Perang Sertorius merupakan sebuah perang saudara yang berlangsung dari tahun 80 hingga 71 SM antara pecahan pemberontak Rom (Sertorius) dan kerajaan pusat Rom (Sulla). Perang ini tercetus di Semenanjung Iberia (dikenali sebagai Hispania oleh orang Rom) dan merupakan salah satu perang saudara Rom pada abad pertama sebelum Masihi. Pengikut Sertorius terdiri daripada gabungan orang asli Iberia dan pemberontak Rom yang menentang perwakilan rejim Sulla. Nama peperangan ini diambil daripada nama Quintus Sertorius, seorang ketua pemberontak. Konflik ini telah menyaksikan Sertorius berjaya menggunakan taktik perang gerila. Perang ini berakhir selepas Sertorius telah dibunuh oleh Marcus Perperna sebelum dia dikalahkan oleh Pompey.[1]

Perang Sertorius
Sebahagian daripada Perang Saudara Rom
Tarikh80–71 SM
Lokasi
Keputusan Kemenangan Senat
Pihak yang terlibat
Golongan buangan popularis Rom
Iberia asli
Senat Romoptimates
Komandan dan pemimpin
Quintus Sertorius Dihukum mati
Lucius Hirtuleius 
Marcus Perperna 
Gaius Herennius 
Metellus Pius
Pompey
Lucius Fufidius
Gaius Aurelius Cotta
M. Domitius Calvinus 
Lucius Thorius Balbus 
Quintus Calidius
Lucius Manlius

Latar belakang

sunting

Quintus Sertorius telah dilahirkan di Sabinium pada tahun 123 SM dalam keluarga bangsawan sederhana. Beliau telah dibesarkan oleh ibunya yang berada dalam status janda yang bernama Rhae. Plutarch memerikan Sertorius sebagai seorang yang "terlebih kasih sayang". Selepas menerima pendidikan tipikal Rom dalam bidang retorik, seni mempertahankan diri, penunggangan kuda dan epik Yunani, Sertorius berhasrat untuk menjadi seorang aristokrat di sesebuah provinsi. Beliau kemudiannya menjelajah ke Rom dan bergaul dengan orang ramai. Gaya hidupnya yang unik telah mencungkil satu komen daripada seorang orator agung iaitu Cicero. Sertorius telah disebut oleh Cicero sebagai seorang yang "lasak dan bersedia" berbanding semua orang lasak "buta huruf" yang pernah beliau dengar. Kemungkinan Cicelo tidak melihat dirinya sebagai orator telah menyebabkan Sertorius yang tidak berpengalaman memulakan laluan kerjayanya sebagai orang kehormat Rom.

Sertorius berkhidmat untuk legiun yang pada masa itu menghadapi ancaman daripada Cimbri. Dengan berkhidmat di bawah pimpinan Quintus Servilius Caepio, Sertorius merupakan salah seorang daripada tentera Rom yang terselamat dalam Pertempuran Arausio yang memusnahkan. Seterusnya, Sertorius telah menumpahkan kesetiaannya kepada Gaius Marius dan keputusan ini yang akan menetapkan arah tuju kehidupannya. Beliau secara sukarela ingin berkhidmat sebagai seorang perisik dengan mengenakan pakaian seperti pahlawan Cimbri, mempelajari bahasa mereka dan menyertai puak itu untuk menyerang Hispania, tempat yang mesra dengannya pada satu hari nanti. Sertorius menyelinap kembali kepada Marius semasa Cimbri pulang ke Itali pada tahun 102 SM. Beliau telah dikurniakan ganjaran oleh kerana usahanya yang berani. Beliau mungkin bersama legiun Rom bertempur menentang Cimbri di Aquae Sextiae dan Vercellae sekali gus mengakhiri ancaman daripada puak Cimbri. Kemudian, beliau meneruskan khidmatnya sebagai legiun di Hispania sebelum menjadi quaestor iaitu seorang penyelia kewangan di Cisalpine Gaul.

Pada tahun 91 SM, Perang Sosial telah tercetus antara Rom dengan sekutunya di Itali. Pada mulanya, Sertorius menggunakan kedudukannya untuk membekalkan material dan bantuan ketenteraan dari wilayahnya tetapi beliau kemudiannya berarak ke arah selatan untuk bertempur sendiri. Sertorius yang baru menginjak awal 30-an pada masa itu telah kehilangan sebelah matanya dalam pertarungan yang sengit itu. Apabila peperangan tamat pada tahun 88 SM, beliau muncul sebagai wira di Rom.

