Perang Salib Pertama

Perang Salib Pertama dilancarkan oleh Paus Urban II pada tahun 1095 dengan dua matlamat; (1) membebaskan Baitulmaqdis dan Tanah Suci daripada kekuasaan orang Islam; dan (2) membebaskan orang Kristian Timur dari pemerintahan orang Islam. Perang ini bertitik tolak dari rayuan Maharaja Empayar Byzantine, Alexios I Komnenos untuk mendapatkan tentera upahan Barat bagi menentang bangsa Turki di Anatolia dan rayuan ini dengan pantas bertukar kepada perpindahan dan penaklukan wilayah besar-besaran oleh Barat di luar Eropah. Ramai kesatria dan petani dari pelbagai bangsa di Eropah Barat mengharungi daratan dan lautan menuju ke Baitulmaqdis. Mereka menakluki kota tersebut dalam bulan Julai tahun 1099 dan menubuhkan Kerajaan Baitulmaqdis dan negeri-negeri Salibi lain. Walaupun pencapaian ini hanya mampu bertahan kurang daripada 200 tahun, Perang Salib Pertama merupakan titik peralihan utama bagi perluasan kuasa Barat dan juga langkah pertama yang utama terhadap pembukaan semula perdagangan antara bangsa di Barat sejak kejatuhan Empayar Rom Barat.

Latar belakang sunting

Asal-usul Perang Salib amnya, dan Perang Salib Pertama khususnya, berpunca dari peristiwa-peristiwa yang berlaku lebih awal pada Zaman Pertengahan. Kejatuhan Empayar Carolingin pada kurun-kurun sebelumnya, ditambah pula dengan kestabilan perbatasan-perbatasan Eropah yang agak baik setelah pengkristianan bangsa Viking dan Maygar, telah menyebabkan kemunculan kelompok kesatria yang hanya asyik berperang sesama sendiri.

Sehingga awal kurun ke-8, Bani Umaiyyah dengan pantas menawan Afrika Utara, Mesir, Palestin, Syria, dan Sepanyol dari kekuasaan Empayar Byzantine yang beragama Kristian. Semasa kurun ke-9, Reconquista mengambil potensi ideologi yang dianggap sebagai contoh pertama bagi usaha bersama orang Kristian untuk menawan kembali wilayah yang dilihat sebagai jatuh ke tangan orang Islam, sebagai sebahagian usaha perluasan kerajaan Kristian sepanjang Teluk Biscay. Kerajaan-kerajaan bangsa Sepanyol, gerombolan-gerombolan kesatria dan tentera upahan mula berkerah dari seluruh Eropah untuk menentang Bani Umaiyyah yang masih wujud di Cordoba.

Kerajaan-kerajaan Islam lain yang muncul akibat kejatuhan Bani Umaiyyah pada kurun ke-8, seperti Bani Aghlabiyah, memasuki Itali pada kurun ke-9. Kerajaan Bani Kalb yang muncul di kawasan tersebut tetapi menjadi lemah akibat pergolakan dalaman, menjadi mangsa bangsa Norman yang menakluki Sicily pada tahun 1091. Pisa, Genoa dan Aragon mula memerangi kerajaan-kerajaan Islam lain untuk merebut penguasaan ke atas Mediterranean, seperti yang ditunjukkan oleh Kempen Mahdia serta pertempuran-pertempuran di Mallorca dan Sardinia.

Idea sebuah perang suci menentang orang Islam nampaknya dapat diterima oleh kuasa-kuasa sekular dan keagamaan Eropah Zaman Pertengahan, dan juga khalayak umum secara amnya, kerana beberapa alasan, seperti kejayaan-kejayaan ketenteraan oleh kerajaan-kerajaan Eropah sepanjang Mediterranean. Di samping itu, wujud konsep politik Dunia Kristian yang sedang bangkit yang menyaksikan penyatuan kerajaan-kerajaan Kristian di bawah seliaan Pope buat kali pertama (dalam Zaman Pertengahan) dan pembentukan sebuah ketumbukan tentera Kristian untuk memerangi orang Islam. Akhir sekali, Baitulmaqdis beserta dengan tanah-tanah di sekelilingnya termasuklah tempat-tempat Nabi Isa menjalani kehidupan baginda, adalah suci kepada orang-orang Islam dan Kristian.

Dalam tahun 1074, Paus Gregory VII membuat seruan milites Christi (askar-askar al-Masih) untuk pergi membantu Empayar Byzantine di Timur. Empayar Byzantium telah mengalami kekalahan teruk di tangan bangsa Turki Seljuk dalam Pertempuran Manzikert tiga tahun sebelumnya. Seruan ini, walaupun diabaikan malahan ditentang, yang ditambah dengan bilangan ziarah yang besar ke Tanah Suci pada kurun-11, memfokuskan perkara berkenaan perhatian kepada Timur. Gesaan rahib-rahib seperti Peter the Hermit dan Walter the Penniless yang menyebarkan cerita-cerita orang Islam mengganggu jemaah haji Kristian yang menziarahi Baitulmaqdis dan tapak-tapak suci lain, selanjutnya menyemarakkan lagi semangat Perang Salib. Pope Urban II adalah orang pertama yang menyebarkan idea Perang Salib untuk menawan Tanah Suci kepada khalayak umum. Sebaik sahaja selesai mendengar ucapan Urban II yang penuh dramatik dan rangsangan, para bangsawan dan paderi yang hadir mula melaungkan perkataan yang terkenal, Deus vult (Tuhan menghendakinya).

