Perang Hamba Kedua

Perang Hamba Kedua merupakan pemberontakan hamba yang gagal dilancarkan ke atas Republik Rom di pulau Sicily. Perang ini berlanjutan dari tahun 104 SM hingga 100 SM.

Perang Hamba Kedua
Sebahagian daripada Perang Hamba Rom
Tarikh104–100 SM
Lokasi
Keputusan Kemenangan Rom
Pihak yang terlibat
Vexilloid of the Roman Empire.svg Republik Rom Hamba Rom
Komandan dan pemimpin
Vexilloid of the Roman Empire.svg Publius Licinius Nerva
Vexilloid of the Roman Empire.svg Lucius Licinius Lucullus
Vexilloid of the Roman Empire.svg Gaius Servilius
Vexilloid of the Roman Empire.svg Manius Aquilius
Salvius
Athenion

Latar belakangSunting

Republik Rom telah menghadapi beberapa peperangan yang sukar selama bertahun-tahun iaitu Perang Jugurtha dari tahun 112 hingga 106 SM dan Perang Cimbri yang sedang berlangsung sejak dari tahun 113 SM. Setelah berakhirnya Perang Jugurtha, jeneral Rom yang telah menang, Gaius Marius diberi tugasan untuk mengendali Rom dalam Perang Cimbri. Perang itu sama sekali telah merugikan Rom dan sekutunya apabila seramai 60,000 orang tentera telah terkorban. Perkara ini memaksa Marius melakukan satu kempen perekrutan tentera besar-besaran untuk menambahkan bilangan tentera. Beliau kemudiannya meminta bantuan daripada Nicomedes III dari Bithynia untuk menghantar tentera. Namun, Nicomedes membalas bahawa beliau tidak dapat melakukannya kerana sebahagian besar orang Bithynia yang sesuai berkhidmat dalam ketenteraan telah ditawan oleh Rom untuk dijadikan hamba atas sebab tidak membayar cukai. Senat seterusnya mengeluarkan dekri bahawa tidak ada lagi warga kerajaan naungan Rom akan dijadikan hamba di wilayah Rom. Keputusan ini telah dibuat dengan harapan agar Marius mendapat tenaga manusia yang diperlukan oleh beliau untuk mengalahkan Cimbri walaupun pada dasarnya ia telah merugikan republik.

PemberontakanSunting

Pada tahun 104 SM, Publius Licinius Nerva yang merupakan seorang Propraetor Sicily ingin menjalankan keputusan dekri Senat di wilayahnya dengan segera memerdekakan 800 orang hamba yang berasal dari negeri naungan Rom. Keputusan ini bukan sahaja telah memindahkan golongan hamba asing itu, tetapi ia telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan bangsawan yang memiliki bilangan kerahan hamba yang ramai. Mereka risau keputusan ini akan menyebabkan mereka akan kehilangan tenaga kerja. Dengan tindakan memberi rasuah dan tekanan politik, Nerva dengan segeranya menyerah kepada bangsawan tersebut. Bangsawan itu menegaskan bahawa mereka tidak akan membebaskan hamba lagi dan menghantar semula hamba-hamba yang mohon untuk pulang kepada tuan masing-masing. Dengan itu, seramai 180 orang hamba di luar Syracuse telah memberontak, membunuh tuan sendiri, merampas senjata dan berkubu di atas puncak bukit. Nerva segera mengumpulkan tentera beramai-ramai dan berarak menuju ke arah hamba itu. Namun, beliau tidak mempunyai bilangan tentera yang mencukupi untuk mengepung mengelilingi kubu itu. Sebaliknya, beliau telah menggunakan tenteranya yang setia berpura-pura untuk menjadi pemberontak hamba. Mereka memasuki kubu itu sebelum mengkhianati pemberontak lain yang membolehkan Rom dapat menerjah masuk ke dalamnya. Sesetengah hamba mati terbunuh ketika pertempuran manakala sesetengah yang lain risau akan ditangkap bertindak membunuh diri. Nerva kemudian membubarkan tenteranya tidak lama kemudian.

