Perayaan Kuih Bulan
Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh (Cina Ringkas: 中秋节 ; Cina Tradisional: 中秋節 ; pinyin: zhōngqiūjié) merupakan perayaan hasil pertanian. Perayaan kuih bulan juga dikaitkan dengan Pesta Tanglung, namun ada perayaan lain yang juga berkait rapat dengan tanglung misalnya Chap Goh Mei.
Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 pada kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September. Ia selalunya hampir dengan ekuinoks musim luruh. Pada waktu ini, bulan biasanya mengambang dan terang, menjadikannya waktu yang sesuai untuk meraikan hasil tuaian musim panas.
Perayaan Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan terpenting selain Hari Tahun Baru Cina. Perayaan ini disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan, selain dengan kuih bulan itu sendiri.
Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini. Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.
Kisah di sebalik perayaan
suntingTolong bantu menterjemahkan sebahagian rencana ini. Rencana ini memerlukan kemaskini dalam Bahasa Melayu piawai Dewan Bahasa dan Pustaka. Sila membantu, bahan-bahan boleh didapati di Mid-Autumn Festival (Inggeris). Jika anda ingin menilai rencana ini, anda mungkin mahu menyemak di terjemahan Google. Walau bagaimanapun, jangan menambah terjemahan automatik kepada rencana, kerana ini biasanya mempunyai kualiti yang sangat teruk. Sumber-sumber bantuan: Pusat Rujukan Persuratan Melayu. |
Houyi dan Chang'e
suntingKisah malam berlakunya peristiwa dewi bulan Chang'e (Cina: 嫦娥) dibawa ke bulan yang dikenali ramai oleh bangsa Cina menjadi topik kegemaran para penyair. Berlainan dari kebanyakan dewa bulan di budaya-budaya lain yang mempersonifikasi bulan, Chang'e pula berdiam di bulan. Kisah tradisi mengisahkan riwayat Houyi dan Chang'e sekitar tahun 2170 SM, ketika pemerintahan Maharaja Yao legenda yang menyusuli zaman Huang Di.
Banyak sekali variasi dan adaptasi legenda Chang'e sehingga mampu mengelirukan kita. Apapun, kebanyakan kisah Chang'e dalam mitos Cina melibatkan elemen-elemen berikut dalam apa jua bentuk: Houyi (Cina: 后羿) si pemanah; Chang'e, Dewi Bulan Abadi; seorang maharaja, baik adil mahupun zalim; suatu atma jiwa; dan Bulan:
Houyi si pemanah
suntingTerdapat sekurang-kurangnya 6 variasi kisah ini yang mengisahkan Houyi sebagai pemanah.
- Versi 1
Houyi ialah seorang dewa, sementara Chang'e pula seorang gadis molek yang berkhidmat di Istana Maharaja Jed (Bahasa Cina: 玉帝 ; pinyin: Yùdì) sebagai pengiring Maharani Barat (permaisuri Maharaja Jed), sebalik sebelum kahwin. Pada suatu hari, Houyi mencetuskan kecemburuan dewa-dewi lain sehingga mereka mempersendakan Houyi menghadap Maharaja Jed. Maka Houyi dan isterinya Chang'e pun diusir dari kayangan, sekaligus terpaksa menampung kehidupan dengan memburu di Bumi. Maka dari saat inilah Houyi menjadi pemanah tersohor.
