Perang Kelang

(Dilencongkan dari Perang Saudara Selangor)

Perang Kelang ataupun Perang Saudara Selangor berlaku dari tahun 1867 hingga 1874.[3] Ia bermula dengan perbalahan antara Raja Abdullah bin Raja Jaafar dan Raja Mahadi bin Raja Sulaiman.

Perang Kelang
ڤرڠ کلڠ
Tarikh1867–1874
Lokasi
Keputusan Kemenangan pihak Raja Abdullah/Tengku Kudin
Pihak yang terlibat[1]

Selangor Pengikut Raja Abdullah
Kedah Pengikut Tengku Kudin
Pahang Darul Makmur Kerajaan Pahang
Kongsi gelap Hai San
Disokong oleh:
Selangor Sultan Selangor
Kedah Kedah (sehingga 1871)
Puak Sumatera (1870–1872)

 United Kingdom (sejak 1873)

Selangor Pengikut Raja Mahadi
Puak Sumatera (sehingga 1870, dan sejak 1872)
Kongsi gelap Ghee Hin
Disokong oleh:

Selangor Pembesar tempatan
Komandan dan pemimpin

Selangor Raja Abdullah
Selangor Raja Ismail
SelangorKedah Tengku Kudin
SelangorUnited Kingdom Syed Zain al-Habsyi
Selangor Mohamed Tahir
Yap Ah Loy
BelandaUnited Kingdom Van Hagen  
ItaliUnited Kingdom Cavalieri  
PerancisUnited Kingdom A. M. Fontaine

Pahang Darul Makmur Tun Wan Ahmad

Selangor Raja Mahadi
Selangor Raja Mahmud
Selangor Syarif Masahor (sejak 1870)

Chong Chong  
Kekuatan

Selangor 2,000+ tentera darat[2]

  • Kedah 500 askar Kedah
  • Kedah Sepahi
  • Kedah Tentera upahan Eropah
  • Pejuang kongsi gelap Hai San

Selangor Tentera laut[1]

  • Kedah Rembau (kapal api)
  • Kedah 72 jong dan perahu
Pahang Darul Makmur Tentera darat

Selangor 2,500+ tentera darat[2]

  • Selangor Tentera pengikut Raja Mahadi
  • Pejuang suku Rawa
  • Pejuang suku Mandailing
  • Pejuang kongsi gelap Ghee Hin

Selangor Tentera laut[1]

  • Selangor Sri Lingga (kapal layar)
  • Selangor Beberapa buah kota berjalan

Latar belakang sunting

Pada tahun 1849 atau 1850, sultan Selangor ketika itu, Sultan Muhammad Shah meletakkan jajahan Kelang di bawah jagaan Raja Abdullah. Pada tahun 1866, Raja Abdullah kemudiannya telah memajak Kelang kepada dua orang saudagar dari Negeri-Negeri Selat yang bernama William Henry Macleod Read (W.H. Read) dan Tan Kim Ching. Kedua-dua saudagar itu kemudiannya keluar memungut cukai daripada penduduk-penduduk Kelang. Salah seorang penduduk tersebut ialah Raja Mahadi. Sebelum Raja Abdullah dilantik sebagai ketua Kelang, ayah Raja Mahadi pernah menyandang kedudukan Raja Abdullah. Keadaan ini memberi Raja Mahadi satu kedudukan yang tinggi di kalangan orang Melayu di Kelang. Oleh itu, Raja Mahadi terasa terhina apabila orang luar datang mengutip cukai daripadanya. Dengan perasaan marah, Raja Mahadi enggan membayar cukai kepada dua saudagar dari Negeri-negeri Selat tersebut.

Pada tahun 1857, Sultan Muhammad mangkat dan Sultan Abdul Samad menaiki takhta Selangor. Keluarga sultan yang baharu bersimpati dengan keadaan Raja Mahadi. Hal ini kerana Raja Abdullah bukan orang Selangor; beliau berasal dari Riau dan keluarga diraja lebih senang melihat orang Selangor memegang jawatan-jawatan tinggi di negeri sendiri. Bersama Raja Abdullah pula ialah anaknya, Raja Ismail. Sementara itu, sebahagian kumpulan-kumpulan kongsi gelap Cina memihak dengan Raja Abdullah dan sekumpulan lain berpihak kepada Raja Mahadi.