Walau bagaimanapun, pemberontakan yang lebih dahsyat telah berlaku hampir serentak. Seramai 80 orang hamba telah bangkit dan membunuh Publius Clonius yang merupakan seorang equites. Pemberontak kemudiannya meneruskan muslihat mereka dengan berjaya mengumpulkan 800 orang hamba di atas Gunung Caprianus di luar Heracleia dalam jangka masa seminggu sahaja. Oleh kerana Nerva tidak melakukan sebarang tindakan untuk menghadapi pemberontakan itu, tersebarlah khabar angin yang mengatakan bahawa dirinya merupakan seorang yang pengecut. Selepas Nerva dapat mengetahui khabar angin itu, tentera pemberontak yang berada di luar kota Heracleia sudah pun berjumlah hampir 2,000 orang. Propraetor itu segera bergegas menuju ke Heracleia. Bagaimanapun, apabila beliau dapat tahu tentang saiz kekuatan pihak musuh, beliau mengarahkan komander garison di Enna iaitu Marcus Titinius supaya membawa 600 tentera untuk berhadapan dengan pemberontak. Titinius bersetuju dan terus mara menuju ke Gunung Caprianus. Namun, bentuk muka bumi di situ yang bergunung-ganang tidak membenarkan formasi tentera Rom dapat dihasilkan seperti kebiasaan. Lebih-lebih lagi, tentera pemberontak mempunyai bilangan tentera yang ramai, majoriti tentera bersenjatakan tarbil dan kedudukan yang tinggi memberikan kelebihan kepada mereka. Pertempuran yang berlangsung itu dalam jangka yang singkat apabila barisan tentera Rom telah musnah dan ramai yang lain turut terkorban dan melarikan diri meninggalkan peralatan senjata dan medan perang bersama dengan Titinius. Pertempuran itu memberikan kemenangan yang besar kepada pemberontak hamba. Mereka bukan sahaja memperoleh banyak peralatan senjata dan alatan perisai daripada medan peperangan itu, kejayaan ini juga telah memberikan inspirasi kepada ramai yang lain untuk bergabung dengan pemberontak. Dalam masa beberapa hari sahaja, bilangan pemberontak meningkat dengan mendadak sehingga 6,000 orang.

Melihat kepada peningkatan bilangan pemberontak, mereka bercadang untuk melantik seorang raja. Hasil inspirasi daripada Eunus, golongan hamba ini melantik Salvius yang mahsyur dengan kedewaan dan ramalannya. Sama seperti pendahulunya, Salvius menggunakan nama Tryphon yang diambil daripada nama Raja Seleucid, Diodotus Tryphon. Beliau segera menghantar tenteranya untuk menjarah kawasan luar bandar, mencari peluang untuk menyerang estet besar dan mengumpulkan lebih ramai hamba di bawah angkatannya. Kemudian, beliau berjaya mengumpul 20,000 tentera serta 2,000 ekor kuda yang dibawa dari estet. Salvius kini berasa yakin untuk menyerang kota-kota di Sicily. Beliau seterusnya mara dan mengepung kota Morgantina. Nerva mengatur langkah dengan mengumpulkan 10,000 tentera gabungan Itali dan Sicily. Angkatan tentera ini berkumpul sebelum berarak untuk membantu kota Morgantina. Salvius langsung tidak menjangkakan tindakan pantas musuh dan majoriti tentera beliau telah menumpukan kempen pengepungan manakala hanya bilangan kecil tenteranya sahaja yang mengawal kem tentera. Tentera Nerva berjaya menguasai kem musuh dengan membunuh pasukan pengawal dan merampas harta barangan dan orang perempuan yang ditinggalkan oleh Salvius di situ sebelum mereka meneruskan kemaraan untuk berhadapan dengan Salvius di luar kota Morgantina. Salvius ingin bertempur dengan Nerva dahulu kerana beliau tidak mahu tenteranya terperangkap di antara tentera Nerva dan pasukan bertahan di dalam kota. Jadi, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kempen pengepungan.

Tentera Salvius mengambil posisi di atas sebuah bukit kecil dan bersiap sedia untuk pertempuran semasa Nerva dalam perjalanan berlepas ke kota Morgantina. Setibanya tentera Nerva, mereka terus mengatur formasi dan membentuk barisan tentera. Namun, Salvius segera merebut inisiatif dengan melancarkan serangan menuruni kawasan bukit untuk memintas tentera Rom. Serangan itu sama sekali merupakan satu bencana untuk tentera Nerva. Tentera Rom akui terperanjat dengan serangan musuh yang pantas dan garang. Tentera sayap Rom hanya memberikan sedikit tentangan ekoran menerima tekanan hebat daripada kavalri pemberontak. Apabila Salvius telah mengumumkan bahawa sesiapa yang meletakkan senjata akan dilepaskan, barisan tentera Nerva menjadi hancur dengan serta-merta. Ramai tentera Rom melemparkan senjata masing-masing dan bergegas melarikan diri. Hanya 600 orang tentera Itali dan Sicily terkorban dalam pertempuran manakala lebih daripada 4,000 orang ditahan sebagai tawanan perang dan sesetengah yang lain pula melarikan diri bersama dengan Nerva.

