Perang Hamba Pertama

(Dilencongkan dari Perang Hamba Rom Pertama)

Perang Hamba Pertama (135–132 SM) merupakan satu pemberontakan hamba yang dilancarkan ke atas Republik Rom. Walaupun pemberontakan akhirnya menemui kegagalan, golongan hamba ini berjaya menghalang cita-cita Rom untuk menumpaskan pemberontakan selama beberapa tahun. Perang ini didalangi oleh pemberontakan hamba di Enna yang terletak di pulau Sicily. Puak pemberontak telah dipimpin oleh Eunus yang merupakan seorang bekas hamba mendakwa dirinya sebagai nabi. Selain itu, pemberontak juga dipimpin oleh Cleon, seorang hamba Cilicia yang menjadi komander tentera Eunus. Setelah mereka berjaya memenangi beberapa siri pertempuran kecil, angkatan tentera Rom yang besar tiba di Sicily sebelum menewaskan semua pemberontak.

Perang Hamba Pertama
Sebahagian daripada Perang Hamba Rom
Tarikh135–132 SM
Lokasi
Keputusan Kemenangan Rom
Pihak yang terlibat
Republik Rom Hamba Sicily
Komandan dan pemimpin
Lucius Calpurnius Piso
Publius Rupilius
Gaius Fulvius Flaccus
Eunus (POW)
Cleon (KIA)

Latar belakang sunting

Rom telah menakluk hampir keseluruhan pulau Sicily pada penghujung Perang Punic Pertama pada tahun 241 SM. Sebelum itu, penaklukan Rom ke atas Semenanjung Itali telah membolehkan penduduk tempatan iaitu socii diberikan kuasa autonomi yang penting. Walaupun mereka menyumbangkan bala tentera kepada Rom, mereka tidak perlu untuk membayar ufti. Bahkan, mereka dilayan lebih daripada seorang sekutu di bawah kuasa hegemoni Rom. Sementara itu, Sicily merupakan wilayah Rom yang pertama tetapi dalam keadaan yang berlainan. Sicily bukan sahaja sebagai tempat gabungan kepelbagaian budaya, tetapi juga sebagai tempat yang makmur hasil tanah yang subur dan lokasi yang ideal. Kesannya, Rom telah melaksanakan satu sistem baru untuk memerintah wilayah itu. Seorang gabenor telah dilantik dan pengutipan cukai dilaksanakan. Walaupun wilayah itu berada di bawah pemerintahan Rom, Carthage masih lagi mempunyai pengaruh dan kepentingannya di sana sehinggalah berakhirnya Perang Punic Kedua pada tahun 201 SM apabila sisa terakhir Carthage dipaksa untuk keluar daripada pulau itu.

Berikutan peperangan itu, tanah-tanah milik pesimpati Carthage telah disita dan jalur tanah yang luas itu telah dituntut oleh Rom. Kawasan yang subur tetapi murah ini telah menarik ramai pelabur yang membeli tanah yang luas dan mula mendirikan estet-estet besar daripada pendahulu kepada latifundia. Golongan hamba pun tersebar ke merata tempat dan bukan sahaja di Sicily, tetapi di seluruh Mediterranean. Jumlah bilangan hamba yang besar telah dibawa ke Sicily untuk bekerja di kebun-kebun estet. Namun, keadaannya amat teruk. Ramai pemilik tanah tidak menyediakan bekalan makanan dan pakaian yang mencukupi kepada golongan hamba. Hal ini menyebabkan hamba-hamba kerap melakukan perompakan dan merampas barang-barang berharga demi kelangsungan hidup. Walaupun perkara ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan senator di Rom, tanah-tanah di Sicily biasanya dijaga oleh equites yang mempunyai kuasa kehakiman. Jadi, sebarang tindakan yang ingin ditujukan terhadap pemilik tanah akan diketepikan dengan begitu saja. Apabila Senat tidak berkuasa secara berkesan, kumpulan yang terlucut ini bersatu dan bangkit melancarkan pemberontakan yang berlaku pada tahun 135 SM.

Pemberontakan sunting

Eunus merupakan seorang hamba dari Syria yang telah dibawa ke Sicily dan tinggal di kota Enna. Namun daripada menjadi buruh kerahan, beliau sebaliknya menjadi seorang penghibur. Beliau telah mempersembahkan pertunjukan silap mata, semburan api dan mendakwa dirinya sebagai jelmaan dewa serta menyampaikan utusan yang meramalkan dirinya akan menjadi seorang raja. Antigenes yang merupakan tuan Eunus sering kali memberikan laluan kepada Eunus untuk mengadakan pertunjukan liciknya semasa jamuan makan malam. Beliau juga mentertawakan Eunus yang mendakwa dirinya akan menjadi raja. Bagaimanapun, golongan hamba di Enna dilayan dengan teruk. Oleh sebab itu, apabila mereka berkomplot untuk memulakan pemberontakan pada tahun 135 SM, mereka memilih Eunus sebagai pemimpin kerana terikut dengan dakwaan dirinya sebagai pilihan dewa.