Keadaan Timur pada akhir kurun ke-11 sunting

 
Khilafah Bani Umayyah pada saat perluasan terbesarnya

Jiran terdekat Eropah Barat di tenggara adalah Empayar Byzantium, rakan seagama tetapi telah lama mengikuti mazhab Ortodoks. Di bawah pemerintahan Maharaja Alexios I Komnenos, empayar tersebut terbatas sehingga ke Eropah dan pantai barat Anatolia, dan menghadapi banyak musuh; bangsa Norman di barat dan bangsa Seljuk di timur. Jauh ke timur, Anatolia, Syria, Palestin, dan Mesir semuanya berada dalam kekuasaan orang Islam. Tetapi wilayah-wilayah ini berpecah-belah dalam politik, dan dalam sesetengah kes, budaya pada masa Perang Salib Pertama, yang pastinya menyumbang kepada kejayaan Perang Salib. Anatolia dan Syria dikuasai bangsa Seljuk yang bermazhab Sunnah, pada asalnya dalam sebuah empayar yang besar (Seljuk Raya) akan tetapi pada saat ini berpecah kepada negeri-negeri kecil. Alp Arslan telah menewaskan tentera Empayar Byzantium di Manzikert pada tahun 1071 dan menyerap masuk banyak kawasan di Anatolia ke dalam Seljuk Raya, akan tetapi empayar ini berpecah akibat perang saudara, dan setelah kematian Malik Shah I pada tahun 1092. Dalam Kesultanan Rum di Anatolia, Malik Shah diwarisi oleh Kilij Arslan I dan di Syria oleh saudaranya, Tutush I yang meninggal dunia pada tahun 1095. Putera-putera Tutush I, Ridhwan dan Duqaq masing-masing mewarisi Aleppo (Halab) dan Damsyik. Ini membahagi-bahagikan Syria di kalangan para amir yang saling berlawan antara satu sama lain, juga dengan Kerbogha, atabeg Mosul. Negeri-negeri ini lebih berminat untuk mengukuhkan wilayah-wilayah masing-masing dan mendapatkan penguasaan ke atas negeri-negeri jiran, berbanding saling bekerjasama menentang tentera Salib. Di kawasan lain dalam wilayah Seljuk, dinasti Artuqid menguasai barat daya Syria dan utara Mesopotamia. Mereka menguasai Baitulmaqdis sehingga tahun 1098. Di timur Anatolia dan utara Syria, sebuah negeri diasaskan oleh dinasti Danishmend, tentera upahan Seljuk. Tentera Salib tiada pertembungan bermakna dengan kedua-dua kumpulan ini hingga selepas Perang Salib. Puak Hashshashin juga mula menjadi penting dalam permasalahan Syria.

Ketika Palestin berada di bawah kekuasaan Empayar Parsi dan pemerintahan Islam awal, jemaah haji Kristian ke Tanah Suci pada umumnya dilayan dengan baik. Pemerintah Islam awal, Khalifah Umar ibn al-Khattab membenarkan orang Kristian melaksanakan upacara mereka. Pun begitu, bermula pada awal kurun ke-11 Khalifah Syiah Fatimiyyah di Mesir, al-Hakim bi Amrillah mula menganiaya orang Kristian Palestin dan membakar banyak bangunan Kristian. Pada tahun 1009, al-Hakim memusnahkan makam Kristian yang paling suci, Kuburan Suci (Holy Sepulcher). Al-Hakim akhirnya berlembut hati dan menghentikan pembunuhan dan pembakaran, sebaliknya mengenakan cukai tol ke atas jemaah haji Kristian yang mahu memasuki Baitulmaqdis. Namun begitu, tiba perkara terburuk. Sekumpulan orang Islam berbangsa Turki, orang Seljuk yang sangat kuat, agresif dan penganut Islam yang sangat tegas, mula mencapai kuasa. Orang Seljuk memandang jemaah haji Kristian dengan pandangan negatif sebagai kotor dan 'kasar' terhadap penganut Kristian Palestin. Cerita-cerita penganiayaan itu mula disaring kembali ke Dunia Kristian Latin; berbanding melemahkan semangat jemaah haji itu, ia membuatkan haji ke Tanah Suci menjadi lebih suci.

Mesir dan sebahagian besar Palestin dikuasai Kerajaan Syiah Fatimiyah yang kecil empayarnya sejak ketibaan kuasa Seljuk; Alexius I telah menasihati tentera Salib supaya bekerjasama dengan kerajaan Fatimiyah menentang musuh mereka yang sama, orang Seljuk. Pada ketika ini, kerajaan Fatimiyah yang diperintah oleh Al-Musta'li (kuasa sebenar dipegang oleh wazir Al-Afdal Shahanshah), kehilangan Baitulmaqdis ke tangan orang Seljuk pada tahun 1076, tetapi menawan kembali kota tersebut dari tangan orang Artuqid dalam tahun 1098 ketika tentera Salib dalam perjalanan. Pada mulanya, kerajaan Fatimiyah menganggap tentera Salib sebagai satu ancaman, hanya menganggap mereka dihantar oleh Byzantine dan mereka berpuas hati dengan penawanan Syria serta membiarkan Palestin bersendirian; kerajaan Fatimiyah tidak mengirim bala tentera menentang tentera Salib hinggalah tentera Salib itu sudah tiba di Baitulmaqdis.

Urutan peristiwa sunting

Persidangan Clermont sunting

Pada Mac 1095, Alexius I menghantar utusan ke Persidangan Piacenza untuk meminta bantuan Urban II menentang orang Turki. Permintaan maharaja itu mendapat jawapan yang menggalakkan daripada Urban yang berharap agar mengubati Perpecahan Besar 40 tahun sebelumnya dan menyatukan kembali gereja di bawah kekuasaan Pope sebagai "ketua bishop dan paderi ke atas seluruh dunia" (seperti yang dirujuknya terhadap dirinya sendiri di Clermont) dengan membantu gereja Timur pada masa mereka memerlukannya.

Persidangan Piacenza telah mengukuhkan kuasa pope di Itali semasa tempoh krisis pope (seramai lebih 3000 orang paderi dan lebih kurang 30 000 orang sukarelawan gereja menghadirkan diri; begitu juga dengan perwakilan-perwakilan Timur yang merayu 'bantuan Dunia Kristian menentang "orang kafir"'). Setelah matlamat Pope Urban II untuk mengukuhkan kuasanya di Itali tercapai, dia sekarang dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha menyeru dan mengambil tindakan untuk Perang Salib yang menjadi tujuan asal kehadiran perwakilan-perwakilan Timur dari Empayar Byzantine. Urban juga menyedari bahawa Itali bukanlah kawasan yang dapat "menyedari cetusan semangat keagamaan dengan panggilan Pope; seorang yang juga memiliki gelaran yang masih dipertikaikan". Gesaannya untuk memujuk "ramai orang supaya berjanji dengan bersumpah untuk membantu maharaja Byzantine dengan tulus hati sekadar kemampuan mereka dalam menentang penyembah berhala" hanya membuahkan hasil yang sedikit.