Namun, persaingan antara Marius dan Sulla telah menyentap undian Sertorius yang bersekutu dengan Marius dalam pengundian tribune. Berikutan tercetusnya perang saudara Sulla, terserlah kesetiaan, sikap terus-terang dan sikap tiada belas kasihan pada diri Sertorius. Beliau sering kali mempersoalkan cara yang digunakan oleh komandernya seperti penggunaan tentera hamba untuk mengambil alih Rom. Pada satu malam, apabila tentera-tentera ini sedang berkhemah di dalam teater, Sertorius bersama pasukan legiunnya bertindak menggempur kem itu sebelum membunuh mereka dengan menggunakan lembing. Kini, kepimpinan baru Marius dan Sertorius telah berbalah antara satu sama lain.

Pada tahun 83 SM, Sertorius menuju ke Hispania untuk mendirikan kubu Marius di sana. Geografi wilayah itu yang bersepai merupakan kunci kekuatannya. Hispania dikuasai oleh dataran tinggi yang luas dikelilingi pergunungan. Sebagai laluan pintu masuk yang strategik, terdapat lima lembah sungai di perairan Atlantik dan tiga lagi di Mediterranean. Hal ini telah membawa kepada pembahagian situasi politik di Hispania. Sebaik sahaja Sertorius tiba, sekitar 40 buah suku saling berasak-asak dan berperang antara satu sama lain untuk merebut kedudukan. Puak asli Iberia itu mengelilingi kawasan yang didominasi oleh Rom hingga ke Mediterranean. Puak-puak itu terdiri daripada tiga kumpulan utama; Iberia menghuni kawasan pantai timur, Aquitani tinggal jauh di kawasan barat daya manakala penceroboh campuran Celtiberia pula menduduki kawasan daratan tinggi. Wilayah Rom telah dibahagikan kepada Hispania Citerior yang bermaksud "Sepanyol Dekat" dan Hispania Ulterior yang bermaksud "Sepanyol Jauh". Sertorius telah dilantik menjadi propraetor ke atas wilayah-wilayah ini oleh Marius.

Sertorius perlu berurusan dengan puak-puak liar yang masih berkuasa di Pergunungan Pyrene. Untuk menjimatkan masa, Sertorius bertindak merasuah puak itu. Kemudian, beliau berjaya melepasi kawasan pergunungan yang berbahaya itu sebelum mengukuhkan kuasa tapaknya hasil bantuan kelengkapan perang daripada puak tempatan. Sertorius telah menumpukan perhatian dengan berlebihan terhadap pentadbiran Rom yang lalu ke atas Hispania, mengurangkan cukai dan berbaik-baik dengan masyarakat setempat. Sementara itu, perang saudara telah tercetus di Itali. Pelarian telah beransur-ansur menuju ke istana Sertorius dengan menyampaikan maklumat bahawa Sulla telah memenangi peperangan itu dan kemudian berarak ke Rom. Sulla telah mengusir semua musuhnya dengan penuh kejam. Sertorius pula sudah tentu berada dalam senarai proskripsi Sulla. Selepas Gnaeus Pompey menundukkan saki-baki pengikut Marius di Afrika, tinggal Sertorius seorang diri di Hispania yang berjuang menentang rejim Sulla. Sertorius melakukan persiapan untuk menghadapi ribut ancaman ini.