Pada ketika ini juga, terdapat sepuluh matahari, dalam bentuk burung berkaki tiga, yang berdiam di sebatang pokok kertau di laut timur; setiap hari salah seekor burung ini dijadualkan untuk mengelilingi dunia dengan pedati yang dipandu oleh Xihe (Cina: 羲和), iaitu "ibu" segala suria. Tibanya juga satu hari apabila kesepuluh-sepuluh matahri saling berhampiran lalu mengakibatkan Bumi terbakar. Maharaja Yao selaku pemerintah China mengarahkan Houyi agar menembak sembilan daripada suria-suria tersebut. Setelah selesainya tugas ini, maka Maharaja mengurniakan sebiji ubat yang mengabadikan nyawa Houyi, sambil memesannya: "Janganlah teragak-agak untuk menelan ubat ini; mula sekali siapkan diri dengan doa dan puasa selama setahun".[1] Houyi membawa ubat itu pulang lalu menyorokkannya di bawah sebatang kasau, sambil memulihkan semangatnya. Ketika Houyi menyembuh dirinya, Houyi diarah menghadap maharaja sekali. Chang'e perasan sekilauan cahaya dari kasau lalu mencari dan menelan ubat itu jua. Dalam sekelip mata, dia mendapati dirinya boleh terapung. Pada detik ini pulangnya Houyi, maka dia menyedari apa yang sudah berlaku lalu memarahinya. Chang'e pun terapung dari tingkap ke angkasa.[1]
Dengan berlengkapkan busur di tangannya, Houyi mengejar Chang'e mengelilingi separuh angkasa. Lama-kelamaan, Houyi terpaksa kembali ke Bumi kerana angin kencang. Chang'e akhirnya mendarat di Bulan dan mula batuk kerana kesukaran bernafas. Secebis ubat itu terkeluar dari mulutnya.[1] Pada masa itu, di bulan wujudnya seekor arnab, maka Chang'e mengarahkan arnab itu untuk membuatkan sebiji lagi ubat agar dia dapat kembali ke Bumi untuk bertemu semula dengan suaminya.
Sehingga hari ini, arnab tersebut masih cuba membuat ubatnya. Houyi pula membina istana di matahari bernama "Yang" (prinsip jantan), dan Chang'e pula "Yin" (prinsip betina). Setahun sekali, pada hari bulan purnama, Houyi menziarahi isterinya. Begitulah sebab pada malam inilah bulan adalah paling indah.[1]
Kisah ini terdapat dalam dua koleksi bertulis zaman Dinasti Han Barat (206 BCE-24 CE), iaitu Shan Hai Jing, Buku Gunung dan Laut, dan Huainanzi, suatu kitab falsafah.[2]
- Versi 2
Sekitar tahun 2170 SM, bumi mengalami sepuluh matahari, kesemuanya merentungkan tanaman dan memandulkan manusia. Dengan perasaan penuh belas kasihan terhadap rakyat jelata, Houyi si pemanah bertindak dengan menjatuhkan sembilan matahari tetapi membiarkan satu demi manfaat manusia. Sesudah menyiapkan tugasnya dia dijadikan wira rakyat. Dia mengahwini Chang’e maka mereka berdua pun hidup bahagia. Houyi ramai sekali anak muridnya yang setia mempelajari kemahiran memanah daripadanya. Pada suatu hari, dalam perjalanan pulang ke rumah, maharaja dewa mengurniakan sebiji ubat hidup abadi kepada Houyi sebagai ganjaran atas jasanya memadam matahari. Baginda menggesa Houyi agar tidak berlengah lagi untuk menelan ubat itu. Akan tetapi, Houyi amat mencintai Chang’e dan enggan meninggalkannya, maka dia menyerahkan ubat tersebut pada Chang’e untuk disimpan di tempat yang selamat. Chang’e meletakkan ubat itu dalam peti barang kemasnya. Akan tetapi, salah seorang anak murid Houyi iaitu Peng mendapat tahu rahsia ini lalu hendak mencuri ubat itu. Pada suatu hari, Houyi dan anak-anak buahnya pergi ke kawasan gunung, kecuali Peng yang berpura-pura sakit. Chang’e juga berdiam di rumah sahaja. Peng mencuri masuk bilik Chang’e lalu memaksanya untuk menyerahkan ubat itu. Chang’e sedar dirinya tidak terlawan Peng maka dia terus menelan ubat tersebut lalu terbang jauh dari situ. Chang'e tidak sanggup meninggalkan suami tersayang, jadi dia dia berehat di Bulan yang paling dekat dengan Bumi. Setelah Houyi menyedari perkara ini, marah dan sebak jadinya. Houyi mendongak ke langit malam dan memanggil nama Chang’e tak henti-henti. Beliau menemui bayang-bayang wanita seiras Chang'e pada bulan, lalu terkejar-kejar bulan itu tetapi tidak dapat kerana dihalang angin.
