Perbilangan adat, banyak pengertian yang ditafsirkan, antaranya teromba, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Menurut Aripin Said (1996), perbilangan adat adalah sebagai gundalan adat, iaitu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal usul adat lembaga khususnya terdapat dalam kalangan mereka yang memakai Adat Pepatih. Secara ringkasnya, perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi (puisi adat) yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan berkembang di daerah Minangkabau dan Palembang yang dikenali sebagai ‘Adat Minangkabau’.

Di Malaysia, perbilangan adat ini, banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu dipergunakan dalam Adat Pepatih. Seperti puisi lain, perbilangan adat diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi. Menurut Alwi Salim (1983), perbilangan adat ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi melalui ketua-ketua adat lembaga yang disebut ‘Buapak’. Walaupun begitu perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada zaman kedatangan Islam, perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan oleh perbilangan ini:

Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat adat, tak gaduhkan hukum
Kuat hukum, tak gaduhkan adat
Ikut hukum, muafakat
Ikut adat muafakat.

Berdasarkan perbilangan di atas, dapat dikatakan perbilangan tersebut telah mengalami ciri-ciri keislaman. Walaupun terdapat penyesuaian tetapi ciri-ciri masih dipertahankan. Perbilangan adat ini berbentuk bebas, iaitu menggunakan gurindam, syair, pantun dan lain-lain bentuk puisi dalam penyampaiannya. Menurut Za’ba yang dipetik oleh Aripin Said (1996):

“perbilangan adat merupakan puisi melarat yang tidak tetap timbangan suku kata dan rimanya. Namun ia tetap mempunyai susunan, makna yang kemas dan mendalam”.

Beliau juga memberi contoh-contoh perbilangan adat untuk genre puisi yang digolongkan sebagai ‘gurindam’, antaranya:

Kelebihan nabi dengan mukjjizat
Kelebihan umat dengan muafakat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia dengan muafakat
Air melurut dengan bandaraya
Benar melurut dengan muafakatnya. (Za’ba 1962,242)

Manakala Abdullah Siddik, menyebut perbilangan adat sebagai ‘peribahasa adat’, dinyatakan seperti berikut:

Raja menobat di dalam alam
Penghulu menobat di dalam luak
Lembaga menobat di dalam lingkungannya
Orang banyak menobat di dalam teratak. (Abdullah Siddik 1975,110)

Manakala Siti Hawa Haji Salleh (1987), menyatakan perbilangan adat sejenis puisi yang tidak tertentu bentuknya (sama seperti gurindam dan seloka). Manakala Mohd Yusof Md. Nor (1991), telah menyimpulkan ciri-ciri yang terdapat dalam perbilangan adat, antara lain, adalah:

  1. Puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rangkap, rima atau jumlah perkataan dalam satu baris
  2. Terdapat sisipan berbagai puisi yang lain, misalnya pantun, gurindam, peribahasa dan lain-lain
  3. Isinya memuat hal-hal yang berhubungan dengan undang-undang, adat istiadat yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat.

Perbilangan adat juga mempunyai fungsi kepada masyarakatnya, antaranya ialah untuk membicarakan susun lapis pemerintahan, hubungan keluarga, fungsi dan tugas setiap ahli masyarakat. Perbilangan adat juga untuk menyatakan bahawa setiap orang berguna dalam satu-satu masyarakat. Kesimpulannya fungsi perbilangan adat terhadap masyarakatnya, ialah:

  1. Memberi panduan/pendidikan
  2. Membentuk /membina masyarakat yang harmoni
  3. Satu cara kawalan sosial - dipersetujui bersama
  4. Mengekalkan satu norma tertentu dlm masyarakat
  5. Mengambarkan corak dan pola hiduop bermasyarakat.
  6. Menggambarkan pola pemikiran masyrakat (kepandaian/kebijaksanaan).