Perang

sunting

Kempen Sulla

sunting

Pada tahun 81 SM, Sulla telah menghantar satu angkatan tentera ke Iberia melalui jalan darat. Apabila musim sejuk yang melanda telah menyekat laluan-laluan masuk, Sertorius menghantar satu pasukan legiun di bawah pimpinan Julius Salinator untuk berkubu di kawasan genting pergunungan Pyrene. Pergerakan ini merupakan langkah bertahan yang bijak kerana serangan langsung yang akan dilakukan oleh musuh agak dikatakan mustahil. Namun, Salinator akhirnya dikhianati oleh orang bawahannya dan dibunuh lalu memberikan laluan kepada tentera Sulla untuk menembusi wilayah Hispania. Bertempur menentang tentera musuh sehingga hampir mengakibatkan kekalahan, Sertorius bersama 3,000 saki-baki tenteranya melarikan diri menuju ke Mauritania pada musim bunga 80 SM. Namun, suku Moor tidak memberi kebenaran kepada Sertorius untuk memasukinya. Kemudian, Sertorius melakukan serangan ke atas Kepulauan Balear atas nasihat lanun-lanun Cilicia tetapi beliau telah ditewaskan dalam satu pertempuran laut oleh salah seorang gabenor Sulla di Sepanyol. Sambil melakukan kemaraan dalam keadaan pincang-pincung dengan teliti ke arah barat, Sertorius akhirnya menemui semula kawasan muara di Sungai Baetis. Kemudian, beliau berjaya berlabuh di Mauritania dengan selamat.

Sertorius telah menyingkirkan penguasa tempatan yang memusuhinya. Beliau juga menyerap tentera Sulla yang asalnya dihantar untuk memeranginya dan kemudiannya mereka bergabung bersama-sama. Sertorius telah memerintah di sana secara autonomi buat selama beberapa bulan. Penduduk tempatan mempercayai bahawa terdapat satu mayat gergasi milik Antaeus, anak kepada Poseidon dan Gaia telah dikuburkan di sesuatu tempat yang terletak di dalam kerajaan kecil ini. Pada suatu hari, Sertorius berhasrat ingin melihatnya dengan sendiri. Kubur tersebut telah diekskavasikan sebelum beliau menyaksikan sendiri mayat separa dewa itu. Kemudian, disusuli oleh upacara korban sebelum beliau menggalakkan tradisi tempatan supaya diadakan ke atas kubur itu. Peristiwa ini membuktikan betapa baiknya dasar Sertorius apabila dirinya bercampur dengan subjek kepunyaan orang asing.

Kerajaan Sertorius di Afrika terlindung dengan pertahanan dan berkembang pesat. Namun, gabenor baru Sulla yang bernama Fufidius menggempur wilayah Sertorius dan menyerang orang tempatan. Puak Lusitania di Iberia tidak ikut sama dalam ekspedisi serangan itu tetapi mereka menjemput Sertorius untuk memimpin mereka semua. Selepas mendarat di Gibraltar pada tahun 80 SM dan bertemu dengan sekutu barunya, Sertorius memulakan kemaraan untuk menentang Fufidius. Sertorius bertindak licik dengan mengumpan Fufidius ke kawasan muara yang berpaya sebelum membunuh semua tenteranya. Tentera Sulla telah kehilangan 2,000 orang dan wilayah Hispania pula telah jatuh ke tangan Sertorius. Kemudian, Sertorius menghantar jeneralnya untuk menyingkirkan sisa-sisa tentera Sulla di kawasan utara dan beliau mula merangka rancangan. Beliau perlu kekal menjadi gabenor Rom yang tegas daripada menjadi ketua puak Iberia sekiranya sifat belas kasihan timbul dalam dirinya. Namun, beliau juga memerlukan bantuan yang banyak daripada puak tempatan untuk membela dirinya sebelum dirinya dilihat boleh diharap.

Pada masa itu, karakter Sertorius yang kompleks dapat disaksikan dengan sepintas lalu melalui sumber-sumber yang masih wujud. Sertorius dilihat sebagai seorang pemimpin yang gigih, berkarisma, berani dan terlalu menurut kemahuan lebih-lebih lagi menjauhkan diri daripada kemabukan. Kecenderungan Sertorius menghulurkan hadiah, mentadbir dengan sederhana dan sifat timbal baliknya telah menjadikan beliau sangat popular dalam kalangan puak tempatan. Sementara itu, kecenderungannya juga untuk berkongsi bebanan mereka telah membawa kepada kesetiaan yang berganda pada kumpulan tentera. Ketika awal pemerintahannya di Hispania, kelihatan hanya peristiwa-peristiwa biasa yang datang menyusul sekali gus menunjukkan betapa cekapnya Sertorius menggunakan semua perkara yang ada untuknya berbaik-baik dengan puak Iberia.

