran Vercellae oleh Giovanni Battista Tiepolo.

Pada masa itu, Cimbri bersama sekutunya mengambil keputusan untuk bertumpu terhadap Itali pada tahun 102 SM manakala Marius telah bersiap sedia untuk menghalang mereka. Puak-puak itu telah dipecahkan kepada dua bahagian. Puak Teuton yang dipimpin oleh Raja Teutobod mara melalui kawasan persisiran Mediterranean dalam usaha untuk menyerang barat Itali manakala Cimbri pula mara dari Gallia hingga ke Noricum untuk pergi ke timur laut Itali. Pada musim panas 102 SM, Marius menunggu Teuton dari kem beliau yang telah dilengkapi kubu pertahanan berhampiran Sungai Rhone. Kemudian, berlaku pertempuran di situ sebelum Rom meraih kemenangan hasil taktik peperangan Marius yang berjaya membuahkan hasil. Lebih daripada 50,000 puak Teuton telah terkorban manakala Rom pula menghadapi ribuan nyawa terbunuh. Rom meneruskan pembunuhan beramai-ramai di kem musuh apabila puluhan daripada ribuan telah terbunuh dan diperhambakan.

Akan tetapi, kedudukan Cimbri masih lagi kukuh dan konsul bersama Marius, Quintus Lutatius Catulus ditugaskan untuk mempertahankan laluan Alps. Dengan menerima tekanan hebat daripada Cimbri, beliau terpaksa meninggalkan Genting Brenner. Percubaan kedua yang dilakukan oleh beliau untuk mempertahankan Sungai Adige juga menemui kegagalan apabila Cimbri cuba mengepung kedudukannya dan memaksa beliau untuk berundur hingga ke Sungai Po yang lebih selamat dan kukuh. Hal ini membolehkan Cimbri dapat menjarah wilayah yang kaya yang terletak antara Alps dan Sungai Po. Pada masa itu, Cimbri sudah pun mengembara hampir setahun dari Sepanyol ke Itali dan keletihan. Jadi, mereka tidak terkejar-kejar untuk menyerang kedudukan Rom semasa musim sejuk melanda. Marius mengambil peluang ini untuk kembali semula ke Itali. Beliau telah dilantik menjadi konsul sekali lagi.

Pada musim bunga tahun 101 SM, Marius bergerak menuju ke Lembah Po bersama dengan kekuatan seramai 32,000 tentera dan ditambah lagi dengan 20,000 tentera Catulus. Sejarawan moden percaya bahawa Cimbri yang diketuai oleh Boiorix mempunyai 60,000 tentera manakala sejarawan Rom pula mendakwa jumlah mereka mencecah sehingga 200,000 tentera. Cimbri telah mengelak daripada bertembung dengan Marius sepanjang musim bunga dan pada awal musim panas. Marius terus menekan Boiorix hingga ke arah barat laut dalam percubaan untuk memerangkap mereka di sepanjang laluan Alps. Dengan itu, Cimbri tidak dapat lagi melepaskan diri daripada Rom. Pada penghujung bulan Julai, kedua-dua pihak tiba di sebuah tempat yang dikenali sebagai Vercellae. Pertempuran kemudian tercetus dan berlarutan selama beberapa jam. Kesemua puak Cimbri telah terbunuh ataupun menjadi hamba. Pertempuran itu menandakan pengakhiran kepada Perang Cimbri.

Pihak Rom akhirnya dapat menamatkan ancaman yang terbesar semenjak ancaman oleh Hannibal. Namun, retakan baru yang terbentuk dalam masyarakat Rom sebelum ia menjerumuskan kepada beberapa siri perang saudara di Rom yang akan meletus pada masa akan datang.

Catatan sunting

  1. ^ Rome's Mediterranean Empire: Books 41-45 and the Periochae.
  2. ^ The Environment of Early Christianity.
  • Dupuy, R. Ernest, and Trevor N. Dupuy, The Encyclopedia Of Military History: From 3500 B.C. To The Present. (2nd Revised Edition 1986) pp 90–91.
  • Jar García de Andoain, Enaitz. "La Guerra Cimbria" (PDF). Revista Ejército (nº 919, noviembre de 2017) (dalam bahasa Sepanyol): 92–98.
  • Mommsen, Theodor, History of Rome, Book IV "The Revolution", pp 66–72.