Di Persidangan Clermont, hadirin berkumpul di tengah-tengah Perancis pada 27 November 1095, Urban menyampaikan khutbah yang penuh perasaan kepada sekumpulan besar pendengar yang terdiri daripada bangsawan dan paderi Perancis. Dia mengajak para pendengar supaya merebut penguasaan Baitulmaqdis dari tangan orang Islam. Perancis, ujarnya, penuh sesak dan tanah Kan'an dilimpahi dengan susu dan madu. Dia bercakap mengenai masalah-masalah keganasan para bangsawan dan penyelesaiannya adalah dengan mengalihkan pedang kepada tugas Tuhan itu sendiri: "Biarkan para perompak menjadi kesatria". Dia bercakap mengenai ganjaran di dunia dan di langit, perlepasan daripada dosa ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang mati dalam perang ini. Urban menjanjikan perkara ini melalui kuasa Tuhan yang dikurniakan kepadanya. Orang ramai dipanaskan oleh keghairahan yang kegila-gilaan dan mengganggu ucapannya dengan teriakan 'Deus lo volt'! (Itu adalah kehendak Tuhan).

Khutbah Urban adalah antara ucapan-ucapan paling penting dalam sejarah Eropah. Terdapat banyak wersi yang dicatatkan, tetapi semuanya ditulis setelah Baitulmaqdis ditawan, dan sukar untuk dikenalpasti apa sebenarnya yang diperkatakan dan apa yang telah direka semula ekoran kejayaan perang salib pertama itu. Bagaimana pun, jelas bahawa gerak balas terhadap ucapan tersebut lebih besar daripada yang dijangkakan. Pada hujung 1095 dan awal 1096, Urban menyebarkan mesej tersebut ke seluruh Perancis, dan menggesa para biskop dan duta Vatikannya supaya menyampaikan mesej tersebut dalam kawasan keuskupan masing-masing di Perancis, Jerman dan Itali. Urban cuba melarang orang tertentu (wanita, rahib dan orang sakit) daripada menyertai perang salib, sebaliknya mendapati perkara ini hampir mustahil dilakukan. Kesudahannya majoriti mereka yang menyahut seruan tersebut bukanlah para kesatria, tetapi petani-petani yang miskin dan mempunyai sedikit kemahiran berperang, tetapi mereka yang berkeinginan millennialisme dan apokaliptisme mendapati kebebasan daripada tekanan harian dalam kehidupan mereka, dalam curahan perasaan satu kewarakan emosi dan perseorangan baru yang tidak mudah dimanfaatkan oleh gereja dan golongan aristokrat.

Perang Salib Orang Awam sunting

Urban merancang perlepasan tentera salib pada 15 Ogos 1096 (Pesta Kenaikan Maryam ke Langit), tetapi beberapa bulan sebelum itu sejumlah tentera petani yang tidak dijangkakan dan kesatria bawahan berkumpul dan bertolak ke Baitulmaqdis bersendirian. Mereka diketuai oleh seorang rahib berkarisma dan pemidato berpengaruh yang bernama Peter dari Amiens. Tindak balas adalah di luar jangkaan: ketika Urban menjangkakan beberapa ribu orang kesatria sahaja, kesudahannya seramai 100,000 menyertai pergerakan itu — namun begitu kebanyakannya adalah pejuang-pejuang yang tidak berkemahiran termasuklah wanita dan kanak-kanak.

Kekurangan disiplin tentera, dan dengan apa yang dilihat oleh para peserta sebagai tanah yang ganjil dengan adat resam yang ganjil, tentera-tentera Salib pertama dengan segera menjejakkan kaki di wilayah Kristian dalam keadaan diselubungi kesulitan. Masalah yang dihadapi mereka adalah bekalan dan juga budaya: orang ramai perlukan makanan dan bekalan, dan mereka menjangkakan bandar-bandar tuan rumah akan memberi kepada mereka makanan dan bekalan — atau sekurang-kurangnya menjual kepada mereka dengan harga yang berpatutan. Kerana mereka terlalu awal meninggalkan Eropah Barat, mereka terlepas penuaian besar-besaran musim bunga ketika itu, disambung pula dengan tahun-tahun kemarau dan hasil tuaian yang buruk. Malang bagi tentera Salib, penduduk tempatan tidak selalunya bersetuju, dan ini dengan cepat membawa kepada pertelagahan dan pertempuran kecil. Dalam perjalanan menyusuri Sungai Danube, para pengikut Peter menjarah wilayah Bulgaria dan telah diserang oleh orang-orang Hungary, Bulgaria dan malahan tentera Byzantine dekat Nish. Hampir seperempat daripada pengikut Peter terbunuh, tetapi yang lainnya tiba di Constantinople dalam bulan Ogos. Constantinople adalah bandar besar di Eropah pada masa itu, tetapi "tentera" Peter juga amat besar bilangannya, dan perbezaan budaya serta keengganan untuk menyalurkan bekalan kepada orang-orang yang sebegitu besar jumlahnya membawa kepada ketegangan. Selanjutnya di Constantinople, para pengikut Peter bukanlah satu-satunya kumpulan tentera Salib - mereka menyertai tentera-tentera Salib lain dari Perancis dan Itali. Alexius yang tidak tahu apa patut dibuat lagi terhadap tentera (asing) yang besar dan ganjil itu, dengan pantas mengangkut mereka merentasi Selat Bosporus.

Setelah merentasi Asia Kecil, tentera Salib mula bertelagah dan pasukan tentera itu berpecah kepada dua kem berasingan. Orang Turki berpengalaman, cerdik dan mempunyai pengetahun tempatan; kebanyakan tentera Perang Salib Orang Awam - sekelompok pejuang amatur dan wanita tidak bersenjata - telah dibunuh beramai-ramai sebaik sahaja memasuki wilayah Seljuk. Bagaimana pun, Peter terselamat dan kemudiannya menyertai pasukan utama tentera Salib. Pasukan tentera lain yang terdiri daripada orang Bohemia dan Saxon tidak sempat melepasi Hungary sebelum ia bercerai-berai.