Seorang pemburu yang merendah diri bernama Spanus berjaya menangkap seekor rusa putih yang asing di dalam hutan. Apabila dia mendapat tahu bahawa Sertorius mempunyai tabiat menerima dan memberi hadiah sedemikian, dia membawa rusa itu bersama dengannya untuk menemui Sertorius. Lalu, binatang itu menjadi agak jinak dan tidak berasa terganggu atau terancam dengan suasana di kem tentera serta khayalak ramai di dalam kota. Selepas melihat perkara ini sebenarnya satu peluang untuk dirinya, Sertorius membuat pengumuman bahawa rusa itu telah diutuskan oleh dewi Diana dan mempunyai utusan berkala yang disampaikan kepadanya. Apabila beliau mendapat maklumat sulit yang menyatakan bahawa tentera musuh sedang mara untuk memburunya, Sertorius akan memberitahu kepada puak-puak lain dengan sebaliknya bahawa dewi Diana sedang mengurniakannya ilham. Pengikit Sertorius percaya bahawa mereka kini dibimbing oleh kuasa dewa dan bukannya dengan kehendak sendiri.

Kempen Metellus

sunting

Pemberontak Hispania memerlukan bantuan dengan seberapa yang boleh apabila pengganti gabenor Sulla sedang berada dalam perjalanan. Gabenor itu ialah Quintus Caecilius Metellus Pius yang merupakan seorang konsul yang telah dilantik pada tahun 80 SM dan juga seorang yang membenci Marius. Sertorius mula melatih tentera-tenteranya pada sepanjang musim sejuk. Puak-puak Iberia terutamanya Lusitania sangat bersemangat untuk berhadapan dengan legiun Rom. Namun, panglima mereka menyedari bahawa usaha menjadikan tenteranya menggunakan taktik yang sama dengan Rom akan menjurus kepada kekalahan. Jadi, beliau telah membuat dan menyesuaikan kekuatan yang sedia ada pada tenteranya.

Oleh kerana kata-kata Sertorius tidak cukup meyakinkan, beliau mengambil jalan menggunakan objek untuk membuatkan mereka semua yakin dan faham. Kemudian, Sertorius telah membawa dua ekor kuda sebelum bermulanya majlis kesukuan. Kuda yang pertama ialah besar dan kuat manakala kuda yang kedua pula kecil dan lemah. Seterusnya, beliau meminta seorang tua untuk mencabut bulu pada ekor kuda yang kuat itu dan seorang pemuda untuk mencabut ekor kuda yang lemah itu dengan kekerasan. Orang tua itu berjaya melengkapkan tugasannya dengan memperoleh bulu-bulu kuda manakala pemuda tadi hanya berjaya meletihkan dirinya sendiri. Kemudian, Sertorius menjelaskan bahawa tentera Rom sama diibaratkan seperti ekor kuda. Berperang dengan semua legiun pada satu masa agak mustahil untuk mereka menang tetapi dengan cara memisahkan legiun itu sedikit demi sedikit, mereka akan dapat mengatasi tentera musuh. Pertikaian ini sama sekali berjaya meyakinkan puak-puak dan mereka segera memulakan latihan. Formasi gaya Rom, isyarat dan taktik peperangan telah mengubah semua individu bergabung membentuk sebuah angkatan sebenar.

Semasa Metellus akhirnya memasuki Hispania pada tahun 79 SM, panglima-panglima Sertorius telah pun bersiap-sedia untuk berdepan menentangnya. Tentera Metellus mula dilanda kemusnahan akibat gangguan tentera musuh selain mereka turut melakukan pencarian bekalan dan menjejak maut. Sebagai seorang pemimpin genius dalam perang gerila yang tiada taranya, Sertorius mencabar lawannya untuk bertarung secara satu lawan satu pada suatu masa. Metellus kemudian menolak lalu menyebabkan Sertorius mengejeknya dengan gelaran "perempuan tua". Peperangan yang tidak teratur ini akhirnya melabuhkan kempen Rom ke penghujungnya. Setahun selepas kempen bermula, berita kematian Sulla dari Rom telah tersebar ke Hispania. Sejak itu, Metellus memilih untuk melakukan pendekatan secara pasif. Sertorius tidak terus berdiam diri dan beliau menggunakan kelebihan yang ada untuk menundukkan lebih ramai puak Iberia. Perluasan kuasa ini telah menambahkan jumlah perak Sepanyol ke dalam simpanan Sertorius sekali gus membolehkan beliau untuk bersiap-sedia melancarkan peperangan semula.