Raja Mahadi menewaskan Raja Abdullah di Kelang sunting

Pertempuran ini bermula dengan kegagalan Raja Abdullah untuk menangani pertikaian yang timbul antara pengikut Tok Bandar Yasih, wakil Raja Abdullah di Kuala Lumpur, dengan masyarakat Batu Bara di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh Mohamed Akib. Mohamed Akib yang tidak berpuas hati dengan Raja Abdullah telah menukar sokongannya kepada Raja Mahadi untuk menentang Raja Abdullah. Pada bulan Mac 1867, Raja Mahadi dengan bantuan orang orang Melayu Sumatra termasuk orang orang Batu Bara telah berjaya menewaskan Raja Abdullah. Raja Abdullah telah cuba untuk menawan semula Kelang tetapi tidak berjaya.[4]

Setelah menguasai Kelang, Raja Mahadi telah menghentikan bayaran $500 kepada Sultan Abdul Samad sepertimana yang biasa dilakukan oleh Raja Abdullah. Penghentian ini telah menyebabkan Sultan Abdul Samad memutuskan pertunangan Raja Mahadi dengan puteri baginda, Raja Arfah.[5]. Sewaktu peperangan itu Muhamad Akib, ketua orang orang Batu Bara telah mati ditembak dan adiknya Nonggok (juga dikenali sebagai Dato Dagang Muhamad Tahir) telah menggantikan abangnya itu sebagai ketua orang orang Batu Bara.Muhamad Akib dan beberapa orang pengikut nya yang terkorban telah dikuburkan didalam kawasan Kota Raja Mahadi. Kubur kubur tersebut masih lagi ada disitu sehingga sekarang. Oleh kerana Raja Mahadi gagal menunaikan janjinya untuk memberi kuasa kepada Muhamad Akib dan Muhamad Tahir (sebagai pengganti abangnya yang telah mati) sebahagian besar daerah negeri Selangor sebagai ganjaran atas sokongan kepada Raja Mahadi menewaskan Raja Abdullah di Klang, berlaku pertelingkahan diantara Muhamad Tahir dan Raja Mahadi. Tambahan pula salah seorang pengikut Muhamad Tahir telah dibunuh oleh seorang saudara Raja Mahadi yang mana Raja Mahadi enggan menyelesaikan atau membayar ganti rugi kepada Muhamad Tahir. Oleh sebab itu, Muhamad Tahir merasa marah dan tidak puas hati dan seterusnya menarik sokongannya dari Raja Mahadi dan sebaliknya menyebelahi pihak Tengku Kudin sehingga akhir Perang Kelang dan Perang Saudara diSelangor.

Peperangan dan Tengku Kudin sunting

Tidak lama selepas peperangan bermula pada tahun 1868, Sultan Abdul Samad telah mengkahwinkan puteri baginda, Raja Arfah, dengan Tengku Kudin (Tengku Dhiauddin; adinda Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah) yang berasal dari Kedah. Sultan Abdul Samad juga telah melantik Tengku Kudin sebagai pentadbir daerah Langat.[6] Tengku Kudin telah cuba untuk menjadi pendamai. Walau bagaimanapun, usaha Tengku Kudin ditolak oleh Raja Mahadi. Tengku Kudin tersinggung lalu memilih untuk membantu Raja Ismail, anak Raja Abdullah yang memimpin kumpulan menentang Raja Mahadi setelah Raja Abdullah meninggal dunia.[4]

Pada bulan Ogos 1869, Raja Ismail yang memimpin pasukan seramai 100 orang telah menyerang Kelang dan menawan kota di hilir Sungai Klang. Serangan ini telah memulakan sekatan terhadap Kelang dengan bantuan Muhamad Tahir dan orang orang Batu Bara yang berlarutan sehingga 6 bulan. Tidak lama kemudian, pasukan Raja Ismail telah mendapat bantuan daripada 500 orang Kedah yang telah dibawa oleh Tengku Kudin. Bantuan ini telah memberi Raja Ismail kelebihan dan menyebabkan Raja Mahadi tewas berundur dari Kelang pada bulan Mac 1870.[7]

Pada tahun 1872, dengan bantuan bendahara Pahang, segerombolan tentera Pahang turun ke Selangor dan sekaligus, mengalahkan pihak Raja Mahadi.