- Versi 3
Suatu ketika dulu, Bumi dikitari sepuluh biji matahari, setiap satu bergilir-gilir menyinari bumi. Pada suatu hari, tiba-tiba kesemua sepuluh matahari muncul serentak, lalu membahangkan bumi dengan keterlaluannya. Mujurlah tibanya seorang pemanah gagah bernama Houyi, tiba di bumi untuk menjatuhkan sembilan biji matahari. Maka beliau menjadi Raja, tetapi lama-kelamaan menjadi zalim.
Pada suatu hari, Houyi mencuri air atma jiwa dari seorang dewi. Akan tetapi, air itu jatuh dalam mulut ratunya Chang'e untuk menyelamatkan rakyat jelata dari kezaliman si raja. Setelah meminumnya, Chang'e terapung jauh hingga mencapai bulan. Betapa cintanya Houyi terhadap ratunya, maka tak sanggup baginda menjatuhkan bulan.
Arnab Jed
suntingMenurut kisah lama, Arnab Jed ini membuat ubat-ubatan bersama dewi Chang'e, untuk santapan dewa-dewi. Ada yang kata arnab ini cuma satu bentuk jelmaan Chang'e sendiri. Anda boleh perhatikan bahawa tompok-tompok gelap pada permukaan bulan purnama menyerupai bentuk arnab, sepasang telinganya tercacak ke kanan, sementara di kirinya ada dua bulatan besar yang mewakili kepala dan badannya. [3]
Mengikut legenda, tiga pari-pari mengubah bentuk diri mereka menjadi orang tua yang mengemis makanan dari rubah, monyet, dan arnab. Si rubah dan si monyet ada makanan untuk dihulurkan kepada mereka, tetapi sayangnya si arnab tiada apa-apa untuk diberi maka ia melimpat ke dalam api marak untuk menawarkan daging dirinya sahaja. Orang-orang tua itu terharu oleh pengorbanan dan kemurnian si arnab lalu mengurniakan tempat tinggal di Istana Bulan untuknya di mana si arnab menjadi "Arnab Jed".
Penggulingan pemerintahan Mongol
suntingMengikut sebuah kisah rakyat terkenal (yang tidak semestinya terbukti oleh catatan sejarah), Perayaan Kuih Bulan disambut untuk memperingati pemberontakan warga China menentang pemerintah Dinasti Yuan berbangsa Mongol (1280–1368) pada abad ke-14.[4] Sukar untuk merancang pemberontakan kerana larangan terhadap perhimpunan.[4] Menyedari bangsa Mongol tidak makan kuih bulan, maka Liu Bowen (劉伯溫 ) dari wilayah Zhejiang, penasihat kepada ketua pemberontak Zhu Yuanzhang, mendapat jalan mengadakan pemberontakan sempena Perayaan Kuih Bulan. Beliau meminta izin untuk mengedarkan beribu-ribu biji kuih bulan kepada warga kota untuk memohon restu semoga maharaja Mongol panjang umur. Dalam setiap kuih dimasukkan sekeping kertas yang bertulis: "Hapuskan Mongol pada lima belas hari bulan lapan" (八月十五殺韃子 ).[4] Pada malam perayaan, para pemberontak berjaya meyerang dan menggulingkan pemerintahan mereka, disusuli penubuhan Dinasti Ming (1368-1644) di bawah pimpinan Maharaja Zhu. Semenjak itulah perayaan ini disambut di peringkat kebangsaan dengan hidangan kuih bulan.
Rujukan
sunting- ^ a b c d "Chinatown.com.au". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-06. Dicapai pada 2008-09-11.
- ^ Shanghai me
- ^ "Chinatown Online - your guide to all things Chinese". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-03-06. Dicapai pada 2008-09-11.
- ^ a b c "Examination of the legend against the historical backdrop of mongol dynasty". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-04-18. Dicapai pada 2008-09-11.