Kempen Pompey

sunting

Peperangan diteruskan pada tahun 76 SM apabila triumvir Gnaeus Pompey sedang mengejar seorang komander Rom yang memberontak, Perperna di Hispania. Perperna dipaksa oleh tenteranya yang berada dalam keadaan bimbang untuk menyertai Sertorius. Dengan perasaan terlalu yakin ditambah cuai, Pompey bertindak menggugurkan legiun veterannya ke Semenanjung Iberia. Namun, beliau dengan pantasnya dipintas oleh tentera ringan dan pasukan rondaan Sertorius. Dalam tempoh selama setahun, dua buah pasukan utama Pompey telah terurai oleh Sertorius melalui kepimpinannya yang bijak. Selain daripada itu, sikap penghormatan dan keadilan Sertorius juga wajar dipandang tinggi. Semasa mereka mengepung Lauron pada tahun 76 SM, legiun Rom bertindak melakukan pemerkosaan dan merogol kaum perempuan yang berada di dalam kota yang ditaklukkan itu. Kemudian, Sertorius mengambil dasar tidak bertoleransi dengan tindakan teruk tenteranya sendiri lalu mengarahkan kesemua unit itu supaya dihukum mati. Peristiwa ini dijadikan sebagai pengajaran dan tiada lagi insiden sedemikian terjadi pada masa yang lain.

Kemuncak pertempuran berlangsung pada tahun 75 SM di Sungai Sucro apabila Sertorius mendapat peluang untuk menyingkirkan Pompey sebelum Metellus terlibat untuk bercampur tangan. Beliau menghantar semula Perperna yang ditugaskan untuk melengahkan kemaraan Metellus manakala beliau sendiri bergerak untuk menentang Pompey. Kedua-dua pihak memiliki jumlah tentera yang agak sepadan. Panglima tentera bagi kedua-dua pihak ini berada di posisi sayap kanan dan mereka melakukan serangan terhadap pasangan musuh masing-masing. Pompey berperang menentang infantri Iberia yang gergasi manakala pasukan sayapnya mula memberi tekanan kepada tentera Sertorius untuk berundur. Sertorius mendapat perkhabaran mengenai ancaman ini dan beliau segera bergegas ke posisi kiri pertempuran untuk menyuntik kembali semangat juang tenteranya yang telah goyah. Beliau juga menggesa tenteranya yang setia untuk maju ke hadapan meneruskan rentak peperangan.

Pasukan sayap kanan Pompey telah tumbang dan berpecah-belah. Perkara ini menjadi titik pusingan yang sama sekali mengejutkan Pompey. Beliau sendiri berjaya melarikan diri pada saat-saat akhir babak pertempuran dengan terjatuh daripada tunggangan kudanya yang disalut hiasan. Selepas mengemas habis sisa-sisa musuh di posisi sayap lain, pertempuran akhirnya berakhir dan malam mula menjelma. Pompey berada di posisi yang teruk dan nasib dirinya akan sampai ke penghujungnya pada pagi keesokan harinya. Namun, Metellus tiba pada waktu subuh selepas beliau berjaya mengalahkan Perperna. Metellus telah menyelamatkan Pompey daripada kehancuran nyata tepat pada masanya. Sertorius sedar bahawa beliau telah melepaskan satu peluang besar untuk menghancurkan pesaingnya sambil menyatakan; "Sekiranya perempuan tua itu tidak muncul, sudah tentu saya mengutip budak itu dan membungkusnya ke Rom." Hasil kepimpinan Sertorius telah memalukan Pompey dan Metellus namun Sertorius tidak melakukan pergerakan dengan serta-merta. Jadi, peperangan ini mula mengubahkan halanya dan tentera Rom dilihat mendapatkan sentuhan mereka yang berkesan.