Terdapat berbagai jenis perbilangan adat yang berasaskan sistem sosial Minangkau, menurut Mohd Taib Osman (1975), antaranya ialah:

  1. Metos dan lejenda, iaitu menyatakan asal-usul adat dan alam Minangkabau. Di bawa oleh dua Datuk bersaudara iaitu Datuk Temenggung dan Datuk Pepatih Nan Sebatang, kedatangan “bangau putih” iaitu orang Minangkabau yang merantau ke Negeri Sembilan dan perhubungan mereka dengan “gagak hitam” iaitu orang asli Negeri Sembilan. Adat ini juga disebut “teromba”’ iaitu lagu asal usul.
  2. Kata-kata istiadat, iaitu susunan kata-kata khas untuk istiadat tertentu seperti perlantikan Penghulu, meminang, perkahwinan, pembahagian harta dan sebarang majlis keramaian.
  3. Undang-undang, digunakan dalam menguruskan undang-undang jenayah atau hukum pidana adat yang menyatakan jenis-jenis kesalahan, jenis bukti dan hukuman dan juga undang-undang sivil, mengenai pembahagaian harta dan syarat pembahagian harta dan hak.
  4. Falsafah, sebahagian besar perbilangan adat termasuk dalam kategori falsafah. Ini kerana kata-kata falsafah ini disisipkan ke jenis lain. Segalanya terjalin ke dalam satu sistem intelek yang menjadi asas kepada seluruh adat Minangkabau.

Berkisarkan tentang konsep dan aspek yang diketengahkan dalam perbilangan adat dinyatakan oleh Alwi Salim (1983), antaranya:

  1. Konsep pemerintahan, dalam konsep ini perbilangan adat menyatakan dengan jelas susunan pemerintahan adalah mengikut peringkat-peringkat berikut, iaitu dari peringkat rendah kepada peringkat tertinggi. Ini digambarkan dalam:
    Raja menobat di dalam alam
    Penghulu menobat di dalam luak
    Lembaga menobat di dalam lingkungannya
    Ibu bapa menobat pada anak buahnya
    Orang banyak menobat di dalam terataknya
  2. Konsep keadilan, perbilangan adat ini tidak didasarkan kepada pembalasan tetapi didasarkan kepada pemulihan (restitution). Diperturunkan kata-kata ini:
    Yang mencincang, memapas
    Yang membunuh membangunkan
    Yang menjual, memberi balas
  3. Aspek ekonomi, kata-kata perbilangan disusun indah dan menunjukkan bahawa kehidupan memerlukan ekonomi yang teguh, didengarkan perbilangan ini:
    Majlis di tepi air
    Mendesa di perut kenyang
  4. Aspek sosial, masyarakat Adat Pepatih melahirkan perbilangan ini adalah mengikut susunan unilateral-matrilineal. Ia merangkumi pemilihan ketua dalam masyarakat, utamakan nisab sebelah ibu, tanggungjawab, hak, pedoman, pegangan dan juga perpaduan. Ini untuk menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai taraf yang sama dan mesti dimuliakan, diperturunkan perbilangan ini:
    Yang buta penghembus lesung
    Yang pekak pelepas bedil
    Yang lumpuh penghuni rumah
    Yang kuat pembawa beban
    Yang bingung disuruh-suruh
    Yang cerdik lawan berunding
  5. Aspek adat istiadat, banyak menjurus kepada adat berumahtangga, iaitu dari pertunangan, perkahwinan, penceraian sehingga kepada pembahagian harta.
  6. Sistem kewarisan, dalam sistem ini perbilangan adat digunakan untuk pembahagian harta pusaka. Yang mana Buapak dan Datuk Lembaga bertindak sebagai pemegang kuasa. Mengikut Adat Perpatih harta pusaka diperturunkan kepada anak perempuan sahaja dan tanah pusaka tidak dibenarkan dijual atau digadai.

Sebagai kesimpulannya, perbilangan adat dapat dikatakan sebagai bentuk puisi klasik yang juga intim dengan kehidupan masyarakat melayu lama. Sehingga kini perbilangan adat ini masih digunakan oleh kelompok masyarakat yang mengamalkan tatacara Adat Perpatih.

Pautan luar sunting