Perang Salib Jerman sunting

Fail:FirstCrusade.jpg
Ilustrasi Bible Perancis (1250) yang menggambarkan orang Yahudi (ditandai dengan Judenhut) dibunuh beramai-ramai oleh tentera Salib

Perang Salib Pertama telah menyalakan tradisi panjang keganasan terancang terhadap orang Yahudi dalam budaya Eropah. Ketika mana anti-Semitisme telah wujud di Eropah berabad-abad lamanya, Perang Salib Pertama menandakan keganasan terancang besar-besaran pertama terhadap masyarakat Yahudi. Di Jerman, pemimpin-pemimpin tertentu memahami perang terhadap orang kafir ini dapat digunapakai tidak sahaja kepada orang Islam di Tanah Suci, malah juga kepada orang Yahudi di tanahair mereka. Bertolak pada awal musim panas tahun 1096, sepasukan tentera Jerman dengan bilangan sekitar 10,000 orang askar yang diketuai oleh Gottschalk, Volkmar, dan Emicho mara ke arah utara melalui lembah Sungai Rhine, berlawan arah dengan Baitulmaqdis, dan memulakan satu siri progrom yang disebut sesetengah sejarawan sebagai "Holocaust pertama".[1] Bagaimana pun, pemahaman idea perang salib ini tidak bersifat universal, dan orang Yahudi menerima perlindungan di tempat-tempat suaka, sebagai contohnya cubaan Ketua Biskop Cologne untuk melindungi orang Yahudi bandar tersebut daripada disembelih oleh penduduk bandar tersebut.

Anjuran perang salib mengilhamkan lagi anti-Semitisme. Menurut beberapa pengajar, orang Yahudi dan Islam adalah musuh al-Masih, serta musuh yang perlu diperangi atau dipaksa memeluk agama Kristian. Orang ramai nampaknya menganggap bahawa "memerangi" bererti "memerangi sehingga mati", atau "membunuh". Penaklukan Baitulmaqdis oleh orang Kristian dan penubuhan maharaja Kristian di situ dikatakan akan memulakan Hari Kiamat, semasa orang Yahudi dikatakan akan memeluk agama Kristian. Di beberapa tempat di Perancis dan Jerman, orang Yahudi dituduh bertanggungjawab terhadap penyaliban Jesus, dan mereka lebih segera kelihatan berbanding orang Islam yang berada nun jauh di sana. Ramai orang tertanya-tanya mengapa mereka perlu mengembara ribuan batu semata-mata untuk memerangi orang yang tidak beriman walhal ada orang yang tidak beriman di tanahair mereka sendiri.

Tentera salib bergerak ke utara melalui lembah Rhine masuk ke dalam masyarakat-masyarakat Yahudi yang dikenali ramai seperti di Cologne, dan kemudian ke arah selatan. Masyarakat Yahudi diberi pilihan samada memeluk agama Kristian atau akan disembelih. Kebanyakan mereka tidak memeluk agama Kristian dan, apabila berita pembunuhan beramai-ramai tersebar luas, banyak masyarakat Yahudi melaksanakan pembunuhan diri beramai-ramai dalam pemandangan yang mengerikan. Ribuan orang Yahudi dibunuh beramai-ramai, di sebalik beberapa cubaan oleh pendeta Kristian dan pihak berkuasa sekular tempatan untuk memberi perlindungan kepada mereka. Pembunuhan beramai-ramai itu dihalalkan oleh dakwaan bahawa ucapan Urban di Clermont menjanjikan balasan ganjaran daripada Tuhan atas pembunuhan orang bukan Kristian tanpa mengira kelompok, bukan sahaja orang Islam. Walaupun pihak Pope membenci dan menganjurkan pembersihan penduduk Islam dan Yahudi semasa perang salib ini dan akan datang, terdapat banyak serangan ke atas orang Yahudi pada setiap gerakan perang salib.

Perang Salib Pengiran/Bangsawan sunting

 
Laluan pemimpin-pemimpin Perang Salib Pertama

Perang Salib Pengiran, juga dikenali sebagai Perang Salib Baron, dilancarkan kemudian pada tahun 1096 dalam bentuk yang lebih terancang dan dipimpin oleh pelbagai bangsawan beserta pasukan-pasukan kesatria dari pelbagai kawasan di Eropah. Empat buah pasukan yang paling nyata di kalangan mereka ini ialah Raymond IV dari Toulouse yang mewakili kesatria-kesatria dari Provence, dan ditemani oleh duta Vatikan, Adhemar dari Le Puy; Bohemond dari Taranto yang mewakili bangsa Norman dari selatan Itali bersama anak saudaranya, Tancred; orang Lorraine di bawah pimpinan Godfrey adik beradik, Eustace dan Baldwin dari Boulogne; orang Perancis utara pimpinan Count Robert II dari Flanders, Robert dari Normandy (abang Raja William II dari England), Stephen, Count Blois, dan Hugh dari Vermandois (adik Raja Philip I dari Perancis) yang membawa panji-panji Pope[2]. Raja Philip sendiri dilarang menyertai kempen itu kerana dia telah dikucilkan oleh gereja (excommunication).

Berarak ke Baitulmaqdis sunting

Meninggalkan Eropah sekitar waktu yang ditetapkan dalam bulan Ogos, pelbagai pasukan tentera itu mengambil pelbagai laluan berbeza ke Constantinople dan berkumpul di luar dinding bandar itu antara November 1096 dan Mei 1097, dua bulan selepas penghancuran pasukan tentera Perang Salib Orang Awam oleh orang-orang Turki. Menemani para kesatria ini adalah orang-orang miskin yang mampu menyediakan pakaian asasi dan mungkin senjata lama. Peter Si Pertapa yang menyertai Perang Salib Pengiran di Constantinople dianggap bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka, dan mereka mampu mengatur diri mereka sendiri ke dalam kumpulan-kumpulan kecil, mungkin seakan-akan ketumbukan tentera, yang kerap kali dipimpin oleh seorang kesatria yang jatuh miskin. Salah satu pasukan terbesar di kalangan tentera-tentera ini yang terdiri daripada mereka yang terselamat semasa Perang Salib Orang Awam menamakan diri sebagai "pasukan Tafur".

Para pengiran tiba di Constantinople dengan bekalan makanan yang sedikit dan bantuan daripada Alexius I. Alexius sememangnya difahami berasa sangsi selepas merasai pengalaman Perang Salib Orang Awam, dan juga kerana para kesatria itu terdiri daripada musuh lamanya orang Norman, Bohemond. Pada masa yang sama, Alexius meletakkan harapannya untuk mengawal tentera-tentera salib itu yang dilihatnya mempunyai berpotensi untuk berfungsi sebagai proksi Byzantine.