Tambahan lagi, 'puak yang liar dan gasar' itu telah diromanisasikan sebagai sebahagian daripada agenda Sertorius. Usaha beliau yang mengubah dan mencampurkan populasinya telah menjadi tatacara yang lazim pada zaman lewat Republik dan Imperial Rom menurut Dr. Philip Matyszak. Sertorius merupakan seorang pelopor sejati yang memberi impak kepada sejarah dunia beberapa kurun seterusnya. Beliau telah memperkenalkan peralatan Rom kepada ketua-ketua puak Iberia dengan mengagihkan hadiah-hadiah berupa topi legiun, gladii, tunik dan jubah atas sumbangan dan kesetiaan yang dicurahkan oleh mereka. Untuk menggalakkan penyatuan puak-puak Iberia, Sertorius memindahkan ibu kotanya ke Osca. Pemimpin-pemimpin puak Iberia yang telah diromanisasikan ikut serta dalam rombongan perpindahan itu. Sertorius juga melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka dengan mendirikan sebuah akademi di Osca. Hal ini sama seperti Philip II dari Makedonia yang mendirikan akademi di Pella untuk anak-anak golongan bangsawan.

Pendidikan Rom dan Yunani telah diterapkan di sana dan Sertorius berjanji akan memberi peluang kepada mereka untuk menerajui pentadbiran serta memberikan kuasa kepada keturunan keluarga terpelajar. Pada masa yang sama, anak-anak mereka secara de facto telah dijadikan sebagai tebusan untuk menjamin ketua-ketua puak terus menumpahkan kesetiaan kepada Sertorius. Sementara itu, Sertorius juga mencari mana-mana orang Rom yang melarikan diri sebagai pelarian untuk membentuk sebuah senat lalu melantik quaestor dan praetor dalam kalangan mereka semua. Kemudian, wujudlah Rom di luar sempadan Rom. Walaupun beliau diasingkan dari tanah airnya sendiri, Sertorius merupakan seorang penyokong nilai-nilai Rom dengan penuh membara.

Pengakhiran kempen

sunting

Walaupun beliau cekap dalam ketenteraan dan pernah cuba untuk mendekati Mithridates di timur, bantuan ketenteraan Rom terus disalurkan, musuhnya menjadi lebih kuat dan sekutunya terbukti tidak mampu menjalankan tugasan mudah. Perperna sering kali bertemu kekalahan dan telah kehilangan hampir kesemua pasukan legiunnya. Apabila tuah Sertorius bertukar malang dan wilayahnya dikuasai oleh musuh semula, Metellus menawarkan ganjaran bernilai 100 talent dan semua pengkhianat yang telah membunuh musuh akan diampunkan. Pihak Rom mula mengatur rancangan dan berkomplot ke atas Sertorius yang didahului oleh Perperna. Setelah Sertorius mendapat tahu akan perkara ini, menurut Livy, Sertorius bertukar menjadi seorang yang tidak bermoral dan telah dikecam hebat. Beliau juga tunduk kepada tabiat buruk dan kekejaman dengan membiarkan dirinya kepada wain, perempuan dan nyanyian. Bahkan, ramai kanak-kanak di akademinya telah diperhambakan dan dihukum mati atas balasan jenayah yang dilakukan oleh puak-puak mereka. Peristiwa ini lambat-laun telah menambahkan jumlah orang yang membuat rundingan dengan Metellus. Secara semula jadinya, perkara ini telah menyebabkan ramai orang berkomplot antara satu sama lain.

Perperna yang menghadiri jamuan sederhana yang diadakan oleh tuan gurunya bertindak membunuh Sertorius dengan menggunakan pedangnya yang sengaja disembunyikan bersama sekumpulan pengkomplot pada tahun 72 SM. Perang Sertorius akhirnya berakhir dengan kematian Sertorius sendiri manakala Pompey berjaya menawan dan membunuh Perperna. Puak-puak Iberia pula membuat kekacauan dan mendatangkan masalah kepada Rom tetapi Sertorius memainkan peranan penting yang membawa Hispania menuju ke dalam lingkungan pengaruh Rom sebelum wilayah itu terus penting untuk ekonomi Rom selama lima kurun akan datang.

Catatan

sunting
  1. ^ Dupuy and Dupuy, The Encyclopaedia of Military History, p. 93.

Sumber moden

sunting
  • Philip Matyszak, Sertorius and the struggle for Spain, Pen & Sword Military, Barnsley (2013) ISBN 978-1848847873
  • Philip Spann, Quintus Sertorius and the Legacy of Sulla