Kejayaan Salvius dalam pertempuran itu merupakan kemenangan mengejut buat pasukannya. Beliau bukan sahaja dapat meraih kemenangan dalam pertempuran, tetapi janjinya yang melepaskan mana-mana orang yang meninggalkan senjata membolehkan Salvius membentuk angkatan bersenjata sepenuhnya. Sekali lagi, beliau beralih untuk mengepung Morgantina. Hamba-hamba yang berada di dalam kota itu akan dijanjikan kebebasan sekiranya mereka membantu mempertahankan kota Morgantina bersama-sama. Walau bagaimanapun, Nerva sekali lagi melakukan keputusan yang membinasakan apabila beliau telah mengumumkan tiada hamba yang akan dibebaskan sehingga pemberontakan dapat diatasi. Kesannya, hamba yang berada di dalam kota itu terus mengkhianati pasukan bertahan dengan membuka pintu gerbang kota untuk membolehkan Salvius menawan kota Morgantina. Salvius kini telah menguasai bahagian timur Sicily.

Kebangkitan AthenionSunting

Sementara itu, di bahagian barat pulau Sicily, pemberontakan lain telah tercetus. Seorang hamba yang digelar Athenion telah mendapat ilham daripada Perang Hamba Pertama dan pemberontakan Salvius. Beliau berjaya membina tenteranya sendiri sehingga mencecah 10,000 orang. Athenion dicatat sebagai seorang yang berani dan juga mengaku memiliki kuasa ramalan membuatkan pengikut-pengikutnya yang terdiri daripada hamba menyayanginya sama seperti tindakan Eunus yang dahulu. Beliau juga dimahkotakan sebagai raja tetapi beliau berbeza daripada Eunus dan Salvius. Athenion tidak menerima semua hamba yang ingin memberontak bersama dengannya. Sebaliknya, beliau memilih hamba yang mempunyai pengalaman berperang manakala hamba yang lain telah digunakan sebagai pekerja demi memastikan tenteranya mendapat bekalan makanan yang berterusan. Dengan cara ini, beliau telah hampir berjaya membina sebuah kumpulan separa tentera. Seterusnya, beliau mula mengepung kota Lilybaeum. Perkara ini ternyata satu tugasan yang besar oleh kerana Lilybaeum merupakan kota yang dilengkapi dengan pertahanan yang kukuh. Kota itu juga mampu menangkis serangan pemberontak hasil bantuan ketenteraan daripada Mauretania sekali gus memaksa Athenion untuk berundur.

Walaupun kota itu selamat daripada ancaman pemberontak, seluruh pulau itu kini berada dalam keadaan huru-hara. Warga Rom yang kaya-raya dipaksa untuk terus tinggal di dalam kota demi keselamatan mereka sendiri manakala hamba dan golongan bawahan mengamuk di sepanjang kawasan luar bandar. Pada masa yang sama, Salvius telah mengukuhkan kedudukannya. Beliau mengumpulkan tenteranya yang kini berjumlah 30,000 orang di luar kota Triocala. Beliau kemudian menyeru Athenion untuk turut serta dan menyamai Eunus dan Cleon dalam Perang Hamba Pertama. Athenion menyahut seruan itu dan membawa 3,000 orang hamba yang berpengalaman bersama dengannya. Kemungkinan beliau ingin meniru tindakan Cleon atau dengan senangnya beliau takut akan saiz kekuatan tentera Salvius, Athenion melafazkan sumpah setia sebagai penasihat tentera dan jeneral kepada Salvius. Kemudian, mereka bersama-sama menawan kota Triocala. Golongan hamba yang berada di dalam kota yang bersungut sekali lagi memainkan peranan membantu pemberontak menguasai Triocala.

Pemberontak itu seterusnya mula memperkukuhkan kota Triocala dan Salvius mengisytiharkan kota itu sebagai bandar dirajanya. Beliau juga telah menubuhkan kabinet penasihat dan bahkan mengenakan pakaian toga yang berwarna ungu bersama dengan lictor yang dahulu. Hal ini menjadikan Salvius sebagai satu ancaman yang paling ditakuti oleh Republik Rom yang mendakwa dirinya sebagai Raja Rom.