Pemberontakan tercetus apabila 400 orang hamba bangkit di Enna membunuh tuan mereka masing-masing bersama dengan isteri dan anak-anak tuan tersebut. Kemudian, hamba-hamba yang lain berhimpun di kota itu untuk menjayakan rancangan mereka. Pemberontakan bertambah teruk apabila mahkamah tidak sah ditubuhkan dan semua yang tertuduh telah diseksa dan dihukum. Eunus seterusnya mengarahkan semua penduduk lelaki Enna yang kaya diburu dan dibunuh melainkan orang yang boleh menempa senjata. Orang yang berkemahiran membuat senjata dipaksa untuk menghasilkan senjata untuk pemberontak. Eunus mengisytiharkan dirinya sebagai raja dan menggunakan nama Antiochus sempena nama Raja Seleucid yang terkenal. Kemudian, beliau menghimpunkan 6,000 pemberontak hamba. Sesetengah pemberontak menggunakan senjata yang baik manakala yang lain menggunakan senjata asas seperti tarbil, tukul dan tombak asas. Pernah dipaksa untuk merompak samun oleh tuan masing-masing, kebanyakan golongan hamba ini mempunyai pengalaman untuk berlawan manakala sesetengah hamba yang lain asalnya seorang tentera sebelum mereka diperhambakan menjadi tahanan perang atau pengawal. Sesudah berkumpulnya tentera-tenteranya, Eunus mula menjarah kawasan luar bandar dan membolehkannya mengumpulkan lebih ramai orang sehingga jumlah tenteranya mencecah 10,000 orang.

Rom telah melakukan beberapa percubaan untuk mematahkan pemberontakan tetapi mereka tidak sedar sepenuhnya betapa parahnya situasi ini. Tentera kecil yang dihantar oleh Rom untuk berhadapan dengan pemberontak dengan pantasnya kecundang di tangan tentera pemberontak yang jauh lebih ramai. Tidak lama kemudian, kumpulan hamba yang lain di Sicily telah memberontak dan kali ini diketuai oleh perompak terkenal dikenali sebagai Cleon. Beliau telah menjadi seorang pejuang semenjak zaman mudanya di Asia Kecil. Selepas beliau mendengar kejayaan Eunus, beliau segera merebut peluang ini. Pada mulanya, Rom mengharapkan kedua-dua pecahan kumpulan ini bertelagah sesama mereka. Namun, Cleon sebaliknya menyebelahi Eunus dan menjadi orang kanan Eunus selain beliau turut membawa 5,000 tentera untuk bergabung membentuk sebuah angkatan besar. Mereka bersama-sama berjaya menawan kota Acragas apabila pertahanan kota itu telah ditinggalkan dalam keadaan yang tidak dibaiki. Golongan hamba lebih berhati-hati untuk menyasarkan golongan kaya yang kebanyakannya telah meninggalkan kelas bawahan. Disebabkan oleh jurang ekonomi yang besar di Sicily, ramai kelompok bawahan telah bergabung dengan Eunus sekali gus menjadikan bilangan penyokongnya bertambah ramai.

Sebulan kemudian, Praetor Rom yang bernama Lucius Hypsaeus telah dihantar bersama dengan 8,000 militia Sicily untuk mematahkan pemberontakan. Walaupun pengiriman Praetor itu merupakan bukti kesungguhan Rom untuk menamatkan pemberontakan, tetapi ia masih belum cukup. Pada masa ini, Eunus dan Cleon kini mempunyai kekuatan seramai 20,000 tentera. Tentera Rom yang membawa 8,000 militia ternyata tidak padan dengan lawan yang lebih ramai dan kuat sebelum ancaman daripada Rom itu berjaya ditangkis. Berikutan itu, pemberontakan terus tersebar ke seluruh pulau. Golongan hamba pula menguasai kota-kota penting dan bilangan mereka yang memihak kepada Eunus terus meningkat. Tiga orang Praetor dengan saiz kekuatan yang sama juga telah dihantar untuk menentang puak pemberontak tetapi balasannya ialah mereka semua ditewaskan. Kejayaan pemberontakan ini telah memberikan inspirasi kepada pemberontakan yang berlaku di wilayah Rom yang lain. Pemberontakan kecil telah bermula di Rom sendiri dan Greece walaupun kedua-duanya akhirnya berjaya dipatahkan sebelum ia terus membara.