Oleh itu, sebagai balasan untuk makanan dan bekalan, Alexius meminta para pemimpin itu supaya bersumpah taat setia kepadanya dan berjanji untuk memulangkan sebarang kawasan yang ditawan kembali daripada orang Turki kepada Empayar Byzantine. Tanpa makanan atau bekalan, mereka akhirnya tiada pilihan selain membuat ikrar tersebut, walaupun mereka tidak berbuat demikian sehinggalah semua pihak bersetuju untuk bertolak ansur, dan hanya setelah pertempuran hampir meletus di luar bandar. Hanya Raymond yang mengelak bersumpah, dengan pintar mencagarkan dirinya sendiri kepada Alexius jika maharaja itu sendiri akan memimpin perang salib. Alexius menolak, tetapi kedua-dua mereka menjadi sekutu yang berkongsi ketidakpercayaan yang sama terhadap Bohemond.

 
Empayar Byzantine sebelum Perang Salib Pertama
 
Empayar Byzantine dan negeri-negeri Salibi selepas Perang Salib Pertama

Alexius bersetuju untuk mengirim sepasukan tentera Byzantine di bawah perintah Taticius untuk menemani tentera salib merentasi Asia Kecil. Matlamat pertama mereka ialah Nicea, sebuah bandar lama Byzantine, tetapi kini telah menjadi ibukota Kesultanan Rum Seljuk di bawah pemerintahan Kilij Arslan I. Bandar itu tertakluk kepada pengepungan yang panjang, yang agak kurang berkesan kerana tentera salib tidak dapat menyekat tasik di tempat bandar itu terletak dan menjadi sumber bekalan bagi bandar itu. Dari sebelah luar bandar itu, Arslan menasihatkan garison bandar supaya menyerah kalah sekiranya mereka tidak mampu bertahan lagi. Alexius yang khuatir sekiranya tentera salib akan menjarah Nicea dan memusnahkan kekayaannya, secara rahsia menerima penyerahan diri bandar itu; tentera salib yang bangun pada pagi 19 Jun 1097 hanya mampu menyaksikan panji-panji Byzantine berkibar di atas tembok kota. Tentera salib dilarang menjarah bandar itu, dan tidak dibenarkan masuk ke dalamnya kecuali dalam pasukan kecil yang diiring. Ini menyebabkan lagi perselisihan antara Byzantine dan tentera salib. Tentera salib kini memulakan perjalanan ke Baitulmaqdis. Stephen dari Bolis menulis kepada tanahairnya, menyatakan bahawa dia percaya perjalanan itu akan memakan masa selama lima minggu. Hakikatnya, perjalanan itu mengambil masa selama dua tahun.

Tentera salib yang masih ditemani oleh beberapa askar di bawah perintah Ttaicius, berarak ke Dorylaeum, tempat Bohemond diperangkap oleh Kilij Arslan. Dalam Pertempuran Dorylaeum pada 1 Julai, Godfrey memecah masuk barisan tentera Turki, dan dengan bantuan askar-askar yang dipimpin oleh Adhemar, menewaskan orang Turki dan menjarah kem mereka. Kilij Arslan berundur dan tentera salib berarak hampir tanpa tentangan melalui Asia Kecil menuju ke Antioch, kecuali satu pertempuran pada September yang dalam pertempuran itu mereka sekali lagi menewaskan orang Turki. Sepanjang jalan, tentera salib dapat menawan sejumlah bandar seperti Sozopolis, Iconium dan Caesarea walaupun kebanyakan bandar ini jatuh kembali ke tangan orang Turki pada tahun 1101.[3]

Perarakan melalui Asia ini tidak menyenangkan. Ketika itu adalah di tengah-tengah musim panas dan tentera salib mempunyai hanya sedikit bekalan makanan dan air; ramai yang mati, begitu juga dengan kuda-kuda. Orang Kristian di Asia seperti di Eropah, kadang kala memberi makanan dan wang, tetapi kerap kali tentera salib menjarah dan merompak setiap kali berpeluang. Pemimpin-pemimpin perseorangan terus bertelagah mengenai kuasa pimpinan keseluruhan, walaupun tiada seorang pun daripada mereka yang cukup berkuasa untuk memberi arahan; pun begitu, Adhemar selalu diiktiraf sebagai pemimpin kerohanian. Setelah melepasi Pintu Gerbang Cilicia, Baldwin dari Boulogne bertolak dengan diri sendiri menuju ke kawasan orang Armenia di sekitar Sungai Furat. Di Edessa pada awal tahun 1098, dia diambil angkat sebagai pewaris oleh Raja Thoros, pemerintah Ortodoks Yunani yang tidak disukai rakyatnya yang berbangsa Armenia. Tidak lama kemudian Thoros dibunuh dan Baldwin menjadi pemerintah baru, dengan itu membentuk Wilayah Edessa, negeri Salibi pertama.

Pengepungan Antioch sunting

 
Adhémar de Monteil yang memakai topi biskop sedang membawa Tombak Suci dalam satu pertempuran semasa Perang Salib Pertama

Sementara pasukan tentera salib mara ke Antioch yang terletak lebih kurang setengah jalan antara Constantinople dan Baitulmaqdis. Mereka tiba pada Oktober 1097 dan mengepungnya selama hampir lapan bulan, semasa tempoh mereka juga perlu menewaskan dua buah pasukan tentera bantuan yang besar di bawah pimpinan Duqaq dari Damsyik dan Ridwan dari Aleppo. Antioch sangat besar sehinggakan tentera salib tidak mempunyai askar yang cukup untuk mengepung keseluruhannya, dan dengan itu ia mampu bertahan menerima bekalan separa. Apabila pengepungan itu berlarutan, jelas bahawa Bohemond mahukan bandar itu untuk dirinya sendiri.

Pada Mei 1098, Kerbogha dari Mosul mendekati Antioch untuk memecahkan pengepungan itu. Bohemond merasuah seorang pengawal bandar itu yang berbangsa Armenia supaya menyerahkan menara kawalannya, dan pada Jun tentera salib memasuki bandar itu dan membunuh hampir kesemua penghuninya. Bagaimana pun, beberapa hari kemudian orang Islam tiba dan melancarkan pengepungan ke atas bekas para pengepung itu. Pada saat ini seorang rahib biasa bernama Peter Bartholomew]] telah mendakwa bahawa dia telah menemui Tombak Suci di dalam bandar itu, dan walaupun sebahagiannya berasa sangsi, ini telah dilihat sebagai satu petanda bahawa mereka akan menang.

 
Bohemond dari Taranto secara bersendirian memanjat baluarti Antioch, dalam turisan oleh Gustave Doré.

