Perang Saudara Mukah 1852

Mukah merupakan salah satu daerah yang merupakan antara pengeluar hasil sagu yang amat bernilai di Sarawak. Penghasilan sagu di Mukah bukan hanya dilakukan secara komersial kerana itu sagu juga merupakan penyebab mengapa Mukah yang dahulunya salah satu daerah yang diperintah oleh pembesar Kesultanan Brunei jatuh ke tangan Keluarga Brooke. Ia berlaku kerana perang saudara diantara ketua masyarakat Mukah yang akhirnya membawa Mukah yang kaya dengan sumber alam menjadi salah satu tanah jajahan di dalam empayar Sarawak dibawah pemerintahan Brooke suatu ketika dahulu.

Pada akhir tahun 1852, pertikaian diantara Pengiran Arshad dan Pengiran Matusin yang berpunca dari masalah pembayaran cukai dan penguatkuasaan kuala sungai telah menjadi titik tolak kepada campur tangan James Brooke di Mukah. Pada masa itu permintaan terhadap sagu mentah dari Mukah sangat tinggi kerana itu laluan untuk mengeksport sagu dari Mukah sentiasa sibuk ditambah dengan pengurusan yang cekap. Saudagar-saudagar yang berurusan di dalam perniagaan sagu telah mendesak agar Mukah dijadikan pelabuhan bebas cukai namun Pengiran Arshad tidak mempersetujui permintaan tersebut. Pengiran Matusin yang merupakan pemimpin yang menguasai hulu sungai iaitu kawasan pengeluaran sagu tidak bersetuju dengan tindakan Pengiran Arshad lalu mengarahkan anak buahnya agar tidak membayar cukai kepada Pengiran Arshad apabila melalui Kuala Tellian. Pengiran Arshad yang tercabar dengan tindakan Pengiran Matusin telah membuat aduan kepada Sultan Abdul Mu’min kerana Pengiran Arshad adalah gabenor yang dilantik oleh Sultan Abdul Mu’min di Mukah.

Setelah mendengar aduan daripada Pengiran Arshad maka baginda pun menjatuhkan hukuman buang daerah kepada Pengiran Matusin. Kerana menghormati pemerintah Kerajaan Brunei pada waktu itu, Pengiran Matusin telah pergi menghadap Sultan Mu’min di Brunei bagi memohon pengampunan dan beliau diampunkan oleh baginda Sultan. Namun sebelum Pengiran Matusin menghadap Sultan Mu’min, terlebih dahulu beliau telah berkunjung ke Kuching menemui Charles Brooke bagi memohon khidmat nasihat. Setelah mendapat pengampunan, Pengiran Matusin kembali ke Mukah dan sekali lagi berlaku pertikaian antara Pengiran Matusin dan Pengiran Arshad sehingga menyebabkan Pengiran Arshad dibunuh oleh Pengiran Matusin.

Pembunuhan Pengiran Arshad ini telah menyebabkan peperangan saudara berlaku diantara pengikut Pengiran Matusin dan pengikut Pengiran Arshad. Tindakan Pengiran Matusin yang mencetuskan peperangan saudara serta pembunuhan Pengiran Arshad di Mukah tidak disenangi oleh Pengiran Mentali yang merupakan wakil Sultan Brunei di Mukah-Oya. Beliau meminta bantuan Syarif Masahor yang merupakan pemimpin di Wilayah Rejang. Melalui bantuan Syarif Masahor, Pengiran Matusin berjaya ditangkap tetapi beliau berjaya melepas diri lalu melarikan diri ke Kuching memohon bantuan daripada Charles Brooke untuk campur tangan dalam krisis tersebut. Melalui Pengiran Mentali, Pengiran Dipa (anak kepada Pengiran Arshad) telah diangkat sebagai pemimpin Mukah menggantikan ayahandanya yang dibunuh.

Pada tahun 1858, Charles Brooke telah menghantar armada perangnya ke Mukah untuk mengempur pengikut-pengikut Pengiran Dipa, pemimpin Mukah yang baru dilantik. Pengiran Dipa telah memohon bantuan daripada Sharif Masahor untuk mempertahankan Mukah daripada serangan daripada armada perang Charles Brooke. Berlakulah peperangan antara Sharif Masahor dan armada perang Charles Brooke. Pada tahun 1861, melalui pengaruh James Brooke dengan bantuan Spencer St John yang merupakan konsul British di Brunei pada masa itu berjaya memujuk Sultan Mu’min untuk membuat sekatan perdagangan sagu di Mukah yang dibawah kuasa Pengiran Dipa. Selepas Sharif Masahor ditangkap dan dibuang negeri ke Selangor, Mukah diserahkan secara rasminya kepada James Brooke. Pengiran Dipa dengan pengikutnya telah diarahkan untuk kembali ke Tutong, Brunei dan diberi tanggungjawab untuk mentadbir Tutong. Maka bermulalah era di mana Mukah menjadi salah satu empayar Sarawak dibawah kuasa Rajah James Brooke.