Pertempuran ScirtheaSunting

Nerva telah membuktikan dirinya tidak berupaya untuk menangani situasi ini. Oleh sebab itu, pada penghujung tempohnya sebagai Praetor menjelang tahun 103 SM, Lucius Licinius Lucullus yang merupakan bapa kepada seorang jeneral Rom dengan nama yang serupa telah dihantar untuk menggantikan Nerva. Senat memberikan angkatan tentera yang agak besar kepada Lucullus iaitu 14,000 tentera Rom dan 3,000 tentera bersekutu. Salvius ingin menunggu di dalam kota Triocala supaya mereka dapat bertempur dari dalam benteng kota tetapi Athenion sebaliknya menasihati supaya bertempur dengan tentera Rom di kawasan terbuka. Hal ini demikian kerana untuk mengelakkan risiko dipaksa menghadapi bencana seperti yang menimpa kepada pemberontak hamba di Tauromenium pada 30 tahun lalu. Salvius bersetuju akan nasihat orang kanannya itu dan mengumpulkan lebih banyak hamba lagi untuk berkhidmat di bawah pimpinannya sebelum mereka semua berarak menuju ke Scirthea bersama kekuatan seramai 40,000 orang.

Tentera pemberontak telah mendirikan kem yang terletak hanya beberapa batu sahaja dari kem tentera Rom. Kedua-dua pihak ini kemudiannya mula menghampiri antara satu sama lain secara beransur-ansur. Pertempuran yang sengit tercetus antara Rom dan pemberontak hamba dengan pihak masing-masing menunjukkan kekuatan kavalri dan tentera misil ringan. Setelah barisan tentera Rom dan pemberontak bertembung, pertarungan terus berlangsung hebat apabila ramai tentera di kedua-dua belah pihak terkorban dan juga kelebihan pertempuran tidak memihak langsung kepada pihak yang terlibat. Bagaimanapun di bahagian sayap, Athenion telah meraih kejayaan dan kemenangannya dalam bahagian pertempuran itu telah mengancam jantung pasukan Rom. Apabila tentera Rom dilihat seakan-akan dikepung, Athenion mengalami kecederaan menyebabkan beliau terjatuh daripada tunggangan kudanya. Dengan rasa yakin bahawa jeneral mereka telah meninggal, tentera pemberontak berpecah dan melarikan diri daripada medan pertempuran. Salvius yang tidak mampu menghalang tenteranya yang lari turut sama berundur. Dalam pengunduran ini, ramai pemberontak telah terkorban setelah dipintas oleh tentera Rom. Secara keseluruhannya, 20,000 orang terkorban pada penghujung hari itu. Namun, Lucullus gagal untuk terus mengejar pemberontak yang lain manakala 20,000 pemberontak lagi termasuk Salvius berjaya melarikan diri menuju ke Triocala.

Pengepungan TriocalaSunting

Lebih penting lagi, Athenion juga berjaya melepaskan diri dari medan pertempuran. Selepas tercedera, beliau berpura-pura mati terbujur dan seterusnya melarikan diri ke Triocala pada waktu malam. Sehingga sembilan hari kemudian, Lucullus berarak dan mengepung kota Triocala. Walaupun pemberontak berasa tawar hati berikutan kekalahan mereka di Scirthea, mereka berazam untuk berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Kemudian, Lucullus melakukan beberapa percubaan untuk menyerang kota itu dan berhadap dapat menguasainya dengan cara kekerasan. Namun, pertahanan kota itu yang kukuh membolehkan pemberontak dapat menangkis setiap kali serangan musuh di samping mengenakan kerugian yang besar ke atas tentera Rom. Kejayaan ini hanya menjadikan pemberontak semakin berani dan Lucullus terpaksa untuk mendirikan kem di luar kota bagi melakukan persiapan untuk menjalankan pengepungan.

Senat berasa tidak berpuas hati. Selepas Lucullus gagal untuk merebut peluang atas kejayaan awalnya di Scirthea, Senat mengambil keputusan untuk menggantikan Lucullus dengan Gaius Servilius sebagai Praetor pada penghujung tahun disebabkan oleh sama ada ketidakcekapan Lucullus ataupun penyuapan. Lucullus berang akan keputusan itu kerana tidak bersetuju dan rasa dikhianati oleh Senat. Kemudian semasa Servilius mendarat di Sicily pada permulaan tahun 102 SM untuk memberi arahan, Lucullus mengarahkan tenteranya untuk membakar kem, bekalan dan kerja-kerja pembinaan mereka sekali gus membubarkan organisasi pasukan Servilius. Dengan cara ini, beliau berharap ia dapat menghina penggantinya itu dengan memastikan Servilius tidak dapat melakukan sebarang perkembangan penting dalam kempen peperangannya. Jadi, Lucullus dapat melenyapkan lontaran ketidakcekapan daripada pihak lain terhadap dirinya.