Pada 28 Jun, tentera salib menewaskan Kerbogha dalam satu pertempuran sengit di luar kota, kerana Kerbogha tidak mampu lagi menyusun atur pelbagai puak dalam pasukan tenteranya. Ketika tentera salib sedang mara kepada orang Islam, seksyen Fatimiyah dalam pasukan tentera itu meninggalkan kontigen Turki itu kerana mereka bimbang Kerbogha akan menjadi terlalu berkuasa sekiranya dia berjaya menewaskan tentera salib. Menurut lagenda, sepasukan tentera wali-wali Kristian datang membantu tentera salib semasa pertempuran dan memporak-perandakan pasukan tentera Kerbogha.

Bohemond berhujah bahawa Alexius telah meninggalkan tentera salib dan dengan itu membatalkan semua sumpah setia mereka kepadanya. Bohemond mempertahankan tuntutannya ke atas Antioch, tetapi tidak semua bersetuju, terutamanya Raymond dari Toulouse, dan perang salib ditangguhkan selama sepanjang tahun itu manakala para bangsawan bertelagah sesama sendiri. Menjadi anggapan historiografi yang umum bahawa tentera Frank dari utara Perancis, tentera Provence dari selatan Perancis dan tentera Norman dari selatan Itali menganggap diri mereka adalah "bangsa-bangsa" berasingan dan bahawa masing-masing mahu menaikkan status masing-masing. Ini mungkin berkaitan dengan pertelagahan itu, tetapi keinginan perseorangan sahaja nampaknya yang dipersalahkan.

Sementara itu, satu wabak (berkemungkinan tifus) telah melanda dan membunuh ramai orang termasuklah Adhemar. Sekarang bilangan tentera lebih kecil daripada kuda berbanding sebelum ini, dan petani-petani Islam enggan memberi makanan kepada mereka. Pada Disember, penawanan bandar Arab Ma'arrat al-Numan pun berlaku, dan dengannya terjadi insiden kanibalisme oleh tentera salib yang pertama diketahui. Askar-askar dan kesatria bawahan kekurangan rehat dan mengancam untuk terus ke Baitulmaqdis tanpa ketua-ketua mereka yang sering bergaduh. Akhirnya, pada awal tahun 1099, perbarisan itu diperbaharui dengan meninggalkan Bohemond di belakang sebagai penguasa Antioch yang pertama.

Pengepungan Baitulmaqdis sunting

Sambil mara ke pantai Mediterranean, tentera salib hanya menerima sedikit tentangan, kerana pemerintah-pemerintah tempatan lebih suka membuat perjanjian damai dengan mereka dan memberi mereka bekalan berbanding melawan. Pada 7 Jun tentera salib sampai di Baitulmaqdis yang ditawan kembali daripada orang Seljuk oleh kerajaan Fatimiyyah Mesir setahun yang lalu. Ramai tentera salib menangis apabila memandang kota yang disebabkannya mereka telah membuat perjalanan yang begitu panjang untuk sampai.

Seperti di Antioch, tentera salib membuat pengepungan panjang ke atas kota ini yang di situ tentera salib menderita banyak kesusahan disebabkan kekurangan makanan dan air di sekitar Baitulmaqdis. Daripada 7,000 orang kesatria yang mengambil bahagian dalam Perang Salib Pengiran, hanya 1,500 orang yang tinggal. Berdepan dengan tugasan yang kelihatannya mustahil, moral mereka meningkat apabila seorang paderi bernama Peter Desiderius, telah mendakwa mempunyai mimpi ilahi yang menyuruh mereka supaya berpuasa dan kemudian mara dalam perarakan sambil berkaki ayam di sekeliling dinding kota itu, yang akan jatuh ke tangan mereka selepas sembilan hari, menurut contoh Joshua dalam Bible semasa mengepung Jericho. Pada 8 Julai 1099, tentera salib melaksanakan perarakan seperti yang diarahkan Desiderius. Askar-askar Genoa yang dipimpin oleh komander Guglielmo Embriaco mencerai-beraikan kapal-kapal yang dinaiki orang Genoa untuk datang ke Tanah Suci sebelumnya; Embriaco menggunakan kayu kapal-kapal itu untuk membina beberapa menara-menara pengepung dan tujuh hari kemudian pada 15 Julai, tentera salib dapat mengakhiri pengepungan itu dengan memecahkan bahagian-bahagian dinding dan masuk ke dalam kota itu. Sesetengah tentera salib juga masuk melalui pintu masuk jemaah haji terdahulu.

Sepanjang tengahari dan petang hari itu serta pagi keesokannya, tentera salib membunuh hampir keseluruhan penghuni Baitulmaqdis. Orang Islam, Yahudi dan malahan orang Kristian Timur semuanya dibunuh beramai-beramai. Walaupun ramai orang Islam mencari perlindungan di Masjid al-Aqsa dan orang Yahudi di sinagog mereka di Tembok Barat, tentera salib hanya membiarkan sedikit sahaja yang hidup. Menurut Gesta Francorum yang tidak diketahui penulisnya, yang dipercayai sesetengah orang sebagai laporan yang dibesar-besarkan mengenai pembunuhan beramai-ramai itu yang kemudiannya berlaku di situ, "...penyembelihan itu sangat hebat sehinggakan orang-orang kita mengharungi lautan darah sehingga ke takat buku lali mereka..."[4]. Laporan-laporan lain mengenai darah yang mengalir sehingga ke takat kekang kuda ialah kenangan satu petikan daripada Book of Revelation (14:20). Tancred menuntut hak Temple of Mount untuk dirinya sendiri dan menawarkan perlindungan kepada sebahagian orang Islam di situ, namun dia tidak mampu menghalang kematian mereka di tangan konco-konco tentera salibnya. Menurut Fulcher dari Chartres: "Sememangnya, jika kamu berada di sana kamu akan menyaksikan kaki kami diwarnai dengan darah mereka yang dibunuh sehingga ke buku lali. Tetapi apa yang saya dapat ceritakan lagi? Tiada seorang pun daripada mereka yang dibiarkan hidup; tiada wanita mahupun kanak-kanak dibiarkan hidup".[5]