Kemenangan Tengku Kudin tidak disenangi oleh keluarga diraja Selangor. Keengganan tentera Pahang untuk pulang serta tindakan orang Pahang memungut cukai sebagai pampasan atau upah perkhidmatan daripada Kelang telah memburukkan nama Tengku Kudin di mata sultan Selangor. Melihat dan memahami keadaan ini, Andrew Clarke terpaksa menghentikan rancangan British untuk mempengaruhi sultan Selangor untuk sementara.

Yap Ah Loy dan pertempuran di Kuala Lumpur sunting

Pada bulan Ogos 1868, Liu Ngiam Kong, Kapitan Cina Kuala Lumpur telah mati dan telah digantikan oleh pembantunya Yap Ah Loy. Pada tahun 1869, beliau telah dilantik secara rasmi oleh Raja Mahadi yang pada ketika itu menguasai Kelang.[8] Walau bagaimanapun, Yap Ah Loy telah berpaling tadah dan memberi sokongan kepada Raja Ismail dan Tengku Kudin setelah mereka berjaya menguasai Kelang.[9]

Residen British sunting

Sementara itu, Negeri-Negeri Selat mula bergantung kepada kemakmuran ekonomi negeri Selangor. Selangor pada ketika itu merupakan salah satu negeri di Tanah Melayu yang menjadi pengeluar bijih timah terbesar di dunia. Akan tetapi, Perang Kelang membantutkan usaha untuk melombong bahan mentah tersebut. Oleh itu, British di Negeri-negeri Selat mahu membantu kerajaan Selangor memastikan bekalan bijih timah tidak tergendala. Pada masa yang sama, Tengku Kudin mempunyai hubungan rapat dengan British di Negeri-negeri Selat. Hubungan ini memberikan pihak British satu peluang untuk mempergunakan hubungan ini untuk mempengaruhi sultan Selangor. Hal ini menyebabkan British secara tidak langsung memihak kepada Tengku Kudin dalam peperangan ini.

Keadaan berubah pada bulan November 1873 apabila sebuah kapal dari Pulau Pinang diserang lanun berhampiran perairan Hulu Langat. Sultan mula bimbang dengan keselamatan negeri dan meminta Sir Andrew Clarke untuk membantu. Dengan permintaan itu, Andrew Clarke melantik seorang peguam dari Singapura bernama J.G. Davidson sebagai Residen British Selangor yang pertama. Beliau diterima baik oleh pembesar Selangor kerana beliau merupakan sahabat karib Tengku Kudin. Tugas residen bertanggungjawab untuk menasihati sultan dalam segala perkara kecuali hal-hal mengenai Islam dan adat resam Melayu.

Perang Kelang tamat dengan rasminya pada tahun 1874. Keadaan ini telah memaksa Raja Mahadi melarikan diri keluar dari Selangor dan menetap di Johor. Beliau meninggal dunia di sana dan dimakamkan di Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b c Gullick, J. M. (1986). TUNKU KUDIN IN SELANGOR (1868 - 1878). Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 59(2 (251)), 5–50. http://www.jstor.org/stable/41493048
  2. ^ a b Sabri Z. (2017). The Selangor Civil War (1867 - 1874). Malayan History Society.
  3. ^ J.M Gullick, 2004, ms 77-79
  4. ^ a b J.M Gullick, 2004, ms 60
  5. ^ J.M Gullick, 2004, ms 61
  6. ^ J.M Gullick, 2004, ms 77
  7. ^ J.M Gullick, 2004, ms 66-67
  8. ^ J.M Gullick, 2004, ms 225
  9. ^ J.M Gullick, 2004, ms 62

Rujukan sunting

  • Zainal Abidin bin Abdul Wahid; Khoo Kay Kim; Muhd Yusof bin Ibrahim; Singh, D.S. Ranjit (1994). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Sejarah Tingkatan 2. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 983-62-1009-1
  • 1911 Encyclopædia Britannica. Malay States.
  • Bab 1 mukasurat 4, Sultan Muzaffar Shah. Cipta Publishing (2006) ISBN 9838093094
  • Bab 2 mukasurat 7, Sultan Muzaffar Shah. Cipta Publishing (2006) ISBN 9838093094
  • Haji Buyong Adil; Sejarah Johor Dewan Bahasa dan Pustaka
  • J M Gullick (2004). A History of Selangor. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. ISBN 9679948102.

Templat:Tunas-Selangor