Kemaraan Rom sunting

Pada tahun 133 SM, pemberontakan di Sicily masih lagi berlangsung. Jumlah bilangan hamba ini terus berkembang sehingga mencecah 60,000 orang. Mereka kini telah pun menguasai hampir semua kota penting di pulau dan bahkan mengeluarkan syiling mereka sendiri. Kemudian, Rom barulah mengambil keputusan untuk menggunakan ketenteraan yang diketuai oleh konsul Lucius Piso. Di bawah pimpinannya, Rom berjaya melakukan penguasaannya yang pertama selepas mereka menawan kota Morgantina. Tentera Rom membunuh 8,000 orang hamba dalam pertempuran itu dan menyalib tahanan perang dengan serta-merta. Peristiwa ini telah menandakan titik pusingan yang memihak kepada tuah Rom.

Pada tahun berikutnya, konsul yang lain bernama Publius Rupilius juga telah dihantar ke pulau Sicily. Rupilius memulakan kempen yang tiada belas kasihan untuk memadamkan pemberontakan. Pertama sekali, beliau telah mengepung kota Tauromenium dan memaksa pemberontak yang berada di dalam kota menggunakan satu-satunya jalan terakhir iaitu menjadi kanibal. Akhirnya, seorang hamba yang bernama Sarapion bertindak mengkhianati pemberontak yang lain dengan membuka pintu gerbang kota untuk tentera Rom. Rom terus menawan kota itu manakala hamba yang berada dalam kelaparan hanya memberikan sedikit tentangan. Rupilius mengarahkan semua pemberontak itu digulung, diseksa dan kemudian dicampak ke cenuram.

Berikutan itu, beliau berarak menuju ke ibu kota de facto milik pemberontak iaitu Enna. Rupilius sekali lagi bertindak mengepung kota itu yang menempatkan Cleon. Cleon sedar bahawa nasib yang akan menimpanya sama seperti kejadian yang berlaku di Tauromenium. Jadi, Cleon memutuskan untuk berperang di luar kota dengan membawa hati yang rela untuk terkorban di medan perang daripada mati kelaparan di dalam tembok kota. Beliau bertempur dengan penuh berani tetapi akhirnya terkorban. Jasadnya telah dibawa oleh Rupilius untuk ditunjukkan kepada pemberontak yang masih mempertahankan kota itu. Semangat juang pemberontak itu terus menjadi lemah sebaik melihat jasad pemimpin mereka yang telah mati. Sekali lagi, tentera Rom dapat menguasai kota Enna kerana pengkhianatan daripada pemberontak.

Eunus tidak memunculkan diri semasa pengepungan kota Enna. Namun setelah beliau mendengar berita kematian jeneralnya dan kejatuhan kota Enna, beliau segera melarikan diri bersama 1,000 orang pengikutnya ke kawasan pergunungan. Pada masa ini, hamba-hamba merasakan mereka akan menghampiri kekalahan. Taktik Rupilius yang kejam berhasil melumpuhkan semangat juang pemberontak. Pengikut-pengikut yang masih setia kepada Eunus tahu bahawa Rupilius akan meletakkan mereka sebagai sasaran yang seterusnya. Daripada berdepan dengan hukuman kejam Rupilius, hamba itu sebaliknya mengambil keputusan untuk memancung kepala mereka antara satu sama lain berbanding dibawa hidup-hidup. Semasa Rupilius tiba di kawasan pergunungan, beliau menemui Eunus bersama pengikutnya sedang bersembunyi di dalam gua. Pemimpin hamba itu kemudiannya diheret sebelum dipenjarakan. Walaupun Rom ada merancang untuk menyeksa dan menghukum Eunus sama seperti hukuman yang dikenakan ke atas hamba yang lain, Eunus meninggal dahulu di dalam penjara akibat sakit.

Pada tahun 131 SM, Rupilius meninggalkan Sicily dan tentera-tentera yang terpilih ditugaskan untuk menamatkan sisa-sisa pemberontakan. Selepas kematian Cleon dan Eunus, Perang Hamba Pertama akhirnya tamat. Secara keseluruhannya, peperangan ini telah merugikan Rom apabila menanggung angka korban tentera sebanyak 20,000 orang bersama dengan bilangan orang awam yang terkorban yang tidak diketahui. Sehingga titik ini, peristiwa ini merupakan pemberontakan hamba yang pertama dihadapi oleh Rom sebelum pemberontakan-pemberontakan lain datang menyusul.

Sumber sunting

  • Mommsen, Theodor, The History of Rome, Collins & Saunders edition, Meridin Books, 1958.
  • Beesely, A. H., The Gracchi, Marius, and Sulla Epochs of Ancient History, Kindle edition.
  • Arnold, History of Rome, Vol. III. pp. 317–318, London edition.
  • Shaw, Brent (2001). Spartacus and the Slave Wars: a brief history with documents. pp. 79–106.(at google books)
  • David Engels, Ein syrisches Sizilien? Seleukidische Aspekte des Ersten Sizilischen Sklavenkriegs und der Herrschaft des Eunus-Antiochos, in: Polifemo 11, 2011, p. 233–251.

Templat:Ancient Roman Wars