Bagaimana pun, Gesta Francorum menyatakan bahawa sesetengah penduduk berupaya menyelamatkan diri daripada pengepungan dengan selamat. Penulisnya menulis, "Apabila orang jahiliyah itu (yakni orang Islam) telah dapat ditundukkan, orang-orang kita menawan sejumlah yang besar, lelaki dan wanita, samada membunuh mereka atau menjadikan mereka sebagai tawanan perang, menurut suka hati mereka".[6] Kemudian, tertulis, "Para pemimpin kami juga mengarahkan semua mayat Saracen dilempar ke luar kota disebabkan bau busuk yang amat sangat, kerana keseluruhan kota dipenuhi dengan mayat-mayat mereka; dan orang Saracen yang masih hidup dipaksa mengheret mayat-mayat sehingga pintu keluar gerbang kota dan menyusun mereka secara longgokan, seolah-seolah rumah. Tiada seorang pun yang pernah menyaksikan atau mendengar penyembelihan orang jahiliyah itu (yakni orang Islam) sebegitu, kerana unggun bakar mayat dibentuk daripada mereka seperti piramid, dan tiada seorang pun yang mengetahui bilangan mereka kecuali Tuhan sendiri".[7]

 
Godfrey dari Bouillon sebagai Pelindung Baitulmaqdis. Gelaran rasminya ialah Advocatus Sancti Sepulchri (Pelindung Kuburan Suci)

Raymond dari Toulouse ditawarkan dengan hak kerajaan Baitulmaqdis namun dia menolak sambil berkata bahawa dia tidak akan memakai "mahkota emas" di tempat al-Masih telah memakai "mahkota duri". Dalam beberapa selepas pembunuhan beramai-ramai itu, Godfrey dari Bouillon dilantik sebagai Advocatus Sancti Sepulchri (Pelindung Kuburan Suci). Dalam aksi terakhir perang salib ini, dia memimpin sepasukan tentera yang menewaskan sepasukan tentera Fatimiyyah yang datang menyerang semasa Pertempuran Ascalon. Godfrey meninggal dunia pada Julai 1100 dan digantikan oleh adik lelakinya Baldwin dari Edessa yang mengambil gelaran Raja Baitulmaqdis.

Perang Salib Tahun 1101 dan penubuhan kerajaan Baitulmaqdis sunting

Dengan penawanan Baitulmaqdis dan Kuburan Suci, ikrar perang salib kini telah dipenuhi. Bagaimana pun, terdapat ramai yang pulang ke kampung halaman sebelum sempat sampai di Baitulmaqdis, dan ramai juga yang tidak pernah meninggal Eropah sama sekali. Apabila kejayaan perang salib ini diketahui, mereka ini dipersenda-senda dan dicemuh oleh keluarga mereka dan diancam dengan kucilan daripada gereja oleh para pendeta. Ramai tentera salib yang kekal bersama dengan perang salib sepanjang jalan ke Baitulmaqdis juga pulang ke kampung halaman; menurut Fulcher dari Chartres, hanya ratusan orang kesatria yang tinggal dalam kerajaan yang baru ditubuhkan itu pada tahun 1101. Pada tahun 1101, satu lagi perang salib dilancarkan, termasuklah Stephen dari Blois dan Hugh dari Vermandois, kedua-duanya pulang ke kampung halaman sebelum sempat sampai di Baitulmaqdis. Perang salib ini hampir-hampir digagalkan oleh orang Seljuk di Asia Kecil, tetapi mereka yang terselamat membantu memperkukuhkan kerajaan Baitulmaqdis apabila mereka tiba di kota tersebut. Pada tahun-tahun berikutnya, bantuan juga disediakan oleh pedagang-pedagang Itali yang menempatkan diri sendiri di pelabuhan-pelabuhan Syria, dan dari order-order keagamaan dan ketenteraan seperti Knights Templar dan Knights Hospitaller yang dicipta semasa era pemerintahan Baldwin I.

Analisis Perang Salib Pertama sunting

Kesan sunting

Kejayaan Perang Salib Pertama adalah luar biasa. Kestabilan yang baru dicapai di Barat meninggalkan lapisan aristokrat pahlawan dalam mencari penaklukan dan patrimoni baru, dan kemakmuran baru di bandar-bandar utama juga bermakna bahawa wang tersedia untuk membiayai ekspedisi-ekspedisi. Negara-negara kota maritim Itali, khususnya Venice dan Genoa, berminat dalam perluasan perdagangan. Pihak Pope melihat perang salib sebagai satu cara untuk mengukuhkan pengaruh Katolik sebagai kuasa penyatu, dengan peperangan sebagai satu misi agama. Ini merupakan satu sikap baru terhadap agama: ia membawa disiplin agama yang dahulunya terpakai hanya kepada para rahib, kepada ketenteraan—konsep baru mengenai pahlawan keagamaan dan etika kesatriaan.

Perang Salib Pertama berjaya menubuhkan "negeri-negeri Salibi" seperti Wilayah Edessa, Wilayah Antioch, Kerajaan Baitulmaqdis dan Wilayah Tripoli di Palestin dan Syria.

Berbalik ke kampung halaman di Eropah Barat, mereka yang selamat sampai di Baitulmaqdis telah dilayan sebagai hero. Robert dari Flanders telah diberi nama timangan "Hierosolymitanus" kerana kehandalannya. Riwayat hidup Godfrey dari Bouillon menjadi lagenda hanya beberapa tahun selepas kematiannya. Dalam sesetengah kes, situasi politik di kampung halaman parah dengan teruk akibat ketiadaan tentera salib: ketika Robert Curthose berada di luar, England diserahkan kepada adiknya Henry I dari England, dan konflik mereka mengakibatkan Pertempuran Tinchebrai pada tahun 1106.

Sementara itu, penubuhan negeri-negeri Salibi di Timur membantu mengurangan tekanan Seljuk ke atas Empayar Byzantine yang memperoleh semula sebahagian daripada wilayah Anatolianya dengan bantuan tentera salib dan menikmati satu tempoh yang agak aman dan makmur pada kurun ke-12. Kesan terhadap dinasti-dinasti Islam di Timur adalah beransur-ansur tetapi penting. Ekoran daripada kematian Malik Shah I pada tahun 1092, ketidakstabilan politik dan perpecahan Seljuk Raya yang dahulunya telah memaksa Byzantine meminta bantuan daripada Pope, telah melemahkan pertahanan yang koheren daripada seranga negeri-negeri Latin yang agresif. Kerjasama antara mereka kekal sukar buat beberapa dekad, tetapi dari Mesir hingga ke Syria dan Baghdad terdapat seruan-seruan bagi pengusiran tentera salib yang memuncak dengan penawanan semula Baitulmaqdis di bawah Salahuddin al-Ayyubi kemudiannya dalam kurun apabila Bani Ayyub menyatukan kawasan-kawasan sekeliling.