Rancangan Lucullus berhasil. Salvius meninggal dunia pada tahun 102 SM tanpa sebab yang diketahui. Athenion menggantikannya sebagai ketua seluruh pemberontak. Walaupun berhadapan dengan halangan baru, Servilius gagal untuk menyelaraskan tumpuannya terhadap beliau ekoran tindakan Lucullus yang mengganggu Servilius. Perkara ini membolehkan Athenion menjarah seluruh pulau Sicily, mengepung dan menawan lebih banyak kota di sana. Pada suatu masa, Servilius berjaya mengumpulkan tentera yang cukup besar untuk berhadapan dengan Athenion tetapi Athenion dapat menawan tentera Praetor Rom itu dalam satu serangan mengejut ke atas kemnya. Athenion telah menguasai kem tersebut sekali gus memaksa Servilius untuk pergi berundur. Walaupun pada awal tahun itu menyaksikan kejayaan awal Lucullus, tetapi pada penghujung tahun itu telah merakamkan peristiwa pemberontakan menjadi lebih dahsyat. Lucullus dan Servilius telah dituduh oleh Senat atas sebab ketidakcekapan dan keputusannya mereka berdua telah dibuang negeri.

Kemenangan RomSunting

Pada tahun 101 SM, Gaius Marius sekali dilantik menjadi konsul bersama dengan Manius Aquillius sebagai rakan sejawatnya. Gaius Marius merupakan jeneral Rom terhebat pada masa itu dan Manius Aquillius turut serta berperang bersama dengannya dalam Perang Cimbri. Mereka merupakan pemimpin veteran yang boleh diharapkan. Pemberontakan di Sicily kini telah beralih untuk mengancam kebuluran di Rom sekali gus menjejaskan kempen peperangan Rom menentang Cimbri yang sedang berlangsung. Kemudian, Aquillius bersama dengan semua angkatan tentera konsulnya yang berjumlah 20,000 tentera termasuk 2,500 kavalri telah dihantar yang berpaling daripada kempen Perang Cimbri untuk menamatkan pemberontakan.

Aquillius dengan segera mengheret Athenion ke dalam medan pertempuran terbuka. Walaupun meraih beberapa kejayaan sebelum ini, Athenion masih lagi yakin akan kemampuan tenteranya yang berjumlah antara lingkungan 20,000 hingga 30,000 yang dianggap sebagai bukti kukuh kemenangannya dalam pertempuran kali ini. Walau bagaimanapun, pertarungan menentang tentera-tentera Rom yang berpengalaman dipimpin oleh jeneral veteran telah menipiskan harapan tentera pemberontak. Pertempuran berdarah itu berlangsung dalam masa singkat dengan hanya 10,000 orang hamba berjaya melarikan diri. Semasa pertempuran berlangsung, Aquillius dan Athenion bertembung dan bertarung sesama mereka. Walaupun Athenion berjaya mencederakan konsul Rom itu, namun Aquillius akhirnya berjaya membunuh ketua pemberontak.

Sisa pemberontak yang tidak mempunyai ketua lagi telah melarikan diri menuju ke beberapa kubu dan benteng di seluruh pulau Sicily. Aquillius pula tidak henti-henti meneruskan pemburuannya mengejar mereka. Setiap kubu akan dikepung sekali gus menyebabkan pemberontak-pemberontak yang bertahan di dalamnya dilanda kebuluran lalu menyerah. Apabila tinggal kubu terakhir yang menempatkan hanya 1,000 hamba lagi, Aquillius bertindak menghantar utusan kepada mereka. Utusan itu meminta semua pemberontak agar menyerah diri dan mengambil peluang ini untuk bertarung dengan haiwan di dalam arena. Daripada berhadapan dengan takdir yang menghinakan ini, pemberontak-pemberontak melakukan perkara yang sama seperti kejadian penyudah dalam Perang Hamba Pertama. Mereka bertindak membunuh diri dan juga membunuh antara satu sama lain.

Siri peperangan hamba di Sicily dilihat hanya berjaya mencapai kejayaan yang kecil. Namun, kedua-dua peperangan itu telah menginspirasi konflik yang lebih besar, dahsyat dan mengerikan iaitu Perang Hamba Ketiga di bawah pimpinan gladiator, Spartacus.

Pautan luarSunting

  • Shaw, Brent (2001). Spartacus and the Slave Wars: a brief history with documents. pp. 107–129.(at google books)

Templat:Ancient Roman Wars