Sebab-sebab Pope Urban II membuat seruan Perang Salib di Tanah Suci ialah untuk mendapatkan semula kekuasaan rohani agung pihak Pope di dunia Kristian Latin sambil meluaskan kuasa realpolitiknya. Dia gagal untuk merapatkan jurang perpecahan yang semakin membarah antara gereja Timur dan Barat serta secara tidak sengaja, dengan penjarahan Constantinople semasa perang-perang salib terkemudian, sebenarnya telah memperkuatkan lagi perpecahan itu. Perang Salib juga secara ketenteraan telah membantu Empayar Byzantine yang semakin lemah itu dengan menangkis ancaman Seljuk yang semakin bertambah dari Tanah Suci dan membentuk kerajaan-kerajaan perseorangan kecil.

Rombongan-rombongan haji sunting

Walaupun perang ini dipanggil sebagai Perang Salib Pertama, tiada seorang pun yang melihat diri sendiri sebagai seorang "tentera salib". Istilah perang salib ialah istilah awal kurun ke-13 yang pertama kali muncul di Latin lebih daripada 100 tahun selepas Perang Salib Pertama. Tentera salib sendiri tidak melihat diri mereka sebagai golongan pertama, kerana mereka tidak tahu bahawa akan ada lagi perang salib sesudah itu. Mereka hanya melihat diri mereka sebagai jemaah haji (pilgrim, peregrinatores) yang berada dalam satu perjalanan (iter), dan dirujuk sebegitu dalam laporan-laporan sezaman.

Janji setia kepada gereja untuk menyempurnakan perjalanan itu, dan hukuman pengucilan jika seseorang gagal untuk berbuat demikian adalah faktor-faktor kuat pelaksanan perang salib sebagai ibadat haji rasmi. Tentera salib bersumpah bahawa perjalanan mereka hanya akan sempurna apabila mereka menjejakkan kaki di dalam Kuburan Suci di Baitulmaqdis. Ibadat haji terbuka kepada semua orang yang ingin mengambil bahagian, oleh itu calon-calon yang tidak berkeinginan, wanita-wanita, golongan tua dan tidak berdaya tidak digalakkan untuk menyertai namun tiada cara untuk menghalang mereka.

Populariti Perang Salib sunting

Perang Salib telah menarik perhatian bilangan terbesar petani-petani dan apa yang bermula sebagai seruan kecil bagi bantuan ketenteraan berubah kepada perpindahan besar-besaran orang awam. Seruan pergi menyertai perang salib adalah sangat popular. Dua buah peranan zaman pertengahan, pahlawan suci dan pehaji, bergabung menjadi satu. Seperti seorang pahlawan suci berjuang dalam perang suci, seseorang akan membawa senjata dan berjuang demi Gereja dengan faedah-faedah rohaninya termasuklah hak istimewa memperolehi surat pengampunan atau kesyahidan sekiranya seseorang terkorban dalam pertempuran.

Sama seperti seorang pehaji yang dalam ibadat haji, seorang tentera salib berhak menerima layanan baik dan perlindungan perseorangan bagi diri dan harta oleh pihak Gereja. Faedah-faedah surat pengampunan adalah dua, bagi berjuang sebagai seorang perwira Gereja dan berkelana sebagai pehaji. Oleh itu, surat pengampunan dapat diberikan tidak kira samada seseorang itu masih hidup atau telah mati. Namun perang salib bukanlah surat pengampunan pada erti kata Zaman Pertengahan, surat-surat pengampunan Zaman Pertengahan dijualbeli. Perang salib bukan satu penyelesaian mudah bagi dosa-dosa tetapi satu bentuk keinsafan kerana ia ditunaikan secara sukarela dan merupakan sejenis hukuman paksa diri. Perbezaan genting ini mengasingkan surat pengampunan Zaman Pertengahan dan idea asal perang salib.

Di samping itu, terdapat kewajipan-kewajipan feudal disebabkan ramai tentera salib pergi berperang kerana mereka dikehendaki berbuat demikian oleh tuan mereka. Golongan miskin mencari panduan daripada kaum bangsawan tempatan dan jika seorang aristokrat yang berpengaruh dapat menggerakkan orang lain untuk menyertai perang itu. Hubungan dengan seorang pemimpin yang kaya dapat membantu petani biasa untuk menyumbang dan memperolehi sedikit perlindungan semasa perjalanan, tidak seperti mereka yang menunaikan ikrar secara bersendirian. Terdapat juga kewajipan keluarga, dengan ramai orang menyertai perang salib untuk menyokong kaum kerabat yang juga membuat ikrar perang salib. Sebahagian kaum bangsawan termasuklah beberapa orang raja dan pewaris takhta yang dilarang menyertai disebabkan kedudukan mereka. Semua faktor ini telah menggerakkan orang-orang yang berbeza untuk sebab-sebab yang berbeza-beza dan menyumbang pada populariti perang salib.

Ganjaran kerohanian/akhirat lawan ganjaran kebendaan/dunia sunting

Seruan kepada perang salib datang pada masa ketika tahun-tahun hasil tuaian yang baik yang telah meningkatkan populasi Eropah Barat menyebabkan pasukan tentera dunia Kristian yang lebih besar memulakan penaklukan semula dan perang salib ini. Walau bagaimana pun, tarikan untuk mencuba hidup baru di Timur yang jauh lebih menjanjikan kejayaan menyebabkan ramai orang meninggalkan tanah mereka. Populasi yang semakin berkembang bererti bahawa Eropah bukan lagi sebuah tempat yang dapat menyediakan peluang besar sama sekali dan kebarangkalian untuk memperolehi sesuatu samada yang berbentuk rohani, politik atau ekonomi menggoda ramai peserta.

Rujukan sunting

Nota kaki sunting

Sumber primer sunting

Sumber primer online sunting

Sumber sekunder sunting

Bibliografi sunting

  1. ^ Riley-Smith, Jonathan, The First Crusade and the Idea of Crusading, 1986, p. 50.
  2. ^ God's War - Christopher Tyerman
  3. ^ Parker, Geoffrey. Compact History of the World. 4th ed. London: Times Books, 2005. 48-49.
  4. ^ Fulcher of Chartres, "The Fall of Jerusalem", Gesta Francorum Jerusalem Expugnantium
  5. ^ Fulcher of Chartres, "The Siege of the City of Jerusalem", Gesta Francorum Jerusalem Expugnantium
  6. ^ [1]
  7. ^ [2]